300 hari tanpa kerajaan: Negara ni catat peningkatan ekonomi terbaik di rantaunya

Kalau pada 2018 dulu, kita dah dapat rasakan panasnya politik negara dengan kekalahan Barisan Nasional (BN) dan banyaknya drama yang jadi. Kali ni, rakyat Malaysia sekali lagi dihidangkan dengan pergolakan politik apabila runtuhnya pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM), sebelum dilantik semula sebagai PM Interim.

Ketika artikel ni ditulis, Malaysia masih lagi belum membentuk sebarang kerajaan dan boleh dikatakan tak ada mana-mana pakatan politik yang mentadbir negara. Kalau korang rasa panik atau pelik dengan perkembangan terbaru ni, jangan rasa macam tu sangat sebab ada je negara yang pernah hadapi nasib yang sama.

Keadaan politik negara sekarang.

Macam sebuah negara di Eropah ni yang pernah tak ada kerajaan selama 300 HARI atau 10 bulan. Apa yang menariknya, selama tak ada kerajaan – ekonomi negara tu meningkat naik dan kadar pengangguran pun menurun. Negara yang kitorang maksudkan ni adalah SEPANYOL, sebuah negara yang menyimpan sejarah panjang dunia. Tapi rasanya, lebih baik kita tengok dulu cerita di sebalik semua ni terjadi…

Sepanyol gagal bentuk kerajaan walaupun dua kali buat pilihan raya

Seperti juga negara-negara lain, Sepanyol pun ada sistem kerajaannya sendiri yang terpilih melalui pilihan raya. Bila berlakunya pilihan raya, setiap rakyat Sepanyol yang layak akan mengundi ahli Congress of Deputies (atau Dewan Rakyat) yang kemudiannya akan menentukan siapa yang layak jadi Perdana Menteri. Seperti biasa, parti yang dapat majoriti boleh membentuk kerajaan.

Tapi masalah mula timbul bila tak ada satu parti pun yang bertanding dapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan di Sepanyol ketika tu. Dari 350 kerusi yang dipertandingkan – People’s Party (PP) menang 123 kerusi, diikuti Spanish Socialist Workers’ Party (90 kerusi) dan beberapa lagi parti. Jadinya, bermulalah sesi tawar menawar antara parti-parti yang bertanding – untuk membentuk kerajaan campuran.

Malangnya, segala usaha ke arah tu menemui jalan buntu bila tak ada kata sepakat antara parti-parti untuk membentuk kerajaan. Disebabkan tak ada kerajaan yang dibentuk, seorang Ahli Parlimen dah dilantik sebagai Pemangku Perdana Menteri Sepanyol, iaitu Mariano Rajoy yang juga Presiden PP. Keadaan ni kemudiannya membawa kepada berlakunya pilihan raya sekali lagi pada Jun 2016.

Keputusan Pilihan Raya Umum Sepanyol kali pada 2016. Imej dari BBC.

Dalam pilihanraya kali kedua dalam setahun tu, sekali lagi PP menang kerusi yang paling banyak iaitu sebanyak 137 kerusi. Bagaimanapun, jumlah ni masih lagi tak mampu membentuk kerajaan kerana diorang sekurang-kurangnya kena dapatkan 176 kerusi. Walaupun pihak PP dan Socialist cuba beberapa kali berbincang untuk buat kerajaan campuran – nampaknya ia masih menemui kegagalan.

Disebabkan keadaan tu, ia akhirnya membuatkan Sepanyol tak ada kerajaan selama lebih kurang 300 hari atau 10 bulan! Tapi, seperti mana yang diceritakan di awal tadi, walaupun tak ada kerajaan – keadaan ekonomi Sepanyol bukan je stabil – malah meningkat dengan baik. Macam mana benda ni boleh berlaku?

Tak ada kerajaan, tak ada yang campur tangan dalam ekonomi

Gangguan~~~ Imej asal dari Giphy.

Mengikut laporan Forbes, walaupun Sepanyol tak ada kerajaan selama 300 hari, ekonomi negara tu meningkat dan kadar pengangguran pula menurun. Hal ni terbukti bila Sepanyol dinobatkan sebagai salah satu negara yang ekonominya paling cepat berkembang di Kesatuan Eropah.

Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ada kata, ekonomi Sepanyol berkembang 3.1 peratus pada 2016 iaitu sama seperti kerajaan yang berfungsi sepenuhnya sebelum ni. Kesan dari perkembangan ekonomi itu, ia juga dah menurunkan kadar pengangguran dari 20 peratus ke 18.9 peratus pada tahun sama.

“Kadar pengangguran Sepanyol menurun kepada 18.9 peratus pada suku ketiga daripada 20 peratus dalam tempoh tiga bulan sebelumnya, kadar terendah dalam tempoh enam tahun…” – Dipetik dari Forbes.

Lepas kerja, lepak minum. Imej dari Culture Trip.

Hal ni menimbulkan tanda tanya juga sebab macam mana pulak ekonomi boleh berjalan baik, walaupun tak ada kerajaan? Bagi sesetengah pengkaji, mereka berpendapat yang masa tu Parlimen Sepanyol tak boleh buat apa-apa dan ini bermakna tak ada campur tangan dalam ekonomi negara. Ekonomi Sepanyol ketika tu dah dibiarkan berjalan di bawah sistemnya sendiri dan hasilnya pula agak baik.

Tapi bagi sesetengah pakar ekonomi pula, keadaan tu boleh jadi sebab Belanjawan Sepanyol dah diluluskan terlebih dulu, sebelum lumpuhnya kerajaan. Dan sebab itu jugalah, mereka menganggap kerajaan kena dibentuk juga untuk menjamin masa depan ekonomi Sepanyol.

“Masalahnya ialah pada 2017, kerana tidak ada belanjawan lagi dan pelaburan awam, dasar fiskal atau pengagihan wang tidak akan diketahui sehingga itu… Ini akan menghasilkan ketidakpastian.” – Jose Ramon Pin, pakar ekonomi. Dipetik dari HuffPost.

Dalam masa sama, rakyat juga mainkan peranan bila diorang…

Tak ambil kisah sangat dengan permainan politik

Tak mau tahu! Imej asal dari Giphy.

Walaupun tak ada kerajaan, media melaporkan yang rakyat Sepanyol masa tu masih jalankan kehidupan macam biasa – tengok movie, pergi kedai kopi, membeli belah dan sebagainya. Malah, ada rakyat Sepanyol yang tak kisah langsung pasal politik dan rasa politik ni menyemak je.

“Saya tidak terlalu risau… Saya melihatnya di TV dan di akhbar (tentang pergolakan politik), tapi (ahli politik) sama saja. Mereka semuanya tak guna dan kisah langsung kepada rakyat.” – kata seorang rakyat Sepanyol kepada HuffPost.

Selain tu, nampaknya kebanyakan rakyat Sepanyol juga tak lagi berapa percaya dengan ahli-ahli politik mereka dan dah bosan dengan apa yang jadi. Jadinya, mereka pun jalani hidup macam biasa je dan tak bergantung sangat dengan ahli politik.

“Majoriti orang Sepanyol menyampah dengan ahli politik mereka. Undian menunjukkan bahawa ahli-ahli politik dilihat sebagai perasuah, mementingkan diri sendiri dan semakin tidak mampu menyelesaikan masalah yang perlu mereka bimbangkan.” – Dipetik dari The New York Times.

Walaupun macam tu, Sepanyol masih lagi berdepan dengan krisis Catalonia yang cuba keluar dari Sepanyol. Imej dari Zee News.

Tapi akhirnya kebuntuan ni berakhir bila Sepanyol berjaya membentuk kerajaan pada Oktober 2016 apabila pihak-pihak yang bertelagah bersetuju menamatkan keadaan yang berlaku. Bagaimanapun, keadaan ada kerajaan tu tak lama sebab bila menjelangnya pilihan raya pada April 2019 sekali lagi Sepanyol gagal bentuk kerajaan. Hal ni cuma tamat pada awal Januari 2020 bila kerajaan campuran berjaya dibentuk selepas 9 bulan.

Gagal bentuk kerajaan ni bukan perkara baru sebenarnya

Hari pertama Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim. Imej dari Malay Mail.

Sebenarnya, selain dari Malaysia dan Sepanyol yang pernah gagal nak bentuk kerajaan ni, banyak lagi negara yang pernah hadapi masalah yang sama. Antaranya seperti Sweden yang ambil masa 133 hari tanpa kerajaan, Belanda 208 hari dan yang paling lama Belgium selama 541 hari.

Tapi kita di Malaysia ni boleh dikatakan bernasib baik juga, sebab majoriti rakyat masih lagi tenang dan dapat jalankan kehidupan seperti biasa. Kita juga kena bersyukur sebab ada YDP Agong yang bertindak sebagai Ketua Negara dan menjadi pengimbang atas segala kerakusan arus politik yang berlaku.

Cuma apa yang dirisaukan sekarang adalah tentang perkembangan ekonomi yang semakin terjejas akibat keadaan politik yang tak stabil. Sehingga artikel ini ditulis, rakyat Malaysia masih lagi tertanya-tanya tentang keadaan politik negara. Adakah kita juga akan senasib seperti negara-negara di atas?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.