4 tokoh kemerdekaan wanita dan sumbangan mereka terhadap negara

Dari pertengahan abad ke-20 hingga abad ke-21, kita dapat melihat ramai tokoh Malaysia yang telah mencipta nama di seluruh dunia. Secara umumnya, tokoh-tokoh yang kita dengar selalunya disandang oleh majoriti kaum lelaki.

Namun, sebenarnya ramai tokoh wanita yang sepatutnya mendapat perhatian kerana bakti dan pertolongan yang mereka curahkan di tanah air. Jadi dalam artikel ini, kami ingin menceritakan tentang empat tokoh wanita yang pernah mengharumkan nama Malaysia di seantero dunia serta menyumbang kepada masyarakat.

(Semua subtopik di bawah ini berdasarkan rujukan buku “20 Tokoh Wanita” tulisan Sulasiah Munajir )

1. Tun Fatimah Hashim: Wanita yang memperjuangkan hak kemerdekaan Malaysia

Antara wanita pertama yang memegang jawatan menteri. Imej dari Siddesh Joshi.

Tun Fatimah Hashim dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Kampung Parit Kurma, Muar, Johor. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Kurma dan  Sekolah Perempuan Mersing. Selepas tamat alam persekolahan, Fatimah menjadi guru pelatih dan mempelejari pendidikan agama di Mersing.

Fatimah Hashim mula menceburi bidang politik selepas berkahwin dengan suaminya, Tan Sri Abdul Kadir Yusof yang merupakan ahli UMNO. Pada awalnya, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Pergerakan Kaum Ibu UMNO Johor dan Penolong Setiausaha pergerakan wanita dari 1951 hingga 1953. Kejayaan beliau dalam memegang kedua jawatan itu telah menjadikan beliau wanita pertama yang menjadi Ketua Perhubungan UMNO.

Fatimah juga aktif dalam memperjuangkan kemerdekaan dengan menyampaikan ceramah bagi menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya negara bebas daripada tangan penjajah semasa memegang jawatan sebagai Ketua Perhubungan UMNO Perak pada 1956 hingga 1958.

Beliau sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama yang memegang jawatan Menteri Kebajikan Am. Fatimah telah memperjuangkan hak wanita dalam isu gaji pada Januari 1970 kerana kaum wanita pada waktu itu seringkali didiskriminasikan dari segi gaji.

Beliau juga memperjuangkan perlindungan dan pemberian nafkah kepada wanita, pencen untuk wanita, mewujudkan jawatan pegawai kebajikan wanita di Mahkamah Syariah dan mengisytiharkan Hari Wanita sebagai cuti umum.

Fatimah telah menerima banyak penghargaan semasa memegang pelbagai jawatan, antaranya:

  1. Bintang Panglima Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong.
  2. Ijazah Muda Kehormat Undang-undang di Universiti Malaya.
  3. Wanita pertama yang mendapat gelaran “Tan Sri”.
Tun Fatimah Hashim (sebelah kiri kelima) yang mengetuai Hari Wanita di Kota Bharu, Kelantan. Imej dari Merdeka Award.

2. Tan Sri Aishah Ghani: Menubuhkan pusat perlindungan untuk gadis yang terlanjur

Wanita yang membuka banyak pusat pemulihan. Imej dari Sinar Harian.

Tan Sri Aishah Ghani dilahirkan di Kampung Sungai Perai, Hulu Langat Selangor, pada 15 Disember 1923. Aishah bersekolah di Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras, Selangor dan Sekolah Diniyyah Putri, Padang Panjang, Sumatera Barat serta melanjutkan pelajarannya di Maktab Perguruan Tinggi Islam di Padang dari tahun 1940 hingga 1943.

Minat Aishah Ghani untuk berkecimpung dalam politik bermula di maktab. Setelah kembali ke tanah air, beliau menjadi Guru Besar di Sekolah Yahyawiyah, Padang Rengas, Perak, di mana beliau aktif dalam politik dan pernah menjadi ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Persatuan Anak Melayu Selangor (PAMS).

Status pendidikan Aishah Ghani yang tinggi membuatkan beliau mendapat jawatan dalam UMNO iaitu Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Negeri Selangor, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Naib Ketua Pergerakan UMNO dari 1960 hingga 1971.

Sewaktu memegang jawatan dalam UMNO, Aishah Ghani pernah mewakili Malaysia ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan Perhimpunan Agung Asian Solidarity Conference Wanita di Berlin. Pada 1972, beliau telah dilantik menjadi senator wanita pertama di Malaysia dan seterusnya menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat.

Semasa bertugas sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat, Aishah Ghani memberikan pertolongan kepada semua golongan lapisan masyarakat, antaranya:

  1. Menubuhkan Rumah Kanak-kanak Tuanku Budriah untuk anak-anak luar nikah.
  2. Rumah Seri Kenangan untuk golongan warga emas yang tiada tempat bergantung.
  3. Menubuhkan Pusat Perlindungan Wanita Seri Puteri untuk membela nasib wanita yang terlanjur.
  4. Meningkatkan bilangan Rumah Orang Kelainan Upaya.
  5. Menubuhkan Sekolah Tunas Harapan untuk anak-anak tidak bermoral.
Aishah Ghani merupakan wanita terawal yang mendapat gelaran doktor. Imej dari Sejarah MY.

Jasa Aishah Ghani telah dihargai apabila negeri Selangor menganugerahkan darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang menjadikan beliau sebagai Datin Paduka. Selain itu, Yang di-Pertuan Agong pula mengurniakan darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri pada 1985. Pada 1999, beliau diberikan darjah Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama (SPMS). Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga pernah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik.

3. Tan Sri Dr. Mazlan Othman: Saintis yang menerajui program angkasa lepas di PBB

Tan Sri Mazlan Othman merupakan ahli sains negara yang terkemuka. Imej dari Scientific Malaysian Magazine.

Tan Sri Profesor Dr. Mazlan Othman dilahirkan pada 11 Disember 1951 di Seremban, Negeri Sembilan. Pendidikan awal beliau di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Kuala Pilah dan menyambung pelajarannya di Universiti Otago, New Zealand dalam bidang Astrofizik.

Kerjaya awal beliau bermula sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menjadi Ketua Pengarah di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Seterusnya, Dr. Mazlan Othman dilantik sebagai Profesor Astrofizik oleh UKM pada 1994 dan menjadi Pengarah Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB di Vienna, Austria dari Oktober 1999 hingga Jun 2002. Beliau menganggap pelantikan itu satu pengiktirafan luar biasa untuk negara membangun seperti Malaysia.

“Ia satu pengiktirafan bukan sahaja kepada saya sebagai individu, tetapi pengiktirafan kepada negara kita Malaysia kerana dipercayai oleh Dunia” – Tan Sri Dr. Mazlan Othman, Saintis Negara, dipetik dari buku 20 Tokoh Wanita.

Dr. Mazlan Othman telah menyumbangkan banyak jasa kepada negara, antaranya:

  1. Mengasaskan Planetarium Negara.
  2. Menerajui Program Mikrosatelit Negara yang diberi nama Tiung-SAT 1 pada Oktober 1997.
  3. Menubuhkan Bahagian Kajian Sains Angkasa di JPM.
  4. Menggubal Dasar Angkasa Kebangsaan.
  5. Bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memasukkan Astronomi dan Sains Angkasa dalam kurikulum sekolah.
  6. Menjalankan kursus antronomi untuk guru-guru di Kementrian Pendidikan.

Pada 1997, Dr. Mazlan Othman menerima bintang Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran “Datuk”. Beliau juga mendapat Tokoh Saintis Khas oleh Centre for Intellectual Promotion and Technological Advancement (CIPTA).

4. Dr. Clara Chee L.: Pakar Kulit yang berjaya menganjurkan kongres kosmetik dunia

Merupakan wanita pertama yang berjaya menjadi pakar penjagaan kulit. Imej dari Find Local Business.

Dr. Clara Chee L. dilahirkan pada 28 Oktober 1943 dan bersekolah di Muar, Johor. Clara juga bekerja dengan ayahnya iaitu menjaga kedai ayahnya serta menjual kain dan pakaian, mereka juga menjual barangan kosmetik secara kecil-kecilan. Pada masa itu, produk kosmetik dan penjagaan kulit masih berada di tahap yang asas. Beliau bertekad untuk membawa produk kosmetik ke tahap yang tinggi.

Selepas menerima Diploma Rawatan Muka dan Badan (CIDESCO) serta Ijazah Sarjana Muda Sains di University of Missouri, Amerika Syarikat pada tahun 1983, Clara Chee telah menjalankan penyelidikan dalam bidang sains kosmetik dan teknologi di Universiti of De Monfort. Pada 1996, beliau mendapat Ijazah Kedoktoran dalam Sains Kosmetik di Pacific Western University, Amerika Syarikat.

Beliau telah memulakan perniagaan kosmetiknya secara kecil-kecilan dengan menumpang kedai kain bapanya dan dari sini jugalah bisnes beliau berkembang sedikit demi sedikit. Perniagaan itu membuahkan hasil dan Clara Chee berjaya mempunyai rangkaian pusat kecantikan terbesar di Malaysia iaitu Clara International Big Group (CIBG). Pusat kecantikan beliau juga telah berkembang di Timur Tengah, India, Brunei, Sri Lanka, Filipina, Singapura, Thailand, Myanmar, China, Bangladesh, Mauritius.

“Pada hari ini, Clara mempunyai infrastruktur yang lengkap seperti kilang pengeluaran, pusat kecantikan, kolej kecantikan, akademi kecantikan, dan juga pusat penyelidikan dan pembangunan sendiri. “- Clara Chee L., Pakar Penjagaan Kulit, dipetik dari buku 20 Tokoh Wanita.

Pada hari ini Clara merupakan seorang ahli sains yang terkenal dalam bidang penjagaan kulit. Beliau telah membentangkan kertas kerja tentang pertumbuhan industri kecantikan Malaysia dan potensinya di pasaran Asia dalam persidangan dan pameran kosmetik di Paris, Perancis. Kebijaksanaan Clara dalam kempimpinan menjadikan Malaysia muncul sebagai negara Asia kedua selepas Jepun yang berjaya menganjurkan Kongres Dunia CIDESCO 1991 dan telah dihadiri oleh 3,000 peserta antarabangsa.

Kejayaan beliau telah membawanya kepada banyak penghargaan, antaranya:

  1. Joanne Drew Total Woman Achievement Award (1995).
  2. CIDESCO Pingat Merit (2000).
  3. Pusat kecantikan CIBG beliau mendapat Asia Pacific International Honesty Enterprise-Keris Award (2002).
  4. Pusat kecantikan CIBG beliau diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Pusat Rawatan Kecantikan Pertama dan Akademi Terapi.
  5. Diiktiraf sekali lagi oleh Malaysia Book of Records pada 2003 untuk rawatan muka paling banyak dalam sehari iaitu, 1000 orang.

Wanita sebagai tulang belakang dalam mengharumkan nama negara

Sebenarnya dari zaman sebelum merdeka hingga sekarang, ada ramai wanita yang telah mengorbankan diri mereka demi mengharumkan nama Malaysia. Tokoh-tokoh wanita yang kami sebutkan di atas ini sanggup menggadaikan masa bersama keluarga dan tenaga mereka untuk berjuang demi negara.

Namun, kaum wanita ini selalu mendapat stereotaip gender dalam konteks budaya. Kaum wanita juga seringkali dibayangi oleh kaum lelaki yang selalu mendapat tempat dalam populariti. Sebenarnya kita harus mengamalkan kepelbagaian dalam populariti kerana baik kaum lelaki atau kaum wanita, kedua-duanya merupakan tulang belakang untuk negara.

Ada juga boleh baca artikel ini untuk mengenali beberapa tokoh wanita lain yang telah berbakti kepada negara pada zaman kemerdekaan dahulu.

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 26/8/2020.