4 tokoh kemerdekaan wanita yang kita perlu ketahui

Kalau korang jenis tersengguk waktu belajar dalam kelas Sejarah dulu, mungkin nama yang korang ingat adalah Tunku Abdul Rahman je. Kalau korang jenis student pulun pulak, sekurang-kurangnya korang tau nama-nama lain macam Tun Sir Henry HS Lee, Tun VT Sambathan, Rentap, Tok Gajah, Mat Kilau dan lain-lain.

Penduduk Tanah Melayu Pada 31 Ogos 1957.

Tapi korang perasan tak yang nama-nama di atas ni semuanya lelaki? Haa sebab tu lah kali ni kami nak bercerita tentang tokoh-tokoh kaum Hawa yang tak kurang hebatnya dalam memperjuangkan kemerdekaan di negara kita!

1. Khatijah Side, pejuang hak wanita yang tak segan bantai pemimpin UMNO

Nama: Khatijah Sidek
Nama gelaran: Puteri Kesateria Bangsa

Imej dari sumber wanitaumno.my

“Bangun melur bangun melati,
Kembang bunga petang dan pagi,
Biar lebur biar mati,
Namun tak mahu dijajah lagi.”

Puitis sungguh kan, meremang bulu roma mendengarnya. Rangkap di atas merupakan sebahagian daripada pidato Khatijah Sidek (1918-1982) dalam perjuangan beliau menuntut kemerdekaan.

Artikel kat Malaysian Digest ada menceritakan sedikit sebanyak tentang perjalanan hidup beliau yang asalnya lahir pada tahun 1918 di Sumatera Barat, Indonesia. Setelah Indonesia mengusir Belanda (sekaligus memerdekakan mereka pada tahun 1945), Khatijah menyeberang Selat Melaka untuk menyemarakkan perjuangan golongan ibu di Tanah Melayu.

Mesyuarat Kaum Ibu UMNO yang diketua oleh Khatijah Sidek.

Menurut temubual dengan pensyarah USM, Datin Mahani Musa, pada mulanya ramai yang tak setuju akan kemasukan Khatijah ke dalam UMNO, tapi dipertahankan oleh Tunku Abdul Rahman.

Memoir Khatijah Sidek. Imej dari Wikipedia.

Dalam Persidangan Agung UMNO tahun 1953, Khatijah menjadi pemimpin wanita UMNO pertama yang menyuarakan hak wanita secara terbuka dengan menuntut supaya jumlah perwakilan dari ahli wanita ditambah. Kepimpinan Khatijah menyebabkan hampir 10,000 wanita menyertai UMNO dalam memperjuangkan kemerdekaan. Dan punyalah badass Khatijah ni sampai dia pernah kena penjara:

“Khatijah Sidek pernah dipenjara pada tahun 1948 kerana beliau dituduh terlibat dalam pakatan menggulingkan kerajaan British di Singapura. Penglibatan beliau di Tanah Melayu bermula apabila dilantik menjadi Ketua Kaum Ibu Persatuan Melayu Semenanjung (PERMAS) 1951.” –  Datin Mahani, Pensyarah USM, dalam temubual dengan Malaysian Digest.

Khatijah memang banyak bantai pemimpin UMNO yang dianggapnya sebagai pengecut. Setelah banyak usaha menyingkirkan beliau dilakukan, Khatijah dipecat daripada UMNO pada 1956. Beliau menerima tawaran untuk menyertai UMNO semula pada tahun 1971, dan dilantik menjadi Naib Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO Cawangan.

Puteri Kesatria Bangsa ini akhirnya menutup mata pada tahun 1982, dan perjalanan hidupnya diabadikan dalam memoir Khatijah Sidek – Puteri Kesateria Bangsa.

 

2. Suriani Abdullah, pejuang golongan buruh yang pernah ditikam Jepun!

Nama: Suriani Abdullah
Nama gelaran: Serikandi Anti-Jepun

Imej dari sumber matamin02.blogspot.my

Kalau korang kenal Bapa Komunis Malaya, Chin Peng, haa inilah BFF dia. Suriani Abdullah (1924-2013) atau nama asalnya Eng Ming Ching dilahirkan di Setiawan, Perak pada tahun 1924, dan pergi ke sekolah yang sama dengan dengan Chin Peng.

Pada tahun 1940, Suriani dengan rasminya menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) dan menumpukan kepada kebajikan golongan buruh dan wanita.

Suriani ketika muda. Sumber imej dari PSM

Amoi ni dianggap sebagai pejuang wanita yang pertama dapat gelaran “Serikandi Anti-Jepun” kerana perjuangannya menentang Jepun pada 1941-1945 dan kemudiannya pihak British pada 1948-1957. Sampaikan dia pernah ditangkap dan diseksa Jepun waktu umurnya hanya 21 tahun!

Penglibatan Suriani dalam sayap kanan Parti Komunis Malaya, Rejimen-10 ni telah memperkenalkan beliau dengan pejuang Melayu Komunis lain seperti Rasyid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Abdullah C.D yang akhirnya jadi suami dunia akheratnya pada tahun 1955.

Kerana rupa parasnya, Suriani dipanggil sebagai “simbol seks” oleh kebanyakan musuh politik waktu itu. Menurut penasihat Hal Ehwal Cina dekat British Military Administration (BMA), Victor Purcell dalam satu laporannya :

“She has a quite good figure beneath her dowdy blue cotton dress, but the fountain pen stuck in her bosom is a sharp reminder that she puts business before allurement. Her most remarkable features are her eyes. At one moment they are flat, brown and dull, at the next revealing in baleful flashes the smouldering fires of fanaticism.” – Victor Purcell’s confidential reports in 1945, Malaysiakini

suriani-abdullah-cd-Image-from-matamin02.blogspot.com
Suriani bersama suami, Abdullah C.D yang menetap di Thailand. Sumber imej dari matamin02.blogspot.com

Paling mengharukan bila Suriani ni dianggap sebagai seorang ibu di mata ramai rakyat sebab beliau begitu komited mendengar keluhan mereka disamping terus memperjuangkan hak-hak buruh dan rakyat kelas bawahan yang dipinggirkan.

Jepun akhirnya mengalah tapi Suriani terus kekal dibawah PKM. Lebih kurang tahun 1999 beliau dapat tawaran tajaan untuk menunaikan haji oleh Sultan Perak. Suriani meninggal dunia pada 21 Mac 2013 pada usia 89 tahun di Thailand, tempat beliau menetap bersama suami dan anak perempuannya.

“Keberanian dan keazaman. Jika kita ada keberanian dan keazaman, dan berasaskan perjuangan yang benar, maka kita boleh mengatasi apa sahaja biarpun kita seorang wanita. Siapa kata saya tidak sayang pada keluarga saya? Sudah tentu saya sayang. Tapi, saya juga sayangkan negara saya. Jadi, saya terpaksa mengatasi segala faktor yang menjadi penghalang dari keluarga saya. Ya, itulah yang saya lakukan.” Suriani Abdullah melalui wawancara di matamino2.blogspot.com.

3. Shamsiah Fakeh, pejuang gerila yang bertempur dalam rimba

Nama: Shamsiah Fakeh
Nama gelaran: Ratu Rimba Malaya

Shamsiah_Fakeh_dan_keluarga_pada_tahun_1964
Shamsiah Fakeh bergambar bersama keluarga pada tahun 1964. Imej dari Wikipedia.

Shamsiah Fakeh (1924-2008) selalu digambarkan sepagai penjahat kerana digelar Melayu Komunis. Lahir di Negeri Sembilan, beliau mula-mula masuk sekolah pondok dan kemudiannya dihantar ke Sumatera untuk belajar agama.

Kisah keluarga Shamsiah agak tragis. Sejak 17 tahun lagi, beliau dah berkahwin sebanyak 5 kali. Suami pertama dan dua orang anaknya meninggal dunia masa mereka masih bayi. Seorang bekas suami pula dalam diam adalah pemberi maklumat Jepun. Tapi akhirnya Shamsiah bertemu suami dunia akhirat beliau, Ibrahim Mohamad yang juga sorang ahli dalam PKM dan meninggal dunia pada tahun 2006.

shamsiah-old-age.-Image-alchetron.com_.
Imej dari blog sifuzaidi

Sebenarnya dah lama Shamsiah kena usha oleh UMNO dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), tapi akhirnya beliau pilih PKMM sebab dia rasa UMNO ni cuma puppet British je. Tak lama lepas tu, beliau memimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS), iaitu sayap wanita bagi PKMM. Pada tahun 1948, British mengharamkan parti-parti berhaluan kiri termasuklah PKMM, AWAS, API, GERAM dan banyak lagi.

Shamsiah berundur masuk ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangannya, sehinggalah dia dan suami ditangkap dan dihantar ke China. Dah la kena buang negeri, kena tendang parti pulak pada 1972, jadi mereka tinggkal di China je lah.

Walaupun Shamsiah tahu yang tak semua orang setuju dengan caranya, apa yang dia mahu hanyalah kemerdekaan:

“Situasi ketika itu sudah mulai tegang. Kami telah diperintahkan masuk hutan di kawasan Lubuk Kawah. Aku pun masuk hutan dan bermulalah era aku berjuang mengangkat senjata. Semangat cintakan tanahair dan Kemerdekaan serta kesetiaan kepada perjuangan telah mebuat aku teguh dan sanggup masuk hutan. Yang penting ialah mencapai Kemerdekaan. Pada fikiranku setelah Merdeka maka segala-galanya akan dapat diselesaikan.” – melayumoden.com

Shamsiah Fakeh bunuh anak sendiri? Betul ke?

Bekas pengerusi PKMM, Musa Ahmad pernah menyatakan yang Shamsiah bunuh anaknya sendiri. Ini dinafikan oleh Shamsiah dalam memoir beliau. Katanya, dia sebenarnya nak jaga bayi tersebut tapi telah diyakinkan oleh ketua beliau yang anaknya akan dihantar ke keluarga kaya. Pada tahun 1952, Shamsiah dapat tau yang bayi itu telah dibunuh oleh tiga ahli PKMM. Ya Allah sedihnya…

4. Aishah Ghani, pejuang di arena politik yang menjadi senator wanita PERTAMA

Nama: Aishah Ghani
Nama gelaran: Senator Wanita Pertama Malaysia

image
Imej dari Wikipedia

Penglibatan Aishah Gani (1923-103) dalam bidang politik memang mengagumkan. Bermula sebagai wartawan untuk Parti Komunis Melayu Malaya (PKM) dan kemudian mengetuai Angkatan Wanita Sedar (AWAS), setahun lepas tu je Aishah menyertai parti politik musuhnya iaitu UMNO.

Selain daripada menulis untuk Berita Harian dan kumpulan New Strait Times, Aishah juga dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Ketua Wanita UMNO, dan pada 1963 menjadi senator wanita Malaysia yang pertama, dan juga merupakan wakil wanita yang first ke perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Aishah Ghani memegang jawatan Ketua Wanita UMNO sepanjang 12 tahun sehinggalah tahun 1984.

Imej dari Mat Sejarah.
Imej dari Mat Sejarah.

Walaupun setelah pencen daripada poltik, perjuangan Aishah Ghani untuk kaum wanita tak pernah padam. Aishah merupakan orang penting dalam pembentukan PERTIWI pada 1967, dan terus mempengerusikan Woman Aid Centre dan Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad sejak 1975.

Shamsiah Fakeh dengan Aishah Ghani kawtim? Macam mana tu?

Aishah Ghani dan Shamsiah Fakeh dikatakan akrab, cuma masing-masing memilih  haluan sendiri. Seorang pilih ikut haluan kiri dan seorang lagi pilih untuk stick menuntut kemerdekaan dengan cara berdiplomasi.

“Aishah dengan aku bagai adik-beradik. Dia adalah tokoh perjuangan kemerdekaan dan aku bersyukur dengan kejayaannya. Cakap Aishah mungkin betul separuh, tapi kalau masa itu aku pintar dalam memilih untuk berjuang dimana hidup aku akan senang-lenang dan tiada risiko, maka aku bukanlah Shamsiah.” – Shamsiah Fakeh, dipetik oleh Malaysian Digest.

Kenapa sikit sangat yang kita tau pasal tokoh wanita?

Bukan calang-calang orang semua tokoh-tokoh kat sini. Khatijah yang merantau ke beberapa buah negara demi membela hak wanita, Suriani yang kena seksa tapi tak pernah putus asa, Shamsiah yang masuk hutan untuk memperjuangkan kemerdekaan, dan Aishah Ghani yang berjuang dengan tulisan dan diplomasi politik

AWAS
Imej dari tukanglawan.blogspot.my

Mereka bukan sahaja berjuang untuk tanahair tetapi juga untuk hak wanita. Tapi kenapa nama-nama dorang jarang kita dengar dalam sejarah?

Aktivis DAP Rara Othman merasakan yang sejarah yang kita pelajari terlalu dikuasai oleh kaum lelaki dan banyak perkara SEBENAR yang disembunyikan daripada generasi muda. Dia mencadangkan agar adanya catatan dibuat wanita-wanita dan perjuangan mereka selama ini, contohnya dengan membina galeri bagi mengenang jasa tokoh wanita kita.

“Pengiktirafan bukan sahaja perlu dibuat kepada pejuang wanita yang sudah terkenal. Organisasi wanita perlu bersatu dan mendesak kerajaan agar mengiktiraf kesemua aktivis wanita.” – Rara Othman, dipetik oleh Malaysian Digest.

Dalam artikel seterusnya, kami ceritakan tentang beberapa lagi tokoh-tokoh wanita moden yang telah banyak menyumbang kepada negara, korang boleh baca di sini.

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan 30 Mac 2016*

About Nur Lina Mastura 3 Articles
Penulis yang baru nak up dan tidak culture shock. No matter how much suffering you went through, you never wanted to let go of those memories.