Walaupun Ireland bukan negara Islam, undang-undang arak diorang lagi ketat

Setiap kali masuk bulan Oktober, selain daripada cuti umum tak berapa nak ada, orang Malaysia jugak akan bising dengan isu Oktoborfest. Tahun ni sama je macam tahun-tahun lepas – ramai yang bantah Oktoberfest diadakan kat Malaysia. Sebenarnya dah berlambak orang tulis pasal Oktoberfest ni, so sebagai umat Malaysia yang bertanggungjawab, cubalah korang study sejarah Oktoberfest.

Kitaorang tak minat nak sembang pasal Oktoberfest, kitaorang nak jadi pak peguam sikit. Kitaorang nak cerita macam mana negara lain berurusan dengan arak. Kat Malaysia ni kalau nak beli arak tak susah pun, korang pergilah mana-mana kedai arak, ambik arak lepastu bayar. Settle. Kalau korang minum sorok-sorok, patutnya korang tak boleh kena hukum.

Saya tak mabuk sebab arak, saya mabuk sebab cinta. Imej dari Giphy

Kalau korang nak menjadi penentang arak, korang wajib ada ilmu pasal undang-undang arak kat Malaysia ni. Korang kena tahu…

Undang-undang arak kat Malaysia masih tak berapa nak ketat…

Kat Malaysia – korang boleh dapatkan arak kat macam-macam kedai dan bila-bila masa. Berbeza dengan beberapa negara yang kitaorang akan ceritakan nanti. Boleh dikatakan di Malaysia korang boleh dapat arak macam dapatkan gula-gula. Selalunya kat Malaysia undang-undang yang terkenal adalah – kalau nak beli atau minum arak kena berumur 21 tahun.

Untuk pengetahuan korang, pengambilan arak terbanyak di Malaysia adalah di Kuala Lumpur diikuti Sarawak, lepastu Sabah. Setakat ni tak banyak isu tentang orang minum arak – adalah beberapa isu macam orang mabuk sebabkan kemalangan atau bergaduh. Kalau korang perasan takde satu pun gerakan yang lawan arak sepanjang tahun, selalunya penentangan terhadap arak ni bermusim, contoh masa musim Oktoberfest.

Ni contoh demonstrasi arak, siapa tak kenal Jamal kan? Imej dari Selangor Post

Kat negara kita, non-muslim boleh minum arak tapi mestilah dalam keadaan yang tertutup, macam kat rumah atau restoran tertutup. Kalau korang orang Islam, minum arak ni masuk kat kategori kesalahan syariah. Korang boleh dijatuhkan hukuman denda tak lebih dari RM3,000 atau dipenjara tiga tahun. Kalau korang malang, boleh kena dua-dua sekali.

Tahun lepas, ada dua orang mamat muslim kantoi minum arak. Diorang berdua ni bekerja baiki kapal, masa serbuan ni, diorang kantoi ada botol minuman keras kat meja. Seorang mengaku dia dah minum, dan seorang lagi kata tak sempat minum. Cuba teka mahkamah buat apa kat diorang? Diorang didenda RM1,700 atau kena duduk dalam penjara selama setahun.

“Malaysia sepatutnya boleh dan perlu melakukan lebih daripada itu kerana sememangnya negara ini memaktubkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dalam Perlembagaan dan mempunyai penduduk majoriti Melayu serta Islam,” – Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, dipetik dari SINAR

Aku minum arak kat tepi jalan, apasal?! Imej dari Giphy

Meh kita tengok undang-undang kat Arab Saudi pulak…

Apa negara yang paling tegas kalau libatkan undang-undang Islam? Mestilah korang akan cakap Arab Saudi sebab dah baca tajuk. Kitaorang rasa korang kena tahulah macam mana kerajaan Saudi kawal penggunaan arak kat sana. Diorang memang tegas gila babs bab arak ni – diorang haramkan arak sama sekali. Tak kisahlah hang ni siapa – pelancong ke, non muslim ke atau lagi-lagi kalau muslim, semuanya tak boleh minum arak.

Korang boleh minum arak kalau korang ni duta atau delegasi negara asing. Walaupun korang kerja dekat kedutaan negara asing (ada pengecualian meminum arak), Saudi akan tetapkan jumlah tertentu untuk pastikan korang tak bawak arak lebih-lebih. Kalau Saudi tak buat macam ni, kitaorang rasa kedutaan negara asing akan buat side income dengan jual arak, sebab cari arak kat sana sama susah dengan cari girlfriend.

Masa-masa yang sukar melahirkan insan-insan yang kreatif. Imej dari Life in Saudi Arabia

Arak dah sampai level macam dadah kat Saudi. Bukan setakat minum je korang tak boleh, memiliki arak pun tak boleh. Ada satu kes tu – seseorang ditangkap sebab dia hidu minuman keras. Kalau korang kantoi memiliki minuman keras, korang boleh dikenakan hukuman yang berat. Korang mungkin akan dikenakan hukuman penjara atau sebatan. Ada yang pernah kata ada seorang mamat tu disebat 500 kali sebab memiliki arak.

Selalunya orang-orang Saudi yang nak minum arak atau berparti, diorang kena pergi Bahrain. Tak pun, diorang akan hasilkan arak yang homemade sebab nak bawak masuk arak susah nak mampus. Tapi, arak-arak yang homemade ni boleh merbahayakan, sebab diorang buat kat rumah – takdelah orang yang akan semak kandungan, kualiti dan keselamatan. So, kalau korang kat Saudi dan gian sangat nak minum arak, ingatlah orang yang tersayang.

Sebab ni kot diorang tak bagi orang kat Saudi mabuk, nanti jadi benda pelik-pelik. Imej dari Giphy

Negara barat ni amalkan undang-undang arak yang lebih ketat dari Malaysia

Ramai daripada kita bila dengar perkataan negara barat, terus fikir yang bukan-bukan atau diorang anti Islam. Korang percaya tak kalau kitaorang kata – ada negara barat yang ada undang-undang arak lebih ketat dari Malaysia. Kali ni kami ambik Ireland sebagai contoh. Diorang ada undang-undang yang lebih ketat daripada Malaysia dalam tangani arak.

Ireland ni macam kebanyakan negara kat dunia, diorang tak kasi budak-budak bawah 18 tahun minum arak. Menariknya, diorang ni jugak ada waktu-waktu tertentu kalau nak jual arak. Contohnya, diorang hanya boleh jual arak dari pukul 10:30 pagi sehingga 10:00 malam untuk Isnin-Jumaat. Untuk hujung minggu pulak, – hari Ahad je boleh, dari pukul 12:30 tengahari sehingga 10:00 malam. Kat Malaysia, bila-bila masa je korang boleh beli arak, tempat beli arak pun bersepah.

Cepat weh, nak pukul 10 malam dah! Imej dari Giphy

Diorang ada isitilah “off-license”, maksudnya korang boleh beli minuman kat kedai, tapi tak boleh minum kat kedai tu, kena bawak pulang rumah lerr. Bukan takat tu je – diorang jugak tak benarkan “happy hour”. Masa happy hour ni selalunya kedai-kedai penjual arak akan jual dengan lebih murah, kat Ireland benda ni tak dibenarkan. Kalau korang nak tahu – di kebanyakan tempat di Ireland minum arak kat kawasan awam tak dibenarkan.

Kalau ada budak-budak dibawah 18 tahun yang gatal tangan dan tekak nak minum arak, diorang boleh dikenakan denda maksimum €1,500 (RM7,222). Kalau diorang terlebih mabuk kat tempat awam pulak, penduduk Ireland boleh dikenakan denda maksimum RM611, kalau sampai level ugut-ugut orang – diorang boleh dipenjarakan.

Jap nak ambik duit, nak bayar saman mabuk. Imej dari Giphy

Jom tengok undang-undang arak kat negara jiran kita pulak

Malaysia dan Singapura ni macam adik-beradik, kita suka saling membandingkan di antara satu dengan yang lain. Kita ada KLCC, diorang ada apa kat Singapura? Hmmm…sekali diorang balas – dekat Singapura ada zebra line yang digunakan untuk melintas jalan, bukan sebagai perhiasan. Hmmm…jem kepala nak counter balik. Apa-apa pun, Singapura sebenarnya ada undang-undang yang ketat jugak pasal arak ni.

Macam kat Ireland jugak, umur minimum untuk minum arak kat Singapura 18 tahun. Kiranya bab umur ni kita menanglah, kita 21 tahun baru boleh minum. Cuma Singapura ni ada masa tertentu je diorang boleh minum kat tempat awam. Diorang tak boleh minum kat tempat awam start pukul 10:30 malam sampailah pukul 7 pagi. Ada tempat yang lagi ketat, macam kat Geylang dan Little India. Diorang tak boleh minum arak start 7 pagi Sabtu, sampailah 7 pagi Isnin.

https://www.youtube.com/watch?v=rnIRScsaVsU

Kalau ada rakyat Singapura langgar undang-undang ni, diorang boleh kena denda 1,000 dollar Singapura untuk kesalahan pertama. Untuk kesalahan berulang pulak, diorang boleh dikenakan denda 2,000 dollar atau penjara 3 bulan. Denda paling besar kena kat peniaga yang jual arak di luar waktu yang dibenarkan. Diorang boleh dikenakan denda 10,000 dollar Singapura. Kalau duit Malaysia, adalah dalam RM30,154. Kalau korang peniaga kat sana, berani tak cari pasal?

Diorang buat macam ni sebab masalah pengambilan alkohol kat Singapura dah makin meningkat. Bahaya kot arak ni.

“Pengambilan alkohol per kapita di Singapura meningkat tiga kali ganda dari tahun 2005 ke tahun 2015. Dianggarkan sekurang-kurangnya 4.3 peratus lelaki dan 0.8 peratus wanita kerap minum minuman beralkohol, mereka minum lebih dari empat kali seminggu.” – Dr Reina Lim, perunding di Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi Hospital Besar Singapura, dipetik dari Singapore Times

Malaysia patutnya dah mula ketatkan undang-undang pasal arak

Macam yang kita dah tengok kat 3 negara ni – diorang ada undang-undang yang agak ketat tentang isu arak. Malaysiakan negara yang majoritinya beragama Islam, so kitaorang rasa tak salah kot untuk kita perkenalkan undang-undang arak yang baru.

Bulan lepas ada kes beberapa orang mati disebabkan keracunan arak. Setiap tahun pulak kita akan dengar tentang kumpulan penentang Oktoberfest, so kitaorang rasa dah masanya kerajaan buat something kat undang-undang arak di Malaysia. Salah satu benda yang kitaorang rasa patut ada – waktu-waktu tertentu urusan jual beli arak. Alaa…macam kat Ireland dan Singapura tu, kat Malaysia takde lagi, 24 jam boleh beli arak.

Hahh…siapa lagi nak mati sebab minum arak? Imej dari Giphy

“Semua agama yang mempunyai kitab petunjuk mengharamkan arak. Pengharaman tersebut merupakan sempadan bagi memelihara kemuliaan akal dan kesihatan tubuh badan.” – Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, dipetik dari SINAR

Kerajaan pun dah barukan, undang-undang arak pun kena baru. Kalau korang diberi peluang untuk gubal satu undang-undang pasal arak ni, apa yang korang akan buat? Cuba beritahu kat kitaorang! Yang penting korang janganlah ekstrim sangat okay?

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka