Pembunuhan Dee Dee Blanchard: Daripada seorang pesakit lumpuh kepada pembunuh ibu sendiri

Pernah tak korang rasa korang kenal seseorang, tapi nampaknya… orang yang korang rasa sangat kenal tu bukanlah seperti yang korang fikirkan langsung? Perkara yang sama terjadi kepada sebuah kejiranan di Missouri, Amerika Syarikat selepas sebuah tragedi ‘selebriti tempatan’ mereka mati dibunuh.

Pasangan selebriti tempatan Missouri, Dee Dee dan Gypsy Blanchard. Imej dari abcnews

“Apa yang kita lihat tak semestinya semua benar” –  kata polis yang menyiasat kes tu.

Kes yang pada mulanya merupakan simpati, bertukar kepada sebuah kejutan besar, dan juga penyesalan ramai pihak.

Gypsy Rose Blanchard, remaja cacat yang periang bersama ibunya, Dee Dee

Kisahnya bermula dengan Gypsy Rose Blanchard, 19 tahun, seorang remaja yang mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti leukemia, limfoma, sawan, masalah pernafasan dan sebagainya sejak kecil.

Gypsy yang selalu sakit, dan menghadapi pelbagai masalah kesihatan. Imej dari imdb

Berkerusi roda sepanjang masa, dia selalu ditemani ibunya, Clauddine Blanchard, atau lebih dikenali sebagai Dee Dee.

Gypsy dan Dee Dee merupakan pasangan ibu dan anak yang sangat disayangi ramai. Imej dari abc newsImej dari abcnews

Walaupun dah mencapai umur remaja, tapi umur mentalnya dikatakan seperti kanak-kanak lima tahun dan bergantung penuh terhadap ibunya, Dee Dee. Sebagai ibu tunggal, Dee Dee tabah dan setia menjaga keperluan makan minum dan perubatan Gypsy. Perjalanan hidup mereka selalu diupdate dalam Facebook, Instagram dan blog.

Mereka ni boleh dikatakan selebriti tempatan di mana kisah mereka selalu mendapat liputan media yang bertujuan untuk memotivasikan insan lain yang kurang bernasib baik seperti mereka.

Mendapat pelbagai tajaan daripada pelbagai pihak termasuk artis

Semasa Taufan Katrina melanda pada tahun 2005, rumah mereka di Lousiana turut musnah. Mereka ditempatkan di pusat keperluan khas secara sementara sebelum dipindahkan ke Springfield, Missouri. Mereka hidup melalui derma orang ramai, pampasan kecacatan, dan juga duit bulanan daripada bapa Gypsy, iaitu Rod Blanchard yang berkahwin lain.

Rumah yang dibina khas oleh Habitat for Humanity, khas untuk mereka berdua. Imej dari news leader

Di Missouri, rumah yang didiami mereka dibina oleh organisasi Habitat for Humanity, iaitu sebuah NGO yang membantu komuniti kurang berkemampuan seperti Dee Dee yang tak bekerja kerana terpaksa menjaga anak yang sakit.

Rumah tersebut juga mempunyai pelbagai kemudahan untuk Gypsy seperti ramp yang membolehkan laluan kerusi roda, tab Jakuzi yang boleh mengaktifkan otot Gypsy, sebuah projektor untuk mereka tengok wayang dan macam-macam lagi.

Lengkap dengan ramp untuk kerusi roda, jakuzi, projektor wayang dan pelbagai kemudahan lain. Imej dari chicago tribune

Kehidupan Dee Dee dan Gypsy sebenarnya agak mewah sebab selain rumah percuma dan duit bulanan, mereka selalu dapat pelbagai tajaan yang melibatkan penerbangan percuma ke mana-mana, termasuklah ke Disneyland. Malah, mereka juga dapat berjumpa dengan pelbagai selebriiti seperti Elijah Wood, Blake Shelton dan Miranda Lambert, yang pernah membuat sumbangan sehingga 3,500 USD kepada mereka.

Bagaimanapun kegembiraan mereka terhenti di situ. Pada pertengahan tahun 2015, jiran-jiran mereka dikejutkan dengan sebuah posting Facebook di dalam FB Dee Dee,

“Perempuan j****** tu dah mati!” – melalui akaun Facebook milik Dee Dee.

Dee Dee ditemui mati, manakala Gypsy hilang

Jiran-jiran mereka kemudiannya mula risau kerana cara penulisan status tu tak menggambarkan Dee Dee, apatah lagi Gypsy. Laporan polis juga dibuat walaupun mereka pada mulanya yakin yang polis takkan masuk campur hanya disebabkan sebuah kenyataan Facebook yang mencurigakan.

Tapi malangnya hasil pemeriksaan polis akhirnya mendapati Dee Dee, 48 tahun ditemui mati dibunuh dengan kejam di rumahnya manakala Gypsy pula hilang. Jiran-jiran mula sedih dan risau dengan apa yang berlaku dengan nasib keluarga tu. Mereka mula berfikir, siapakah manusia yang begitu dengki sehinggakan membunuh ibu tunggal yang menjaga anaknya yang sakit tu? Dengan penemuan mayat Dee Dee, mereka risau dengan keadaan Gypsy yang lumpuh separuh badan takkan mampu melawan perompak yang memasuki rumah mereka.

Imej dari abcnews di

Polis yang menyiasat kemudiannya berjaya mengesan jejak Facebook ke akaun Dee Dee yang digodam tu. Alamat IP didaftarkan pada Nicholas Godejohn di Big Bend, Wisconsin, 8 jam perjalanan dari Missouri.

Beberapa hari lepas tu, Gypsy berjaya ditemui polis di lokasi yang sama, bersama lelaki tersebut. Gypsy ditemui selamat, tanpa kerusi roda dan boleh berjalan seperti biasa. Perkara tu menimbulkan tanda tanya bagi mereka yang mengenali Dee Dee dan Gypsy. Dan kat sinilah kes ni nampaknya jadi semakin pelik…

Gypsy ditemui bersama-sama teman lelakinya, dan terlibat dalam pembunuhan ibunya

Dalam laporan polis, Gypsy mengakui yang Godejohn adalah teman lelakinya yang dikenali melalui laman cari jodoh. Malah, Godejohn la yang ‘memecah masuk’ rumahnya dan membunuh Dee Dee. Kisah ni jadi semakin menarik apabila penyiasatan menunjukkan Gypsy sebenarnya yang cuba melarikan diri. Apa yang lebih mengejutkan, Gypsy juga terlibat dengan pembunuhan tu dan Godejohn cuba untuk melindunginya dari  Dee Dee.

Gypsy dan Nicholas Godejohn. Imej dari People Magazine

Walaupun mereka yang mengikuti perkembangan kes ni masih terkejut dengan pembunuhan kejam Dee Dee, tapi mereka juga tergamam dengan apa sebenarnya yang berlaku terhadap Gypsy.

Gypsy dan Godejohn kemudiannya ditahan untuk didakwa mahkamah atas kesalahan membunuh dengan niat yang membawa hukuman gantung sampai mati. Apa sebenarnya yang membuatkan Gypsy terlibat dalam pembunuhan Dee Dee?

Gypsy yang menggigil masuk ke mahkamah semasa pertama kali dibicarakan. Imej dari abc news

Sindrom Munchausen oleh proksi, sejenis masalah mental penjaga

Dalam kes ni, pesakit sebenar bukanlah Gypsy, tapi Dee Dee yang mengalami Sindrom Munchausen oleh proksi, sebuah penyakit mental dan juga bentuk penderaan kanak-kanak. Penjaga kanak-kanak ni selalunnya membuat simptom palsu atau menyebabkan gejala-gejala sebenar untuk menjadikan jagaannya kelihatan sakit. Dalam hal ni, ia memberi pelakunya kepuasan emosi bila dapat memanipulasi orang sekeliling.

Kalau Gypsy tak mempunyai sebarang masalah kesihatan, macam mana pula dengan pemeriksaan kesihatan terhadapnya?

Kat sinilah Dee Dee memanipulasi orang sekeliling. Dengan latar belakangnya sebagai jururawat, dia tahu banyak jargon-jargon medical dan mula menipu kawan, jiran dan sesiapa saja yang bertanya pasal tahap kesihatan anaknya. Malah, semuanya dihafal dengan baik sampai takde yang curiga. Bagi pihak hospital pula, Dee Dee menceritakan simptom-simptom palsu yang tak dialami, tapi dibuat untuk membuatkan anaknya tu nampak sakit.

Pembedahan kali ke berapa pun tak tahu.

Teruk tak teruknya kes ni, Dee Dee bukan je paksa Gypsy duduk atas kerusi roda sepanjang masa, malah ia juga melibatkan beberapa pembedahan, contohnya bila matanya dibedah berkali-kali sebab otot mata lemah, dipaksa menggunakan tiub makanan yang disambung terus ke perutnya, terpaksa menerima suntikan Botox untuk kelenjar liurnya.

Malah doktor sendiri mengatakan yang gigi Gypsy rosak teruk mungkin disebabkan cara pemakanan, campuran perubatan atau malnutrisi yang teruk sepanjang dia membesar menjadi ‘orang sakit’. Kesemua ubat yang diterimanya langsung tak diperlukan badannya, tapi dia tak pernah berani untuk mempersoalkannya selama bertahun-tahun.

Mana taknya, satu almari ubat dia! Imej dari abcnews

Penipuan Dee Dee dan Gypsy Blancharde pernah dicurigai beberapa kali

Tapi dalam banyak-banyak doktor, seorang ahli saraf kanak-kanak di New Orleans nampaknya pelik dengan Dee Dee yang cuba meyakinkannya dengan penyakit yang tak dialami Gypsy. Malah Dr Bernardo Flasterstein sendiri yang menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas Gypsy dan mengatakan dia mampu berdiri dan menampung berat sendiri, dan tak mengalami masalah saraf dan otot seperti yang cuba diyakinkan Dee Dee.

Imej dari abcnews

Tak berpuas hati dengan doktor tu, Dee Dee kemudiannya terus berhenti berjumpa dengannya, dan semua doktor lain di New Orleans dan mengatakan yang mereka tak tahu apa yang mereka buat.

“Kesian Gypsy. Dia menderita seumur hidupnya, tanpa sebarang sebab munasabah. Kalaulah saya lebih agresif dulu”, – Bernardo Flasterstein, ahli saraf kanak-kanak di New Orleans, yang pernah ‘merawat’ Gypsy pada tahun 2007.

Dr Bernardo juga bukanlah orang pertama yang mengesyaki penipuan ni sebab pada tahun 2009, ada seorang perempuan telefon ke Jabatan Polis Springfield, dan meminta supaya pemeriksaan kesihatan diadakan untuk menentukan kebenaran penyakit Gypsy seperti yang diberitahu ibunya.

“Saya berasa kecewa kerana tiada doktor yang boleh nampak saya sebenarnya sihat. Yang kaki saya tak kurus macam orang yang betul-betul lumpuh. Dan saya tak memerlukan tiub makan. Perkara- perkara sebegitu. ” – Gypsy, dipetik dari BuzzFeed

Siasatan kemudiannya dilakukan, dan Dee Dee menjawab semua soalan dengan lancar, dan memberitahu polis yang dia terpaksa menggunakannya nama dengan ejaan berlainan supaya dia tak dijumpai oleh suaminya yang selalu mendera mereka.

“Dia mengajar saya untuk menjadi pembohong yang bagus tanpa rasa bersalah” – Gypsy, ketika diinterview Dr Phil

Rod yang sangat rapat dengan Gypsy semasa kecil. Malah mereka masih mengekalkan hubungan tapi hanya dengan panggilan telefon,kad dan hadiah serta duit bulanan. Imej dari abcnews

Tapi polis nampaknya tak buat fact check pun dengan Rod Blanchard mengenai perkara tu. Malah, menulis “Gypsy mengalami beberapa jenis cacat mental,” dalam laporan mereka, dan kes ditutup.

Kali pertama Rod Blancharde nampak anaknya berjalan adalah semasa laporan berita mengenai pendengaran Gypsy di Wisconsin. Masa tu, takde siapa pun yang bagitahu Rod mengenai tahap kesihatan sebenar Gypsy. Rod keliru, tapi gembira dengan perkembangan kesihatan yang ditunjukkan Gypsy.

Rod yang terkejut dengan tuduhan yang dia mengabaikan anaknya. Imej dari abcnews

Pernah cuba melarikan diri tapi menerima ugutan keras

Gypsy mula sedar yang dia dipergunakan oleh ibunya menjelang remaja, di mana dia nakkan kebebasan sendiri. Disebalik kegembiraan yang selalu ditunjukkan, Gypsy sebenarnya dikongkong dan tak pernah dibiarkan sendirian walaupun ada rakan sebaya datang melawat. Perkara ni juga menyebabkan mereka bergaduh dan sebagai balasan, Gypsy dibiarkan kelaparan selama berhari-hari.

Sebelum bertemu Godejohn, dia pernah cuba melarikan diri pada tahun 2011 bersama seorang lelaki yang berumur 35 tahun, di sebuah konvensyen sci-fi. Tapi Dee Dee lebih cekap dan menjumpai mereka berdua di sebuah hotel. Bengang dengan perkara tu,Dee Dee kemudiannya menghancurkan kesemua komputer dan telefon bimbit, malah dia mengugut,

“Kalau kau buat macam tu lagi, aku hancurkan tangan kau dengan hammer” – gertak Dee Dee kepada Gypsy

Keadaan Gypsy yang kurus. Imej dari abcnews

Malah, Dee Dee akan menjerit kepadanya yang dia tak sepatutnya lahir sebab mendatangkan kesusahan, dan macam mana Dee Dee bekerja keras untuk mendapat apa yang mereka ada sampai ke tahap tu. Gypsy tak ada sesiapa, jadi dia takut dan cuba untuk tak mempersoalkan apa-apa. Tapi jauh disudut hati, dia menyimpan dendam untuk keluar dari penipuan tu.

Tiada jalan keluar, berdendam sehingga membunuh

Tak nampak jalan keluar selepas insiden tu membuatkan Gypsy terpaksa menggunakan cara lain. Selepas bertemu Godejohn dalam talian selama dua tahun, mereka akhirnya nekad untuk memulakan rancangan membunuh Dee Dee, yang juga dipanggil sebagai ‘Plan B’, yang boleh akhirnya memakan dirinya kembali. Siapa sangka anak kecil naif yang berkerusi roda sepanjang masa juga mampu membunuh.

Gypsy pada hari perbicaraan, bulan berlainan di mana pertama kalinya dia boleh simpan rambut panjang sebab selalunya dibotakkan ibunya. Imej dari abcnews

Gypsy dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas peguamnya mengemukakan rayuan kepada hakim tentang kerumitan kes ni sebenarnya, lebih-lebih lagi Gypsy yang tiada jalan keluar untuk lari daripada bayangan ibunya. Malah peguamnya juga mengesyaki yang Dee Dee memberikan Gypsy sejenis penenang dalam makanannya.

Gypsy dan Godejohn dihadapkan ke mahkamah dan mereka mengaku bersalah atas kesalahan membunuh.

Gypsy mengaku bersalah atas pembunuhan Dee Dee. Dia kini seorang tahanan yang diproses di Pusat Pemulihan di Vandalia, Missouri. Walaupun sekali lagi hidup terkurung, Gypsy mengaku yang lebih bebas di situ berbanding tinggal bersama ibunya dulu.

“Kali ni, hidup saya lebih baik. Saya dibesarkan untuk buat apa yang mak saya ajar. Dan ianya tak baik

“Dia mengajar saya untuk menipu, dan saya tak nak menipu. Saya nak jadi seorang yang baik dan jujur” – Gypsy Blanchard, ketika diinterview Buzzfeed

Segala masalah kesihatannya terus ‘hilang’ lepas keluar dari kawalan ibunya. Dia malah naik berat badan dalam tempoh 12 bulan sebelumnya, tak macam banduan lain yang semakin kurus disebabkan makanan penjara yang tak sedap.

 

 

Gypsy Rose Blanchard, berumur 27 pada tahun ni. Selama bertahun-tahun, dia tak pernah tahu umur sebenarnya sebab ditipu ibunya sendiri. Imej dari abcnews

Dalam temuramah Gypsy Blanchard bersama stesen TV, mereka bertanya, adakah Dee Dee ibu yang baik, Gypsy kemudiannya menjawab,

“Saya fikir dia akan menjadi ibu yang sempurna untuk seseorang yang sebenarnya sakit. Tetapi saya tidak sakit. Dan itu adalah perbezaan yang sangat, sangat besar” – Gyspy Blanchard