500 tahun di Kota Melaka: Kisah di sebalik Kari Setan masyarakat Portugis

Pada tahun 1511 menjadi lakaran sejarah untuk kita semua apabila Alfonso de Albuquerque dari Portugis datang ke Melaka untuk tujuan membina markas tetapi tidak dipersetujui oleh Sultan Mahmud Shah. Hal ini menyebabkan berlakunya peperangan antara dua kerajaan bermula dari askar-askar Portugis yang melancarkan serangan pada waktu subuh yang akhirnya berjaya menawan Melaka pada 24 Ogos 1511 sehingga Belanda melakukan serangan pada tahun 1641.

Penjajahan Portugis di Melaka telah meninggalkan banyak kesan kepada Melaka sama ada dari segi peristiwa, tempat bersejarah (Kota A’ Famosa dan Bukit St. Paul) mahupun penempatan masyarakat. Kalau korang nak tahu, terdapat satu penempatan masyarakat Portugis di Melaka yang masih wujud sehingga sekarang dan mari kami huraikan asal-usul mereka yang boleh dikatakan unik dan jarang diketahui oleh orang ramai.

Perkampungan Portugis yang wujud sejak 500 tahun yang lalu

Perkampungan Portugis di Ujong Pasir, Melaka. Imej dari Malaysiakini.

Terdapat sebuah Perkampungan Portugis di Ujong Pasir, Melaka yang terdiri dari masyarakat yang muncul sejak Portugis datang menjajah Melaka. Majoriti masyarakat yang tinggal di situ terdiri orang Kristang (orang Portugis yang bertutur Bahasa Kristang). Jadi, bagaimana asal-usul masyarakat Portugis di Melaka ini?

Menurut penjajahan Portugis di Melaka, Kerajaan Portugis membenarkan peneroka mereka untuk berkahwin dengan wanita tempatan, di bawah satu polisi yang ditetapkan oleh Alfonso de Albuquerque:

  • Polisi ini menciptakan kelas sosial Casado (maksudnya kelas sosial yang sudah berkahwin).
  • Untuk menggalakan penempatan dan menambah bilangan populasi masyarakat, Raja Portugal memberi status kemerdekaan dan pengecualian cukai untuk lelaki Portugis yang berkahwin.

Dengan perkahwinan itu, orang-orang Portugis berjaya membina sebuah masyarakat di mana golongan kanak-kanak memeluk agama Roman Katolik dan taat pada Raja. Hal ini juga turut disokong oleh usaha paderi dari gereja Kristian dalam menyebarkan ajaran agama.

Bukan itu sahaja, hasil perkahwinan orang Portugis dengan penduduk tempatan ini juga melahirkan masyarakat yang dikenali sebagai orang Serani (orang Portugis yang berkahwin dengan orang tempatan pada zaman penjajahan Portugis).

Gambar ini menunjukkan majlis perkahwinan campur. Imej dari Laman Seri.

Masyarakat Portugis ini bekerja sebagai nelayan dalam mencari rezeki untuk ahli keluarga. Mereka juga membuka kedai cenderahati dan kraftangan buatan nelayan. Walaupun bukan semua bekerja sepenuh masa sebagai nelayan, masih ada yang menangkap ikan untuk dijual sebagai sumber pendapatan.

Mesti korang terfikir bahasa apalah mereka guna ye? Haa sebenarnya mereka menggunakan Bahasa Kristang atau kreol Portugis, iaitu bahasa ibunda dan bahasa pertuturan domestik yang terdiri daripada perkataan Portugis yang disesuaikan tatabahasa Bahasa Melayu. Ada juga kajian yang menyatakan bahawa terdapat dua bahasa yang dituturkan oleh mereka iaitu Bahasa Portugis dari Portugal dan Bahasa Portugis dari Melaka. Mari kami tunjuk sikit beberapa perkataan dari Bahasa Kristang:

  • Apa khabar: Teng bong?
  • Selamat pagi: Bong pamiang.
  • Selamat tengahari: Bong midia.
  • Selamat petang: Bong Atadi.
  • Selamat hari jadi: Bong Anu.
  • Terima kasih: Mutu merseh.

Ada juga beberapa kata pinjaman yang diambil dari beberapa perkataan Bahasa Melayu, antaranya:

  • Kereta: Carreta.
  • Sekolah: Escola.
  • Bendera: Bandeira.
  • Mentega: Manteiga.
  • Gereja: Igreja.

Kari setan merupakan makanan tradisional masyarakat Portugis di Melaka

Pakaian tradisional masyarakat Portugis di Melaka. Imej dari Malaysian Traditional Clothing.

Kalau kita lihat budaya mereka pula, masyarakat Portugis mempunyai pakaian tradisional mereka iaitu mereka akan memakai jaket dan seluar panjang bagi kaum lelaki manakala perempuan akan memakai gaun yang mempunyai skirt berlapis-lapis hadapan yang lebar. Mereka akan mengenakan pakaian tradisional yang bewarna serba hitam dan merah.

Mereka juga sangat sinonim dengan tarian tradisional lebih-lebih lagi Tarian Branyo. Sejak awal abad ke-16, Tarian Branyo telah diperkenalkan di Melaka sebagai sebahagian daripada festival Portugis Introdu atau Shrove Sunday, sebelum bulan suci. Sehingga hari ini, tarian itu masih dimainkan semasa majlis perkahwinan dan perayaan seperti Pesta Saint Johndan dan Pesta San Pedro. Tarian ini kemudian diubah mengikut budaya Melayu pada masa itu dan lama-kelamaan, ia diubah kepada tarian joget yang dikenali oleh semua masyarakat Malaysia sekarang. Mereka akan menari sambil memasang lagu rakyat antaranya Jingli Nona, Kanji-Pape, Sarampeh (Serampang Laut) dan Chorte Forte.

Cuba dengar lagu Jingling Nona, mungkin korang tahu:

Kalau makanan tradisional masyarakat Portugis pula, mereka terkenal dengan masakan Ikan Bakar Portugis yang resepinya sudah tersebar ke seluruh Malaysia. Ia merupakan ikan bakar yang dilumuri dengan pes sambal yang diperbuat daripada bawang kecil, bawang putih, buah keras, lengkuas, serai, cili kisar dan air asam jawa. Hal ini kerana majoriti dari mereka ialah nelayan jadi, ikan merupakan sumber protein utama mereka.

Selain itu, mereka juga terkenal dengan satu masakan yang dikenali sebagai Kari Setan atau Kari Debal (Devil’s Curry). Ia merupakan kari ayam yang dimasak dengan cuka, buah keras dan cili dalam jumlah yang banyak (mungkin sebab cili banyaklah diorang panggil Devil’s Curry). Menurut sejarah, resepi ini muncul sejak dahulu lagi apabila orang Portugis berkahwin dengan wanita tempatan dan ia merupakan makanan khas bagi mereka.

Contoh Kari Setan (Devil’s Curry). Imej dari Tasty Kitchen.

Mari kita bergerak ke bahagian adat perkahwinan mereka pula, mereka sangat berpegang teguh kepada ajaran agama Roman Katolik jadi, mereka dilarang untuk bercerai atau berkahwin selagi pasangan hidupnya belum meninggal dunia. Mereka juga mempunyai adat perkahwinan yang mirip seperti orang Melayu iaitu merisik dan bertunang.

Seperti yang korang tahu, mereka ini merupakan bangsa Eurasians jadi, mereka akan berkahwin dengan orang Eurasian atau mengamalkan perkahwinan campur.

Terdapat perayaan yang disambut khas untuk memperingati Saint Peter

Terdapat satu pesta yang disambut dengan acara menghias kapal. Imej dari The Star.

Masyarakat Portugis di Melaka juga mempunyai banyak perayaan yang disambut dan kesemuanya mempunyai kepercayaan nenek moyang dan agamanya. Baiklah, mari kita pergi ke sambutan yang berkaitan dengan agama iaitu Pesta Intrudu.

Pesta Intrudu adalah perayaan Portugis, yang disambut oleh orang-orang Portugis di seluruh dunia, untuk menandakan permulaan tempoh 40 hari Prapaskah, waktu berdoa dan berpuasa yang merangkumi hari Thursday Maundy, Good Friday, Holy Saturday dan Easter Sunday.

Pesta ini disambut pada hari Ahad sebelum Ash Wednesday dan menandakan hari terakhir kenikmatan sebelum bermulanya tempoh Prapaskah (Lent Period). Intrudu bermaksud “Datang Sebelum” dalam Bahasa Portugis Melaka, dan masyarakat Portugis Melaka merayakannya sebagai simbol membersihkan dosa.

Acara menyimbah air antara satu sama lain menunjukkan betapa pentingnya air (mereka adalah orang laut) kepada masyarakat. Tradisi ini mengingatkan mereka pada masa di mana memancing adalah mata pencarian utama nenek moyang mereka.

Pada awal pagi, tong air akan disediakan di sepanjang jalan Penempatan Portugis di Ujong Pasir. Kemudian mereka akan menunggu semua orang yang akan berjalan di sepanjang jalan dan setiap orang yang berjalan di sepanjang jalan akan disimbah dengan air. Keseronokan berterusan sehingga petang dan semua penduduk kampung akan turut serta.

Korang boleh tengok video Pesta Intrudu di bawah:

Selain itu, masyarakat Portugis juga akan menyambut Festa De San Juang atau lebih dikenali sebagai Pesta Lampu yang diadakan pada 23 Jun setiap tahun. Lilin diletakkan dan dinyalakan di lorong, beranda dan tingkap rumah di Petempatan Portugis (asalnya bernama St Johns Village), untuk menghormati Kelahiran John The Baptist. Festa De San Juang merupakan perayaan Katolik Kristian kelahiran John the Baptist (San Juang dalam bahasa Portugis Creole) pada 24 Jun.

Memandangkan majoriti dari mereka ialah nelayan, Festa San Pedro (Perayaan Saint Peter, juga dikenal sebagai Perayaan Nelayan) di Petempatan Portugis, Melaka, dirayakan pada 29 Jun setiap tahun. Sebagai komuniti yang secara tradisional menjadi nelayan, Hari Perayaan Katolik ini sangat popular di kalangan penduduk tempatan.

Suasana semasa Festa San Pedro. Imej dari Libur.

Kemuncak pesta bermula dengan Misa (upacara agama) di pinggir laut diikuti dengan perarakan dan berkat kapal nelayan, di mana beberapa kapal dihiasi untuk pertandingan berdasarkan aspek keaslian, kreativiti, kebersihan dan keagamaan. Pengunjung berpeluang mencuba makanan asli Portugis Melaka yang hanya disajikan semasa pesta. Permainan tradisi kampung seperti permainan laut, permainan pentas dan darat, permainan padang dimainkan oleh orang tua mahupun yang muda.

Oh ya, tidak lupa juga masyarakat Portugis menyambut Hari Krismas setiap tahun dan mereka akan menghiasi rumah mereka dengan hiasan Hari Krismas macam yang korang selalu tengok dalam filem barat.

Kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia yang harus kita kukuhkan

Adat budaya yang harus kita pelihara. Imej dari Southeast Asia Globe.

Menurut sebuah temu ramah bersama JKKK Perkampungan Portugis iaitu Edgar George Paulo Overee (Uncle George), generasi baru telah berpindah ke bandar untuk mencari nafkah dan majoriti dari mereka sudah melupakan bahasa ibunda. Hal ini kerana apabila mereka pulang ke kampung halaman, mereka tidak lagi bertutur dalam bahasa Portugis tetapi menggunakan bahasa Inggeris.

Oleh itu, sekarang baru korang tahu kan bahawa terdapat budaya masyarakat Portugis yang sangat unik tetapi tidak diketahui oleh orang ramai. Jadi, kita sebagai rakyat Malaysia harus memegang satu aspirasi iaitu menjaga warisan budaya-budaya di Malaysia supaya generasi baru dapat mengetahuinya.