Sejarah & Politik

7 peristiwa penting yang pernah jadi masa Perhimpunan Agung UMNO dulu

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 1 Disember 2016

UPDATE 7/12/2019: Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU) membuka tirainya dengan air mata para perwakilan. Ini berlaku apabila Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin menceritakan mengenai jerih payah Tunku Abdul Rahman mengumpul duit waktu nak tuntut kemederkaan di London. Ketika tu orang kampung yang hidup susah turut mengorbankan harta untuk menderma.

_______________________________________________________________________

Setiap tahun kita akan tengok, dengar dan baca pasal Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Tapi kenapa media selalu bagi liputan pasal PAU ni? Jawapannya mudah, sebab perhimpunan ni adalah perhimpunan parti Melayu terbesar di Malaysia, parti paling dominan dalam Barisan Nasional dan presidennya sendiri ialah Perdana Menteri.

UMNO yang dah ditubuhkan hampir 70 tahun lalu mencatatkan banyak peristiwa menarik dan panas dalam hayatnya. Oleh itu, SOSCILI kali ni akan ceritakan peristiwa-peristiwa penting yang pernah berlaku dalam Perhimpunan Agung UMNO:

1. Dato’ Onn letak jawatan Yang di-Pertua UMNO

Pada 1950, dalam Persidangan UMNO Semenanjung Tanah Melayu, di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, Dato’ Onn Jaafar bertindak meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertua UMNO. Beliau ambil keputusan tu sebab kecewa bila cadangannya nak bagi kerakyatan pada orang bukan Melayu dibantah oleh ahli-ahli UMNO.

Satu perarakan seramai 5,000 orang wakil-wakil UMNO, Pemuda UMNO dan Kaum Ibu UMNO dah berarak ke rumah Dato’ Onn untuk merayu beliau menerima balik jawatan tersebut. Dato’ Onn setuju terima balik jawatan Yang diPertua UMNO dengan syarat beliau tak dikecam lagi.

Setahun lepas tu, Dato’ Onn sekali lagi bagi cadangan nak buka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu dan nama UMNO ditukar kepada United Malayan Organization. Cadangan tu dibantah lagi oleh ahli-ahli dan kepimpinan UMNO. Akhirnya, Dato’ Onn meletakkan jawatan pada 26 Ogos 1951.

Dato' Onn berikan ucapannya yang terakhir kepada ahli UMNO. Tunku duduk kat sebelah beliau. Imej dari al-azharrisiddiq.com

Dato’ Onn berikan ucapannya yang terakhir kepada ahli UMNO. Tunku duduk kat sebelah beliau. Imej dari al-azharrisiddiq.com

2. Tunku dilantik jadi Yang di-Pertua UMNO lepas kalahkan Hj Ahmad Fuad (Presiden PAS pertama)

Disebabkan kekosongan jawatan Dato’ Onn, kepimpinan UMNO cuba pujuk Tunku Abdul Rahman bertanding jawatan Yang di-Pertua UMNO. Antara yang cuba pujuk Tunku adalah Tun Razak, Tun Sardon Jubir (kemudian Gabenor Pulau Pinang), Hj Ahmad Badawi (ayah Pak Lah) dan Ibu Zain (Ketua Kaum Ibu UMNO). Sebelum itu, Tunku adalah Pengerusi UMNO Kedah.

Dari kiri: Ibu Zain, Tun Sardon Jubir dan Hj Ahmad Badawi. Imej dari Kementerian Pengangkutan, Pejabat Tun Abdullah Badawi & Utusan Malaysia.

Dari kiri: Ibu Zain, Tun Sardon Jubir dan Hj Ahmad Badawi. Imej dari Kementerian Pengangkutan, Pejabat Tun Abdullah Badawi & Utusan Malaysia.

Akhirnya, Tunku dilantik jadi Yang di-Pertua UMNO lepas mengalahkan Haji Ahmad Fuad dan CM Yusof. Manakala Tun Abdul Razak dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertua. Hj Ahmad Fuad lepas tu jadi salah seorang pengasas Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) dan jadi Presiden PAS yang pertama.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Dibawah kepimpinan Tunku, UMNO meneruskan agenda kemerdekaan. Dato Onn pulak tubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), tapi parti tu tak dapat sokongan orang Melayu. Dato Onn lepas tu tubuhkan pulak Parti Negara dan bertanding dalam Pilihanraya 1955. Malangnya, parti tu tak menang satu kerusi pun.

3. Usul Pemuda UMNO yang desak tarikh kemerdekaan dipercepatkan

Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) menang besar dalam  Pilihanraya 1955. Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu dan Menteri Dalam Negeri. Perjuangan untuk menuntut kemerdekaan masih diteruskan selepas itu.

Ketika di Pulau Pinang, Tun Sardon Jubir dah pergi ke rumah Hj Ahmad Badawi dan berjumpa dengan Tuan Guru Hj Abdullah Fahim (datuk Pak Lah). Dalam pertemuan itu, Abdullah Fahim seorang ulama dan ahli falak dah berikan tarikh terbaik untuk kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos 1957. Tarikh 31 Ogos 1957 dalam bahasa Arab adalah ‘Am Khir Atana’ yang bermaksud ‘Tahun baik datang kepada kita’.

Sheikh Abdullah Fahim. Imej dari Pejabat Tun Abdullah Badawi.

Sheikh Abdullah Fahim. Imej dari Pejabat Tun Abdullah Badawi.

Maka dengan itu di Persidangan Agung UMNO 1955, Pemuda UMNO dah mendesak agar tarikh kemerdekaan dipercepatkan kepada 31 Ogos 1957. Sebulan lepas tu, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Dr. Ismail, Tan Sri Nik Ahmad Kamil, Tun H.S. Lee dan  Datuk Panglima Bukit Gantang dah terbang ke London untuk rundingan menuntut kemerdekaan.

Akhirnya, Tunku menandatangani perjanjian kemerdekaan di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956. Tunku melaungkan ‘MERDEKA’ di stadium Merdeka Kuala Lumpur dengan bangganya pada 31 Ogos 1957, untuk menandakan yang Tanah Melayu itu adalah sebuah tanah yang bebas dan berpemerintahan sendiri.

Antara mereka yang terlibat dalam Rombongan ke London (Rombongan Merdeka). Imej dari Arkib Negara.

Antara mereka yang terlibat dalam Rombongan ke London (Rombongan Merdeka). Imej dari Arkib Negara.

4. Anwar Ibrahim jadi Timbalan Perdana Menteri

Imej dari bicarakedah.blogspot

Imej dari bicarakedah.blogspot

Pada Perhimpunan Agung UMNO 1993, Anwar Ibrahim dipilih tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO sekaligus Timbalan Perdana Menteri lepas jawatan tu dikosongkan oleh Tun Ghafar Baba. Menurut laporan, ada beberapa sebab kenapa Ghafar Baba meletakkan jawatan.

“Pada 23 Ogos 1993… semua menteri kecuali Rafidah Aziz dan Abdullah Badawi serta semua Menteri Besar telah hadir dalam persidangan akhbar Anwar Ibrahim mengumumkan keputusannya untuk mencabar Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.” – dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir , p154.

Dr Mahathir jugak masa tu dikatakan dah ubah pendirian, dari larang Anwar bertanding kepada mengambil sikap berkecuali. Dr Mahathir masa tu pun dilihat lebih condong kepada Anwar sebagai orang yang paling layak menggantikannya.

“Ramai antara menteri kabinetnya yang boleh diberikannya kepercayaan tetapi tidak ramai yang boleh diberikannya amanah, dan Anwar adalah yang terpilih antara yang tidak ramai itu.” – dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir , p239.

Ghafar Baba pernah jadi Ketua Menteri Melaka yang ke2. Imej dari mykmu.net

Ghafar Baba pernah jadi Ketua Menteri Melaka yang ke-2. Imej dari mykmu.net

Melihat sokongan Dr Mahathir dan ahli UMNO yang kuat terhadap Anwar, Ghafar Baba bertindak berundur dari jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri dengan sukarela. Ghafar dikatakan dah tulis surat peletakan jawatannya di atas sekeping kertas Penerbangan Malaysia dengan pen yang dipinjam. Beliau berkata tindakannya tu semata-mata nak elakkan perpecahan parti dan mempertahankan kestabilan negara.

“Ghafar dikatakan memberitahu seorang rakan politiknya yang selama ini diharap dan dipercayainya, “Awak telah menikam saya dari belakang” dan rakan ini menjawab, “Dalam politik semua orang buat demikian Che Ghafar.” – dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir , p244.

5. Dr Mahathir umum letak jawatan

Dr Mahathir ketika mengumumkan peletakan jawatannya. Imej dari Utusan Malaysia.

Dr Mahathir ketika mengumumkan peletakan jawatannya. Imej dari Utusan Malaysia.

Mungkin ada di antara kita yang pernah tengok siaran langsung Perhimpunan Agung UMNO paling epik ni. Ketika ucapan pergulungan Presiden, suara Dr Mahathir tiba-tiba tersekat-sekat dan agak susah untuk berkata-kata.

“Mengumumkan satu peletakan jawatan saya sebagai Presiden UMNO dan semua jawatan-jawatan yang dipegang oleh saya…dalam parti, peletakan saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan semua jawatan dalam Barisan Nasional.” – ucapan Dr Mahathir di Perhimpunan Agung UMNO 2002.

Habis je pengumuman ni, keadaan dewan kecoh dan pemimpin UMNO atas pentas mula kerumun Dr Mahathir. Termasuklah Hishammuddin dan Rafidah Aziz. Tun Abdullah (masa tu Timbalan Presiden UMNO) pulak buat ucapan mintak Dr Mahathir tarik balik peletakan jawatannya.

Keadaan dewan yang kecoh ketika itu diceritakan oleh Tan Sri Zainuddin Maidin dalam bukunya:

“Saya melihat ratusan pemerhati dalam keadaan histeria, ada yang menangis, ada yang tidak sedarkan diri, ada yang berdoa. Saya merasakan betapa bahagianya Dr Mahathir dapat meninggalkan kuasa dalam keadaan rakyat menyayanginya.” – dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir , p287.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menarik balik hasratnya tu lepas sejam dipujuk oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Beberapa hari kemudian, MT UMNO terima keputusan Dr Mahathir dan setuju Dr Mahathir letak jawatan lepas Oktober 2003. Akhirnya pada 31 October 2003, Pak Lah secara rasminya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

6. Dr Mahathir buat kejutan, muncul kat Perhimpunan Agung UMNO

Macam yang kita semua tahu, lepas beberapa tahun Pak Lah pegang jawatan Perdana Menteri, Dr Mahathir jadi antara orang yang paling lantang kritik kepimpinan Pak Lah. Keadaan ni jadi lebih tegang bila prestasi Barisan Nasional merosot masa PRU 12.

Dr Mahathir dikatakan tak puas hati bila kerajaan pimpinan Pak Lah batalkan pembinaan jambatan bengkok, menangguhan projek kereta api berkembar dan mendakwa Pak Lah pentingkan keluarganya sampai membelakangkan negara.

Imej asal dari Astro Awani.

Imej asal dari Astro Awani.

Tekanan terus dibuat bila Dr Mahathir keluar UMNO pada 19 Mei 2008. Tekanan pada Pak Lah jugak datang dari kepimpinan UMNO sendiri, bila Muhyiddin Yassin desak Pak Lah berundur dari jawatan Perdana Menteri.

Akhirnya, Pak Lah ambil keputusan untuk beritahu hasratnya letak jawatan kepada Yang Di-pertuan Agong, pada 2 April 2009. Tapi sebelum tu pada 28 Mac 2009, masa Perhimpunan Agung UMNO, Dr Mahathir buat kejutan bila muncul dalam dewan perhimpunan masa Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin berikan ucapan.

Tindakan Dr Mahathir itu dianggap sebagai kesediaannya untuk kembali ke pangkuan UMNO, bila dia tahu yang Pak Lah akan lepaskan jawatan pada April 2009. Kedatangan Dr Mahathir tu jugak dah buatkan dewan bersorak dan riuh dengan tepukan perwakilan.

https://www.youtube.com/watch?v=-2SNQSiSGWo

7. Najib batalkan hasrat nak mansuhkan Akta Hasutan

Pada 1948, kerajaan British dah gubal satu akta yang dikenali sebagai ‘Akta Hasutan 1948’ (fail PDF). Akta ni digunakan terhadap sebarang ucapan, perbincangan atau perbuatan  yang ada unsur menghasut. Selain Malaysia, negara yang ada Akta yang sama ni jugak adalah Singapura.

Pada 2014, PM Najib Razak dah umumkan yang Akta Hasutan tetap akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional. Tapi pengumuman Najib tu dapat bantahan dari ramai pihak macam NGO, ahli UMNO sendiri, Dr Mahathir, bekas Ketua Polis Negara dan bekas Ketua Hakim Negara.

Kartunis Zunar, baru-baru ni ditahan dibawah Akta Hasutan. Imej dari Keadilan Daily.

Kartunis Zunar, pernah ditahan di bawah Akta Hasutan. Imej dari Keadilan Daily.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kata, akta tu bukan je kena dikekalkan tapi hukumannya mesti ditambah sampai hukuman mati pada pesalah yang melanggar Akta Hasutan 1948 buat kali ketiga. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid pulak kata yang Akta Hasutan sepatutnya tak dimansuhkan tapi ia perlu dipinda.

“Abdul Hamid berkata, adalah lebih baik jika kerajaan memansuhkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan di dalam Akta Hasutan sebaliknya mengekalkan kesalahan dan hukuman terhadap raja di dalam undang-undang tersebut.” – dipetik dari Utusan Malaysia.

Bantahan terhadap cadangan Najib ni terus jadi bahan perbahasan oleh perwakilan-perwakilan UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2014. Antara yang lantang tak setuju adalah Wanita UMNO. Akhirnya, Najib dalam ucapannya di hari terakhir perhimpunan mengumumkan yang Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan alasan untuk melindungi agama Islam, agama lain dan mengelakkan hasutan untuk Sabah dan Sarawak keluar Malaysia.

Tindakan Najib tu dianggap sebagai mungkir janji oleh Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH). Sebenarnya sebelum itu pada Julai 2013, Najib dah bagitau kat BBC World News yang dia akan mansuhkan Akta Hasutan.

Imej asal dari thesundaily.my

Imej asal dari The Sun Daily

Apa yang kita boleh expect daripada PAU saban tahun?

hishamuddin-tun-hussein

Imej dari utaranews.com

 

“Berucaplah sebagai orang yang berpengalaman dan hentikan membuat lawak kerana masa yang diberi itu sangat terhad, maka gunakan sebaik mungkin untuk menyampaikan perkara penting.

“Tidak dinafikan lawak itu penting lagi-lagi jika semua dalam keadaan mengantuk, tetapi kalau keseluruhan ucapan penuh dengan lawak ia langsung tidak membawa makna.” – Md Shukri Shuib, dipetik dari Umno Online.

Pada PAU 2016, PM Najib mengatakan Mahathir derhaka, dan Khairy Jamaluddin mengatakan Mahathir seorang ‘Melayu mudah lupa’. At least kat perhimpunan Puteri UMNO dulu ada jugak debat yang produktif. Contohnya oleh wakil Puteri Pahang yang meminta gomen supaya jujur dengan rakyat pasal keadaan ekonomi negara. Mungkin PAU boleh belajar daripada puteri-puteri mereka?

Sementara tu, jom kita layan dulu video orang lama UMNO bagi komen pedas pada pemimpin:

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend