Wang & Kareer

Tentera nak rekrut bukan Melayu, tapi tiga pesara kongsi kenapa benda ni susah

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Kita semua tahu yang ATM banyak berkhidmat menjaga kedaulatan negara. Dan oh, kami maksudkan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang ni…

Imej dari themalaysiantimes.com.my

Dan bukan yang ni…

Automated Teller Machine (ATM), tempat kita selalu nangis bila hujung bulan. Imej dari mytimes.com

Bila bercakap pasal ATM ni, korang mesti perasan yang kebanyakan Angkatan Tentera Malaysia yang kita jumpa adalah orang Melayu. Sebenarnya perkara tu memang betul pun. Jadi, ATM bercadang nak ajak lebih ramai lagi orang bukan Melayu untuk sertai mereka.

Baru-baru ni je, ketua Angkatan Tentera Malaysia (ATM),  Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor kata yang dia nak rekrut lebih ramai kaum lain untuk menyertai tentera, dan dorang dah plan untuk tingkatkan penyertaan kaum lain ni sebanyak 10% setiap tahun. Dia juga berharap yang lebih ramai ahli dari pelbagai kaum akan mempertimbangkan cadangan untuk mendaftar di Royal Military College (MTD).

“ATM sentiasa membuka ruang dan mengalu-alukan kaum lain sama-sama menyertai pasukan ini, dalam usaha menjaga kedaulatan negara. Jadi kita mahu cari 10 peratus anak muda daripada pelbagai kaum bukan sahaja untuk menjadi anggota tentera, malah kita juga ingin melihat pelbagai kaum datang menuntut di MTD,”- Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dari Astro Awani.

Bagaimanapun, Panglima ATM tu mengakui yang nak dapatkan 10% tu bukanlah satu perkara yang mudah sebab trend sosial dah berubah. Perkara ni juga bukan lagi salah satu pilihan utama dalam kalangan orang bukan Melayu. Tapi dalam masa yang sama dia yakin sokongan pihak-pihak berkaitan termasuklah media, boleh membantu.

Raja Mohamed Affandi. Imej dari Utusan Online.

Walaupun perkara tu dah dapat persetujuan Persatuan Patriot Nasional (PPK), masih ada keraguan yang timbul. Ada ke kaum lain berminat nak sertai tentera? Idea ni bukanlah kali pertama dibincangkan, sebab ada je usaha-usaha yang dilakukan sebelum ni dan tak berapa berjaya pun.

“Masalahnya adalah agak sukar untuk mendapatkan kaum lain untuk menyertai tentera. Saya pun tak faham kenapa. Kita dah galakkan kaum Cina dan India untuk menyertai tentera tetapi mereka sendiri macam tidak berminat. “- Brig-Gen (Rtd) Mohamed Arshad Raji, Presiden PPK, untuk FMT.

Kenapa orang bukan Melayu macam tak berminat je nak join tentera ni? Perkara ni la yang jadi persoalan kepada ramai perekrut. Jadinya, kami pun selidik sendiri, dan sembang dengan beberapa veteran tentera Malaysia untuk tahu kenapa. Nampaknya, isu ni agak rumit. Tapi…

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Perkara ni ada kaitan dengan prasangka tertentu pasal pekerjaan ketenteraan

Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan masa tahun 2010. Imej dari The Star

Rupa-rupanya, isu ni pernah dibincangkan pada tahun 2010, bila Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan untuk tahun 2008/2009, rekrut baru yang terdiri daripada orang Cina dan India adalah kurang daripada 1%. Padahal, dorang aktif mempromosikan kerjaya dalam tentera ni kat institusi awam dan swasta. Dia kemudiannya nyatakan beberapa sebab kenapa kadar pengambilan kaum-kaum lain rendah:

  • Bimbang dengan disiplin ketat yang dikenakan dalam tentera.
  • Pulangan yang lebih rendah (baca: gaji) berbanding pekerjaan sektor swasta.
  • Kurang galakan daripada keluarga. 
  • Persepsi negatif terhadap tentera.

Dia juga ada sebut pasal orang bukan Melayu ni kurang patriotik, sebab tu la pengambilan dorang ni rendah. Tapi, kami tak nak ulas pasal tu. Jadi, kami cari empat lagi point yang kami cakap tu, dan inillah jawapan yang kami dapat daripada veteran-veteran tentera.

Disiplin yang ketat, dan juga pilihan kerjaya yang terhad

Ahli Angkatan Bersenjata yang tak berpencen menerima catuan makanan. Imej dariThe Borneo Post

“Pada tahun 70-an dulu, daripada 10 orang yang masuk tentera, mesti ada sorang orang Cina. Tapi sekarang tak lagi, terutama sekali dalam angkatan udara”- Willie (bukan nama sebenar), pesara Tentera Udara Malaysia

Salah seorang veteran yang sempat kami temubual, iaitu Kapten (Rtd) Wan Hock Leong mengatakan yang ketegasan dalam bidang tentera adalah salah satu sebab kenapa orang bukan Melayu, terutama sekali komuniti Cina tak nak sertai angkatan bersenjata ni. Selain tu, perjalanan kerjaya pun adalah satu sebab lain.

“… ada juga kemungkinan yang dalam persepsi orang Cina, kerjaya dalam angkatan bersenjata terlalu ketat, atau mungkin terlampau preskriptif yang menyebabkan tak banyak ruang untuk mereka tunjuk bakat” – Kapten (Rtd) Wan Hock Leong, untuk Cilisos.

Manakala seorang bekas Leftenan Kolonel, Hadi (bukan nama sebenar) pula mengakui tentang hal di mana kurangnya tentera bukan Melayu walaupun masa zaman dia mula berkhidmat, iaitu pada tahun 1981,

“Dalam keseluruhan Angkatan Tentera Udara pada masa tu, ada lebih kurang 30 orang Cina, dan hanya ada sorang saja tentera yang berpangkat Jeneral.”- Left Kol Hadi

Ramai fikir yang kerjaya dalam ketenteraan ni sama ada jadi tentera biasa atau pegawai, ikut arahan, kilatkan kasut but, dan boleh jerit kat rekrut baru. Tapi sebenarnya, kerjaya ketenteraan ni lebih daripada tu. Banyak lagi syarikat perbadanan dengan fungsi berbeza dalam angkatan bersenjata macam kejuruteraan, perubatan dan lain-lain.

Tapi, ada juga yang dah lama berkhidmat dalam ketenteraan, tapi tak layak dapat pencen dan akhirnya hidup dalam keadaan miskin tegar.

Askar tak dibayar banyak, tapi secara mencukupi

Bila dah terdesak. Imej dari funnyjunk.com

“Nasib baik saya tinggalkan kerjaya ni awal, kalau tak saya tak rasa yang saya boleh sara 4 orang anak. Masa latihan, kami cuma dibayar 60 ringgit dan gaji naik pun sikit, bergantung kepada kedudukan dalam tentera. Kadar hari ni tinggi sikit, tapi masih teruk kalau nak dibandingkan dengan kehidupan di luar “- Willie

Sebaliknya, Kapten Wan pula berkhidmat pada lewat 1960-an sebagai leftenan kedua dan memperoleh RM365 sebulan. Dia mengakui yang kerja tentera ni tak boleh bagi kemewahan.

“… jadi angkatan bersenjata ni bukan pasal nak buat duit, tapi kakitangannya boleh dapat kehidupan yang baik. Kita juga kena ingat apabila kita berkhidmat dalam angkatan bersenjata, terutama di syarikat perbadanan, kita berkhidmat untuk raja dan negara. Dan ini lagi penting daripada duit. “- Kapten (Rtd) Wan Hock Leong, untuk Cilisos.

Menurut Wikipedia, rekrut baru bermula dengan RM800 sebulan, kapten ATM pula dapat antara RM 3,855.00 – RM9,924.00, manakala jeneral peringkat tertinggi boleh dapat antara RM8,596.86 – RM 17,573.42.

Kerjaya ketenteraan ni seiring dengan zaman

“You don’t make nails out of good iron, and you don’t make soldiers out of good men.” – pepatah Cina lama

atau

“Kau tak guna besi baik untuk buat paku, dan orang tak hantar anak baik jadi askar”- pepatah Cina lama

Pepatah ni berasal dari zaman Dinasti Song di China, di mana tentera pada zaman tu berada di tangga sosial yang agak rendah, tak macam ahli bijak pandai yang berada di tangga sosial yang tinggi. Tapi, pepatah tu masih wujud di Malaysia, dan ucapan tu dikatakan salah satu sebab dalam budaya Cina yang menerangkan kenapa kaum ni tak nak sertai tentera.

Kapten Wan sendiri pernah dengar pepatah ni masa dia mula-mula nak sertai ketenteraan, tapi dia ketepikan pepatah yang datang daripada zaman China kuno yang baginya dah tak relevan dengan zaman sekarang.

“Saya rasa kebimbangan ibu bapa pada masa tu adalah apabila  anak mereka sertai ketenteraan, mereka fikir anak mereka mungkin takkan kembali sebab mati dalam peperangan. Tapi, zaman dah berbeza.”-Kapten (Rtd) Wan Hock Leong.

Kapten Wan menambah, zaman moden ni, kerja ketenteraan ni dah lebih kurang sama dengan kerjaya lain, kecuali kalau ada peperangan kecil yang berlaku.

Bagi Left Kol Hadi pula, dia berpendapat yang bukannya orang bukan Melayu tak berminat nak jadi tentera, tapi mereka ni lebih berfikiran jauh.

“Mereka yang bukan Melayu ni, terutamanya orang Cina, bukannya tak berminat langsung untuk masuk tentera. Tapi mereka fikir jauh, pulangan untuk diri sendiri dalam 20 tahun akan datang.

Bukan pasal pangkat semata-mata, tapi tentang apa yang boleh mereka pelajari sepanjang jadi tentera, terutama sekali Tentera Udara yang banyak belajar perkara-perkara teknikal, yang boleh mereka praktik bila mereka berada di luar sana. Itu yang paling penting bagi mereka.”- Left Kol Hadi

Itu cuma salah satu persepsi orang bukan Melayu terhadap angkatan bersenjata. Benda lain yang kami pernah dengar pulak adalah…

Kalau jadi tentera sebagai bukan Melayu, mungkin takkan pergi jauh

Kalau korang google “Malaysian Chinese captain”, ni je la yang keluar. Imej dari The Sun

Kapten Wan kemudiannya cerita pasal perbualannya dengan Kolonel Inggeris, iaitu pegawai atasannya pada hari pertama dia berkhidmat.

“Masa hari pertama saya berkhidmat dalam angkatan bersenjata, bos saya bagitahu, “Nak, kemajuan kamu dalam angkatan bersenjata adalah bergantung pada merit kamu“.

Jadi, itulah apa yang saya pegang semasa saya mula-mula berkhidmat. Masa depan saya bergantung pada merit”-Kapten (Rtd) Wan Hock Leong untuk Cilisos.

Tapi sepuluh tahun kemudian, Kapten Wan kata dia tinggalkan tentera lepas kesan Dasar Ekonomi Baru (DEB) muncul dalam bidang ketenteraan, berikutan peristiwa pada 13 Mei 1969. Kapten Wan merasakan DEB dah membatasi prospek kerjayanya.

Klik untuk baca pasal pengalaman mereka yang terlibat. Imej dari Soscili

Willie, yang juga berkhidmat beberapa tahun lepas tu merasakan perkara yang sama lepas lima tahun perkhidmatan. Dia cerita pasal macam mana kakitangan Cina pada masa tu kurang dipercayai dan sebab tu la mereka susah dinaikkan pangkat.

“Tak kiralah macam mana kita kerja keras pun, kenaikan pangkat adalah terhad untuk orang bukan Melayu sebab tiada kuota. Orang Melayu je yang akan dapat kenaikan pangkat, dan kami biasanya kena tunggu senior bukan Melayu untuk bersara, barulah ada kenaikan pangkat untuk kami, dan selalunya ada 5 calon yang akan isi jawatan tu.

Pangkat yang paling tinggi untuk orang bukan Melayu dalam ATM masa tu adalah jeneral satu bintang, dan tak lebih daripada tu”-Willie, untuk Cilisos.

Peningkatan Islamisasi dalam tentera beberapa tahun kebelakangan ni pun memainkan peranan. General Arshad menerangkan banyak aspek  tentera ditentukan oleh kepekaan agama, dan perkara ni bagi kesan negatif terhadap esprit-de-corp dalam unit tentera berbilang kaum, menjadikan anggota bukan Melayu merasa lebih terasing daripada sebelumnya. Tu tak termasuk lagi pengumuman kerajaan baru-baru ni yang meletakkan angkatan tentera Malaysia di Baitulmaqdis, dan kerajaan menunjukkan kesetiaan mereka terletak pada konflik tu. Tapi…

Masalah ni bukan sekadar sebab kurangnya sifat patriotisme

Melayu, Cina, India, Sikh, lain-lain… Imej dari panggilan pertiwi

Sekarang ni, kerajaan banyak galakkan orang bukan Melayu untuk masuk institusi pendidikan ketenteraan, tapi boleh jalan ke? Dalam masa yang sama, bila kami tanya para veteran, apa yang kita boleh buat supaya orang bukan Melayu pun akan sertai ketenteraan. Mereka kemudiannya bagi beberapa cadangan.

Kalau nak tarik minat pelajar, Kapten Wan mencadangkan yang dorang kena bawa beberapa bekas pegawai bukan Melayu dari perbadanan dan rejimen yang berbeza. Orang-orang macam ni dah lalui pengalaman ketenteraan, dan pengalaman ni berguna untuk jelaskan kat pelajar pasal perkembangan kerjaya yang berbeza untuk tentera kepada mereka yang berpotensi.

Tak kurang segak juga yang perempuan pun. Imej dari kksepang.wordpress.com

Dia juga percaya yang kalau ada peluang, kerjaya sebagai angkatan bersenjata boleh menarik minat pelajar sekolah menengah, terutamanya dalam Tingkatan 4 atau 5.

“Saya fikir level masa sekolah ni la yang terbaik, sebab tak semua orang berpeluang untuk masuk universiti. Sebahagian daripada mereka tak nak terus belajar. Mereka mahu mula bekerja. Dan mereka ni lah yang kita boleh fokus dan galakkan. Tunjukkan kepada mereka yang mereka mempunyai pilihan untuk menyertai angkatan tentera. “- Kapten (Rtd) Wan Hock Leong

Kapten Wan ada juga sebut pasal Kor Kadet yang wujud pada zaman persekolahannya. iaitu aktiviti kokurikulum di mana kira-kira 30 hingga 40 pelajar dari setiap sekolah belajar tentang ketenteraan Malaysia. Lawatan ke unit tentera juga dilakukan setiap tahun, dan kat situlah pelajar dapat peluang untuk gunakan senjata dan tengok macam mana tentera ni bekerja. Malah, perkara tu jugalah sebenarnya yang membuatkan Kapten Wan berminat untuk kejar kerjayanya sebagai tentera.

“Okay, bila boleh join masuk?” Imej dari icym.edu

Bagi Willie pula, dia percaya yang dasar atau polisi perlu diubah dan kenaikan pangkat sepatutnya berdasarkan merit, tanpa mengira kaum. Dia juga percaya yang pangkat tertinggi dalam tentera mestilah terbuka tanpa mengira kaum, sebab perkara tu la yang akan menggalakkan lebih ramai orang bukan Melayu untuk menyertai angkatan bersenjata.

Brig Gen Toh Choon Siang, pengerusi Jawatankuasa Tentera Komuniti Cina, menolak tanggapan yang orang bukan Melayu tak nak sertai tentera bukan semata-mata sebab pangkat je. Dia cadangkan kerajaan untuk menawarkan sesuatu yang lebih menarik supaya mereka berminat, dan perkara tu la yang kerajaan cuba buat sekarang.

“Jika dilihat kepada faedah, sebenarnya banyak yang kerajaan dah tawarkan sekarang, ada insentif, elaun, kemudahan pengajian pun ada.

“Bidang pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), masuk sahaja dari rambut ke hujung kaki semua ditanggung, elaun RM1,600 lagi dapat, keluar pun boleh jadi pegawai,”-Pengarah Kanan Strategi Lautan Biru Kebangsaan Tentera Darat, Brigedier Jeneral Toh Choon Siang pada Malay Mail Online.

Kita perlu akui adanya had bagi bukan Melayu dalam tentera demi mencari penyelesaian

Presiden Persatuan Patriot Nasional, Brigadier-Jeneral (B) Mohd Arshad Raji pula menyatakan yang ada penurunan jumlah orang bukan Melayu dalam angkatan bersenjata dalam beberapa tahun lepas dasar tindakan afirmatif (macam DEB), dan macam mana dasar ni kemudiannya dah wujudkan keretakan di kalangan etnik yang berlainan dalam angkatan bersenjata.

Mohd Arshad Raji

“Dasar tindakan afirmatif kerajaan pada 1980-an menyerap masuk ke dalam pentadbiran tentera.  Kata-kata pelik seperti ‘orang kita’ telah merayap masuk ke dalam minda komander tentera.

Walaupun ramai jeneral mudah disenangi dan peduli akan mereka yang di bawah jagaan mereka, “little Napoleons” di Kementerian Pertahanan – penjawat awam yang mempunyai kuasa – membuat dasar berkaitan dengan kenaikan dan menguatkuasakan peraturan tidak bertulis dan sistem kuota mengenai orang bukan Melayu.” “- Brigadier -General (B) Mohd Arshad Raji, untuk FMT.

Kes ni memang agak sensitif sebab Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein sendiri siap bagi amaran kat Gen Arshad supaya tak timbulkan sentimen kaum atau agama. Presiden persatuan tu kemudiannya menjelaskan sebab orang bukan Islam tak nak menyertai Angkatan Tentera Malaysia sebab ada pembahagian mengikut garis etnik yang jelas. Dia pertahankan kenyataan mereka, dengan mengatakan yang komen itu adalah pendapat yang jujur dan bertujuan membantu pihak berkuasa membuat strategi yang lebih komprehensif bagi menarik orang bukan Melayu untuk menyertai pasukan keselamatan.

“Masalahnya endemik, sebab dan kesan peraturan ‘tidak bertulis’ dan peraturan dulu. Untuk selesaikan masalah itu, pertama sekali kita perlu mengakui masalah itu. Niatnya bukan mencari kesalahan, tetapi untuk memahami sepenuhnya rungutan dari perspektif bukan Melayu, dan membantu pembuat keputusan untuk kebaikan negara kita.”– Brigadier-General (Rtd) Mohd Arshad Raji, untuk FMT.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend