- 2.8KShare sekarang!
- Email25
- Facebook2.8K
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 12 Feb 2018
Sejarah politik Malaysia sememangnya unik dan menarik untuk kita tahu. Ia ditambah lagi dengan kehadiran para pemimpin politik yang mewarnai dunia politik negara ni. Dari zaman di awal kemerdekaan, hinggalah ke zaman serba moden sekarang ni. Nama-nama ahli politik macam Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Dr Mahathir dan sebagainya akan terus diperkatakan.
Tapi selain dari pemimpin UMNO, ada juga nama-nama besar dari kalangan ahli politik bukan UMNO macam Dr Burhanuddin al-Helmy, Tuan Guru Yusuf Rawa, Datuk Fadzil Noor dan nama yang paling diingati Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pada 12 Februari ini, maka genaplah tiga tahun Tuan Guru meninggalkan kita semua.
Oleh itu, SOSCILI kali ni berbesar hati nak membincangkan perjalanan tokoh cukup berpengaruh dan berwibawa ini. Mari kita mulakan dengan mengenali Tuan Guru (atau Tok Guru) semenjak di zaman kelahirannya…
Tuan Guru Nik Aziz yang mempunyai salasilah keturunan Raja Jembal dan Banjar
Negeri Kelantan adalah salah satu negeri yang unik kalau nak dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Dari segi legendanya, Kelantan terkenal dengan nama Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong. Dikatakan Cik Siti Wan Kembang dah memerintah Kelantan dari tahun 1610 sampai 1677.
Disebabkan tak ada pewaris takhta, Cik Siti Wan Kembang dah ambil Puteri Saadong anak dari Raja Loyor daripada keturunan Raja Sakti (Raja Jembal). Raja Sakti adalah pemerintah di Jembal salah satu tempat di Kelantan. Dengan lebih tepat kawasan tu dikenali sebagai Kampung Kedai Lalat sekarang.
Sebahagian besar penduduk kampung ni adalah keturunan Raja Jembal. Jadinya pada tahun 1931, seorang anak lelaki dah dilahirkan di kampung itu dengan nama yang diberi sebagai Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
“Menurut Tok Ku Tijah, bonda tiri Nik Aziz, ayahandanya adalah daripada keturunan keempat dalam susur Keluarga Diraja Jembal.” – Tok Guru: Sebuah Biografi Awal.
Selain itu, keturunan Tok Guru juga boleh dikaitkan dengan keturunan Banjar. Sebabnya, kalau kita tengok nama Tok Guru, kita akan nampak – Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat Bin Raja Banjar. Disebabkan, itu ada juga kajian dan pihak tertentu yang mengaitkan Tok Guru dengan keturunan Banjar.
“Ramai yang mengemukan hujah termasuk orang kuat Persatuan Banjar Malaysia (PBM) serta pimpinan di kampung-kampung yang didiami masyarakat Banjar bahawa keturunan Nik Aziz berasal daripada golongan bangsawan atau pimpinan masyarakat Banjar.” – Tok Guru: Sebuah Biografi Awal.
Sebenarnya hal ni tak mustahil pun, sebabnya sejarah dah buktikan yang ramai dikalangan ulama kat Nusantara ni berasal dari keturunan Banjar. Mesti kita pernah dengar nama-nama seperti Syeikh Arsyad al-Banjari, Sheikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari, Datuk Hj Ahmad al-Banjari (ulama Brunei), Syeikh Husein Kedah al-Banjari (bekas Mufti Kedah), Datuk Ishak Baharom (bekas Mufti Selangor), Tan Sri Harussani Zakaria (Mufti Perak) dan ramai lagi.
Melanjutkan pelajaran ke India dan al-Azhar
Pendidikan agama dan disiplin dalam hidup Tok Guru dimulakan sendiri oleh bapanya – Tuan Hj Nik Mat Alim. Disebabkan itu, sejak kecil lagi, Tok Guru dah hafal beberapa surah al-Quran, hadis dan syair-syair Arab. Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS) yang juga anak saudara Tok Guru pernah cerita macam mana datuknya itu (Nik Mat Alim) jarang sekali cakap benda yang sia-sia.
“Sehingga ke hari ini Tuan Ibrahim Tuan Man, salah seorang cucunya masih mengingati kalimat hadis yang sering dilafazkan oleh Tok Ku (Nik Mat Alim) iaitu, ‘Sebahagian daripada keindahan Islam itu ialah meninggalkan perkara tidak berfaedah’ kata Tok Ku ketika menegur perbuatan beliau dan salah seorang sepupunya – Ustaz Nik Rosdi yang sedang berborak kosong di dalam sebuah bilik.” – Tok Guru: Sebuah Biografi Awal.
Masa zaman kanak-kanaknya, Tok Guru ada berguru dengan seorang ulama iaitu Maulana Tok Khurasan kat Kampung Sireh. Selepas tu, Tok Guru juga belajar di pondok seperti mana pelajar-pelajar lain masa tu, sebelum pergi ke India dan menghabiskan sebahagian besar usia remajanya kat sana.
Tok Guru pergi ke India dengan naik kapal bersama dengan seorang kawannya bernama – Ustaz Lah India. Mereka kemudiannya belajar ilmu al-Quran dan hadis Darul Ulum, Deoband, India. Majoriti penduduk kat sini adalah orang Islam dan selebihnya orang Hindu. Kehidupan Tok Guru kat sana ditaja oleh pihak Darul Ulum.
Dekat sana Tok Guru berjaya belajar dengan ramai ulama-ulama hadis, sesuai dengan nama Deoband yang terkenal dengan kehebatan ulama-ulama hadisnya. Disebabkan semua kuliah dan ceramah kat sana disampaikan dalam bahasa Urdu, jadinya Tok Guru pun lama-lama fasih dalam bahasa tu.
“Saya tak mengambil masa yang panjang untuk mahir dalam bahasa Urdu…Lebih kurang tiga bulan saya berada di sana, saya sudah boleh mengikuti kuliah yang disampaikan dalam bahasa Urdu dengan baik.” – Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Tok Guru: Sebuah Biografi Awal.
Pada tahun 1958, Tok Guru masuk pula ke Universiti al-Azhar untuk lanjutkan pelajaran dalam Sarjana Muda Bahasa Arab. Lepas tu, Tok Guru sambung lagi pengajian dalam bidang Kehakiman Syariah dan akhirnya dapat Master.
“Saya merasakan ada keganjilan apabila melihat seorang pelajar berbadan kurus kecil dengan berpakaian ala India tetapi rupa-rupanya seorang Melayu dari Kedai Lalat, Kelantan. Kitab-kitab yang dibawanya jauh lebih banyak daripada kitab-kitab yang dimiliki oleh pelajar-pelajar lain di al-Azhar.” – Dato’ Wan Hashim Wan Ahmad.
Menang dalam Pilihan Raya Kecil dan mula mengorak langkah dalam dunia politik
Bila dah tamat belajar, Tok Guru pun balik semula ke negeri Kelantan. Maka masa ni bermulalah perjalanan Tok Guru sebagai seorang pendakwah muda. Antara yang diperjuangkan oleh Tok Guru adalah menentang keras amalan khurafat dan bidaah. Dalam masa sama, Tok Guru pun mulakan kariernya sebagai seorang guru. Tak lama lepas tu, Tok Guru dilantik pula jadi pensyarah kat Kelas Dewasa.
“Kalau lidah saya ini panjang seperti panjangnya Sungai Kelantan, nescaya saya hulurkan sepenuhnya ke seluruh negeri Kelantan untuk menyampaikan seruan Tuhan kepada rakyat negeri ini” – Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Tok Guru: Sebuah Biografi Awal.
Masa ini juga Tok Guru mula menegur dasar-dasar pemerintah (UMNO) yang dilihatnya dah melencong dari ajaran Islam sebenar. Disebabkan kelantangannya ini, Tok Guru mula dihalang dan disekat dari bagi pandangannya kat majlis-majlis ceramah. Menjelang tahun 1967, bermulalah perjalanan Tok Guru dalam politik.
Tok Guru ambil keputusan untuk berhenti dari jadi pensyarah dan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil kawasan Kelantan Hilir. Itulah pilihan raya pertama Tok Guru bertanding atas tiket PAS.
“…kata sepakat telah diambil bagi mempelawa Ustaz Nik Aziz Nik Mat untuk menjadi calon. Beliau lulus Sarjana Muda dari al-Ulum, India dan menyambung pelajaran ke Universiti Azhar dengan mendapat Ijazah Sarjana…Ustaz Nik Abdul Aziz mencapai kemenangan dengan cemerlang.” – Dato’ Asri Muda, Bekas Presiden PAS. Dipetik dari Memoir Politik Asri.
Membawa PAS ke arah kepimpinan ulama dan menjadi MB Kelantan
Lepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, dah terbentuk kerjasama politik antara UMNO dan PAS. PAS masa tu dibawah pimpinan Dato’ Asri Muda yang mengambil alih kepimpinan PAS dari Dr Burhanuddin al-Helmy. Tapi kerjasama tu tak lama sebab banyak masalah dan akhirnya terbubar pada tahun 1977.
Kekalahan PAS di Kelantan pada PRU-1978 pun dah membuatkan pengaruh kepimpinan Dato’ Asri menurun. Golongan pemuda dalam PAS masa tu (termasuk Tok Guru) dah mula mempersoalkan kepimpinan Asri dan cuba memperkenalkan gaya kepimpinan ulama dalam PAS. Akhirnya, Asri terpaksa akur dengan desakan ini dan meletakkan jawatan. Tok Guru pula dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan.
Hasil dari kerjasama PAS dengan Parti Semangat 46 (S46), PAS akhirnya berjaya menang semula kat Kelantan. Sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Tok Guru dilihat orang yang paling layak pegang jawatan MB. Tapi ada masalah, bila Tok Guru pada mulanya tak nak terima jawatan tu.
“Dia seorang yang selalu bersederhana. Bila kita sedar yang kita akan menang di Kelantan pada tahun 1990, beberapa pemimpin tertinggi berjumpa dengannya untuk cakap tentang jawatan MB. Kami terpaksa tekan beliau, sebab beliau tak mahu, beliau cuma nak jadi Speaker saja.
Beliau hanya bersetuju selepas kami kata yang Hadi akan jadi MB kalau kita menang di Terengganu.” – Datuk Musthapa Ali, bekas Setiausaha Agung PAS. Dipetik dari The Star.
Rekod kemenangan PAS di Kelantan lepas tu tetap kekal sampailah ke PRU-13. Pada tahun 2013, Tok Guru memilih untuk berundur dari jawatan MB dan ia diserahkan kepada Datuk Ahmad Yaakob yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS. Dengan menangis, Tok Guru pernah meminta maaf kepada seluruh rakyat Kelantan atas segala kesalahan yang mungkin beliau lakukan semasa menjadi MB Kelantan selama 22 tahun.
Menentang sekeras-kerasnya kerjasama dengan UMNO
Walaupun Tok Guru pernah terlibat masa PAS bekerjasama dengan UMNO dulu, tapi nampaknya Tok Guru juga adalah orang yang paling menentang cadangan supaya kerjasama tu diadakan lagi. Masa isu kerjasama PAS dan UMNO ni muncul pada tahun 2013, Tok Guru secara terang menolak cadangan tu.
“Tidak boleh sesiapapun mengatur usaha untuk mengadakan kerjasama antara PAS dan Umno apa lagi secara senyap-senyap, parti ini terbuka kepada orang ramai dan milik ahli….Saya tidak bagi, selagi saya masih hidup saya tidak akan benarkan usaha untuk menjalin kerjasama PAS dan Umno dilakukan.” – Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, laporan Harakah Daily.
Selain tu, salah satu yang menjadikan Tok Guru sebagai istimewa adalah perwatakannya yang warak dan zuhud. Sepanjang jadi MB Kelantan, Tok Guru tak pernah duduk kat rumah rasmi Menteri Besar. Tok Guru juga teruskan semua rutin yang beliau buat sejak sebelum jadi MB.
Kalau korang nak tahu, Tok Guru tak ada wallet dan beliau cuma simpan duitnya dalam sampul surat putih. Ahli-ahli PAS yang perasan dengan perkara ni, akhirnya hadiahkan Tok Guru wallet buatan sendiri dengan ada logo PAS kat depan.
Selain tu, Tok Guru juga tak pernah terlepas dari sampaikan kuliah subuh dan sangat menjaga solat tahajudnya.
“Allahyarham ada berkata: Kalau kita terjaga di tengah-tengah malam itu, ia sebenarnya satu anugerah daripada Allah. Allah kirimkan malaikat-Nya mengejutkan kita supaya bangun beribadah kepada Allah.
Sebagai tanda terima kasih kerana mengejutkan kita, paling malas pun, mintalah apa-apa (berdoa) walau sedikit (meskipun kita masih di tempat tidur) kepada ALLAH. Kemudian tidurlah.” – Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani, anak saudara allahyarham. Dipetik dari Sinar Harian.
Walaupun ada banyak benda tak sependapat, Tok Guru tetap iktiraf pencapaian Dr Mahathir
Kalau dekat Malaysia, mungkin ada dua orang tokoh yang paling berpengaruh di kalangan orang Melayu-Islam. Mereka itu adalah Dr Mahathir dan Tok Guru Nik Aziz. Walaupun kedua-dua tokoh ini saling tak sependapat khususnya dalam isu Islam dan hudud, tapi itu tak buatkan kedua-dua ni bermusuh.
Masa Dr Mahathir letak jawatan dulu, Tok Guru secara terbuka ucapkan terima kasih atas keterbukaan pimpinan Dr Mahathir terhadap negeri Kelantan. Dalam satu temu ramah, Tok Guru sendiri kata ada dua perkara yang beliau kagum dengan Dr Mahathir.
“Pertamanya walaupun Kelantan ni pembangkang, tapi dia lulus RM600 juta untuk Kelantan…. Yang keduanya, dia lantang menentang Yahudi Zionis. Perkara ni buatkan negara Arab semua hormat sungguh kepadanya.
Ramai pemimpin Arab diam, takut itu ini. Tapi dia bukan orang Arab, orang Melayu tapi menentang sungguh perangai Yahudi dan Amerika ini. Ini buatkan nama Malaysia ni harum.” – Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Katanya dalam satu temu ramah.
Selain Tok Guru juga cakap walaupun mereka ni datang dari parti yang berbeza, tu tak bermakna mereka asyik menentang satu sama lain. Kalau ada perkara yang baik kita kena terima dan iktiraf. Dalam waktu sama, Dr Mahathir juga pernah kata yang beliau anggap Tok Guru ni sebagai adiknya.
Tok Guru Nik Aziz – Pemikir, pemimpin dan murabbi umat
Ketika ditanya kenapa Tok Guru masuk politik? Tok Guru ada bagitahu dengan kata – ‘Kalau kita tak jadi pemimpin, siapa yang akan dengar cakap kita?’ Perkara ini mungkin jadi selepas mengenangkan kepayahan dan usaha beliau yang tak berbaloi masa berdakwah kat kelas dewasa.
“Kalau masa itu PAS tidak ada lagi, saya sendiri akan buat PAS.” – Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru: Sebuah Biografi Awal.
Begitulah keyakinan Tok Guru dalam memperlihat sebagai gelanggang paling kuat dalam menyebarkan dakwah di bumi Malaysia ini. Insan bernama Tok Guru Nik Aziz akan terus berada dalam ingatan kita semua sebagai seorang insan yang telah mewarnai perjalan politik, pemikiran Islam dan dakwah di Malaysia. Tunggulah sehingga seribu tahun lagi, Nik Aziz sudah pasti tiada galang ganti.
“Patah, tumbuh, hilang akan pasti berganti. Itulah resam setiap yang hidup dan bernyawa. Itulah adat kepada setiap yang datang dan pergi. Dan itulah ketentuan iradat Allah SWT yang tidak boleh kita tolak sekiranya kita mengaku kita beriman.” – Tuan Guru Nik Aziz, Tok Guru: Sebuah Biografi Awal.
[Artikel ini banyak merujuk buku – Tok Guru: Sebuah Biografi Awal (tulisan Habibul Izzah Ahmad) dan Menerjang Badai: 60 Tahun Mempersada Perjuangan (tulisan Riduan Mohamad Nor)]
- 2.8KShare sekarang!
- Email25
- Facebook2.8K
- Share