Ku Li dapat sokongan? Ini 5 kerabat raja yang terlibat dalam politik Malaysia

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 13 Januari 2018 dan telah diubah suai sedikit selaras dengan perkembangan semasa. 

UPDATE 18/8/2021: Ahli Parlimen Gua Musang – Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) merupakan salah satu nama yang disebut bakal menjadi PM ke-9 selain Anwar Ibrahim, Ismail Sabri, Najib Razak dan Zahid Hamidi. Siapa yang layak? Kita tunggu saja keputusannya Jumaat nanti.

____________________________________

Lima tahun lalu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga YDP Agong kesembilan bertitah – Raja-raja Melayu tak boleh berpegang dengan sebarang fahaman politik kepartian dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negara. Sambung baginda lagi, Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri adalah bersifat berkecuali dalam kedua-dua urusan itu.

Malah menurut perkara 38(6) Perlembagaan Persekutuan, anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi berikut antaranya, “memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan.”

Tapi, macam mana pulak dengan ahli keluarga diraja yang lain? Sebab, ada je kerabat diraja di Malaysia yang join politik, macam…

1. Kerabat Kelantan yang pernah buat parti politik sendiri

Tengku Razaleigh Hamzah. Imej dari antarapos.com

Rata-rata antara kita kalau tak biasa dengan hal politik pun, mesti pernah dengar nama Ku Li. Nama dia selalu juga keluar surat khabar sebab selain daripada aktif sebagai ahli UMNO, dia juga terkenal sebab selalu dikaitkan dengan Petronas, Semangat 46 dan juga menghentam Mahathir.

Nama sebenarnya adalah Tengku Tan Sri Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah, merupakan kerabat raja yang berasal dari Kelantan. Dia merupakan bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid, dan datuk saudara kepada Sultan Kelantan yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong sekarang, Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra.

Bekas Agong Malaysia yang agak berkontroversi. Imej dari bhplus

Namanya selalu dikaitkan dengan Petronas, sebab dia adalah pengasas Petronas (Petroliam Nasional Berhad). Dia seterusnya dilantik sebagai Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, oleh Tun Abdul Razak. Selain tu, dia juga pegang pelbagai jawatan dalam kerajaan.

Dalam bidang politik pula, dia merupakan bekas Naib Presiden dan Bendahari UMNO masa tahun 1970-an. Pada tahun 1987, ada pergolakan yang berlaku dalam parti tu, yang menyebabkan wujudnya perebutan jawatan Presiden UMNO dalam Pemilihan Agung UMNO.

UMNO kemudiannya terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu proksi Mahathir dan proksi Ku Li dan Ku Li cabar Tun Mahathir Mohamad bagi merebut jawatan tersebut. Tapi, Tun Mahathir  akhirnya menang dengan perbezaan 43 undi.

Mahathir, masa menang menentang Ku Li dalam pemilihan presiden parti UMNO 1987. Imej dari sustainablelivinginstitute.blogspot.my

Jadi, Tunku Abdul Rahman yang sokong Ku Li pun suruh dia tubuhkan Semangat 46, iaitu sebuah parti politik lain yang jadi satu platform untuk ahli-ahli UMNO Lama. Parti Melayu Semangat 46 diwujudkan akibat daripada Tragedi Pengharaman UMNO tahun 1988, dan disokong oleh kedua-dua Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan ketiga, iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn.

Tunku sendiri pernah suruh orang Melayu hapuskan UMNO. Imej dari ghaflah.blogspot.my

Hebat tak hebatnya parti ni dulu, Semangat 46 berjaya menumbangkan UMNO di Kelantan pada pilihanraya 1990, hasil kerjasama dengan PAS. Maka, jadilah Kelantan sebagai negeri di bawah pemerintahan PAS yang diterajui oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, macam yang kita tengok sampai hari ni.

Parti S46 vs PAS di Kelantan. Imej dari ditelanzaman.blogspot

Tapi, Semangat 46 bertahan sampai Mei 1996 je, bila Ku Li kemudiannya membubarkan parti tu “demi perpaduan bangsa Melayu dan anggotanya menyertai UMNO”.

Semangat 46 yang terkubur. Imej dari tranungkite

Masa Mahathir tubuhkan BERSATU dua tahun lepas, ada beberapa penganalisis yang samakan parti tu dengan Parti Semangat 46 ni. Jadi, Ku Li pun menolak perbandingan tu dengan mengatakan Semangat 46 terjadi sebab hanya melibatkan ahli UMNO. Manakala Parti Bersatu adalah parti baru dan takde siapa pun minat nak join sebab keahlian Bersatu hanya terhad kepada Bumiputera dan Melayu.

“Bersatu akan menghadapi kesukaran meyakinkan rakyat. Pembangkang pun menghadapi kesukaran,” ulas Ku Li, dipetik dari FMT.

2. Bapa saudara Sultan Terengganu yang pernah menyertai PAS

Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Imej dari The Star

Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, atau lebih dikenali sebagai Tengku Paduka atau Ku Duka merupakan kerabat diraja dari Terengganu, dan lebih tepat lagi, bapa saudara kepada Sultan Mizan Zainal Abidin, iaitu Sultan Terengganu sekarang.

Selain pernah masuk UMNO, Ku Duka juga pernah terlibat dalam parti yang diasaskan Ku Li, malah merupakan Pengerusi Perhubungan Parti Melayu Semangat 46. Semasa berada dalam parti tu, Ku Duka pernah menang dalam Pilihanraya Umum 1990, dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanggol selama sepenggal.

Tapi lepas Parti Semangat 46 dibubarkan, Ku Duka kemudiannya join UMNO balik. Beberapa tahun lepas tu, dia mula minat dengan PAS, dan join parti tu pada tahun 2012 sebagai ahli biasa.

Ku Duk, masa dalam PAS. Imej dari padredeumares.blogspot.my

Tapi lepas beberapa tahun, Ku Duka akhirnya pilih untuk meninggalkan PAS pada 2015 sebab dia rasa hala tuju perjuangan parti Islam tu “tidak lagi kondusif dan tak mencerminkan kematangan ke arah memperkuatkan parti bersama rakan-rakan seangkatan dalam pakatan pembangkang yang lain”. Dalam komennya,

“Rakyat dapat melihat bagaimana ahli-ahli profesional PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) berhujah begitu lantang dalam Parlimen bagi memperkatakan satu-satu isu. Mereka ini berpengalaman dan memperoleh kelantangan berhujah namun malangnya mereka ini disingkir dalam Muktamar PAS baru-baru ini. Ini amat mendukacitakan ramai pihak.

____

“Sebagai seorang Islam benar saya sokong perjuangan ulama dalam PAS tapi dari segi politiknya kita mesti cari jalan bagi kita bekerjasama dan berdamping sesama kita untuk memperkuatkan jentera PR bagi menempuh PRU ke-14 akan datang,”

3. Adik Sultan Selangor jadi wakil Wanita UMNO Bahagian Seputeh

Tengku Puteri Zahariah binti Sultan Salahuddin. Imej dari keehuachee.blogspot.my

Tengku Puteri Zahariah binti Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah aka Ku Yah pula adalah adik kepada Sultan Selangor sekarang, iaitu Sultan Sharafuddin Idris Shah. Dia merupakan Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Seputeh (setakat kami tahu, sampai tahun 1998).

Tapi, tak banyak sangat benda yang boleh dijumpai pasal penglibatan Ku Yah dalam bidang politik ni. Dia lebih dikenali dengan kontroversi yang melandanya pada tahun 1987, yang menimbulkan kemarahan Sultan Selangor pada masa tu, iaitu Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Ku Yah merupakan puteri raja yang pernah berkahwin dengan Mat Taib, iaitu bekas Menteri Besar Selangor dari 1986 hingga 1997.

Mat Taib ni popular balik pada September tahun lepas bila Najib Razak tiba-tiba umumkan ada berita penting. Masa tu, rakyat Malaysia menanti dengan penuh debaran, dan macam-macam yang difikirkan. Tapi bila pengumuman diumumkan, apa yang penting sangat tu cuma pasal Mat Taib masuk UMNO balik lepas sertai PAS pada April 2013, dan kemudiannya PKR pada 2015.

Ramai juga la yang bengang pasal berita tergempar ni tahun lepas. Imej dari Malay Mail

4. ADUN UMNO bahagian Kempas yang kena tegur dengan Sultan Johor

Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid bin Tan Sri Tengku Hamid Jumat, lebih dikenali sebagai Tengku Putra dalam kalangan rakyat. Dia merupakan ADUN bahagian Kempas, Johor.

Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat. Imej dari The Malay Mail

Tengku Putra merupakan anak kepada Tengku Hamid Jumat, iaitu Pengerusi cawangan UMNO Singapura sejak 1954 sampai 1959, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dalam masa yang sama. Bapanya juga merupakan menteri Melayu pertama di Singapura. UMNO wujud kat Singapura masa tu pun sebab Singapura masih lagi di bawah British.

Bapa dia juga pernah jadi Duta Besar Malaysia ke Republik Persekutuan Jerman, Belanda, Filipina, dan United Arab Republic sejak 1964 hingga 1971, sebelum balik ke Malaysia dan menghembuskan nafas terakhir di sini beberapa tahun kemudiannya.

Tengku Putra merupakan satu-satunya anak Tengku Hamid Jumat yang terlibat dalam bidang yang sama. Walaupun ayah dia merupakan ahli politik, dia tak belajar hal politik daripada ayahnya, tapi dengan orang lain.

“Bagaimanapun, saya sifatkan diri saya pertama sekali sebagai patriot dan kemudian barulah ahli politik. Saya belajar politik bukan daripada arwah bapa tetapi dengan orang kampung dan tokoh besar seperti bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamad Rahmat.” – dipetik dari Kosmo.

Agak lantang bersuara, dia pernah menggesa pihak berkuasa untuk dedahkan kerabat diraja yang didakwa terlibat dalam penjualan pingat istana.

Tengku Putra hentam, dia kata gelaran kehormat sepatutnya diberikan kepada pihak yang berkhidmat pada negara ini dan bukan menjualnya kepada pembida tertinggi.

“Mereka ini mungkin ada kekebalan daripada disabitkan kesalahan atau diberi pengampunan, Tetapi rakyat harus tahu siapa mereka ini,”

___

“…Dan dalang mana dalam kerabat diraja yang bertanggungjawab atas kesilapan dalam gelaran tertinggi negara ini,” kata ADUN Kempas dalam tulisan di blog bertajuk Reveal the royal culprit”.

Kenyataan tu dibuat lepas sorang ‘Tan Sri’ ditangkap atas dakwaan cuba merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya mencadangkan namanya kepada ketua setiausaha kerajaan untuk mendapatkan pingat.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim. Imej dari malaymail.com

Tengku Putra kemudiannya ditegur dan diberi amaran keras oleh Sultan Johor, supaya jangan campur tangan dalam hal-ehwal istana atau buat kenyataan berkaitan dengan istana.

“Ini satu nasihat kepada semua ahli politik dan antaranya Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kempas.

___

“Ada pemimpin kerajaan yang langsung tidak beradab ketika bercakap dengan melabelkan orang lain sebagai gila dan lebih teruk lagi dengan angkuh dan sombong hendak menghentam anakanda saya,” – Titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dipetik dari Mstar.com.

5. Kerabat Terengganu yang didesak lepas jawatan PAS lepas masuk AMANAH

Raja Kamarul Bahrin, kerabat Terengganu. Imej dari Malaysia Dateline

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad merupakan kerabat Terengganu yang dikenali sebagai Raja Bahrin. Dia merupakan arkitek dari negeri tersebut, terkenal dalam menghasilkan beberapa bangunan ikonik seperti Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung, Muzium Negeri Terengganu (Muzium yang diiktiraf sebagai antara Muzium terbesar di Asia), Istana Melawati (Putrajaya) dan beberapa lagi yang lain.

Dalam bidang politik pula, dia merupakan calon PAS di kerusi Parlimen Kuala Terengganu untuk kerusi parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Raja Bahrin, masa jadi calon PAS tahun 2013. Imej dari Asto Awani

Tapi setahun selepas tu, Raja Bahrin mengumumkan dirinya sebagai Pengerusi Harapan Baru Terengganu dalam satu himpunan Harapan Baru pada 31 Julai 2014 di Jerteh, Terengganu. Perkara ni menyebabkan dia didesak supaya meletakkan jawatannya sebagai Anggota Parlimen Kuala Terengganu. PAS Terengganu kemudiannya memutuskan hubungan mereka dengan kerabat tu.

Menurut Raja Kamarul Bahrin, salah satu sebab kenapa dia keluar dari PAS adalah konsep perjuangan PAS yang dah berubah daripada sebelumnyaapabila dia merasakan yang “PAS dah lari daripada perjuangan asal terutama berhubung tahalluf siyasi atau kerjasama politik dengan rakan pakatan”,

“Selain itu, keputusan bersama secara konsensus bersama PKR dan DAP tidak lagi dilaksanakan oleh PAS dalam PR, manakala golongan profesional disingkir daripada Jawatankuasa PAS Pusat yang dilihat memusnahkan konsep kerjasama asal profesional dan ulama,” – Raja Bahrin, dipetik dari Sinar Harian.

Dan semasa di Muktamar Tahunan PAS di Kota Bharu,

“Dalam muktamar tersebut, acara yang dibuat PAS dilihat lebih kepada sikap nasionalisme dan terarah kepada doktrin UMNO, dari segi pakaian dan juga iringan muzik serunai.

____

“Dahulu kata serunai tidak boleh digunakan. Anak-anak muda terkejut, macam mana pula serunai boleh didengarkan. Ini menunjukkan sikap PAS dahulu lain, sekarang lain,” – Raja Bahrin, dipetik dari Sinar Harian.

PAS memang terkenal dengan sumpah baiahnya, Raja Bahrin sendiri tak terkecuali dalam melafazkan sumpah tentang ketaatan terhadap perjuangan parti tu depan Hadi Awang. Jadi untuk menebus sumpahnya tu, dia memilih untuk memberi makan kepada 10 orang miskin berbanding lain-lain.

Klik sini untuk baca pasal sumpah baiah PAS. Imej dari Soscili

Raja-raja adalah tembok terakhir untuk mengimbangkan kuasa kerajaan

Berdasarkan titah YDP, raja-raja Melayu memang tak boleh berpihak dengan mana-mana parti politik, pentadbiran dan pemerintahan negara. Tapi sebenarnya, boleh ke kerabat raja terlibat dalam politik?

Tak salah pun, semua kerabat diraja boleh melontarkan pandangan secara terbuka mengenai hal ehwal pemerintahan negeri atau negara.

“Dari segi konsep raja berperlembagaan, hanya Raja yang mempunyai sekatan untuk mengulas, maksudnya Raja hanya boleh mengulas secara berhati-hati dan tidak di hadapan umum,”

____

“Yang tidak boleh komen pasal politik hanyalah Raja atau Sultan kerana kedudukannya adalah di atas (pemerintahan). Tetapi kalau bakal Raja atau Pemangku itu boleh,” – Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz, pakar Perlembagaan dan Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Dipetik dari The Rakyat Post.

Ku Li, Ku Duka, Raja Bahrin, dan Tengku Ibrahim dalam perbincangan mereka tentang isu royalti minyak. Imej dari buletinonline.net