Tan Sri Harussani Zakaria: Dari mata-mata Special Branch (SB) ke pejabat mufti

Institusi mufti telah wujud lama di Malaysia. Bagaimanapun, ada keunikan tentang institusi mufti di negara ni jika nak dibandingkan dengan negara-negara lain. Ini kerana, setiap negeri di Malaysia ada mufti-muftinya tersendiri. Hal ehwal Islam juga tertakluk dalam bidang kuasa negeri dan bukannya persekutuan.

Mufti-mufti ini juga dipilih dari kalangan mereka yang mujtahid (ulama yang tinggi ilmunya) dalam memberikan bimbingan, nasihat dan fatwa berkaitan degan hal-hal tertentu. Menurut Dr Wahbah al-Zuhailifatwa bermaksud jawapan yang diberikan oleh mufti, pada perkara yang berlaku bila ditanyakan soalan kepadanya.

Mungkin sekarang ni, antara nama mufti yang popular dan kontroversi adalah Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin (Dr Maza). Tapi sebenarnya ada lagi satu nama yang tak kurang kontroversinya, malah lagi awal dari Dr Maza. Beliau adalah Tan Sri Dr Harussani Zakaria, Mufti Perak.

Tan Sri Dr Harussani Zakaria, Mufti Perak. Imej dari malaysiawaves.net

Oleh itu, SOSCILI kali ni nak bercerita sedikit tentang perjalanan mufti yang penuh kontroversi ini. Apa taknya, beliau telah menjadi mufti sejak tahun 1985 lagi. Mungkin ramai yang tak tahu, Harussani jugak…

Pernah jadi SB sebelum jadi mufti

Tan Sri Harussani dilahirkan di Parit Buntar, Perak pada 8 April 1939. Ayahnya berketurunan Banjar dan berasal dari Banjarmasin sebelum berhijrah ke Tanah Melayu. Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Melayu Kampung Kedah dan seterusnya melanjutkan pelajaran menengah di Anglo Chinese School, Parit Buntar, Perak.

Seterusnya, beliau pergi ke Madrasah Idrisiah masa berumur 17 tahun. Masa tu, Sheikh Zubair jadi pengetua dan Ustaz Salleh Billah jadi naibnya. Disebabkan sifat kepimpinan beliau, pihak madrasah melantik Harussani sebagai Ketua Umum Madrasah yang bertanggungjawab mengawal disiplin pelajar dan menjadi wakil pelajar. Disebabkan Sheikh Zubair masa tu sangat tegas dengan pelajar, maka berlakulah mogok pelajar beberapa kali.

Almarhum Sultan Yussuf Izzudin bersama guru-guru Madrasah Idrisiah. (Sumber: Dr Hj Zabidi Hj Nawawi). Imej dari sembangkuala.wordpress

Selaku wakil pelajar, beliau pun berunding dengan pihak mudir sehingga menyebabkan beberapa pelajar dibuang sekolah. Beliau pun masa tu dituduh jadi orang yang melaporkan hal mogok tu, sampai buatkan ramai pelajar tak puas hati dengannya. Disebabkan perkara tu, dia berhenti dan pindah ke Sekolah Agama Al Attas, Johor Bharu. Seterusnya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Malaysia, Klang dan mendapat Sijil Tertinggi Kolej dan Diploma Pendidikan.

Selepas tu, bermulalah tugas beliau sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas di Cawangan Khas (Special Branch), Kementerian Dalam Negeri (KDN). Jangan main-main, Harussani pernah jadi SB tau! Tak lama lepas tu, dia dilantik menjadi kadi kat Jabatan Agama Islam Pulau Pinang sampai tahun 1973.

Imej dari Giphy.

Akhirnya pada tahun 1985, beliau dilantik oleh Sultan Perak sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perak. Maka bermulalah perjalanan Harussani sebagai seorang mufti. Pelbagai isu dan kontroversi juga mula diulas dan dikaitkan dengan beliau, seperti…

Mendakwa 100,000 orang Islam Malaysia dah murtad

Pada tahun 2006, Harussani dah keluarkan satu kenyataan yang mengejutkan bila dia dakwa hampir 100,000 orang Islam di Malaysia dah murtad! Apa yang lebih mengejutkan, ada jugak ‘ustazah’ yang dikatakan murtad sekali.

“Terdapat seorang wanita bergelar ‘ustazah’ turut mengetuai kumpulan ribuan mereka yang murtad ini.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari Malaysiakini.

Lepas je dari pendedahan tu, maka banyaklah dakwaan tersebar di internet, yang ada di antaranya mendakwa jumlah sebenar lebih besar iaitu seramai 120,000 orang Islam di Malaysia dah murtad. Bagaimanapun, dakwaan ini dinafikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Penafian JAKIM. Klik imej untuk baca.

Pada tahun yang sama jugak, muncul satu lagi kontroversi berkaitan dengan murtad. Kontroversi tu jadi bila berlakunya penyebaran SMS yang mendakwa sekumpulan orang Melayu dan Islam akan dikristiankan kat sebuah gereja. SMS tu jugak mengatakan yang Pelayar Negara, Datuk Azhar Mansor akan mengetuai upacara membaptis sekumpulan pelajar. 

SMS ni jugak sampai ke Harussani. Penghantar SMS tu dikenali sebagai seorang wanita yang berkelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar, Mesir.

“Setelah kembali (ke Malaysia), dia menyertai kumpulan mubaligh yang melakukan kerja sosial. Dia kemudiannya memeluk agama Kristian dan sekarang mendakwa telah kembali semula kepada Islam. Dia datang bersama suaminya (ke rumah saya) sehari sebelum Hari Raya.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari The Star.

Menurut Harussani lagi, wanita tu jugak bawa CD dan dokumen yang mengaitkan Azhar Mansor dengan upacara membaptis pelajar Melayu. Beliau kemudiannya menyerahkan semua bahan tu kepada pihak polis untuk disiasat.

Datuk Azhar Mansor pernah mengharumkan nama negara dengan melakukan pelayaran solo ke serata dunia. Imej dari The Star.

Tak lama lepas tu, pihak polis menahan wanita yang dikenali sebagai Raja Sherina dan suaminya untuk membantu siasatan. Azhar Mansor pun buat sidang media yang menafikan dirinya dengan dakwaan tersebut.

“Tanggungjawab saya, pegangan dan iman saya hanya pada Allah Ta’ala. Saya menjalani hidup mengikut hukum syarak dan undang-undang negara…

Tak pernah pun di mana-mana di dunia ini atau di negara ini saya membuat permohonan keluar dari Islam. Saya tak pernah bercadang pun untuk berbuat demikian.” – Datuk Azhar Mansor, Pelayar Negara. Dipetik dari Malaysiakini.

Disebabkan dengan kontroversi murtad ni, Harussani ada mencadangkan supaya Akta Murtad diwujudkan untuk menyekat dan menghalang sebarang aktiviti memurtadkan umat Islam. Cadangan ni jugak disokong oleh Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid. Walaupun begitu, sehingga hari ini akta tersebut masih belum digubal.

Menentang pemecatan Anwar Ibrahim

Mungkin ada di antara kita yang pernah dengar ada orang menggelar Harussani sebagai Mufti UMNO, malah lebih keras sebagai pencacai UMNO. Walaupun begitu, ada fakta menarik yang boleh kita bincangkan di sini.

Ini kerana, masa Dr Mahathir nak pecat Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, Harussani jadi antara orang yang menentang tindakan itu.

“KEADILAN (Parti Keadilan Rakyat, PKR) mengalu-alukan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengakui pernah menasihati bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak memecat Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan liwat tanpa membawa empat saksi.” – Dipetik dari Keadilan Daily.

Gerakan reformasi selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Imej dari malaysiaoutlook.com

Ini kerana, baginya pemecatan Anwar Ibrahim boleh menjadi punca perpecahan orang Melayu-Islam di negara ini. Menurutnya lagi, hubungan beliau dan Dr Mahathir sebenarnya baik dan banyak perkara yang beliau tegur diterima oleh Dr Mahathir. Tapi ada juga yang tak, macam kes pemecatan Anwar Ibrahim.

“…Ketika kita masuk nak menasihatkan dia, kami ditahan oleh Tan Sri Ahmad Sarji, boleh tanya dia sekarang. Dia kata ‘tak boleh masuk’. Saya kata, pecat dia (Anwar) ni, dia punya pengaruh bukan sedikit. Akan pecah Melayu, rosak nanti. Dia (Ahmad Sarji) masuk (jumpa PM) dan dia keluar, dia kata PM tak nak jumpa.

Saya juga nasihatkan, kalau nak pecat dia (Anwar), buat cabinet reshuffle. Turunkan dia dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, jadikan dia menteri lain. Tak nak dengar.

Yang kedua, bila nak buat tuduhan liwat. Saya pergi dan kata jangan buat tuduhan liwat, kalau tak ada saksi dan tak ada itu ini, buruk padahnya. Pun (saya) kena halau.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari Wacana Sinar: Ulama politik untuk Dakwah atau Parti.

Imej dari tv14.my.

Selain tu, Harussani juga ada cerita tentang hubungannya dengan Perdana Menteri-Perdana Menteri lain. Seperti Tun Abdul Razak yang beliau sifatkan sebagai seorang yang mudah didekati dan mendengar nasihat-nasihatnya

“Sepanjang berkhidmat, saya cuma tidak pernah berjumpa dua Perdana Menteri (PM) iaitu almarhum Tunku Abdul Rahman al-haj dan allahyarham Tun Hussein Onn. Yang lainnya, saya ada berjumpa dan memberi nasihat mengikut apa yang termaktub dalam al-Quran dan al-sunnah.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari Utusan  Malaysia.

Krisis politik Perak dan isu perpaduan Melayu

Mungkin apa yang berlaku di Perak pada 2009, menjadi antara krisis politik terbaru yang pernah berlaku sebelum krisis Menteri Besar Selangor pada 2014. Krisis politik Perak berlaku apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat Perak bertindak keluar parti dan menjadi wakil bebas. Diorang ni kemudiannya mengisytiharkan diri sebagai wakil bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Ini dah membuatkan, BN dapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan BN mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat jugak 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi. Maka terbentuklah kerajaan negeri baru di bawah BN dengan melantik Dr Zambry Abdul Kadir sebagai MB Perak yang baru. Kes ni pernah dibawa ke mahkamah, tetapi mahkamah akhirnya memutuskan pelantikan Zambry sebagai MB adalah sah mengikut perlembagaan. 

Memang dah tekad pakcik ni. Imej dari daengselili.blogspot

Tapi masa krisis ni jadi, banyak juga benda yang berlaku macam persidangan DUN bawah pokok oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat, demonstrasi kat luar DUN Perak dan cubaan menghalang kereta yang membawa Raja Muda Perak ketika majlis angkat sumpah MB. Disebabkan perkara ni, Harussani keluarkan kenyataan bahawa boleh dianggap derhaka jika kita tidak mentaati pemerintah.

Sebenarnya, sebelum krisis ni jadi iaitu lepas je PRU 2008, Harussani ada rancang supaya satu kerajaan negeri dibentuk hasil dari kerjasama UMNO dan PAS di Perak. Ini kerana, baginya itu adalah peluang untuk negeri Perak ditadbir seratus peratus oleh orang Melayu dan Islam. Malah, hal ni juga didakwa telah dipersetujui oleh Sultan Perak dan dua kepimpinan tertinggi PAS (Tuan Guru Nik Aziz & Hadi Awang). 

“Saya pergi…dan pukul 5 pagi saya sampai ke Kelantan…saya ke masjid dan saya sembahyang di belakang Tuan Guru Nik Aziz…(Lepas habis kuliah) dia pandang ke belakang, nampak saya terus dia pegang tangan saya dan pergi ke rumah.

Saya beritahu dia ini peluang kita orang Islam memerintah. Ini saya kata telah dipersetujui oleh sultan, bahkan dah dipersetujui oleh Pak Lah sendiri sebagai Perdana Menteri. Dia kata tak boleh nanti kena tipu. Sebab dulu kita dah kena tipu.

Saya pun kata, tuhan pun kalau orang murtad kembali mengucap kalimah syahadah, tuhan terima. (Akhirnya), dia kata pendapat ni bagus juga. Tapi dia tak dapat buat keputusan sebab dia hanya mursyid, yang berkuasa adalah presiden.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari Wacana Sinar.

Tak berapa lama lepas tu, beliau terima pula panggilan dari Presiden PAS yang menyatakan sokongan terhadap cadangan tu. Tapi nampaknya ia kena dapat persetujuan dari Pesuruhjaya PAS Perak dulu, Ustaz Ahmad Awang (sekarang Penasihat Am AMANAH).

“Bila saya telefon Ahmad Awang, dia kata tak boleh. Katanya, ‘kita lebih baik berkawan dengan orang kafir dari berkawan dengan orang Islam zalim’. Saya pun kata…orang kafir Quran kata mereka ini tetap zalim.

Tapi orang Islam, kalau kita pujuk kita betulkan, insyaallah boleh betul. Dia kata kita ada kaedah…dan dia letak telefon.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari Wacana Sinar.

Maka tak menjadilah kerjasama di antara UMNO dan PAS di Perak, habis cerita. Tapi, cerita ni disangkal oleh Ahmad Awang.

“Sebenarnya punca krisis politik Perak ini segala-galanya bermula dari UMNO Perak yang tidak bersedia menerima kekalahan mereka dalam PRU ke-12 pada Mac 2008. Sejak dari keputusan diumumkan oleh SPR yang menunjukkan UMNO/BN Perak hanya memenangi 28 kerusi dari 59 kerusi DUN Perak, mereka terus merancang untuk menggagalkan penubuhan kerajaan Perak dari pakatan parti-parti pembangkang PAS/PKR/DAP.

Pada malam keputusan tersebut diumumkan UMNO telah menghubungi beberapa ADUN PAS untuk melompat parti dengan tawaran RM berjuta. Orang yang pertama mendapat tawaran itu ialah Ir. Hj.Nizar Jamaluddin, ADUN Pasir Panjang (kini Dato’ Seri).” – Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Perak ketika itu. Dipetik dari Detik Daily.

Imej dari usahmadawang.blogspot

Kontroversi bughah yang menghalalkan darah

Pada awal tahun 2014, sekali lagi kenyataan Harussani menimbulkan kontroversi. Kali ni pasal kenyataannya yang kata peserta demonstrasi pada malam 31 Disember 2013 yang bersama-sama dengan orang ramai di sambutan kedatangan Tahun Baru 2014 sebagai bughah atau pemberontak.

Apa jadi lebih kontroversi, beliau kata darah mereka ni adalah halal. Kenyataan keras tu dah mengundang banyak reaksi terutamanya reaksi negatif dari parti-parti pembangkang dan masyarakat.

Antara peserta protes. Imej dari Sinar Harian.

Menurut Imam Taqiyuddin Abi Bakr, perkataan bughah dalam istilah syarak adalah merujuk kepada segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka kepada ulil amri (pemerintah), iaitu pemerintah/kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam. 

Mengikut laporan, protes yang dikenali sebagai Protes Rakyat Ambang 2014 tu bertujuan untuk membantah kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat di Malaysia. Bagaimanapun, penganjur protes tersebut, menafikan ia perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan

Ni baru protes…

Tapi masa protes tu berlaku, ia dah menyebabkan dua orang polis cedera akibat dirempuh peserta himpunan dan ada juga kes macam balingan botol ke atas pentas persembahan. Polis juga mendakwa jumpa empat parang panjang dan tiga pisau rambo masa melakukan rondaan. Malah, seorang lelaki dah ditahan sebab ada bom buatan sendiri yang dipercayai nak diletupkan masa perhimpunan tu.

Mungkin disebabkan perkara ini, beliau menganggap tujuan himpunan itu ada untuk menderhaka. Menurutnya lagi, perkataan ‘guling kerajaan’ dah ditukar kepada ‘Turun’ sebab ia tak mendapat sokongan ramai. Walaupun begitu, hasrat protes itu tetap sama.

“Jika benar tidak setuju dengan harga barang dan kenaikan kos sara hidup, buatlah cara yang betul. Pergi pejabat Perdana Menteri, beri memorandum.

Demonstrasi bukan penyelesai kepada masalah, malah ia menambah masalah kepada orang lain. Saya sendiri, kalau ada yang tidak kena, saya akan jumpa Perdana Menteri dan nyatakan apa yang benar mengikut ajaran Islam.

Tapi, kalau berkaitan ekonomi atau yang lain-lain, itu bukan kepakaran saya.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari Sinar Harian.

Imej dari Sinar Harian.

Walaupun begitu, kenyataan tersebut masih lagi dianggap tak sesuai dengan apa yang berlaku. Seperti mana pandangan yang diberikan oleh ilmuan besar Islam, Dr Wahbah al-Zuhaili:

“…kesahihan bagi seseorang atau kumpulan dapat diistilahkan sebagai ‘bughah’ hanya dengan kewujudan senjata yang banyak sehingga pihak pemerintah terpaksa membekalkan senjata dengan banyak untuk tujuan mempetahankan diri. Justeru, banyak wang dan persiapan ketenteraan yang diperlukan bagi menghadapi pemberontak.” – Dr Wahbah al-Zuhaili.

Bagaimanapun, Harussani ada mengeluarkan kenyataan penuh berkenaan dengan perkara ini. Beliau juga menyatakan yang sekirnya berlaku percanggahan pandangan tentang isu ini, ia merupakan pemahaman dan pendapatnya sendiri.

“Saya tiada niat lain kecuali mencari redha ALLAH dan melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari Sinar Harian.

Mendakwa GST sebagai membebankan rakyat

Masa tahun 2005 dulu, ada satu kontroversi pasal sosej kat Malaysia. Isunya adalah bila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan, sarung kulit sosej yang diimport tidak diketahui berasal dari sumber yang halal atau tidak. Makanya, Harussani ketika itu mengeluarkan fatwa mengharamkan orang Islam dari memakan sosej yang diragui status halalnya. Selain isu ini, banyak lagi isu yang disentuh oleh beliau seperti:

  1. Mengharamkan Sure Heboh/Jom Heboh yang dianjurkan TV3, kerana dianggap ia melalai dan menggalakkan maksiat di kalangan anak-anak muda.
  2. Mengatakan sukan gimnastik bukan untuk wanita Islam, kerana menunjukkan aurat dan bentuk tubuh badan yang jelas haram hukumnya.
  3. Mengharamkan tarian poco-poco yang didakwa mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.
  4. Menganggap tindakan PM Najib Razak datang ke sambutan Thaipusam sebagai menggadaikan akidah.
  5. Mengharamkan zakat dibayar secara terus kepada asnaf, kerana dah ada badan yang dilantik oleh kerajaan untuk mengutip zakat dan masyarakat wajib membayar zakat kepada badan tersebut.
Sapa yang dah pernah buat dulu, jangan buat lagi. Imej asal dari beritasatu.com

Pada tahun ini juga, Harussani ada keluarkan pendapatnya pasal pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Katanya, pelaksanaan cukai tu hanya membebankan dan tak mengikut syarak.

“Walaupun ia (GST) menguntungkan kerajaan, namun ia telah membebankan rakyat dan kaedahnya adalah tidak kena….Jika nak laksanakan GST, sewajarnya ia dikenakan kepada golongan peniaga dan usahawan…Jangan kenakan kepada pembeli kerana mereka akan semakin terbeban dengan pelaksanaan oleh kerajaan ini.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari Sinar Harian.

Pendapat beliau dalam hal ni jugak disokong oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. Ini kerana, sebarang tindakan dan polisi kerajaan yang membebankan rakyat adalah haram kerana ia bercanggah dengan nilai keadilan yang dianjurkan oleh Islam.

Kritikan ini menunjukkan tak ada yang terlepas dari kritikan Harussani, sama ada pihak kerajaan atau pembangkang. Walaupun beliau sebelum ini selalu dikaitkan sebagai pro kerajaan dan menyokong kerajaan.

Seperti haram gulingkan kerajaan, menyokong keputusan Sultan Perak masa krisis politik Perak, menegur Tuan Guru Nik Aziz (allahyarham) yang menetapkan syarat untuk bermuzakarah dengan UMNO dan sebagainya. Sehinggakan beliau pernah digelar sebagai agen UMNO.

Harussani dan Mufti Kedah, Dato Sheikh Muhamad Baderuddin dalam satu majlis. Imej dari adunsemanggol.blogspot

Bagaimanapun, Harussani menafikan yang beliau menyertai mana-mana parti tertentu sama ada UMNO atau PAS. Ini kerana, baginya parti-parti politik hanya memecah belahkan masyarakat.

Harussani akan kekal tetap diingati sebagai seorang mufti kontroversi

Pada tahun lepas, ada satu NGO telah bagi anugerah ‘menghina intelektual’ kepada beliau. Tapi beliau nampaknya tak berkecil hati dan anggap anugerah tu sebagai menyerlahkan lagi ‘kebodohan’ penganjur.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menziarahi Harussani Februari lepas. Imej dari malaysiadateline.com

Oleh itu, perkara yang cukup penting sekarang adalah, para mufti, pendakwah dan ahli agama sepatutnya mengelakkan diri mereka dari dieksploitasi. Ini kerana, mufti sepatutnya dihormati dan mereka tak sepatutnya menjerumuskan diri mereka ke situasi yang tidak dihormati.

“Mereka perlu mencari wacana khusus untuk mereka membincangkan isu-isu yang ditimbulkan pihak tertentu, sebelum disebarkan kepada pengetahuan masyarakat.

Kita perlu meniru raja-raja Melayu yang tidak bercakap sendiri. Raja-raja akan bercakap melalui pembantunya…Mufti tidak akan masuk surat khabar.

Mufti akan memberi fatwa melalui majlis fatwa kerana pengaruh mereka cukup besar dalam masyarakat.” – Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi.

Walaupun begitu, nama Tan Sri Harussani akan kekal sebagai seorang mufti dan ilmuan agama kontroversi yang pernah mewarnai negara ini. Walau apa pun, dakwaan yang diberikan kepada beliau, sumbangan dan pengalamannya tidak dapat sesekali dilupakan.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.