Hj Hadi kerap mimpi jumpa Nabi? Ini 3 jenis mimpi dalam Islam menurut ulama’

Setiap malam, hampir semua dari kita akan tidur dan dibuai mimpi. Ada kadang-kadang, mimpi tu kita ingat dengan jelas dan ada jugak yang automatik kita lupa bila bangun pagi. Tapi kenapa kitorang tiba-tiba cerita pasal mimpi ni?

Sebenarnya, sejak beberapa hari ni media sosial Malaysia kecoh pasal isu mimpi. Semuanya bermula bila Naib Presiden PAS, Nik Mohd Amar kata yang Tuan Guru Hj Hadi (Presiden PAS) ada mimpi berjumpa dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (bekas Mursyidul Am PAS).

Dikatakan Nik Amar dengar cerita tu masa diorang sama-sama bincang pasal calon untuk kawasan Pangkalan Chepa. Dalam mimpi tu, Tok Guru Nik Aziz datang jumpa Hj Hadi dengan kaki sebelah je.

“…Kaki sebelah sahaja Tok Guru, lepas tu orang tolak, orang lontar, orang buat macam-macam. Hampir nak rebah. Jadi, hari ini makna mimpi tu nampaklah pada kita (bahawa) orang yang berlawan dengan kita ni (Nik Omar), datang dari kaki sebelah (yang tiada pada Nik Aziz).” – Nik Mohd Amar, Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Klik sini kalau nak baca artikel tentang Tok Guru.

Seperti mana yang kita tahu, anak kedua Tok Guru Nik Aziz – Nik Omar ada bertanding kat DUN Chempaka atas tiket Pakatan Harapan (PKR). Berita ni dah mengejutkan banyak pihak, khususnya PAS Kelantan. Sebabnya, Nik Omar sebelum ni ada kata yang dia tak jadi bertanding sebab tak dapat restu ibu.

Tak lama lepas tu, kita dengar pulak kenyataan dari Mursyidul Am PAS – Ustaz Hashim Jasin yang kata Hj Hadi selalu mimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Sebelum ni, pendakwah terkenal Ustaz Ahmad Dusuki pun ada kata yang Tok Guru Nik Aziz pernah minta dia supaya sentiasa mendampingi Hj Hadi. Antara sebabnya, Tok Guru Hj Hadi dibagi kelebihan iaitu dah dua kali mimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW.

Jadinya, SOSCILI kali ni terpanggil untuk berbincang pasal mimpi-bermimpi ni. Apa yang dimaksudkan dengan mimpi sebenarnya?

Ada tiga jenis mimpi dalam Islam

Pertamanya adalah mimpi sebagai mainan tidur. Kita selalu dengar pasal mimpi yang macam ni, dan kita semua juga mesti pernah alaminya. Menurut kajian, mimpi yang macam ni banyak dipengaruhi dengan emosi dan psikologi. Hal ni boleh jadi bila kita terlalu fokus dengan sesuatu sampai hal tu masuk dalam mimpi.

Mimpi kedua pulak dikenali sebagai mimpi gangguan syaitan atau ‘Adghathu Ahlam‘. Antara hujah macam mana mimpi ni boleh jadi adalah bila sifat syaitan tu sendiri yang boleh masuk dalam tubuh manusia.

“Sesungguhnya syaitan (mampu) bergerak dalam (tubuh) manusia melalui pembuluh darah” – Sahih Bukhari dan Muslim.

Eeee… Seram~~~ Imej dari Giphy.

Mimpi yang ketiga pulak adalah mimpi benar atau perkhabaran yang soleh. Ia berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

Tidak tinggal lagi kenabian melainkan al-Mubasysyirat (perkhabaran gembira). Para sahabat bertanya apakah perkhabaran gembira itu? Baginda menjelaskan: Ia adalah mimpi yang benar.” – Sahih Bukhari.

Hal ni termasuklah dalam kes mimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Mimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW sebenarnya satu rahmat, sebabnya…

“Sesiapa yang bermimpi melihat aku sesungguhnya ia akan melihat aku di waktu jaga atau seolah-olah ia melihat aku semasa jaga, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupai ku.” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Antara bukti kebenaran mimpi berjumpa Rasulullah adalah apabila syaitan tak boleh menjelma menyerupai Nabi.

Isu melihat Rasulullah secara jaga atau ‘yaqazah’

Selain dari mimpi bertemu Nabi, ada juga isu lain iaitu yaqazah. Dalam hal ni, seseorang tu mendakwa yang dia dapat melihat Nabi secara jaga dan bukannya dalam mimpi. Hal ni kita boleh nampak kat majlis-majlis tertentu (selalunya tarekat) yang orang ramai mengangkat tangan atau melambai kononnya Nabi datang dalam majlis zikir diorang.

Sebenarnya, ulama ada beberapa pendapat pasal isu yaqazah ni, ada yang terima dan ada juga yang tolak. Menurut JAKIM, majoriti ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ) menolak berlakunya yaqazah dengan Rasulullah SAW atau mereka yang dah mati.

Antaranya adalah pandangan Imam Nawawi yang kata melihat Rasulullah SAW secara jaga tu cuma khusus untuk mereka yang ada masa zaman Rasulullah SAW je. Keduanya, orang yang mimpi jumpa Rasulullah SAW akan boleh betul-betul lihat apa yang dia nampak dalam mimpi tu kat akhirat nanti. Pendapat Imam Ibnu Hajar pula:

“…Ia mengelirukan kerana sekumpulan besar di kalangan sahabat telah bermimpi bertemu Nabi SAW (setelah baginda wafat) tetapi tiada seorang pun yang melihatnya secara jaga dan perkhabaran yang benar tidak boleh disanggah.” – Dipetik dari buku: Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, terbitan JAKIM.

Dulu kumpulan al-Arqam pun kata boleh tengok Nabi secara yaqazah. Imej dari revolusimelayubaru.blogspot

Tapi dalam masa sama, ada juga ulama yang membenarkan perkara ini seperti Imam Sayuti dan Imam al-Subki. Walaupun begitu, mereka mengatakan perkara ni hanya boleh jadi melalui karamah para wali. Karamah tu pulak kena difahami sebagai sesuatu yang diperoleh bukan dari dipelajari atau diminta.

Tapi kita juga jangan lupa, syaitan tu pandai bermain tipu daya

Selain mimpi berjumpa Nabi, kita juga selalu dengar cerita mimpi berjumpa dengan orang yang dah mati. Dalam hal ni, kita kena peka dan tarik nafas panjang-panjang untuk faham. Sebabnya, walaupun seseorang tu dakwa yang dia mimpi berjumpa dengan Nabi, tapi kesahihan cerita tu masih lagi boleh diragukan.

Hal ni dah dibincangkan kat Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994 lagi. Hasilnya, Majlis Fatwa ambil beberapa keputusan seperti:

  1. Mimpi seorang Nabi dan Rasul adalah wahyu yang menjadi hukum adalah benar.
  2. Mimpi orang ramai di zaman Rasulullah SAW seperti melihat baginda dalam tidur sama seperti melihat Rasulullah SAW dalam masa jaga adalah khusus di zaman semasa baginda masih hidup.
  3. Orang Islam yang mimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW akan dapat jumpa dengan Nabi masa kat akhirat nanti dan akan dapat syafaat dari Rasulullah SAW.
  4. Mimpi orang awam bukan hujah terhadap satu hukum atau berita atau satu kenyataan.
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Tan Sri Dr Abd Shukor Husin (tengah), Ketua Pengarah JAKIM – Datuk Othman Mustapha (kiri) & Penasihat Perundangan Syariah Jabatan Peguam Negara – Tan Sri Sheikh Al Ghazali Abdul Rahman. Imej dari BH Online.

Menurut Dr Maza (Mufti Perlis), memang ada dalam hadis yang kata syaitan tak boleh menyerupai Nabi. Tapi dalam masa sama, syaitan boleh menyerupai orang lain yang kita sangka sebagai Nabi.

“Sebab itu apabila ada orang beritahu kepada Hassan (cucu Rasulullah) bahawa dia mimpi bertemu dengan Nabi. Hassan kata: Ceritakan kepada ku Nabi itu macam mana? Orang itu pun cerita sekian-sekian. Jawab Hassan: Itu syaitan. Memang benar syaitan tak boleh menyerupai Nabi, tapi dia boleh menyerupai orang lain yang kita sangka Nabi.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Mimpi tak boleh dijadikan hujah atau hukum

Seperti mana yang diceritakan tadi, mimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW masih lagi boleh diragui dan dipertikaikan. Kerana itulah kalau kita mimpi berjumpa dengan Nabi, kita digalakkan untuk tak hebohkan cerita tu supaya tak timbul fitnah.

“…Sebab itu para ulama salaf tak menceritakan hal ini, kecuali kepada orang yang terdekat dengan mereka sahaja.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Mimpi koboi Labu dan Labi. Imej dari wayneharraz.com

Dalam kes mimpi berjumpa dengan orang yang dah mati pulak, ada ulama yang berpendapat perkara tu boleh berlaku. Seperti mana diriwayatkan oleh Sa’id bin Jubair yang kata Allah dah mengumpulkan roh-roh orang yang hidup dan yang dah mati di dalam mimpi. Kemudiannya Allah menahan roh orang yang dah mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula (berdasarkan Surah al-Zumaar:42).

“Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang yang masih hidup ketika mereka sedang tidur (di dalam mimpi).” – Antaranya pendapat Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah, dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dalam masa sama, kita juga dibagitau yang mimpi tak boleh dijadikan hujah dan hukum. Malah Imam al-Syatibi pernah kata yang selemah-lemah hujah adalah orang yang ambil amalan agama dengan bersandarkan mimpi. Apatah lagi bila menggunakan mimpi sebagai hujah menyalahkan pihak lain.

Perkara ni kita boleh nampak jelas bila mimpi atau yaqazah tak dijadikan hujah masa berlakunya Perang Jamal dan Perang Siffin. Semua orang tahu yang kedua-dua perang ni sangat mendukacitakan bila Saidatina Aisyah berperang dengan Saidina Ali (Perang Jamal) dan Saidina Ali berperang dengan Muawiyah dalam Perang Siffin.

Walaupun ramai sahabat yang terlibat dan berkecuali dalam kedua-dua perang ni, tak ada seorang pun yang menggunakan hujah mimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW.

“Namun, tidak pernah sesiapa pun dalam kalangan mereka – sekali pun mereka sahabat Nabi yang rapat- menggunakan nama Nabi SAW – untuk menghukum kufur atau sesat ataupun musuh Islam kepada pihak yang berlawanan dengan mereka dalam isu-isu yang terbabit.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Zaman fitnah apabila terjadinya Perang Jamal antara Saidina Ali dan Saidatina Aisyah. Imej dari quranalonebesthadith.wordpress

Kita kena hati-hati dalam mentafsirkan mimpi

Menurut pendakwah Dr. Amran Kasimin, syaitan juga selalu mengganggu manusia melalui mimpi – macam mimpi buruk. Ada juga kes syaitan mengajar seseorang yang buat amalan tradisional melalui mimpi.

“Makhluk ini juga ada kalanya datang dalam mimpi, mengajar satu dua potong ayat al-Quran, yang akhirnya diamalkan oleh orang yang didatangi mimpi tadi membolehkannya terlibat dengan rawatan.” – Dr Amran Kasimin, dipetik dari Utusan Malaysia.

Dalam hal mentafsir mimpi pulak, kita juga kena tahu bukan semua orang ada kebolehan macam tu. Sebab tu, jangan la kita tertipu dengan banyak buku tafsir mimpi atau maklumat-maklumat yang kita dapat kat media sosial.

Macam mana pulak kalau mimpi dapat sotong? Imej dari tafsiranmimpi.com

Malah para ulama juga menetapkan – sesiapa yang tak ada keahlian dalam tafsir mimpi, maka haram untuknya mentafsirkan mimpi tanpa ilmu.

“Imam Malik pernah ditanya: “Bolehkah sembarang orang mentafsirkan mimpi?” Beliau menjawab: “Apakah ia hendak bermain-main dengan kenabian? Mimpi adalah satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh bermain-main dengan kenabian.” Demikian diriwayatkan oleh Ibn Abdil Bar dalam kitab Al-Tamhid.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.