7 rakyat Malaysia berkongsi pengalaman pada 13 Mei 1969

(Baca artikel asal dalam Bahasa Inggeris. Untuk membaca kisah 5 lagi rakyat Malaysia yang berkongsikan kisah 13 Mei mereka, klik di sini.)

Bayangkan korang bangun pagi dan tiba-tiba rakyat Malaysia saling berbunuhan, dan tiba-tiba kawan, rakan sekerja, jiran, malah uncle kedai yang biasanya peramah kini tiba-tiba pandang korang dengan penuh kebencian dan mula memberi ancaman hanya disebabkan warna kulit. Bayangkan kedai-kedai yang korang biasa datang kini tinggal simen dan batu-bata je dan setiap detik penuh dengan ancaman maut.

Itulah yang berlaku 46 tahun yang lalu sewaktu rusuhan 13 Mei, 1969 yang secara rasminya mencatat kematian sebanyak 200 orang.

may-151
Original image from HelenAng.

Peristiwa ini memang pedih, ada antara kita yang lebih rela melupakannya. Tapi bagi generasi yang lahir selepas 1969, mereka mungkin tak tahu macam mana rasanya berada dalam situasi tersebut, nak lagi bila “13 Mei” hanya menjadi istilah yang digunakan untuk menakut-nakutkan atau mencetuskan kembali ketegangan.

Jadi kami pergi bertanya dengan individu yang menempuhi peristiwa tersebut dengan mata kepala sendiri (kebanyakannya ibu-bapa pada kawan-kawan kami), dan ini yang kami dengar…

1. Aunty Liza (berumur 10 tahun pada 1969)

Saya ada di situ pada waktu itu. Saya darjah 4 dan saya lihat kebakaran dan pembunuhan dari Jalan Chow Kit ke rumah saya di Kampung Baru.

Saya dan kakak sedang membeli buku sekolah. Dalam perjalanan pulang, saya berhenti untuk berbual dengan kawan di Jalan Raja Alang sewaktu kakak saya meneruskan perjalanan ke rumah. Lebih kurang 3 petang, ianya berlaku. Parti politik sedang membuat protes dengan bendera-bendera mereka. Tiba-tiba, orang ramai jadi kasar macam samseng. Tak kiralah bangsa, mereka mula bergaduh. Saya berlari balik rumah, saya tak ingat betapa lajunya saya lari.

may13b
Demonstrasi daripada penyokong DAP. Imej dari JebatMustDie

Di tempat tinggal saya, mereka sembur gas pemedih mata sampai kitorang tak dapat buka mata dan susah bernafas. Kami berdoa sehinggalah ke akhir. Perintah berkurung juga menghalang kami daripada keluar rumah, dan waktu tu tandas adalah terasing di luar jadi kami tak dapat gunakannya sewaktu. Sesiapa yang keluar rumah akan ditembak oleh askar Gurkha.

Kami juga tak dapat beli makanan kerana perintah larangan, dan walaupun ianya dihentikan buat beberapa jam, semua kedai runcit naikkan harga mereka. Jadi kami buat bubur atau makan nasi dengan pisang. Memang susah. Bila pergi kedai, kami tak tahu siapa lawan dan siapa lawan. Kawan baik Cina saya pun layan saya seperti musuh – dan waktu tu kami budak-budak je.

Pendapat tentang keharmonian kaum hari ini?

Saya rasa ada yang menyimpan peristiwa ini dalam hati mereka, dan perasaan mereka tentang kaum lain disampaikan kepada anak-anak. Waktu pemerintahan British – Melayu, Cina dan India semua bergaul. Kenapa tidak sekarang? Saya fikir ianya politik. Ada sesetengah orang yang tak berfikir… mereka ikut je apa yang ahli politik katakan – Melayu, Cina, India… semua sama. Saya berdoa supaya ianya takkan berulang, seperti apa yang saya beritahu anak-anak, kitalah yang sengsara, dan kalau terjadi lagi, ianya akan lebih teruk dari 1969.

2. PelajarZaman60-an (berumur 18 tahun pada 1969)

Saya di Ipoh,belajar di tingkatan enam bawah. Saya tak ingat samada ini berlaku pada hari tersebut (13 Mei) atau esok harinya, tapi pada waktu pagi, mereka mengumumkan perintah larangan. Tak lama lepas tu di Buntong, di mana saya tinggal, ada van-van daripada Jabatan Maklumat yang mengumumkan perkara yang sama daripada pembesar suara mereka.

merdeka_sunmerdeka-16-may13-1
Suasana di jalan keitika perintah berkurung. Imej dari Malaysia Today.

Kami betul-betul tak tahu apa yang berlaku melainkan ada sesuatu yang terjadi di KL.

Dan ingat, waktu tu dapat berita dalam masa sehari dah kira baik jadi kami hanya dapat tahu apa yang berlaku dua hari kemudiannya.

Kami agak rileks sewaktu perintah larangan… kami duduk dalam rumah buat seketika tapi akhirnya kami mula keluar. Takde apa yang terjadi, malah setakat yang kami tahu minggu tersebut agak senyap. Mungkin ianya berbeza dengan kawasan bandar seperti Ipoh tapi kami berada dalam kawasan Tamil dan kebanyakan orang di sana adalah India dan beberapa Cina – jadi saya rasa kami dalam kawasan “selamat”. Saya rasa ibu bapa saya simpan bekalan makanan semua, tapi mereka taklah terlalu risau.

Pendapat tentang keharmonian kaum hari ini?

Oh, memang lebih baik berbanding dulu. Rasanya tiada apa yang perlu dirisaukan sangat, tapi kita memang masyarakat yang terpisah dengan kaum masing-masing dengan kampung dan komuniti tersendiri. Biasanya kita ada lebih sikap toleransi sekarang ni, sampailah kalau tiba-tiba ia jadi isu politik. Hari ini pun, bercakap daripada segi sosial, kebanyakan orang okay je – asalkan tak melibatkan politik.

3. Lyn (berumur 20 tahun pada 1969)

Saya sedang pulang dari mengajar di Seremban dengan seorang kawan. Nak dijadikan cerita kereta saya takde waktu tu jadi kami naik teksi. Sambil melalui Cheras sekitar 7 malam, seorang lelaki Cina tiba-tiba menahan teksi kami. Dia merupakan kawan kepada drebar teksi kami, juga seorang drebar taksi, dan memberitahu kami supaya tidak ke bandar, mengatakan ada perintah berkurung akibat masalah yang tertentu.

“Masalah macam mana?” Dia bertanya.
“Pembunuhan”

Drebar taksi beritahu kami yang dia nak pusing dan balik ke rumahnya di Kajang, dan kawan dia tawarkan untuk kami duduk dengan dia. Kami tak tahu apa yang berlaku… kami tak faham pun apa itu perintah berkurung! Saya hanya 20 tahun la!

Bila kami sampai di sana, kami nampak kanak-kanak mengasah pisau. Tiba-tiba, kami dengar dram dari kampung Melayu yang berdekatan. Orang kampung menjerit dalam Kantonis “Lei la! Lei la!” (“Mereka datang! Mereka datang!”) dan kami lari bersembunyi. Tiada apa yang berlaku. Dram berbunyi lagi beberapa kali malam itu.

13May-byHassanMuthalib02
Trak tentera lalu depan rumah. Gambar dari Hassan Muthalib via The Nut Graph.

Pagi esoknya, kami ternampak sebuah konvoi trak tentera dan cuba melambai meminta pertolongan. Mereka tidak mengendahkan kami. Seorang daripada orang kampung memberhentikan kami dan meminta kami masuk ke dalam. Dia kata ada seorang kena pukul bila buat benda yang sama.

Dalam rumah itu sangat panas jadi kami tidur sekejap sebab panas. Tiba-tiba kami terdengar orang menjerit “LARI!” “LARI!”

Ada tempat berkumpul yang lebih selamat berdekatan kalau-kalau rumah kayu di kampung dinyalakan api. Jadi kami lari ke bangunan apartment yang ditinggalkan. Unit tersebut sangat sesak hinggakan nak luruskan kaki pun tak boleh mahupun berdiri kalau-kalau ada orang nampak bayang-bayang kami.

Hari seterusnya, drebar teksi beritahu kami yang perintah berkurung telah tamat di Pudu, jadi dia hantar kami balik ke Hostel Methodist Girl. Saya berjaya menghubungi ibu saya, dan bila benda reda sedikit, saya bawa famili saya tinggal di hostel. Kakak saya bagitau saya yang mereka nampak mayat surut di sungai Klang. 

Tukang kebun Melayu menjaga penduduk hostel dengan mengatakan yang tiada orang Cina di sana, walaupun keluarga kawan dia sendiri (seorang Melayu) dibunuh oleh Cina. 

Saya bersyukur sebab saya tak ada kereta hari tu. Kalau saya ada, saya mungkin dah drive ke bandar dan… siapa tahu apa yang akan terjadi. Dan saya sangat berterima kasih kepada drebar teksi yang terima kami. Kami singgah di rumahnya beberapa bulan kemudian untuk mengucapkan terima kasih atas budi yang dia hulurkan.

Pendapat tentang keharmonian kaum hari ini?

Saya rasa ianya telah bertambah baik. Orang muda lebih bersatu kini, tapi cuma politik yang menyebabkan ketegangan kaum. Saya berkahwin dengan Melayu. tapi saya selalu ingatkan anak-anak saya akan darah Cina mereka. Kita tidak boleh biarkan rusuhan kaum berlaku lagi, itulah pengajaran yang paling penting.

4. Ahmad (berumur 22 tahun pada 1969)

(Nota: En. Ahmad sudah meninggal dan cerita ini disampaikan oleh isteri beliau.)

Suami saya assistant manager estet kelapa sawit di Perak. Pada hari itu, beberapa pekerja estet – kesemuanya India – pergi beli makan tengah hari.

Malangnya, Emergency (perintah berkurung) telah diumumkan dan sedang pekerja-pekerta tersebut keluar daripada kawasan estet, mereka diberhentikan oleh tentera yang mengacukan senapang ke arah mereka. Suami saya terdengar jeritan dan suara yang kuat dari mana dia tinggal dan keluar untuk lihat apa yang berlaku.

malayacts
Gambar sewaktu Daurat. Imej from psywar.org

Sebaik sahaja dia keluar dari pagar estet, seorang pegawai tentera menjerit agar dia berhenti dan mengacukan senapang terus kepada suami saya. Setelah beberapa penerangan, mereka semua dibenarkan masuk balik ke kawasan estet. Selain daripada kesan sejarah, sosial dan politik pada 13 Mei, suami saya takkan lupa hari di mana dia diacukan senapang ke arahnya.

5. Konsultan (berumur 26 tahun pada 1969)

Pada malam 13 Mei 1969, kami sedang meraikan hari jadi seorang kawan di rumahnya di Jalan Klang Lama bila kami mula terdengar akan berita perintah berkurung di radio. Kami membuat keputusan untuk menghentikan parti tersebut dan hantar semua orang balik.

Awal pagi esoknya, ibu saya kejutkan saya kerana jiran ingin bercakap dengan saya. Bila saya turun dari tingkat atas, dia beritahu saya yang ada mayat terapung di Sungai Klang berdekatan dan minta tolong saya untuk tarik mayat tersebut.

Saya tak endahkan protes ibu saya, saya pergi dengan jiran ke tebing sungai. Menggunakan kayu buluh, kami berjaya tarik tiga mayat ke tebing sungai. Saya ingat yang satu daripadanya dipenggal di kepala, mungkin dengan parang.

Itulah waktunya tentera menghalau kami, mengatakan yang kami perlu berada dalam rumah atas sebab perintah berkurung.

Saya mengambil keputusan untuk menjadi sukarela untuk Red Cross di mana saya dan kawan mengambil bahagian dalam Komuniti Khidmat Sosial yang dibuat secara bergesa. Mereka berikan kami pas kebenaran untuk keluar sewaktu perintah berkurung dan memberi tanggungjawab untuk khidmat malam dalam menghantar barangan keperluan kepada keluarga yang terkesan di bandar.

Kami habiskan beberapa bulan yang berikutnya dalam kereta saya, membantu dalam mengedarkan bungkusan makanan dan pertolongan perubatan. Tak perlu nak katalah yang kami terlihat banyak suasana kehancuran di sepanjang perjalanan, terutamanya di kawasan Chow Kit. Memori yang paling jelas dalam minda saya adalah pembakaran rumah kedai, termasuklah sebuah kedai gambar sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman.

Kisruh-KL-1969-1
Rumah kedai yang terbakar di Chow Kit. Imej dari pesantrenglobal.com

Ada situasi di mana pegawai Red Cross pun dipandang dengan syak wasangka oleh tentera yang ditempatkan di sekitar bandar. Dalam satu peristiwa, seorang askar meminta untuk memeriksa beg berisi nasi dan mencucukkan senjata ke dalamnya, dengan mendakwa yang kami mungkin menyeludup senjata.

Selepas konflik berakhir, sukarelawan Red Cross termasuklah saya diberi pujian daripada kerajaan apabila parlimen diteruskan pada 1970.

Pendapat tentang keharmonian kaum hari ini?

Apa yang mengagumkan pada waktu itu adalah, kami berganding bahu di mana kami tak fikirkan langsung pasal kaum. Yang peliknya, 13 Mei 1969 telah menyatukan kaum-kaum… di mana ia menjadi panggilan yang cuba mengejutkan kami daripada sikap leka dalam keharmonian kaum. Sekarang ni, orang ramai terutamanya orang muda dah macam tak mahu atau sangat berhati-hati kalau nak menolong saudara mereka. Kita tidak lagi menawarkan pertolongan masing-masing.

Walaupun dengan pelbagai jari ditudingkan dan juga retorik politk selepas itu, generasi kami tetap yakin yang kami perlu buat bahagian masing-masing dalam mengekalkan keamanan terutamanya dalam interaksi kami dengan saudara seMalaysia yang lain. Saya sunguh-sungguh berharap yang generasi seterusnya dapat mengekalkan sikap ini.

6. Lau Chee Hong (berumur 18 tahun pada 1969)

(Ini adalah ayah kepada Editor-in-Chief kami.)

Kami sedang duduk kat rumah hostel kami di Jalan Terkukur waktu zaman sekolah di KL dulu. Pada hari tersebut, kawasan tersebut agak senyap sampailah ke waktu petang bila kami dengar pengumuman yang perintah berkurung telah dilaksanakan. Tak mengejutkan bila mereka tak bagi apa-apa sebab pun.

Hari seterusnya, kami perasan ada benteng yang telah dibina pada penghujung jalan tempat kami duduk. Malam itu juga, ada beberapa anak Cina muda ala-ala jinjang yang datang ke pintu kami untuk mencari ‘sukarelawan’ yang akan meronda kampung. Kami bagitahu yang kami ni pelajar, jadi mereka pun pergi.

Roadblock oleh tentera waktu perintah berkurung. Imej dari Gloster.

Tiga atau empat hari berikutnya, ayah saya datang dengan kereta dia. Dia datang untuk bawa kami pulang ke Rawang, yang dikira sebagai berisiko rendah. Sepanjang perjalanan, kami dihentikan oleh beberapa orang askar yang meronda, tapi ayah ada pas kebenaran. Antara langkah yang kerajaan buat adalah menubuhkan komuniti Muhibbah, dan ayah jadi sukarela untuk berkhidmat sebab tu la dia ada pas kebenaran yang membolehkan dia bergerak sewaktu perintah berkurung.

Kali pertama kami naik bas dalam 4-5 minggu berikutnya, kami sangat terkejut melihat beberapa bangunan dan kenderaan (yang masih tinggal) telah dibakar sepanjang perjalanan kami dari Sentul ke Victoria Institution.

Saya ingat lagi waktu menonton TV hitam putih, ada cerita pasal rakyat sesama kaum membantu sesama sendiri. Jiran saling tolong-menolong. Ada jugak cerita pasal orang yang bagi tempat berteduh kepada jiran berlainan kaum.

Pendapat tentang keharmonian kaum hari ini?

Demografik pada waktu itu sangat berbeza. Saya ada sikit je kawan sekelas Melayu sewaktu sekolah kebangsaan dan lagi sikit waktu sekolah menengah. Saya ada satu kawan Melayu yang rapat, cukup rapat saya boleh lawat dia di Kampung Baru.

Di sepanjang zaman persekolahan kami, saya boleh kata dengan penuh ikhlas yang kami tak mengenal bangsa. Kami semua makan makanan yang sama di kantin. Perkataan halal tak wujud pun dalam kosa kata kami.

Kalau kamu baca mana-mana surat khabar zaman 60-an dan bandingkannya dengan sekarang, kamu akan perasan yang wartawan zaman dulu melaporkan berita dengan elemen perkauman atau keagamaan yang sedikit. Istilah hudud atau syariah tak wujud pun zaman tu. Perkataan seperti Tuhan & Allah digunakan dan tiada siapa yang bising pun.

Sekarang ni semuanya pasal mentaliti “Kita vs Mereka” yang diperapkan dalam semua aspek hidup rakyat Malaysia.

7. Dato’ Derrick Fernandez (berumur 20 tahun ketika 1969)

Saya bekerja di Kuala Lumpur sebagai seorang wartawan BERNAMA betul-betul di tengah bandar, dekat dengan Kampung Baru bila insiden pertama berlaku. Saya tengah cuti hari tu tapi kembali ke pejabat dua hari kemudian.

Kereta dibakar. Imej daripada Crikey.

Kami ada pas pelekat kereta akhbar yang membenarkan kami untuk bergerak sewaktu perintah berkurung. Bila saya kembali ke pejabat, dua wartawan perempuan Cina yang tinggal di Chow Kit ingin balik ke rumah dan madi apa semua.

Dua gadis ini terperangkap dalam konflik, dilindungi oleh rakan sekerja Melayu mereka bila sekumpulan orang datang ke pejabat dan bertanya jika ada mana-mana orang Cina di situ.

Seorang office boy Melayu pun terperangkap kat pejabat, terlalu takut nak balik ke rumah dia kat Sungai Besi.

Saya hantar semuanya ke rumah masing-masing, menempuhi beberapa checkpoint yang dijaga oleh polis. Kat Chow Kit, saya terpaksa turunkan dulu budak Melayu tadi supaya saya boleh pergi dengan dua gadis tadi dan jemput dia balik kemudiannya.

Pendapat tentang keharmonian kaum hari ini?

Walaupun dalam keadaan yang paling teruk masa itu, sikap tolak ansur sesama bangsa waktu itu lebih baik daripada sekarang. Beberapa ekstremis (daripada kedua-dua belah pihak) telah menghasut orang untuk berkumpul untuk menimbulkan huru-hara. Selang ketika perintah berkurung tamat, kami akan bergaul sesama sendiri, dan di kawasan pasar kebanyakan penjual Cina terus berjual walaupun waktu itu tak cukup beberapa barang makanan.

Tapi zaman sekarang memang teruk. Seakan-akan orang yang memimpin negara kita ingin memperkayakan diri sendiri dengan mengorbankan rakyat. Kita perlu berusaha supaya rakyat Malaysia yang baik akan bangkit semula dan sedar potensi sebenar kita, supaya sekurang-kurangnya kita setanding dengan Singapura.

Jadi apa yang kita dah belajar sejak 46 tahun yang lalu?

Setelah hampir separuh dekad, tragedi 13 Mei seakan-akan digunakan untuk menakut-nakutkan sesiapa yang bernasib baik kerana tidak merasainya sendiri. Kita tahu ianya satu tragedi yang buruk, kita tahu ianya satu perkara yang diceritakan dengan berat hati oleh generasi tua, tapi ktia juga sedar yang ianya satu perkara yang dibangkitkan oleh ahli politik setiap kali mereka ingin membangkitkan apa-apa isu perkauman.

Sebenarnya untuk artikel ni pun, mula-mula kami pergi ke Mid Valley untuk buat video tapi kami kena rejek 10 kali berturut-turut oleh orang tak kira tua atau muda. Takde siapa pun nak masuk interview. Kami fahamlah, mungkin ramai yang takut kalau dikecam atau ditahan Akta Hasutan.

Jadi tujuan kami tulis artikel ini adalah supaya kita dapat dengar sendiri cerita daripada orang yang betul-betul pernah mengalaminya, berbanding hanya membacanya sebagai sebuah perenggan dalam buku teks. Seperti kata ahli falsafah George Santayana:

“Sesiapa yang tidak mengingat masa silam pasti akan mengulangnya”

(Korang boleh baca bahagian dua pasal cerita peribadi 13 Mei, di sini.)