Seni & Budaya

Bangsa Johor: Adat perkahwinan turun-temurun yang menyusahkan pengantin lelaki?

Di Malaysia, kita kaya dengan budaya dan adat resam yang masih lagi dipelihara asalkan ia tidak melanggar hukum-hakam agama. Kita juga boleh lihat adat yang wujud semasa majlis perkahwinan orang Melayu ni banyak proses yang perlu dilalui, dimulakan dengan merisik, lepas tu menghantar rombongan meminang, selepas pinangan diterima tu kena bertunang pula dan yang terakhir barulah bernikah.

Tak lupa juga dekat malam berinai, benda tu orang perempuan paling suka sebab boleh menghias tangan mereka menggunakan inai. Selepas habis semua proses tu, majlis gilang-gemilang pula akan diadakan di mana ia sinonim dipanggil kenduri kahwin. Banyak jenis tema yang boleh kita lihat dalam sesuatu kenduri kahwin itu, lebih-lebih lagi mengikut tradisi negeri masing-masing.

Kali ni kami nak cerita serba-serbi berkenaan adat perkahwinan negeri Johor, apa je yang korang kena tahu pasal ni? Kalau nak tahu lebih lanjut, teruskan membaca.

Proses persandingan yang agak berbeza disusuli dengan ‘tol’

‘Tol’ yang dilakukan dalam adat kahwin orang Johor. Imej dari YouTube

Kalau korang ada kawan-kawan yang pernah berkahwin dengan perempuan dari Johor, mesti korang boleh relate diri korang dengan adat perkahwinan orang Johor ni kan. Cara mereka ni sangatlah unik dan memang hanya di Johor sahaja buat benda ni. Kalau korang nak tahu, apabila seseorang pengantin perempuan itu merupakan anak kelahiran Johor, semasa majlis bersanding tu dia akan diasingkan dengan pengantin lelaki dan ditempatkan di atas pelamin terlebih dahulu.

Pengantin lelaki dan juga rombongannya akan berarak menuju ke majlis beramai-ramai, selepas itu akan ada tol yang perlu dilalui mereka sebelum pengantin lelaki dapat bersemuka dengan pengantin perempuan di dalam rumah. Selalunya apa yang dilakukan dekat tol ni adalah sesi lawan pantun, berteka-teki atau apa-apa sahaja yang diminta oleh pihak tol iaitu keluarga pengantin perempuan itu sendiri.

Oh ye, pengantin lelaki perlu bayar tol, selalunya mereka akan bayar dalam bentuk duit atau gula-gula. Kalau mengikut kebiasaan, ada 4 tol secara keseluruhannya iaitu tol pertama (adik-beradik), tol kedua (pakcik makcik), tol ketiga (sepupu sepapat) dan tol keempat (mak andam) yang dipanggil buka kipas. Untuk tol yang pertama hingga ketiga tu kira orang selalu buat dah tu, tapi yang untuk mak andam tu dia agak kontroversi sikit.

“Ni okey lah satu tol dua orang je. Ada tu saya pergi (kenduri kahwin), satu tol kemain ramai ada la dalam 10 orang. Tol yang pertama tu budak-budak. tol kedua remaja, tol ketiga pakcik makcik, tol keempat mak ayah pengantin,” Dayah Abdullah, petikan dari Sinar Harian

‘Buka Kipas’ dalam adat kahwin orang Johor. Imej dari YouTube

Ia menjadi kontroversi kerana dikatakan ramai mak andam sekarang mengenakan tol buka kipas ni sampai beratus ringgit, sedangkan budaya tol ni untuk suka-suka je. Bayaran awal untuk mak andam pun dah dikira mahal, lagikan dorang minta lagi duit buka kipas yang agak tinggi. Benda macam ni boleh membebankan pengantin tu sendiri, dah kalau duit habis kat majlis je nanti lepas kahwin nak bagi bini makan apa kan.

Aktiviti rewang dan penyediaan makanan tradisi yang lazat

Aktiviti rewang. Imej dari MYNEWSHUB

Kalau di Johor ni, apa-apa majlis pun mesti ada aktiviti rewang ni. Rewang ni kalau nak mudahkan cerita, ia adalah aktiviti memasak beramai-ramai yang disertai bukan sahaja keluarga, malah jiran tetangga juga sama-sama menjayakan rewang ni. Kiranya, ini la cara orang dulu-dulu menyediakan lauk-pauk untuk kenduri, sebab zaman dulu takde catering.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Selalunya rewang ni akan bermula sehari sebelum majlis, masa ni lah semua orang boleh merapatkan silaturahim sesama mereka sebab sambil tolong memasak tu dorang boleh juga berborak kan. Ada yang menolong potong bawang di dapur, ada yang mengacau lauk dalam kuali kawah dan ada juga yang ditugaskan untuk membasuh segala periuk kotor selepas memasak tu (tu yang paling tak best).

Untuk jenis masakan pula, dekat Johor ni macam-macam keturunan ada seperti Jawa, Banjar dan Bugis, tapi kalau dilihat balik cara masakan mereka semua agak sama je. Itu juga membuatkan makanan di Johor ni agak istimewa sebab terdapat pelbagai makanan tradisi yang unik dan juga sangat lazat, lagi-lagi masa kenduri tu memang belambak makanan daripada air tangan orang lama. Antaranya adalah sambal goreng jawa, tahu tak sambal goreng jawa tu apa? Ia merupakan campuran kacang panjang, tauhu, tempe, kentang, mi hun dan udang kecil yang digoreng sekali (sedap gila benda ni).

Sambal goreng. Imej dari Dapur Tanpa Sempadan

Tak Johor la kalau tak ada Nasi Briyani Johor, tu juga antara perkara yang menarik bila datang ke kenduri orang Johor ni. Nasi Briyani yang disajikan dengan lauk seperti ayam masak merah, rendang daging dan juga acar buah yang sangat menarik, kira bila korang balik tu mesti kenyang gila punya lah. Kalau nak gaya orang lama lagi, mesti lah kena ada Nasi Ambang iaitu makanan yang sinonim dengan negeri Johor dan tiada kat tempat lain.

Seni persembahan tradisional yang mewarnai suasana

Zapin negeri Johor. Imej dari Facebook

Semasa majlis kahwin, mesti akan ada persembahan semua tu kan, yang paling popular mestilah persembahan silat. Tapi silat tu macam terlalu biasa je kan, kat semua tempat kita boleh tengok persembahan silat ni dimainkan. Lain pula cerita dekat Johor ni, macam-macam persembahan kita boleh tengok ketika mengunjungi kenduri kahwin di Johor ni.

Antara yang korang boleh tengok adalah tarian Zapin yang asli, semua orang mesti tahu yang tarian Zapin ni berasal daripada Johor dan cara mereka untuk memartabatkan tarian itu adalah dengan membuka lebih banyak kelas Zapin supaya generasi baru dapat mempelajarinya. Selalunya, keluarga pengantin akan menghubungi pasukan Zapin sekolah yang berdekatan dengan tempat mereka untuk mempersembahkan tarian mereka di hadapan pengantin.

Joget Lambak. Imej dari YouTube

Selain Zapin, tarian Kuda Kepang pun ada tapi yang tu agak jarang dibuat ketika ini disebabkan sudah tidak ramai yang masih menawarkan khidmat tarian Kuda Kepang ni. Seterusnya, acara yang mungkin ramai suka juga ada iaitu Joget Lambak, di mana muzik yang rancak akan dimainkan dan pengunjung dialu-alukan untuk menari di kawasan yang ditetapkan untuk memeriahkan lagi majlis.

Susah dah kalau nak tengok sesi Joget Lambak ni diadakan dekat mana-mana kenduri, sebab tu kalau korang berkesempatan untuk cuba Joget Lambak ni, sila lah cuba. Mungkin itu kali terakhir korang akan cuba Joget Lambak, lagi satu budak-budak muda zaman sekarang mungkin tak berapa minat lah kot. Tu yang hampir nak pupus dah benda ni.

Adat yang perlu dipelihara supaya tidak ditelan dek zaman

Acara menepung tawar. Imej dari SAYS

Bagi mereka yang pernah ada pengalaman dan pernah menyaksikan sendiri adat perkahwinan orang Johor ni, korang dianggap bertuah kerana saban hari makin kurang perkara-perkara sebegini dilakukan. Jika kita berpeluang untuk menjaga adat budaya seperti ini, haruslah kita menjaganya supaya tidak ditelan dek zaman kerana sesuatu adat itu merupakan identiti sesebuah bangsa.

Hargai adat budaya bangsa kita, kerana siapa lagi yang akan memartabatkannya selain diri kita sendiri. Sampaikan ada peribahasa yang mengatakan ‘Biar mati anak, jangan mati adat‘.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend