- 435Share sekarang!
- Email1
- Facebook434
- Share
Baru-baru ni, agak viral juga di media sosial (khsusnya Twitter) tentang isu taklik. Semuanya bermula apabila seorang pengguna Twitter mengatakan yang dia dah tambah 5 klausa baru taklik ketika bernikah. Antaranya termasuklah membenarkan dirinya ke mana saja untuk bekerja atau belajar selagi ia tak bertentangan dengan syarak.
Sebelum apa-apa, kita kena tahu dulu apa dia sebenarnya taklik ni. Pada asasnya, taklik adalah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan taklik berkenaan. Contoh lafaz taklik macam ni:
“Kalau awak pergi ke tempat ‘tertentu’, maka awak tertalak.” – kata suami
Jadi, kalau si isteri tetap pergi ke tempat yang dikatakan oleh suaminya atau dengan kata lain melanggar taklik, maka jatuhlah talak kepada wanita tersebut. Oleh itu, apa kata kita selami dulu hal taklik ni supaya lebih faham…
Lafaz taklik selepas nikah memang dah diamalkan lama di Malaysia
Kalau korang perasan atau pernah mengalaminya, bila saja selesai akad nikah, si suami selalunya akan baca teks taklik yang dah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing. Sebagai contoh, lafaz taklik di Wilayah Persekutuan menyentuh tentang – kalau si suami meninggalkan isteri selama empat bulan (hijrah) berturut-turut, tanpa memberikan nafkah atau melakukan mudarat kepada tubuh isteri dan si isteri mengadu kepada Mahkamah Syariah – maka boleh jatuh talak/berlakunya perceraian.
Tapi dalam masa sama, pasangan sebenarnya boleh buat lafaz taklik tambahan seperti mana yang dah diberitahu di awal tadi. Teks lafaz taklik ni kemudiannya akan ditandatangi oleh suami dan isteri. Selain tu, ia juga boleh jadi secara spontan apabila si suami melafazkan taklik masa dalam tempoh perkahwinan. Contohnya dengan kata:
“Kalau awak keluar dari rumah ini tanpa izin saya, maka jatuhlah talak satu kepada awak.”
Makanya, kalau si isteri tetap keluar dari rumah tanpa keizinan suami – akan jatuh talak satu kepadanya. Bagaimanapun, masih ada syarat ketika taklik tu dilafazkan iaitu si suami kenalah dalam keadaan:
- sempurna akal
- tidak mabuk
- sedar dan tahu apa yang dilafazkannya
- Dengan kehendak sendiri dan bukannya paksaan
Namun, ada juga pandangan lain yang mengatakan talak belum tentu akan jatuh sekiranya di isteri dah melanggar taklik. Hal ni ada diputuskan dalam Fatwa Negeri Perlis di mana:
- Jika lafaz taklik memang dibuat untuk mentalakkan isteri dan isteri melanggarnya maka: jatuh talak.
- Jika lafaz taklik dibuat bukan bertujuan mentalakkan isterinya, tapi cuma memberi keyakinan yang dia membenci kelakuan itu, dan jika isteri melanggarnya: tak jatuh talak.
- Jika berlaku rasa syak dan perbalahan tentang taklik yang jadi: pasangan kena pergi ke Mahkamah Syariah untuk selesaikannya.
Tapi, muncul pula persoalan tentang…
Boleh ke lafaz taklik ditarik balik?
Menurut kenyataan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ulama berselisih pandangan tentang hal menarik balik lafaz taklik. Ini kerana:
- Majoriti ulama mazhab berpendapat – taklik tak boleh dibatalkan setelah diucapkan.
- Mazhab Hanbali perpandangan, menarik balik lafaz taklik diharuskan.
- Imam Ibn Taimiyyah pula berpandangan, hukumnya harus menarik balik lafaz taklik kalau akad itu adalah akad mua’wadhah. Contohnya si suami melafazkan seperti ini: “Sekiranya awak berikan saya seribu, maka awak akan tertalaq”. Jadinya, suami berhak merujuk semula (tarik semula) selagi isteri tak memberikannya seribu.
Tapi, secara lebih tepatnya – taklik memang tak boleh ditarik balik sebab itulah pandangan majoriti ulama mazhab.
Penyelesaian terbaik adalah melalui Mahkamah Syariah
Makanya, kesimpulan yang dapat dibuat daripada hal ini adalah taklik bukanlah sesuatu yang ringan, sebab implikasinya cukup besar dalam menentukan kelangsungan perkahwinan. Apatah lagi bila dilaporkan yang 80% kes perceraian di negara ini adalah melibatkan pasangan Islam.
Oleh itu, cara terbaiknya adalah berbincanglah dengan pasangan masing-masing dengan baik dan jelas sebelum menetapkan sebarang lafaz taklik. Si suami pun kena berhati-hati dalam berkata-kata, supaya kata-kata tu tak memakan diri di kemudian hari. Seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak).” – Riwayat Abu Daud.
Tapi, jika kita ada sebarang kekeliruan selepas berlakunya pelanggaran taklik, jalan terbaik adalah merujuk kepada Mahkamah Syariah yang lebih arif bagi memutuskan sama ada lafaz taklik tu sah atau tak.
- 435Share sekarang!
- Email1
- Facebook434
- Share