Akta 164: Betul ke mualaf tidak ditindas lagi?

Baru-baru ni, kita heboh pasal cadangan kerajaan yang nak pinda Akta 164. Sehinggakan ramai pihak yang menentang pindaan akta tersebut. Penentangan tu datang dari pelbagai pihak termasuklah parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mufti dan pengamal undang-undang.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani antara mufti yang paling lantang menentang pindaan akta ini. Antara punca kenapa pindaan ditentang adalah kerana ia dikatakan bercanggah dengan perlembagaan dan hukum syarak. Selain itu, ia juga bertentangan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

“Oleh itu, pembentangan ini (Akta 164) seolah-olah memperlekeh dan menghina fatwa, atau tidak menghormati fatwa yang sudah dibuat. Perkara ini cukup berat dan bertentangan dengan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan penentangan hukum yang ditetapkan oleh syarak.” – Tan Sri Dr Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari BH Online.

Disebabkan desakan ramai pihak termasuk mufti, kerajaan menangguhkan pembentangan akta ini di sidang parlimen yang lepas. Imej dari Sinar Harian.

Tapi baru-baru ni, kita dapat berita yang Dewan Rakyat telah pun meluluskan pindaan Akta 164. Tapi pindaan yang diluluskan itu ada perbezaan dari draf asalnya. Oleh itu, lebih baik untuk kita tahu dulu apa itu Akta 164 dan mengapa kerajaan nak memindanya.

Ada beza antara undang-undang keluarga bukan Islam dan Islam

Di Malaysia ni kita mengamalkan dua set undang-undang keluarga, iaitu undang-undang syariah dan undang-undang sivil.

Dalam undang-undang syariah kita ada Undang-Undang Keluarga Islam yang digubal dan diluluskan di setiap negeri. Undang-undang ini juga hanya terpakai kepada orang Islam sahaja. Peraturan yang terdapat dalam undang-undang ni juga berlandaskan peraturan perkahwinan yang telah ditetapkan oleh Islam. Seperti mana yang kita tahu, hal ehwal berkaitan agama Islam terletak di bawah negeri dan bukannya pusat.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan. Klik imej untuk tahu lebih lanjut.

Manakala undang-undang sivil pulak ada Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Akta inilah yang dikenali sebagai Akta 164. Pada tahun 1976 akta ini diluluskan dan ia berkuatkuasa pada Mac 1982. Akta ini juga hanya terpakai kepada orang bukan Islam. Mana-mana perkahwinan (bukan Islam) yang tak ikut akta ini, ia dikira tak sah. Kerana itulah, setiap perkahwinan orang bukan Islam wajib didaftarkan di bawah akta ini.

Walaupun kedua-dua undang-undang ni berkaitan dengan kekeluargaan dan institusi keluarga, tapi masih ada perbezaan di antara keduanya. Antaranya adalah tentang kedudukan anak tak sah taraf dan anak angkat. Sebagai contoh:

“Perkahwinan sivil mengiktiraf kedudukan anak tak sah taraf dan anak angkat. Anak tak sah taraf atau anak angkat ini akan menikmati faedah yang sama dengan anak kandung.

Berbeza dengan undang-undang Islam yang mementingkan keluarga yang teguh iaitu hanya mengiktiraf anak yang dilahirkan selepas enam bulan qamariah (bulan hijrah) sahaja sebagai anak yang sah. Anak angkat tidak menikmati faedah yang sama seperti yang dinikmati oleh anak kandung, umpamanya daripada segi pewarisan harta pusaka.” – Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Dipetik dari Utusan Malaysia.

Klik imej untuk baca Akta 164 sebelum pindaan (PDF).

Kalau Akta 164 takde kaitan dengan orang Islam kenapa ada pihak yang mintak akta ini dipinda (tak kura jugak yang menentang pindaan)?

Itulah yang kitorang nak cerita sekarang ni. Sebenarnya akta ni juga boleh dikaitkan dengan orang Islam dalam situasi tertentu…

Sebelum pindaan, pasangan yang memeluk Islam tak boleh failkan perceraian

Sebelum dipinda, Akta 164 ada Seksyen 51. Seperti mana yang diceritakan tadi, mana-mana pasangan yang bukan Islam, perkahwinan mereka didaftarkan di bawah akta ini. Tapi masalah mula timbul bila salah seorang pasangan bukan Islam tadi memeluk agama Islam. Ini kerana…

“Seksyen 51, Akta 164 tak benarkan pihak (sama ada Isteri atau suami) yang peluk agama Islam untuk buat permohonan cerai di Mahkamah Sivil. Hanya pihak yang bukan Islam je yang dibenarkan failkan perceraian kat Mahkamah Sivil.”

Sebagai contoh:

Kalau ikut pandangan Islam, perkahwinan tu memang dah terbatal jika salah seorang pasangan memeluk agama Islam dan perlu minta pengesahan Mahkamah Syariah. Tapi masalahnya, keputusan Mahkamah Syariah tak terpakai di Mah­kamah Sivil. Ini kerana, perkahwinan (sebelum peluk Islam) antara pasangan itu adalah mengikut undang-undang sivil dan bukannya syariah. Makanya, perceraian juga kena ikut undang-undang sivil.

Kalau kita lihat pada Seksyen 46(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 dan enakmen di negeri-negeri lain, ia memperuntukkan: Pemelukan Islam oleh salah seorang pasangan bukan Islam, secara tersendirinya, tidak menyebabkan perkahwinan itu terbubar kecuali disahkan oleh mahkamah.

“Masalah yang timbul dalam kes pemelukan Islam oleh salah satu pihak yang perkahwinannya didaftarkan di bawah Akta 1976 (Akta 164), pengesahan perceraian oleh Mahkamah Syariah tidak diiktiraf oleh Mahkamah Sivil dan ini tidak mempunyai kesan terhadap perkahwinan tersebut memandangkan pihak yang satu lagi bukan beragama Islam.” – Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Mahkamah mana satu? Imej dari Giphy.

Oleh itu, pihak kerajaan bersetuju meminda semula akta ini bermula pada tahun 2006 dengan cara yang sangat berhati-hati. Antara cadangan pindaan itu adalah membenarkan pihak yang memeluk Islam supaya boleh memfailkan perceraian di Mahkamah Sivil. Dewan Rakyat juga baru-baru ni nampaknya meluluskan pindaan ini.

“Saya mengalu-alukan jika mualaf diberikan hak untuk memfailkan pembubaran perkahwinan mereka. Selama ini begitu banyak kezaliman dilakukan terhadap mualaf yang tidak diiktiraf hak mereka dalam Akta 164. Malah mualaf ditohmah ingin melarikan diri dari tanggungjawab menyara keluarga sedangkan tanggungjawab menyara keluarga dalam hukum syarak tidak bertukar walaupun sudah berbeza agama. Yang lebih menyedihkan, Seksyen 51 Akta 164 dilihat seolah-olah menghukum mualaf kerana keislaman mereka.” – Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Dipetik dari Sinar Harian.

Tapi, kenapa sebelum ni ada pihak yang menentang pindaan Akta 164?

Cadangan pindaan mengenai agama anak yang jadi kontroversi

Apa yang menjadi kontroversi tentang pindaan ni adalah apabila kerajaan bercadang memasukkan Seksyen 88A. Melalui seksyen ini, agama anak dikekalkan dengan agama asal ibu bapa mereka; sehingga anak tersebut berusia 18 tahun di mana anak tersebut bebas memilih. Kecuali kalau ada persetujuan antara ibu dan bapa untuk menentukan status agama anak itu.

Perkara inilah yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat. Ini kerana, mengikut keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk Islam, maka status agama anak-anak di bawah umur secara langsung adalah Islam. Selain itu, pindaan akta mengenai status anak ini juga dilihat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai satu dokumen teragung di negara ini.

“Agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.” – Perkara 12(4), Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-87. Imej dari islam.gov.my

Kerana itulah menurut Zainul Rijal (Presiden PPMM), sebarang undang-undang yang memerlukan persetujuan kedua ibu-bapa untuk menentukan agama anak di bawah usia 18 tahun sebagai tak berperlembagaan dan berisiko akan terbatal.

Menurutnya lagi, kalau kita lihat Ordinan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 1952, kita akan nampak yang agama anak mualaf akan secara automatik berubah kepada Islam. Tapi sekarang perkara tu dah berubah bila Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 diluluskan. Di mana keislaman anak perlu didaftarkan dan salah seorang ibu atau bapa kenalah bersetuju atas keislaman anak tersebut.

Kerajaan akhirnya gugurkan Seksyen 88A dari Akta 164. Imej dari bheuu.gov.my

Tapi, nampaknya kerajaan dah bertindak menggugurkan Seksyen 88A ini. Bagaimanapun, masih ada pihak yang rasa tak puas hati dengan pengguguran ini kerana menganggapnya sebagai tak menyelesaikan masalah.

Masih ada yang kecewa bila Seksyen 88A digugurkan

Dalam satu jawapan kepada media, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penguguran Seksyen 88A adalah disebabkan kerajaan terikat dengan saranan Pejabat Peguam Negara yang melihatnya tak mengikut Perlembagaan. Tapi Azalina juga kata yang dia tak menolak kalau perkara itu akan dibawa kembali di masa akan datang.

“…kerajaan tidak menolak untuk Fasal 88A itu dibawa semula pada masa depan selepas dua keadaan, iaitu jika Perlembagaan dipinda serta ada keputusan mahkamah yang mengubah situasi sedia ada.” – Dipetik dari BH Online.

Sebenarnya, ada juga pihak yang tak setuju dengan pengguguran Seksyen 88A ni. Antaranya adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

“Suhakam mengakui beberapa perubahan progresif ditemui dalam pindaan akta itu, terutamanya berkaitan pembubaran perkahwinan sivil dan pembahagian harta perkahwinan kepada pihak berkepentingan…

Bagaimanapun, isu utama melarang penukaran agama secara sepihak telah menjejaskan banyak pihak dan masa depan kanak-kanak – yang kerajaan sebelum ini mahu menyelesaikan – tetap tiada penyelesaian walaupun terdapat tanda-tanda kerajaan akan menangani perkara itu.” – Tan Sri Razali Ismail, Pengerusi SUHAKAM. Dipetik dari Malaysiakini.

Tan Sri Razali Ismail (Pengerusi SUHAKAM) juga pernah jadi Wakil Tetap Malaysia ke PBB selama 10 tahun. Imej dari malaysiaunsc.kln.gov

Bagaimanapun, tindakan SUHAKAM yang kecewa dengan pengguguran Seksyen 88A ni ditegur oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad. Katanya, beliau tak heran kalau ia ditentang oleh HINDRAF, MCA ataupun DAP. Tapi beliau hairan dengan kenyataan SUHAKAM.

“Tetapi saya hairan membaca bahawa SUHAKAM juga turut ‘kecewa’ kerana Seksyen 88A digugurkan. Adakah SUHAKAM mahu satu peruntukan yang memihak kepada orang bukan Islam dan bercanggah dengan Perlembagaan dijadikan undang-undang?” – Tun Abdul Hamid Mohamad, Bekas Ketua Hakim Negara.

Selain itu, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) juga nampaknya masih rasa tak puas hati dengan pindaan akta ini. Antara yang mereka tak puas hati adalah dengan penambahan Seksyen 51A berkenaan pewarisan harta yang boleh diberikan kepada orang bukan Islam.

“Jika seseorang yang telah masuk Islam mati sebelum perkahwinan bukan Islam yang orang itu ialah suatu pihak telah dibubarkan, aset perkahwinan orang itu hendaklah dibahagikan oleh mahkamah antara pihak-pihak berkepentingan mengikut peruntukan seksyen ini apabila permohonan dibuat oleh mana-mana pihak berkepentingan.” – Seksyen baharu 51a (Akta 164).

Tun Abdul Hamid Mohamad, Bekas Ketua Hakim Negara. Imej dari The Malay Mail Online.

Mengikut Mazhab Syafie, orang bukan Islam tak boleh mewarisi harta orang Islam dan begitu jugalah sebaliknya. Kerana itulah, pihak UMMAH menolak pindaan ini dan mungkin akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja Melayu sekiranya Dewan Negara meluluskan akta ini. Tugas Dewan Negara adalah membahas dan meluluskan apa yang telah dibahas dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Kelulusan pindaan Akta 164 baru-baru ni hanya permulaan sebenarnya

Antara yang menjadi kontroversi tentang pindaan akta ini adalah tentang Seksyen 88A. Tapi nampaknya kerajaan dah pun menggugurkan seksyen ini dan Dewan Rakyat telah meluluskan Akta 164 tanpa memasukkan Seksyen 88A.

Bagaimanapun, pakar hanya menyifatkan perkara ini sebagai langkah pertama. Ini kerana, masih ada lagi isu berkaitan seperti hak penjagaan anak selepas salah satu pasangan memeluk Islam dan status agama anak. Oleh itu, Prof Dr. Zaleha Kamarudin (Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) ada memberikan cadangan.

“Cadangannya ialah supaya ditubuhkan Jawatankuasa Me­­diasi yang terdiri daripada hakim mahkamah syariah dan hakim mahkamah sivil untuk membincangkan soal hak penjagaan termasuk agama anak.

Kita tidak mahu orang melihat Islam digunakan sebagai perisai untuk mengendahkan tanggungjawab dan digunakan untuk kepentingan diri sendiri.” – Prof Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin, Rektor UIAM. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Imej dari imgflip.com

Perkara ini juga dikongsi oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Dato’ Zainul Rijal. Katanya, pihak kerajaan boleh mewujudkan suatu badan atau tribunal bebas dari mahkamah sivil dan mahkamah syariah untuk  mengatasi isu kekeluargaan mualaf ini secara mediasi. Ini kerana, melalui perbincangan kes-kes ini tak akan disensasikan dan persetujuan secara menang-menang boleh dibuat.

Dalam waktu yang sama, Prof Dr Zaleha juga menafikan yang kelulusan akta ini sebagai satu kekalahan besar kepada umat Islam. Menurutnya, apabila Seksyen 88A digugurkan maka isu yang mengatakan kedudukan Islam tercabar dan tergugat sebenarnya tak timbul. Mereka yang menolak pindaan baru-baru ini juga disifatkannya sebagai mereka yang tak faham isu sebenar.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.