Bukan semua negeri benarkan nikah online. Ini prosedur yang korang kena ikut

Walaupun kerajaan dah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tapi nampaknya masih banyak aktiviti yang tak dibenarkan lagi. Antaranya termasuklah aktiviti sosial seperti kenduri-kendara dan majlis perkahwinan. Walaupun begitu, majlis akad nikah masih dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu. Sebab itulah, kita ada nampak orang bernikah dekat depan pintu pagar rumah dan online – secara sidang video.

Majlis akad nikah depan pintu pagar yang viral masa mula-mula PKP hari tu. Imej dari Harian Metro.

Memandangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ni ada pesan supaya kita jangan berhimpun selama 6 bulan hingga setahun. Jadinya, ada kemungkinan juga larangan acara akad nikah melibatkan ramai orang ni tetap diteruskan walaupun PKP ditamatkan pada 12 Mei 2020 nanti (kalau ditamatkan).

Oleh itu, SOSCILI kali ni nak kongsikan maklumat kepada bakal-bakal pengantin semua tentang prosedur yang korang kena lalui kalau nak bernikah masa keadaan wabak ni.

Prosedurnya bergantung kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing

Seorang jururawat dan jurugambar perkahwinan yang menjadi pasangan pertama bernikah berpandukan Tatacara Khas Majlis Akad Nikah yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Imej dari BERNAMA.

Sebenarnya, boleh dikatakan yang semua Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) ada prosedur akad nikah sendiri, walaupun takdelah banyak beza antara satu sama lain. Tapi sebelum kita cerita lebih lanjut, kebenaran akad nikah masa PKP ni kebanyakannya hanya diberikan kepada bakal pengantin yang dah buat kursus kahwin, isi borang apa yang patut dan cuma tinggal nak buat akad nikah je.

Jadinya, kitorang akan ambil contoh dari dua negeri iaitu Selangor dan Pahang. Kalau ikut prosedur permohonan kebenaran berkahwin atau memperbaharui kebenaran berkahwin masa PKP di Selangor, korang kena buat:

Sebelum berurusan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) 

  1. Hubungi dulu PAID untuk dapatkan penerangan pasal proses urusan di pejabat nanti (Waktu panggilan: 9 pagi – 1 tengah hari)
  2. Pegawai petugas akan semak semua keperluan borang dan dokumen sokongan untuk pastikan ia dah lengkap
  3. Pemohon akan diberikan nombor giliran, tarikh dan masa untuk datang berurusan di pejabat

Masa berurusan di pejabat (PAID)

  1. Datang pada tarikh dan masa yang ditetapkan.
  2. Pemohon kena imbas QR Code Sistem Pengesanan Kontak di telefon bimbit masing-masing sebelum dibenarkan masuk ke dalam PAID
  3. Pegawai bertugas di pintu masuk akan semak screenshot Nombor PIN yang diberi pemohon dan cuma pemohon yang ada nombor giliran saja dibenarkan masuk
  4. Pemohon akan berurusan di kuanter untuk dapatkan Kebenaran Berkahwin atau memperbaharui Kebenaran Berkahwin yang dah tamat tempoh

Lepas dah dapat kebenaran dari PAID tu tadi, barulah pemohon boleh maklumkan tarikh pernikahan dan boleh dinikahkan melalui sidang video (jika perlu).

“Pemohon kemudiannya perlu hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) untuk mengemukakan slip perakuan nikah sementara bagi mendapatkan Surat Perakuan Nikah Negeri Selangor mengikut Seksyen 26 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 selepas PKP tamat.” – Dipetik dari BH Online.

Majlis akad nikah sidang video yang disaksikan oleh Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Imej dari Malaysiakini.

Itulah sedikit sebanyak prosedur untuk yang nak melangsungkan acara akad nikah di Selangor. Sebenarnya, cara yang diamalkan di Selangor ni tak jauh beza dengan Wilayah Persekutuan dan korang bolehlah semak dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk tahu lebih lanjut.

Untuk negeri lain pula, mungkin kita boleh tengok prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Di Pahang, keutamaan pelaksanaan majlis akad nikah ni diberikan kepada bakal pasangan pengantin yang dah dapat kebenaran berkahwin daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID). Prosedur nak mohonnya pula:

  1. Muat turun borang dan tatacara nikah di laman: e-Munakahat Pahang atau klik sini.
  2. Lengkapkan borang dan e-mel ke pejabat agama berkaitan (maklumkan sekali pihak yang akan hadir ke majlis pernikahan)
  3. PAID akan e-mel pemakluman dan sahkan majlis akad nikah pemohon
  4. Maklumat akad nikah akan dimaklumkan dalam surat (e-mel)
  5. Pemohon kena cetak surat tu
  6. Pemohon hadir ke PAID seperti mana yang dah ditetapkan
  7. Bawa dokumen yang berkaitan

Kalau korang nak tahu, acara akad nikah tu hanya boleh dilaksanakan di PAID Pahang atau di tempat yang difikirkan sesuai oleh Kadi Daerah. Syaratnya, tempat tu mesti patuh dengan tatacara keselamatan. Masa pelaksanaaan nikah tu pula kena dipendekkan – tak lebih 20 minit.

Beberapa keping gambar majlis akad nikah tersebut akan diambil oleh Pejabat Agama Islam Daerah bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara-perkara berbangkit.” – Dipetik dari JAIP.

Tatacara akad nikah di Pahang. Klik sini atau klik imej untuk nampak lebih jelas.

Jadinya, nampaklah kita di sini bahawa adanya perbezaan prosedur antara negeri di Malaysia. Contohnya pernikahan melalui sidang video cuma boleh dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dan Selangor. Manakala, di negeri lain masih lagi melalui acara akad nikah seperti biasa (dengan tatacara tertentu) atau hanya boleh dilakukan secara sidang video jika mendesak seperti ditetapkan di Perlis.

Tapi apa yang menariknya…

Nikah dekat Siam pun ditangguhkan masa musim PKP ni

Siap ada iklan dalam surat khabar tu. Imej dari nikah-siam-thai.blogspot

Kalau tadi kita dah cerita pasal prosedur nikah di beberapa buah negeri Malaysia, sekarang ni kita nak cerita pula pasal nikah di Siam. Selalunya, nikah di Thailand ni dipandang agak negatif sebab dikaitkan dengan isu kahwin lari, poligami dan sebagainya. Tapi nampaknya, sesiapa yang berniat nak menikah dekat Siam tu, kena fikir dua kali lah – sebab rupa-rupanya nikah di sana pun ditangguhkan.

Memetik laporan Harian Metro, ada ‘pemudah cara’ perkahwinan di sempadan sekarang ni mula terjejas pendapatan sebab terpaksa menangguhkan semua urusan berkahwin di Thailand. Sebabnya, selain PKP di Malaysia – Thailand pun ada buat perintah yang agak sama.

“Sebelum musim PKP ini juga, sekitar empat pasangan sebulan yang saya sendiri uruskan…Boleh dikatakan hampir setiap minggu saya akan masuk (Songkhla, Thailand) dan menguruskan perkahwinan mereka.” – Rudi, pemudah cara. Katanya kepada Harian Metro.

Tapi kitorang nak beritahu jugalah yang menikah di sempadan ni sebenarnya satu kesalahan dan korang boleh didenda atau dipenjara jika sabit kesalahan. Khususnya yang berpoligami tanpa ada kebenaran mahkamah tu. Makanya, lebih baik korang bernikah je dalam negara dengan dapat kebenaran dari Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing.

Nak tahu lagi tentang kebenaran melaksanakan acara akad nikah, korang boleh hibungi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) masing-masing untuk keterangan lanjut.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.