- 91Share sekarang!
- Email0
- Facebook91
- Share
Sejak dua menjak ni negara kita banyak kali dilanda bencana alam yang kadang-kadang dilihat sangat teruk, yang tak pernah jadi pun ada yang tiba-tiba terjadi. Perkara ni sangat serius sebab ia memberi kesan yang agak mendalam kepada penduduk setempat, ada yang sampai hilang tempat tinggal kot.
Namun, ada suara-suara yang mengatakan semua ni terjadi disebabkan hasil daripada manusia yang merosakkan alam dengan pembalakan, mentarah hutan, dan banyak lagi. Mungkin betul apa yang mereka cakap, tapi adakah semuanya disebabkan perbuatan? Atau mungkin ada sebab lain yang menyebabkan perubahan cuaca secara drastik ni?
Jom kita gali topik ni sama-sama…
Cuaca tempatan yang semakin ekstrem!
Walau di mana pun kita duduk dalam Malaysia ni, pasti tak terkecuali daripada menerima tempias daripada cuaca tempatan yang makin hari makin ekstrem. Kenapa pula makin ekstrem? Kalau kita tengok balik dengan sejarah dan kajian geografi negara kita, sebenarnya Malaysia merupakan antara negara yang ‘terselamat’ daripada bencana alam yang besar-besar.
Ini disebabkan negara kita setelah sekian lama tidak berada di atas garisan dan kita ibarat dilindungi oleh negara-negara jiran daripada gempa bumi, tsunami, ribut taufan dan banyak lagi. Tetapi ada juga berita yang menyatakan kita mula memasuki lingkaran api pasifik sedikit demi sedikit. Jadi tak mengejutkan kalau pada masa akan datang kita akan ditimpa bencana alam yang besar.
Tapi bukan tu yang kita nak cerita sebenarnya, topik kita hari ni adalah tentang cuaca dalam negara ni. Minggu ke minggu, bulan ke bulan, kita pasti boleh tengok di berita berkenaan banjir, hujan lebat gila, tanah runtuh, dan sebagainya. Seperti di kes banjir di sekitar Kedah baru-baru ini. Bencana itu sampaikan meragut beberapa nyawa.
Ramai terkejut dengan kejadian itu kerana agak sukar untuk kawasan sekitar Gunung Jerai tu terjadi banjir yang teruk, ramai berpendapat ia berpunca daripada penebangan hutan yang tidak terkawal. Tapi lain pula pendapat Menteri Tenaga dan Sumber Asli kita.
“This is an act of god, satu takdir Allah S.W.T,” Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kota Bharu, petikan daripada KiniTV
Kenyataan Takiyuddin tu membangkitkan kemarahan ketua pembangkang iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada masa yang sama rakyat juga marah dengan apa yang dinyatakan olehnya. Namun, dia juga ada menjelaskan tentang kenyataanya selepas itu, mungkin ada benar tentang apa yang cuba dimomokkan oleh menteri kita tu.
“Jerai (Gunung Jerai) ini dah diisytiharkan sebagai National Geopark of Jerai pada tahun 2018. Atas status sebagai National Geopark, aktiviti pembalakan memang tak dijalankan di kawasan itu… Saya sendiri turun (ke Kedah) ke tempat itu, saya melihat pokok-pokok yang dibawa turun oleh kepala air ni, ia membawa akar-akarnya sekali. Sekaligus menunjukkan, tidak ada pembalakan di kawasan Jerai ini. Ini lah yang disebut sebagai takdir Allah,” tambah Takiyuddin
Mungkin benar apa yang dia nak sampaikan, cuma pemilihan kata-kata tu yang mungkin agak tak sesuai digunakan. Ia ibarat menyalahkan tuhan dalam segala perihal yang terjadi. Dalam masa yang sama membuatkan mereka lepas tangan tentang isu yang melanda Malaysia dalam konteks kesihatan alam sekitar.
Even dengan penerangan Takiyuddin tu pun, ada juga mereka yang memang menyatakan yang semua banjir di Kedah sebelum ni berpunca daripada tindakan manusia tu sendiri. Ini pandangan mereka…
Hampir semua banjir berpunca dari manusia
Bila kita fikirkan secara lebih mendalam, takkan lah kita hanya lepas tangan dan menjadikan tuhan sebagai alasan bencana tu terjadi. Sebenarnya boleh dikatakan hampir semua banjir yang terjadi sekarang berpunca daripada kecuaian manusia sendiri, kebanyakan ‘aktiviti’ orang kita yang menyebabkan kesan gas rumah hijau.
Sekaligus meningkatkan suhu dalam negara dan menyebabkan climate change! Aktiviti seperti penebangan hutan, pembakaran terbuka, asap kilang dan sebagainya menjadi antara penyebabnya. Ini disokong oleh aktivis alam sekitar yang menyelar kenyataan Takiyuddin yang ibarat menolak yang sebenarnya manusia lah yang memberi masalah.
“Fakta yang memang tidak boleh ditolak adalah hampir semua kejadian banjir berpunca daripada kecuaian manusia. Kita juga sudah mula hilang kawalan kendiri kalau bercerita tentang konteks corak cuaca yang ekstrem. Kita boleh nampak benda ni berlaku di seluruh dunia, yang paling dekat adalah di Kedah,” Andrew Sebastian, CEO kepada Eco-tourism and Conservation Society Malaysia (Ecomy), petikan daripada Free Malaysia Today
Andrew juga tak menolak yang kemungkinan besar juga Malaysia bakal dilanda lebih banyak banjir dan tanah runtuh dalam masa yang akan datang. Jadi apa yang ingin diketengahkan adalah yang perkara ini sepatutnya tidak boleh di justify sebagai takdir tuhan sahaja, yang patut disalahkan adalah kita semua.
Kerajaan perlu memainkan peranan penting untuk menolong rakyat yang bakal menjadi mangsa banjir, sebab benda ni dah terjadi setiap tahun tetapi penyelesaiannya masih lagi samar-samar. Takkan lah penyelesaiannya just kena pindahkan mangsa banjir je kan? Tu kerja kerajaan lah kan, kalau kita sendiri yang kena fikir baik kita je jadi kerajaan.
Kalau korang nak tahu lah kan, bukan kes kat Kedah je orang gunakan alasan ‘kerja tuhan’ ni. Ada juga kes yang lain pun ‘puak’ ni bising menggunakan dalil mereka. Ini antaranya…
Dalil yang digunakan sebagai alasan?
Bencana alam di Gurun, Yan dan Merbok, Kedah
Kes yang paling segar setakat ni adalah banjir kilat yang agak teruk di Kedah baru-baru ni, ia merupakan satu kes yang tidak dijangka sebab bukit-bukau di kawasan itu dikatakan tidak pernah berlaku apa-apa aktiviti pembalakan di situ. Jadi secara logiknya, tidak mungkin lah boleh terjadi banjir sebegitu rupa kan.
Tu yang Menteri kita terus cakap itu act of god, walaupun sebenarnya dia tak patut keluar kenyataan macam tu. Namun bukan dia je yang menggunakan ‘dalil’ macam ni untuk menggambarkan sesuatu bencana tau. Ada lagi sebenarnya…
Banjir kilat mengejut di Pulau Pinang
Pulau Pinang pernah dikejutkan dengan banjir kilat yang agak teruk pada tahun 2017 sehinggakan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu (Lim Guan Eng) yang terpaksa memohon bantuan daripada kerajaan Persekutuan. Namun bencana yang dilanda negeri itu ‘dipolitikkan’ oleh seorang naib presiden parti politik dengan menyatakan…
“Orang angkuh selalunya Allah bayar secara ‘cash’,” Idris Ahmad, Naib Presiden PAS, petikan daripada Malaysia Dateline
Dikatakan kenyataannya itu disebabkan parti DAP yang mengeluarkan kenyataan seperti merendahkan kerajaan Kelantan ibarat tidak reti menguruskan banjir, mana taknya, Kelantan hampir setiap tahun dilanda banjir. Cuma tu lah, ia ibarat menggunakan agama untuk berpolitik atau ayat lainnya adalah menyelitkan agama dalam politik dendam.
Perlu berhati-hati jika ingin mengeluarkan kenyataan
Apa yang harus ditekankan di sini adalah sesiapa sahaja yang ingin mengeluarkan sesuatu kenyataan tidak perlu lah mengaitkan agama, tapi kalau memang ia ada kena mengena dengan agama tu apa salahnya kan. Namun, perlu difikirkan dahulu tentang ‘akibat’ yang akan terjadi jika kenyataan sebegitu dikeluarkan.
Lagi-lagi orang yang mengeluarkan sesuatu kenyataan tu adalah individu yang mempunyai nama, perkara seperti ini harus dielakkan. Lagi satu, negara kita bukan sahaja diduduki oleh orang Islam sahaja, Malaysia merupakan negara yang harmoni dengan kewujudan banyak agama dan kaum yang berbeza, jadi kita semua mestilah menjaga hati masing-masing. Itu lah keluarga Malaysia.
- 91Share sekarang!
- Email0
- Facebook91
- Share