Tak sampai sebulan dilantik, dah dua kali kena tegur. Siapa dia MB Johor baru ni?

Pasca PRU-14 ni, kita nampak banyak kejutan. Ia ditambah lagi dengan jatuhnya beberapa negeri ke tangan Pakatan Harapan, macam – Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Johor.

Kat Johor, PH dah menang 36 dari 56 kerusi DUN. Kemenangan PH kat Johor ni jugak dah buatkan ramai pihak terkejut beruk, bila negeri yang selama ni terkenal sebagai ‘kubu kuat’ dan tempat kelahiran UMNO, akhirnya jatuh.

Perkembangan terbaru jugak menunjukkan yang negeri-negeri ni dah lantik Menteri Besar masing-masing. Cuma Perlis je yang terakhir lantik Menteri Besar, tapi berita tak sedapnya bila Raja Perlis murka dengan sembilan wakil rakyat BN yang tak datang kat majlis istiadat.

MB Selangor, Azmin Ali pulak akan jadi MB sementara, sebab dilantik jadi Menteri Kabinet kat peringkat Persekutuan.

YDP Agong menyerahkan Surat Cara Pelantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi kepada Azmin Ali. Imej dari BERNAMA.

Tapi dalam banyak MB yang baru dilantik ni, ada satu MB yang tarik perhatian ramai pihak. Orang tu adalah Datuk Osman Sapian dari Bersatu yang dilantik jadi MB Johor ke-16. Baru je beberapa hari pegang jawatan MB, banyak pulak kontroversi yang dikaitkan dengan Osman. Antaranya macam isu peruntukan untuk ADUN pembangkang dan pelantikan Ketua Setiausaha Sulit.

Sebelum kita bincang dengan lebih panjang, jom kita kenali dulu siapa dia MB Johor yang baru ni.

Osman jadi ADUN BN selama 3 penggal sebelum namanya digugurkan

Osman Sapian adalah anak jati Johor yang ada kelulusan perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia. Sebelum masuk politik, Osman pernah berkerja sebagai Pengurus Semangat Finance Berhad, Timbalan Pengurus DNC Bank Berhad dan Timbalan Pengurus Besar Tan Chong Holding Berhad.

Difahamkan, sebelum masuk UMNO, Osman pernah bertanding jadi calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam PRU-1978. Masa tu umurnya 27 tahun. Osman mula masuk UMNO pada tahun 1988 dan pernah jadi Naib Ketua UMNO bahagian Pulai.

Osman mula dibagi kepercayaan jadi calon BN untuk DUN Kempas pada PRU-1999. Osman seterusnya jadi ADUN Kempas selama tiga penggal. Dalam PRU-12 (2008), Osman dah menang mengalahkan calon PAS – Suhaizan Kaiat dengan majoriti lebih 8 ribu undi.

Suhaizan (kiri sekali) masa melawat Osman (tengah) kat hospital. Suhaizan masuk AMANAH & Osman masuk BERSATU. Imej dari kentong-suhaizan.blogspot

Walaupun dah 3 penggal jadi ADUN, pada PRU-13 nama Osman tak dicalonkan UMNO. Tapi, diganti dengan Tengku Putra Haron Aminurrashid. Walaupun macam tu, Osman tetap setia dengan UMNO dan sokong Tengku Putra.

“Dua hari lepas calon kita (Tengku Putra) datang ke pejabat saya, malah cium tangan saya…Dia datang minta restu daripada saya dan saya restui dia, begitu juga kawan-kawan (pengundi) saya…Kali ini saya minta calon kita yang lebih muda dapat lebih daripada itu sebabnya dia lebih muda daripada saya yang dah ‘menopause’.” – Datuk Osman Sapian, dipetik dari Utusan Online (24/04/2013).

Ketika sampai di usia emas. Imej dari comfortlife.ca

Walaupun Osman kata dia dah ‘menopause’, tu bukan maknanya dia bersara dari politik. Pada tahun 2016, Osman dah ambil keputusan untuk masuk Bersatu. Lepas tu, dia dilantik jadi setiausaha Pakatan Harapan dan PPBM negeri Johor.

Pernah cabar Nur Jazlan (bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri) untuk jawatan Ketua UMNO Pulai

Osman sebenarnya ada sejarah yang panjang dalam UMNO. Bila dah masuk dalam politik, perebutan jawatan tu memang tak boleh dielakkan. Sebab itulah pada tahun 2013, Osman cuba mencabar Nur Jazlan yang juga adalah anak veteran UMNO – Tan Sri Mohamed Rahmat (bekas Menteri Penerangan) untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Pulai.

“Osman yang dihubungi mengesahkan sedang mempertimbangkan untuk mencabar Ahli Parlimen Pulai itu yang juga anak kepada bekas Setiausaha Agung UMNO, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.” – Dipetik dari Utusan Malaysia (12/09/2013).

Osman & Nur Jazlan. Imej dari The Star.

Tapi kemudiannya, Osman tarik diri dan Nur Jazlan menang tanpa bertandingSebenarnya,  Osman dah pun cabar Nur Jazlan pada tahun 2008. Tapi nampaknya, Nur Jazlan yang kemudiannya jadi Timbalan Menteri Dalam Negeri berjaya kekalkan jawatan tu.

Selain dari Osman, anaknya juga pernah bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru. Tapi dia kalah dengan Syaful Rizal Abdul Ghani dalam pemilihan tu.

Nornekman masa bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru. Imej dari Youtube.

Kontroversi Osman – bila kata tak nak bagi peruntukan kepada ADUN pembangkang

Jarang kita dengar ada MB yang terus buat kontroversi lepas je angkat sumpah. Tapi itulah yang jadi kat Osman. Dia dah kata yang kerajaan baru Johor tak akan bagi peruntukan kepada ADUN pembangkang, masa dalam sidang media lepas je angkat sumpah.

“Itu hak kerajaan yang memerintah (peruntukan). Kalau dulu UMNO memerintah pun tak dapat, jadi sekarang pun tak dapatlah. Mengapa patut kami bagi, ibarat seperti memberi peluru untuk menembak kami?” – Datuk Osman Sapian, MB Johor. Dipetik dari Astro Awani.

Osman Sapian masa angkat sumpah jadi MB Johor. Imej dari Royal Johor Press.

Nampaknya kenyataan Osman tu dah dapat banyak reaksi dari masyarakat dan kepimpinan Harapan sendiri. Antara yang terawal mengkritik adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq. Sebabnya, kenyataan Osman tu macam dah menafikan keadilan dan demokrasi untuk kepentingan rakyat. Apa yang lagi penting, jangan pulak nanti kerajaan baru Harapan ni tak ada beza dengan kerajaan BN dulu.

“Walaupun peruntukan adalah hak kerajaan memerintah, tetapi ia sewajarnya diberikan secara adil kerana peruntukan itu untuk pembangunan pengundi.” –  Prof Dr Syed Arabi Idid,  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Dipetik dari BH Online.

Kenyataan Osman ni juga dapat perhatian Presiden Bersatu – Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang minta Osman perbetulkan balik kenyataannya. Muhyiddin jugak ulang sekali lagi yang kerajaan Harapan tak akan ikut cara pentadbiran BN sebelum ni.

“…kawasan pembangkang juga harus dibantu, selain rakyat di situ perlu kita tolong dan utamakan. Justeru, saya sudah maklumkan perkara itu kepada Osman… dia masih baharu, kita bagi dia sedikit masa untuk ‘steady’.” – Muhyiddin Yassin, Presiden PPBM. Dipetik dari Harian Metro.

Bawa bertenang~~~ Imej dari Giphy.

Tapi nampaknya, isu macam dah selesai bila Osman akhirnya umumkan yang kerajaan negeri Johor akan bagi peruntukan RM50,000 setahun kepada setiap ADUN termasuk pembangkang. Dalam pada itu, kita dilaporkan yang kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus bagi peruntukan tahunan sebanyak RM40 ribu kepada pembangkang kat negeri tu.

Dekat Selangor pulak, pada tahun 2014, dah jadi isu bila ADUN-ADUN BN tak nak terima peruntukan RM200 ribu setahun dari kerajaan negeri. Alasannya, pemberian tu tak ikhlas, sebab ADUN Pakatan Rakyat dapat RM700 ribu.

Pada awal tahun ni pulak, ADUN PAS Selangor mendakwa yang peruntukan diorang dah disekat. Tapi hal ni dinafikan Azmin Ali (MB Selangor) dengan kata peruntukan tu cuma lewat dan ada masalah teknikal. Tapi tak lama lepas tu masalah ni selesai bila ADUN-ADUN PAS Selangor mengesahkan yang diorang dah dapat peruntukan tu.

Laporan 24 Jan 2018 lepas. Imej dari Malaysiakini.

Bekas editor surat khabar kata – Muhyiddin silap besar dalam pelantikan Osman sebagai MB Johor

Belum lagi habis kontroversi pasal peruntukan kepada ADUN pembangkang, tindakan Osman sekali lagi dilanda kontroversi. Kali ni tindakannya melantik Fizwan Rashidi sebagai Setiausaha Sulitnya. Apa yang kecoh sangat dengan pelantikan ni?

Sebenarnya, yang buatkan ramai pihak tak puas hati adalah bila Fizwan ni didakwa ada hubungan rapat dengan BN dan juga dipercayai sebagai ahli UMNO. Dalam reaksi Muhyiddin pulak, dia pesan kat Osman supaya berhati-hati dan tak buat keputusan tergesa-gesa.

Fizwan Rashidi dalam satu majlis. Imej dari Utusan Malaysia.

Muhyiddin juga kata yang dia dah nasihatkan Osman supaya utamakan ahli Harapan, terutama sekali Bersatu dalam melantik barisan pegawai. Walaupun macam tu, Osman kata hal ni sepatutnya tak dijadikan isu, sebab pelantikan tu bukan di bawah politik.

“… sebagai penjawat awam kerajaan negeri Johor, dia biasanya tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti kerana dia terikat dengan perjawatan. Jadi, kalau orang kata dia orang UMNO atau itu..ini, saya tidak boleh nak halang.” – Osman Sapian, MB Johor. Dipetik dari Astro Awani.

Selain tu, Fizwan juga dikatakan ada pengalaman yang luas sebagai Setiausaha Sulit untuk beberapa MB Johor sebelum ni.

“…pelantikan bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi itu dibuat selepas beliau (Osman) berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.” – Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor. Dipetik dari Facebooknya.

Osman dengan tiga ADUN BN Johor yang lompat masuk BERSATU. Imej dari The Star.

Walaupun macam tu, boleh kata – ni dah kali kedua Muhyiddin nasihat MB Johor yang tak sampai sebulan pegang jawatan. Disebabkan hal ni jugaklah, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Zainuddin Maidin (Zam) ada kata yang Muhyiddin silap langkah dalam pelantikan Osman sebagai MB Johor ni.

“Tan Sri Muhyiddin telah membuat kesilapan besar dalam pelantikan MB Johor yang akan terus timbulkan masalah kerana bertentangan hasrat rakyat. MB baru ini tidak dinamik dan tak akan berani betulkan kesilapan-kesilapan besar yang menyebabkan UMNO diruntuhkan di Johor.” – Zainuddin Maidin, katanya kepada Malaysiakini.

Imej dari BH Online & imgflip.com.

Menurut geostrategis Azmi Hassan pulak, apa yang Zam kata tu ada asasnya – sebab mungkin dalam pandangan Zam, rahsia dalaman kerajaan Harapan Johor mungkin boleh bocor kat UMNO melalui Setiausaha Sulit MB ni. Tapi dalam masa sama, Azmi juga kata yang kemungkinan Osman pilih orang tu jadi Setiausaha Sulit sebab dia ada kepercayaan dan serasi berkerjasama.

“Sememangnya Osman sepatutnya memilih orang dari PH untuk jawatan sepenting itu tetapi bagi saya efisyen atau tidak pentadbiran kerajaan PH Johor tidak bergantung sepenuhnya terhadap faktor siapa setiausaha sulit MB.

Tapi mungkin telahan saya silap kerana mungkin juga Zam mempunyai pemikiran yang berlainan apabila berkata Osman adalah seorang pemimpin yang tidak dinamik.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Kecewanya AMANAH, pelantikan MB dan cabaran BN 2.0

Sebenarnya, selain dari Osman, ada lagi beberapa nama sebelum ni yang disebut-sebut akan dilantik sebagai MB Johor. Antaranya adalah Aminolhuda Hassan (Pengerusi AMANAH Johor), Salahudin Ayub (Timbalan Presiden AMANAH) dan Osman Sapian. Tapi nampaknya, teka-teki ni dah terjawab apabila Osman terpilih dan dilantik sebagai MB Johor yang baru.

Walaupun begitu, pada mulanya ramai yang jangka Salahudin yang akan dilantik. Bagaimanapun, AMANAH tetap terima keputusan pelantikan Osman dan nasihatkan semua pihak supaya menghormatinya, walaupun ramai yang kecewa.

“Saya sedar ramai yang kecewa kenapa saya tidak dilantik sebagai Menteri Besar Johor. Semua harus faham bahawa pelantikan jawatan Menteri Besar adalah tertakluk kepada apa yang tercatat di dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Johor.” – Salahuddin Ayub, dipetik dari Utusan Online.

Tak dapat jadi MB, tapi dapat jadi menteri. Imej dari @maepsserdang

Walaupun begitu, tindakan Osman meletakkan 50 peratus golongan muda dalam barisan exco masih lagi boleh dipuji. Selain tu, Osman juga komited mempercepatkan pemberian air percuma kepada rakyat Johor, sebagaimana yang ada dalam manifesto Harapan. Kalau ada cakap-cakap yang kerajaan Harapan Johor mungkin akan jadi BN 2.0, ini pandangan Azmi Hassan:

“Berpandukan barisan exco, saya agak yakin kerajaan PH Johor tidak akan terjebak masalah yang dihadapi oleh kerajaan Johor BN sebelum ini yang lebih banyak terperangkap dengan politik dalaman yang berpuak sehinggakan perhatian terhadap masalah rakyat Johor tidak diberi perhatian yang sepatutunya.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.