KLCC lenyap dari gambar manifesto BN? 5 kali Mahathir pernah dipadamkan dari sejarah

Pada hari Sabtu lepas, PM Najib Razak telah melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) sempena PRU ke-14 yang semakin dekat. Majlis pelancaran manifesto BN itu diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, dan bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku‘. Seramai 12,000 penyokong BN dianggar menghadiri majlis itu manakala 40,000 lagi berada di luar stadium itu waktu manifesto BN dilancarkan.

Ni kira lautan biru ke lautan ungu ek? Imej dari Utusan.

Antara janji-janji yang dijaminkan dalam dokumen tersebut termasuklah penyediaan peluang pekerjaan, pemberian subsidi rumah mampu milik, dan juga pembinaan Institut Latihan Teknikal dan Vokasional. Tambahan pula, manifesto itu juga berikrar akan menubuhkan suatu Majlis Ekonomi Wanita untuk memberi tumpuan kepada pemerkasaan agenda ekonomi golongan itu serta beberapa dasar lain yang korang boleh tengok sendiri!

Namun, sejak manifesto itu diumumkan, beberapa orang dah terperasan suatu perincian kecil yang seolah-olahnya dihilangkan dengan sengaja…

1. KLCC dipadamkan dari manifesto BN, tapi bayangnya masih ada

Kalau korang pergi ke laman web BN dan tengok kat seksyen TN50 dalam manifesto yang baru dilancarkan itu, korang akan jumpa gambar ni pada bahagian atas halaman tersebut.

Kenapa pendek semacam bangunan-bangunan KL dalam gambar kiri tu?

Gambar sebelah kiri tu sepatutnya merupakan pemandangan landskap KLCC dari sudut Taman Tasik Titiwangsa. Tapi kalau gambar di atas dibandingkan dengan gambar di bawah pula, kitorang rasa korang boleh nampak pebenda yang berbeza antara kedua-duanya.

Eh dah tinggi balik pulak. Imej dari Flickr.

Tak lama lepas manifesto BN itu dilancarkan, beberapa netizen mula mengecam pemadaman menara berkembar Petronas dari gambar yang digunakan dalam manifesto itu, sambil mengesyaki sebab ianya dibuang adalah kerana ia merupakan warisan bekas PM Tun Dr Mahathir yang kini telah meninggalkan UMNO untuk mengetuai pihak pembangkang.

Antara pihak yang percaya macam tu termasuklah pertubuhan NGO Lawyers for Liberty, yang panggil pemadaman itu sebagai “kebudak-budakan dan tak matang” dan ramai lagi antara kalangan pengguna Facebook dan Twitter. Meskipun, ada juga beberapa antara dorang yang mengesan bayang-bayang bangunan itu masih dapat terlihat dalam tasik.

Sebenarnya kitorang pon biasa lupa buat kerja betul-betul masa guna Photoshop. Imej dari Twitter.

Walau bagaimanapun, terdapat pula pendapat yang pasukan di belakang penyediaan manifesto ini telah berjaya dalam tugas dorang oleh kerana kritikan setakat ni yang hanya berkaitan dengan gambar dan bukan isi kandungannya. Kini, Mahathir pon telah membalas kejadian ini secara tidak langsung dengan tweetnya yang berikut:

Tepat pulak si Zedd tu melawat KLCC tengah-tengah kejadian ni. Imej dari Twitter.

Tapi kitorang rasa ni bukannya kali pertama Mahathir pernah kena benda macam ni sebab…

2. KLCC pun pernah dibuang dari backdrop Buletin Utama TV3

Pada September tahun lepas, seorang pengguna forum Lowyat telah menyiarkan gambar siaran berita Buletin Utama di saluran TV3. Mengikutnya, backdrop kat belakang pembaca berita itu dah buang imej KLCC disebabkan peranan Mahathir dalam membangunkannya.

Kenapa KL macam takda elektrik dalam gambar tu? Imej dari Lowyat.

Kitorang cuba cari backdrop yang digunakan sebelum ni dan dapat jumpa gambar yang berikut.

Ni lampu ada, bangunan pulak yang ghaib. Imej dari YouTube.

Beberapa pihak turut menyuarakan kekecewaan dorang terhadap penukaran tersebut. Halaman Facebook seperti Mahathir the Legend telah mengeluarkan kenyataan mengiktiraf KLCC dan KL Tower sebagai ikon negara dan lambang pembinaan Malaysia. Sementara itu, satu lagi halaman Facebook menyoal Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Dato Ashraf Abdullah, sama ada dia telah mengarah penukaran backdrop tersebut secara terpaksa atau tersendiri.

Kuat betul perasaan dorang ni pasal backdrop. Imej dari Facebook.

Namun, ada yang merasa bahawa kekecohan itu hanya reaksi melampau semata-mata, apabila melihat KL Tower juga telah terpadam walaupun tidak berkaitan dengan Mahathir. Dan ada juga yang percaya bahawa isu ini telah dipolitikan secara tak pasal-pasal dan hanya merupakan setakat komplen penyokong pembangkang.

Agaknya camne la dorang undi PRU nanti. Imej dari Facebook.

Tapi KLCC bukannya satu-satu warisan Mahathir yang pernah terancam sebegini…

3. Penutupan pusat akademik Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir hanya sebab ada namanya

Ditubuhkan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2003, Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) telah diumumkan oleh Tun Abdulla Badawi sebagai penghormatan kepada Dr Mahathir selepas bersara daripada 22 tahunnya sebagai Perdana Menteri. Sejak itu, institut ini telah menerbit buku-buku ucapan Mahathir serta menjadi pusat penyelidikan tentang pemikiran, kepimpinan, dan dasar negara.

Namun masa depan IPDM kini terancam mengikut tekanan daripada beberapa pihak, menurut sumber yang rapat dengan pihak UUM.

Imej dari Twitter.

Kata sumber kepada laman web Free Malaysia Today, pihak universiti itu telah mendapat tekanan menutup institut itu daripada pemimpin UMNO setempat hanya atas sebab namanya. Lebih-lebih lagi, Universiti Utara Malaysia pula terkenal atas hubungannya yang dilihat rapat dengan UMNO dan juga ahli akademiknya seperti pensyarah kanan Dr Kamarul Yusoff yang memegang pandangan kuat terhadap pihak pembangkang.

Rasa Tun M pun pernah lawat ke tak institut ni sejak ia ditubuh? Imej dari FMT.

Kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Wan Saiful Wan Jan, penutupan IPDM hanya kerana Dr Mahathir bukan lagi bersama UMNO adalah “kebudak-budakan” dan “tidak matang”. Menurutnya juga, legasi Tun Mahathir kepada negara tidak akan dapat dihapuskan… Entah-entah, ni la salah satunya sebab dia lompat masuk Bersatu sebagai timbalan ketua strategi diorang.

Walau bagaimanapun, Ketua UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin telah menafi mengetahui apa-apa tentang kempen itu serta mengata tekanan itu pasti bukan dari Pemuda UMNO Kedah. Tapi kalau korang nak tahu, ada contoh lain pihak-pihak tertentu pernah nak cuba memadam Dr Mahathir dari bidang pelajaran…

4. Pengecualian masa Mahathir sebagai PM daripada buku teks sekolah

Kalau Mahathir takde sebagai PM, tak jadi la teori R.A.H.M.A.N. Imej dari Twitter.

Ogos lepas, suatu gambar buku teks pendidikan sivik telah menjadi tular di media sosial kerana menunjuk Mahathir disingkirkan daripada senarai gambar Perdana Menteri Malaysia. Isu itu pun sebenarnya telah dikemukakan beberapa minggu sebelum tu apabila Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng bertanya Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid sama ada kerajaan akan masih menggelar Mahathir “bapa pemodenan Malaysia”.

Fakta tersebut masih relevan dan dikekalkan dalam buku teks Kementerian Pendidikan” – Datuk Seri Mahdzir Khalid, dipetik dari jawapannya di Parlimen.

Beberapa pengguna media sosial menyalahkan penerbitan buku itu ke atas pihak kerajaan dan UMNO. Namun, ia dapat diketahui bahawa buku itu bukan terbitan Kementerian Pendidikan, dan Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid pula memanggil tindakan pihak terbabit itu “satu kerja gila”. Sambil itu, dia juga menyifatkannya suatu percubaan supaya orang ramai akan menyalahkan kementeriannya.

Kenapa takleh letak kertas tu sebelah-sebelah je? Imej dari Malaysian Digest.

Dalam kenyataan kepada media, pihak Kementerian Pendidikan memaklumkan rasa kesal diorang terhadap buku teks itu dan memberitahu bahawa diorang telah buat lapoaran mengenai penerbit buku teks itu kepada polis. Sementara itu, diorang juga menafikan bahawa diorang pernah mengarah sekolah-sekolah agar menanggalkan gambar Mahathir daripada sekolah diorang.

5. Lampu PWTC kena padam tepat pada portret Dr Mahathir

Gambar dia ada lagi kat situ… cuma kena pandang kuat sikit. Imej dari Twitter.

Manakala peristiwa buku teks pendidikan sivik itu membabitkan senarai Perdana Menteri, peristiwa ini pula melibatkan potret-potret bekas presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ianya berlaku pada tahun 2015 ketika pergaduhan antara PM Najib dan Tun Mahathir mengenai isu 1MDB baru bermula. Waktu itu, pihak media telah menghadiri suatu majlis buka puasa di PWTC apabila diorang sedar yang portret Mahathir itu satu-satunya gambar yang tidak dinyalakan.

Ingatkan memang ada 6 presiden je tadi. Imej dari FMT.

Selepas kejadian itu disoal oleh orang ramai serta diberi andaian yang lampu portret Mahathir itu telah dipadamkan secara sengaja, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin membalas dengan memberitahu kepercayaannya mengenai keadaan itu bahawa ia hanya merupakan masalah teknikal atau kerosakan fius lampu.

Takkanlah kita dengan sengaja padamkan lampu gambar Tun Mahathir. Itu tak masuk akal” – Khairy Jamaluddin, dipetik dari MStar.

Tetapi kata Ketua Penerangan UMNO cawangan Setiawangsa Mohd Badlishah Badjan Khan, suis lampu itu tidak ditutup manakala fius itu tiada kesan kerosakan. Oleh itu, dia percaya bahawa gambar yang dikeluarkan itu hanya gambar palsu yang telah diedit untuk menonjolkan pergaduhan Mahathir dan Najib.

Hebat betul tukang edit gambar ni. Imej dari Malaysian Digest.

Kata Mahathir pula, dia tak tersinggung dengan peristiwa “kerosakan lampu” itu dan juga mengatakan bahawa UMNO berhak memecahkan atau membakar gambarnya kalau mahu. Sampai sekarang kitorang masih tak tahu kalau kejadian ni memang merupakan kes kerosakan lampu atau penyuntingan gambar atau pun sama ada lampu itu memang dipadamkan. Nampaknya kitorang pun kena kira benda ni wallahualam je lah.

Nampaknya UMNO dengan Mahathir dah memang putus hubungan kali ni

Untuk korang yang tak tahu, sebenarnya ni kali ketiga Mahathir keluar dari UMNO. Dua kali sebelum ni, dia tinggalkan UMNO atas sebab perbezaan antaranya dengan PM pada waktu itu. Kali pertamanya melibatkan pergaduhannya dengan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969 (lepas Mei 13) dan kemudian, dengan Tun Abdullah Badawi pada tahun 2008. Tapi dua-dua kali sebelum ni, dia tak pernah la sampai tubuhkan parti sendiri dan menyertai pihak pembangkang untuk jatuhkan BN.

Baca la artikel kami pasal tiga kali Mahathir dah tinggalkan UMNO!

Apabila ditanya tentang kehilangan menara berkembar Petronas dari gambar manifesto BN itu, Mahathir hanya ketawa dan memberi jawapan berikut:

Saya tak rasa mereka begitu bijak. Saya ingin memesan supaya mereka tidak berdiri berdekatan dengan air, kerana kalau muka mereka dipadam, kita akan masih dapat melihatnya di dalam air“.

About Iqbal Fatkhi 10 Articles
Pandai buat meme je. Tulis artikel beshe-beshe je.