- 341Share sekarang!
- Email7
- Facebook334
- Share
(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)
Pihak berkuasa agama di Malaysia dah beberapa membuat serbuan masa pesta, majlis makan malam, malah majlis perkahwinan dan juga pengkebumian.
Terbaru, pihak berkuasa agama melakukan satu lagi serbuan hanya beberapa minggu lepas. Tapi nampaknya kali ni, serbuan yang dilakukan agak besar melibatkan pihak berkuasa agama di Selangor (JAIS) dan Johor (JAINJ) yang menyerbu acara dan hartanah persendirian di negeri masing-masing, membawa kepada penahanan lebih daripada 23 lelaki, wanita dan juga kanak-kanak.
Dan nampaknya, acara yang dilakukan pun bukanlah acara bersifat peribadi, tapi sebuah perayaan istimewa yang dianjurkan oleh para pengikut Syiah: Ashura.
Ashura jatuh pada hari kesepuluh bulan Muharram pada awal bulan ni, di mana ramai masyarakat beragama Islam di Malaysia (Sunni) berpuasa pada hari tersebut. Tapi sebaliknya, penganut Syiah menyambut perayaan Ashura dengan cara yang berbeza – yang akan kita ceritakan selebihnya kejap lagi.
Ini bukanlah kali pertama pihak berkuasa agama menyerbu majlis keraian sebegini. Tapi kali ni, golongan Syiah ni bukan saja ditahan, tapi mereka mendakwa diganggu oleh pegawai polis. Jadi, apa yang dilakukan oleh Syiah ni ? Untuk memahami macam mana semua sentimen ni datang, kita mungkin perlu faham asal-usul Syiah di Malaysia.
Ajaran Syiah nampaknya dah berada di negara ni sejak… penaklukan Portugis???
Mula-mula, korang kena faham konflik antara Sunni dan Syiah bermula pada tahun 632 di mana ketika Nabi Muhammad SAW wafat. Ini menimbulkan persoalan tentang siapa yang akan mengambil alih kepimpinan negara Islam.
Di satu bahagian, sebahagian umat Islam bersetuju dengan sahabat Nabi pada saat kematiannya di mana pemimpin harus dipilih dari mereka yang mampu meneruskan kerja-kerja dakwah. Sebaliknya pula bagi sebahagian lain, mereka percaya yang kepimpinan tu harus diserahkan secara langsung kepada sepupu atau menantunya, Ali bin Abu Talib.
Dan nampaknya dari sininya bermulalah kepercayaan Syiah. Perbezaa Sunni dan Syiah juga ada pada tradisi dan cara doa mereka tersendiri. Kalau nak tahu, ada buku tersendiri yang perlu dikaji. Korang juga boleh klik kat sini dan kat sini.
Di Malaysia sendiri, ada beberapa hujah tentang pengaruh Syiah yang bermula di negara kita. Satu hujah berdasarkan dokumen penaklukan Melaka, Commentarios, pada tahun 1511 oleh orang Portugis mendakwa yang pengaruh Syiah dah wujud sejak zaman tu. Dokumen tu menunjukkan, terdapat sekurang-kurangnya 3,000 orang Parsi semasa kejatuhan Melaka dan mereka semua adalah Syiah.
Kajian lebih kukuh menunjukkan yang British membawa pengikut Syiah dari India untuk menyertai pasukan tentera di Pulau Pinang. Hujah ini dianggap cukup sah kerana kaum Syiah India berjaya memperkenalkan kebudayaan Syiah yang kemudiannya disesuaikan oleh orang Melayu, iaitu Boria.
“Boria, dirayakan selama sepuluh hari pertama Muharram dalam peringatan peristiwa-peristiwa tragis Karbala, mempunyai puncaknya pada abad ke-19 dan masih diamalkan di Malaysia kontemporari, di mana ia telah menjadi sebahagian dari warisan Melayu.” – petikan dari Fakta Syi’ah Islam di Asia Tenggara Kontemporari (II): Malaysia dan Singapura.
Tapi kehadiran Syiah menjadi lebih menonjol di Malaysia semasa Revolusi Iran 1979, yang merupakan satu siri peristiwa yang melibatkan penggulingan raja terakhir Iran, Mohamed Shah Reza Pahlavi. Pemerintahan beraja kemudiannya bertukar kepada sebuah Republik Islam di bawah Ayatollah Rohulloh Khomeini.
Menurut pengarah IRF, Dr Ahmad Farouk Musa, revolusi ni mencetuskan riwayat konflik Syiah-Sunni antara lain seperti pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam, terutamanya di Malaysia.
Selepas revolusi, kerajaan Iran telah menaja beberapa orang terpilih untuk belajar tentang agama Islam ke Iran serta mendapat sokongan daripada umat Islam di seluruh dunia. Sesetengah rakyat Malaysia yang ditaja dalam perjalanan ini didakwa termasuklah Anwar Ibrahim dan pelbagai pemimpin PAS. Akibatnya, kerajaan Malaysia nampaknya semakin berhati-hati kalau bahaya revolusi ni akan ‘dieksport’ merentasi sempadannya, sampai ke negara kita sendiri.
Tapi ketakutan semata-mata bukanlah sebab utama. Dan anehnya, ada tempoh masa di mana…
Sebenarnya, ajaran Syiah pernah sah pada tahun 80-an
Kerajaan Malaysia takdelah terus mengharamkan ajaran Syiah sejurus selepas revolusi Iran. Malah, ajaran Syiah pernah dianggap sah dan diakui oleh kerajaan untuk… dua tahun – dari 1984 hingga 1986! Jadi kenapa mereka berubah fikiran tiba-tiba?
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ajaran Syiah menyimpang dari bentuk sebenar Islam. Berdasarkan kajian menyeluruh JAKIM, mereka berpendapat bahawa penyelewengan ajaran Syiah termasuk:
- Percaya bahawa imam itu sempurna, iaitu, bebas dari sebarang dosa;
- Menuduh sahabat Nabi Muhammad SAW sebagai orang kafir;
- Tiada solat Jumaat;
- Menolak pandangan ulama’;
- Membenarkan solat wajib digabungkan dalam semua situasi tanpa sebab, dan lain-lainnya.
Bagaimanapun, label ‘Syiah adalah menyimpang’ nampaknya hanya diberikan kepada masyarakat Syiah pada tahun 1996 apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengakui bahawa Sunni Islam adalah bentuk rasmi dan dibenarkan Islam di Malaysia, yang bermaksud Islam Syiah tak boleh diamalkan atau disebarkan kepada orang lain. Walau bagaimanapun, di bawah sistem Persekutuan, keputusan seperti ini memerlukan persetujuan dari setiap negeri supaya ia mempunyai kesan seperti mengharamkan ajaran dan membolehkan serbuan dilakukan.
Dan apa yang menarik tentang perkara ni adalah pada mulanya, hanya 10 daripada 14 negeri yang bersetuju nak buat keputusan ni. Kedah hanya bersetuju dengan keputusan ni pun pada tahun 2013, atas permintaan Sultan.
Dengan perjanjian ni, barulah pihak berkuasa agama dapat mengharamkan ajaran dan buku (contohnya buku Faisal Tehrani), melakukan serbuan ke atas Syiah dan merampas pelbagai barangan. Tapi, kitorang juga dapat rasakan bagaimana sesetengah daripada korang fikir pihak berkuasa agama agak lemah dengan penganut-penganut Syiah macam lelaki ni:
Berdasarkan apa yang kami dapati, kaum Syiah bukan je diserbu, tapi ada juga yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dilaporkan, 10 penganut Syiah ditahan di bawah ISA pada tahun 1997 manakala enam lagi penganut Syiah ditahan antara Oktober 2000 hingga Januari 2001. Ni mungkin satu kes yang berbeza sepenuhnya, sebab perkara-perkara keagamaan ni biasanya berada di bawah bidang kuasa setiap negeri.
Pihak berkuasa agama di Selangor sebaliknya, telah pun menyediakan khutbah solat Jumaat yang menekankan bahawa Syiah ‘menyimpang’, dan mengingatkan umat Islam supaya tak mudah dipengaruhi ideologi Syiah. Bukan tu je, khutbah ni juga menggesa umat Islam supaya menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa agama. Khutbah dan ceramah ni juga telah merujuk kepada Perang Saudara Syria, yang dikatakan sebagai pertempuran antara pasukan Sunni dan Syiah adalah tidak tepat.
Malah selama bertahun-tahun, kerajaan telah melakukan serbuan, terutamanya semasa Ashura – hari penganut Syiah akan meratapi kesyahidan Hussein, cucu Nabi, di Karbala. Masa kami mula-mula cerita pun, kami ada sebut yang ia diraikan selama sepuluh hari pertama Muharram, di mana…
Dalam tempoh ni, kira-kira 300,000 penganut Syiah di Malaysia yang mengamalkan kepercayaan mereka secara peribadi, biasanya akan mengadakan upacara persendirian di rumah. Dan disebabkan ajaran tu diharamkan di sini, pihak berkuasa agama telah menyerbu upacara ni setiap tahun.
Dan baru-baru ni pula, Ibu Pejabat Syiah di Gombak diserbu oleh JAIS, di mana 23 penganut Syiah ditangkap. Bukan sahaja ditangkap, JAIS juga telah merampas barang-barang seperti sepanduk, batu Karbala (yang digunakan untuk mereka sembahyang), bingkai gambar dan buku yang berkaitan dengan Syiah.
Walaupun serbuan sebegini adalah biasa, tapi seorang saksi semasa serbuan tu memberitahu FMT yang pihak berkuasa agama di Johor, dengan bantuan pegawai polis, agak kasar kali ni.
Bukan tu saja, serbuan terhadap Syiah yang dijalankan pada tahun ni juga melibatkan penangkapan warga asing dari Yaman, Indonesia dan Singapura. Mereka ditahan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana melanggar perintah sultan, mufti serta fatwa, yang membawa hukuman denda RM3,000 dan satu tahun penjara.
Ia agak bertentangan dengan apa yang Menteri urusan Islam sebelum ni, Jamil Khir Baharom, yang dah meyakinkan…
Pihak berkuasa agama TAK BOLEH ganggu kumpulan pengikut Syiah ini
… dan mereka adalah penganut Syiah dari negara-negara lain.
Sebab pada tahun 2013, Jamil meyakinkan yang penganut Syiah dari luar negara boleh mengamalkan ajaran Syiah secara peribadi, selagi mereka tak menyebarkan ajaran tersebut kepada orang lain.
“Kami tidak mengganggu pengikut Syiah, cumanya, mereka dilarang menyebarkan ideologi.” – Jamil, dipetik dari FMT.
Pada tahun 2017, JAIS mula menyerbu dan menangkap penganut Syiah warga asing termasuk beberapa pelajar Iraq di Serdang, Selangor ketika mereka merayakan Ashura. Mereka bagaimanapun dibebaskan selepas Kedutaan Besar Iraq campur tangan. Penangkapan itu sebenarnya mencetuskan protes di Baghdad dan kerajaan telah memberi amaran yang tindakan tu boleh merosakkan hubungan dua hala.
Bagaimanapun, tindakan keras mereka berlaku lagi baru-baru ni, termasuklah satu serbuan yang dibuat oleh JAIS di rumah wanita Iran di Ampang, yang turut meraikan Ashura.
Tapi, bukan macam Kedutaan Iraq, Kedutaan Iran tak pernah campur tangan masa dia ditangkap walaupun terpaksa melakukannya. Sebabnya? Ia mempunyai kaitan dengan lawatan Dr Mahathir ke Iran bulan depan. Itu mungkin sebabnya, sumber yang rapat dengan pegawai diplomatik memberitahu FMT bahawa Kedutaan Iran melakukannya sebab tak nak ganggu urusan negara kita.
Bercakap pasal perhubungan antarabangsa, dengan mengharamkan Syiah, ia kemungkinannya akan ‘backfire’ kita balik macam yang berlaku pada 2014. Apabila UMNO melancarkan kempen anti-Syiah, peniaga Iran juga melancarkan boikot tak rasmi terhadap produk Malaysia, menyebabkan kita mengalami kerugian sehingga berjuta-juta ringgit. Tapi produk Malaysia bukanlah satu-satunya yang terjejas. Kerajaan Iran juga meletakkan beberapa halangan birokrasi terhadap Petronas juga.
Walaupun dengan apa yang berlaku kemudian…
Negara kita masih mengekalkan pengharaman terhadap ajaran Syiah
Dan tindakan keras mungkin menjadi salah satu perkara yang akan dilakukan pihak berkuasa agama. Menurut saksi mata di serbuan Johor, mereka yang ditahan biasanya akan dibebaskan selepas disoal siasat oleh pihak berkuasa agama. Selain tu, penganut Syiah tak pernah pun didakwa oleh JAINJ di mahkamah.
“Mereka tidak mempunyai kes. Mereka hanya cuba menakutkan dan memalukan kita. “- Saksi memberitahu FMT..
Walaupun kebanyakan dari kita percaya yang perlu ada tindakan yang lebih keras, ada juga yang berpendapat ia adalah bertentangan dengan kebebasan beragama yang dibentuk di bawah Perlembagaan Persekutuan. Farouk mencadangkan supaya JAIS dapat belajar tentang Shiisme dari sumber utama, dan bukannya memahami dan membahagikan Sunni-Syiah.
Pembahagian antara Sunni dan Syiah adalah isu yang tak pernah berakhir, terutamanya dalam konteks Malaysia. Di Malaysia, tindakan menyebarkan Syiah tak digalakkan oleh mufti-mufti negeri dan masih menjadi kesalahan di kebanyakan negeri.
“Jika mereka mahu mengalu-alukan Buddha atau Syiah atau apa sahaja, itu adalah hak mereka selagi mereka (golongan minoriti) tidak cuba menyebarkan ajaran mereka di kalangan umat Islam Malaysia yang semuanya Sunni.” – Dr Mahathir memberitahu FMT.
- 341Share sekarang!
- Email7
- Facebook334
- Share