Pegawai British kena jampi? Ini 4 penulis Malaysia yang terkenal kerana buku diharamkan

Baru-baru ini, PEN Malaysia telah mengadakan program Sembang Baru yang merupakan sebahagian dari penganjuran George Town Literary Festival (GTLF).  Ia juga diadakan bersempena sambutan 100 tahun meraikan kesusasteraan dan melindungi kebebasan bersuara.

Sembang Baru ini berlangsung selama tiga hari, dimulai dengan slot pertama “Kalau Sastera Bungkam, Bagaimana Saya Akan Bicara?“,  kemudian kedua “The Politics, Poetics and Rituals of Translation” dan ketiga “The Malaysian Women Manifiesto“.

Jika korang lihat topik slot pertama (boleh tonton di atas), ia sebenarnya mengingatkan kami kepada penulis-penulis Tanah Air yang pernah terkenal kerana karya mereka diharamkan. Jadi, mungkin kita boleh mula dengan…

1. Ishak Haji Muhammad (Pak Sako): Mengkritik secara halus dan ‘membingitkan telinga’ British

Boleh dikatakan Pak Sako ni pejuang semasa kedatangan British. Imej dari Catatan Zabidi.

Bagi golongan penulis, dengar sahaja nama Pak Sako pasti mereka akan mengetahui tentang perjuangannya. Pak Sako atau nama sebenarnya Ishak Hj. Muhammad, dilahirkan pada bulan September 1909  di Kampung Bukit Saguntang, Temerloh, Pahang.

Pak Sako banyak menghasilkan novel, cerpen, esei dan memoir serta menulis rencana untuk akhbar Utusan Melayu. Oleh kerana penulisan yang hebat, beliau dikenali dengan banyak nama pena seperti Hantu Raya, Isako San (yang ni style!), Pak Pandir Moden dan Anwar. Beliau juga pernah menerima Anugerah Pejuang Sastera (1976).

Novel yang sangat hebat! Imej dari ITBM.

Pak Sako merupakan pejuang semasa British menakluki Tanah Melayu kerana beliau berperang bukan dengan senjata tetapi penulisan. Beliau pernah menulis sebuah novel “Putera Gunung Tahan” yang menceritakan pegawai British, Robert si gila kuasa yang ditangkap oleh puak orang Sakai dan telah jatuh cinta selepas dia memakan ubat dari Perempuan Tua.

Ia telah diharamkan oleh British kerana mempunyai unsur kritikan terhadap mereka. Sebenarnya bukan sahaja untuk mengkritik tetapi ia ditulis untuk memberikan kesedaran kepada penduduk Tanah Melayu pada masa itu.

Bukan itu sahaja, Pak Sako juga terkenal dengan karya “Anak Mat Lela Gila” yang mengisahkan seorang pemuda yang dianggap gila oleh penduduk kampung kerana dia bersihkan masjid tetapi tidak pernah masuk ke dalamnya. Buku ini sebenarnya memberikan nasihat kepada masyarakat di negara kita.

2. Shahnon Ahmad: Karya ‘SHIT’ yang mengkritik pemimpin

Beliau sangat berani dalam menyuarakan pendapatnya. Imej dari Astro Awani.

Antara Sasterawan Negara yang menyuarakan pendapat mengenai kuasa politik adalah Prof. Datuk Shahnon Ahmad yang dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Banggul Derdap, Sik, Kedah dan beliau juga seorang Profesor Sastera di Universiti Sains Malaysia.

Tidak dinafikan, penulisannya yang banyak memberikan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat, sehingga membuatkan beliau menerima banyak anugerah, antaranya:

Siapa yang ada buku ni memang legend ah! Imej dari Carousell (yassir80).

Beliau dahulu pernah terkenal dengan bukunya yang bertajuk “SHIT“(1999). Ia diterbitkan untuk mengkritik ahli-ahli politik yang memegang jawatan dalam organisasi tetapi tidak menunjukkan etika yang baik. Bukan itu sahaja, buku ini juga dikatakan mengkritik Tun Dr. Mahathir sehingga Kerajaan mengeluarkan surat pekeliling untuk mengharamkan buku itu.

Walaupun pentadbiran Tun M mengharamkan buku itu, kita kena tahu yang buku Tun M juga pernah diharamkan. Dilemma Melayu (1976) yang ditulis olehnya pada …. diharamkan kerana dikatakan mengkritik bangsa Melayu ketika di zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman.

Namun, pengharaman buku SHIT pernah ditentang oleh bekas Ahli Dewan Negara dan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, kerana beliau berkata persepsi orang mengenai buku ini tidak akan berubah kecuali orang yang terpesong dari tamadun manusia.

“Bagaimanapun terserah kepada Shahnon untuk jujur kepada diri sendiri sama ada akan mengembalikan
anugerah Sasterawan Negara itu kepada negara jika beliau berada dalam kekacauan emosi tentang nilai hadiah itu yang datangnya dari sebuah negara yang sistem partinya baru disedari oleh Shahnon sebagai “shit” – Datuk Zainuddin Maidin, petikan dari Utusan.

3. Kassim Ahmad: Dituduh anti-hadis, tapi disokong oleh Tun M

Adakah betul yang beliau pernah mengkritik hadis? Imej dari Mole.my.

Dr. Kassim Ahmad dilahirkan pada 9 September 1933 di Kedah yang merupakan penulis dan pernah memegang jawatan sebagai Presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Beliau merupakan seorang penulis dan ahli falsafah yang sangat terkenal di Malaysia.

Sebenarnya nak cerita pasal Dr. Kassim Ahmad ini sangat kontroversi kerana beliau sudah banyak kali menggemparkan Malaysia kerana buku-bukunya. Kalau korang nak tahu, beliau pernah menyusun Hikayat Hang Tuah dan menyatakan Hang Tuah bukanlah pahlawan Melayu tetapi Hang Jebat.

Buku ni la yang dikatakan ada unsur anti-hadis. Imej dari Carousell (Sahidanjaafar).

Selain itu, terdapat sebuah bukunya yang diharamkan kerana dikatakan mempunyai unsur anti-hadis iaitu “Hadis: Satu Penilaian Semula dan Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik“. Buku ini turut didakwa menyeru orang supaya berpegang teguh kepada Al-Quran sahaja.

Kassim Ahmad pernah menyatakan hadis ditulis oleh para ulama’ yang hidup selepas kewafatan Rasulullah S.A.W dan pendapat baginda boleh betul atau salah.

“Hadis mentafsirkan Quran itu karut…macam mana Nabi Muhammad tafsirkan Quran…dia boleh bagi pendapat dia la…setengah boleh jadi betul setengah dia boleh jadi tak betul…tentu la dalam zaman dia sebab dia terima Quran…sahabat-sahabat dia orang ramai tanya dia…dia bagi la pendapat dia…itu pendapat dia…tapi dia manusia yang ilmu terbatas…macam kita jugak.” – Dr. Kassim Ahmad, petikan dari Kajian Kassim Ahmad dan Anti-Hadis.

Bagaimanapun, Tun M pernah menyokong Dr. Kassim Ahmad kerana beliau berkata pihak-pihak yang menuduhnya gagal berhujah dengan Dr. Kassim mengenai isu agama.

“Dia dilabelkan sebagai anti hadis sebab orang tidak boleh jawab apa yang kata. Kita lihat di sini label digunakan sebagai alat untuk mematahkan pendapat orang lain.” – Tun M, petikan dari Astro Awani.

4. Faisal Tehrani: Pengharaman bukunya dibantah oleh Yayasan 1 Malaysia

Bukan sahaja penulis, malah Faisal Tehrani ialah Felo Penyelidik di UKM. Imej dari Arts Equator.

Dr. Faizal Musa atau nama penanya Faisal Tehrani merupakan seorang penulis terkenal dan Felo Penyelidikan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Beliau pernah menulis sebanyak 23 buku novel dan antara yang popular ialah Sebongkah Batu di Kuala Berang (2011) and Perempuan Nan Bercinta (2012).

Sebenarnya novel Perempuan Nan Bercinta ni pernah menimbulkan kontroversi dan diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana dianggap mempunyai fahaman syiah. Namun, pengharaman buku ini pernah dibantah oleh Pengerusi Yayasan 1 Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar kerana ia tidak mempunyai unsur-unsur yang memudaratkan pembaca awam.

“Kementerian tidak menjelaskan mengapa atau bagaimana buku itu memudaratkan ketenteraman awam. Adakah ia menimbulkan sebarang kesulitan atau pergolakan dalam masyarakat? Adakah ketegangan memuncak berikutan kandungan dalam novel ini?” – Dr. Chandra Muzaffa, petikan dari Says.

Kulit buku Perempuan Nan Bercinta. Imej dari alamcyber 2020.

Bukan itu sahaja, Faisal Tehrani pernah menulis buku “Aku _____, Maka Aku Ada!” di bawah penerbitan DuBook yang juga dikatakan mempunyai fahaman syiah dan isu LGBT. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DuBook Press, Lucius Maximus, buku itu diharamkan bukan sebab unsur lucah tetapi sebab fahaman syiah.

“Adalah satu kerugian untuk kita sekat seorang penulis seperti Faisal Tehrani yang ada bakat dan merupakan seorang penulis yang lantang dan juga kerugian untuk industri penulisan di Malaysia ini.” – Lucius Maximus, petikan dari Malaysiakini.

Berdasarkan temuramah kami dengan Faisal Tehrani, beliau menyatakan terdapat banyak kekangan dan campur tangan pihak berkuasa juga memburukkan keadaan. Beliau juga menyatakan perasaan kecewa apabila persatuan penulis tempatan sendiri menyokong pengharaman tujuh buah bukunya.

“…..Akan tetapi yang lebih menjengkelkan adalah ketika tujuh karya saya diharamkan dahulu, persatuan penulis tempatan seperti Gabungan Penulis Nasional (Gapena) malah menyokong langkah pihak berkuasa mengharamkan buku, termasuk karya kreatif.” – Faisal Tehrani, katanya kepada SOSCILI.

Oh ye! Inilah buku Aku ____ Maka Aku Ada! Imej dari Shopee (tajbookstore).

PEN Malaysia mainkan peranan dalam membela hak kebebasan suara

logo PEN Malaysia. Imej dari akaun Facebook PEN Malaysia.

Kita seharusnya membela hak kebebasan bersuara dalam menyatakan apa yang kita mahu hujahkan dan syukurlah apabila Malaysia mempunyai sebuah persatuan yang dipanggil PEN Malaysia. Jadi, apa itu PEN Malaysia?

Baiklah, PEN Malaysia adalah cabang PEN International yang baru disahkan. PEN International pada asalnya adalah sebuah persatuan penulis yang ditubuhkan di London pada tahun 1921 untuk memupuk hubungan sastera dan kerjasama intelektual di antara para penulis. Selama hampir satu abad, PEN telah menegakkan dan mempertahankan kebebasan berekspresi dalam berbagai budaya dan bahasa, seperti yang ditunjukkan oleh 146 cabangnya di seluruh dunia.

Menurut Faisal Tehrani, pengarang-pengarang Malaysia masih dikekang dengan pelbagai akta seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang sehingga kini masih menghantui mereka.

“Penulis di negara ini masih terkekang oleh pelbagai akta dan undang-undang. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 misalnya masih menghantui masyarakat penulisOleh sebab itu, kehadiran PEN Malaysia mesti segera disambut.

______

Ini kerana kita memerlukan satu masyarakat pengarang yang berani dan juga sedia mempertahankan kelompok atau kaum sendiri (dalam hal ini kaum sasterawan).” – Faisal Tehrani, katanya kepada SOSCILI.