Sumpah Hippocrates: Mengharamkan hudud tapi menghalalkan LGBT?

Baru-baru ni kecoh apabila seorang doktor menghantar surat terbuka kepada Marina Mahathir sebagai tanda tidak menyokong pendirian dia yang mahukan komuniti LGBT diberikan hak untuk pendidikan, rawatan kesihatan dan pekerjaan. Dr Ilyani Mohamed, yang bekerja di hospital kerajaan di Kelantan. Walaupun dah dipadam akibat direport oleh netizen, ramai dah screenshot dan copy paste surat tersebut dan menyebarkannya.

Syed Saddiq bertindak menyokong Dr Ilyani dan menentang tindakan diambil ke atasnya. Malah kerajaan Terengganu juga menawarkan tempat di hospital milik mereka sekiranya dia dibuang kerja. Ada juga yang pro- Marina seperti Dr Amalina Bakri yang kata Dr Ilyani kena stick kepada Sumpah Hippocrates yang telah diangkat masa mula jadi doktor dulu.

Imej dari Twitter.

Tapi apa ke benda Sumpah Hippocrates ni? Adakah ini bermakna komuniti doktor mengiktiraf komuniti LGBT bila mengangkat sumpah ni?

Aku bersumpah atas nama Apollo Si Penyembuh, Asclepius, Hygieia…

Sumpah Hippocrates ni ditulis oleh Hippocrates, seorang bapa perubatan Yunani yang telah mengasaskan Sekolah Perubatan Hippocrates. Dia juga la yang telah memberi ilham kepada Ibnu Sina untuk tulis buku perubatannya, Al-Qanun fi’t-Tibb. Tapi ada cendekiawan yang berkata Hippocrates tak tulis pun sumpah ni, tapi sebenarnya Pythagoras, ahli falsafah yang terkemuka juga dari Yunani. Alah korang pakai teorem dia dalam Matematik tu!

Sumpah ini mula-mula digunakan di Universiti Wittenberg, Jerman pada awal abad ke-15 tapi tak wajib. Dia mula jadi standard pada abad ke-19 semasa pelajar perubatan ni graduate di Montpellier, Perancis. Tapi sumpah ni juga telah banyak kali diubah suai supaya sesuai dengan peredaran masa dan agama.

Teks asal Sumpah Hippocrates. Imej dari Catholic365

Kalau kita tengok sumpah ni, dia ada sebut nama dewa-dewa zaman Yunani macam Apollo (lapar plak tetiba). Jadi masa era Byzantine dulu, semua dewa ni ditukar kepada nama tuhan agama Nasrani. Di Amerika pula kebanyakan sekolah perubatan di sana menambah Sumpah Osteopathic di samping Sumpah Hippocrates ni. Kat Perancis siap kena sign lagi sumpah korang.

Sekarang kebanyakan negara mengambil sumpah yang telah diubah suai oleh Persatuan Perubatan Sedunia (WMA) yang bernama Deklarasi Geneva. Kat situ, diorang buang bahagian yang tak berkenaan sebab ada yang macam spesifik sangat. Antara perkara yang telah dibuang daripada Sumpah Hippocrates adalah:-

  1. Berkongsi wang dengan kawan dan ibu bapa kalau mereka tiada duit
  2. Tidak memasukkan racun walaupun diminta pesakit
  3. Tak beri kemudahan wanita untuk menggugurkan kandungannya
  4. Tidak mencabuli mayat
  5. Tidak akan melakukan pembedahan
Digelar Deklarasi Geneva sebab mereka berbincang di Geneva, Switzerland. Imej dari 10Best.com

Tapi kesimpulannya masih sama, doktor haruslah menjalankan tugas dengan sebaiknya dalam menyelamatkan nyawa manusia yang memerlukan. Jadi takde la doktor di dunia ni yang sanggup membunuh kan sebab dah angkat sumpah kot?

Doktor Nazi ada sumpah sendiri yang menghalalkan pembunuhan budak kembar!

Kebanyakan kita kenal Adolf Hitler serta kekejaman yang dilakukannya terhadap orang Yahudi, terutamanya di Poland. Sebanyak 6 juta orang Yahudi dibunuh dalam peristiwa yang digelar Holocaust ni. Pada yang minat sejarah WW2 ni mesti tahu tentang eksperimen-eksperimen gila yang dilakukan oleh doktor Nazi yang setia kepada Hitler ni!

Menunggu mati. Imej dari MPR News.

Hampir 40% daripada doktor di seluruh Jerman ketika itu adalah ahli Nazi. Tapi kepala dia adalah Josef Mengele yang merupakan antara orang kanan Hitler. Kerja dia? Menghasilkan genetik terbaik supaya bangsa Aryan menjadi bangsa terulung di dunia dengan apa cara sekali pun! Dia juga bertanggungjawab memilih orang Yahudi mana yang akan dibunuh di bilik gas, di mana selalunya diorang ni warga emas dan cacat.

Josef ni juga sangat gemar bereksperimen dengan kanak-kanak. Dijaganya diorang ni sampai buka tadika khas dan diberi layanan dan makanan yang baik berbanding mereka yang menjadi buruh. Malah Josef juga digelar Uncle Mengele oleh kanak-kanak di sana dan sering memberi mereka gula-gula. Nampak macam baik kan?

Antara mangsa kesukaan Josef adalah pasangan kembar dan kanak-kanak yang matanya berlainan warna dengan di sebelah. Bagi yang kembar, Josef akan sengaja menyuntik virus tibi ke dalam seorang kembar, kemudian mengambil darah dari kembar berjangkit ni dan suntik pula kepada kembarnya. Akibatnya ramai yang mati dan jikalau salah seorang je yang mati, Josef akan bunuh kembarnya supaya senang buat post mortem. Bagi budak yang mata sebelah lain pula, Josef akan terus bunuh mereka dan korek mata mereka untuk hantar ke Berlin juga untuk post mortem.

Josef sedang melakukan eksperimennya terhadap pasangan kembar. Imej dari All That’s Interesting.

Dah kejam macam ni, mesti doktor Nazi ni tak amalkan etika perubatan kan? Salah!

Nazi sangat memandang serius etika perubatan mereka di mana dari 1934 sehingga 1945, subjek etika perubatan merupakan kurikulum wajib dalam sekolah perubatan di Jerman. Tapi falsafah dia bukan mejaga kesejahteraan individu, tapi kesejahteraan bangsa Aryan. Mereka amalkan perubatan eugenik, iaitu menggunakan perubatan untuk mengawal populasi bangsa Aryan supaya mempunya genetik yang baik berbanding bangsa lain.

Malah dalam kuliah, pensyarah juga menekankan tentang polisi keturunan dan populasi serta pentingnya untuk orang Aryan kekal sihat dan cergas. Jadi bagi yang cacat, mereka harus dihapuskan kerana boleh ‘mencacatkan’ bangsa Aryan yang akan datang. Mereka juga berpendapat yang bangsa Yahudi sebagai pembawa penyakit dan mesti dihapuskan untuk memelihara kesihatan bangsa Aryan.

“Atas dasar hormatkan nyawa manusia, saya sanggup membuang apendiks yang telah mati tisunya. Bangsa Yahudi ibarat apendiks yang telah mati tisunya, kepada umat manusia” – Fritz Klein, seorang doktor Nazi. Dipetik dari Irish Times.

Jadi ini sebabnya mereka tergamak melakukan eksperimen yang tidak berperikemanusiaan tu semua. Bagi mereka, kelangsungan bangsa Aryan adalah utama dan kalau kena bunuh dan gunakan orang Yahudi sebagai uji kaji, tak ada masalah bagi mereka. Tapi sampai kanak-kanak pun jadi mangsa dowh sampai hati..

Adolf Hitler, si mastermind. Imej dari livescience.com

Malangnya, selepas Jerman kalah WW2 hanya 23 doktor Nazi dibicarakan dan hanya 16 didapati bersalah. Sebabnya, ramai doktor dah cabut lari dan tukar nama supaya tak dapat dikesan. Malah si Josef tadi lari sampai ke Brazil dan tak dapat dikesan pihak berkuasa. Mossad (CIA versi Israel)  pun cari dia sebab nak tuntut bela tapi tak dapat, sehinggalah 1979 di mana dia mati lemas kerana menghidap strok ketika berenang.

Itu kisah Jerman masa Hitler dulu, sekarang mereka dah tak amalkan sumpah dan perubatan eugenik sume tu dah. Tapi bagaimana di Malaysia, adakah kita menggunakan Sumpah Hippocrates, Deklarasi Geneva atau versi kita sendiri yang Islamik?

PAS minta tolong doktor potong tangan pencuri tapi diorang tak nak!

Kalau nak tahu, kebanyakan pelajar perubatan di Malaysia menggunakan Deklarasi Geneva sebagai sumpah mereka, kecuali di UIAM di mana versi sumpah diorang ni Islamik sikit la sebab tambah perkataan Allah dan Nabi Muhammad. Yelah nama pun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kena la special sikit!

Kreatif juga budak UIAM ni HAHA. Imej dari Remaja.

Jadi bila graduan UIAM ni jadi doktor di hospital kelak, adakah ini bermakna mereka tidak boleh merawat komuniti LGBT sebab fahaman tu bercanggah dengan ajaran Islam? Bagaimana pula dengan hukum hudud?

Kalau kita tengok pada PRU-14 yang lalu, PAS berjaya menawan semula Terengganu dengan berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan. Bila dah menang ramai bertanyakan adakah hudud akan dilaksanakan sebab PAS ni memang sejak zaman Arwah Tok Guru Nik Aziz lagi mahu hudud dilaksanakan di Malaysia.

Tapi Satiful Bahari Mamat berkata yang Terengganu tidak boleh melaksanakan hudud lagi sebab Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) belum diluluskan oleh Parlimen. Walau bagaimanpun, mereka akan melaksanakan hukuman takzir yang merupakan sebahagian daripada komponen hudud. Hukuman takzir ni lebih kepada memberi pengajaran dan bentuk hukuman dia terletak pada kebijaksanaan pemimpin.

Klik imej ni untuk tahu lebih lanjut mengenai RUU 355. Imej dari menara.my

Isu RUU 355 dan hudud memang dah lama jadi isu panas di Malaysia. Ada yang sokong dan ada juga yang menentang. Tapi yang paling kuat tentang adalah komuniti doktor, sebab PAS suruh mereka yang memotong tangan dan kaki mereka yang didapati bersalah. Marah betul mereka masa tu sebab perkara ini bercanggah dengan isi kandungan sumpah mereka yang kata tak boleh mencederakan manusia!

Masa Dr Subramaniam jadi Menteri Kesihatan dulu, dia juga mengugut untuk letak jawatan sekiranya hukum hudud dilaksanakan. Dia juga tak puas hati kenapa doktor jadi ‘tukang potong’ sebab di negara lain, ada penghukum khas untuk tugas ni dan doktor hanya pemeriksa kesihatan pesalah itu.

Selain Dr Subramaniam, ramai doktor terkemuka Malaysia mengutuk tindakan PAS nak suruh doktor jadi ‘tukang potong’ seperti Datuk Dr Ahmad Farouk Musa mengatakan hudud suatu amalan yang kejam. Pakar bedah Malaysia, Dr M Bakri Musa juga berkata ia sebagai satu tindakan yang bodoh. Wah ramai betul geng doktor yang tak bersetuju dengan hudud ni!

PAS dengan DAP pun pernah bergaduh teruk pasal hudud ni. Imej dari Ibnushukran.

Satu lagi contoh sekiranya ada wanita hendak bersalin anak luar nikah, doktor WAJIB membantu wanita tersebut tanpa diskriminasi. Jadi adakah Sumpah Hippocrates dan Deklarasi Geneva ni ‘meliberalkan’ doktor-doktor di Malaysia?

Sahabat Rasullah pun pernah rawat orang kafir yang dipatuk ular!

Selepas pemergian Tok Guru Nik Aziz, jawatan Mursyidul Am Pas dipegang oleh Tok Guru Harun Din tapi hanya buat setahun kerana beliau juga meninggal dunia akibat masalah jantung ketika dirawat di Amerika. Ramai yang sedih berkabung, tapi ada juga yang memperlekehkan arwah termasuklah bekas MP Jelutong, Jeff Ooi dengan status di twitternya.

Malah ada juga netizen yang bertindak mempersoalkan arwah ke Amerika untuk menerima rawatan dan tidak menggunakan rawatan Darussyifa yang diasaskan beliau. Kalau nak tahu, Tok Guru Harun ni merupakan pengasas Darussyifa, sejenis rawatan alternatif Islam yang menggunakan ayat Al-Quran dan hadis untuk merawat sakit kepala, batu karang malah gangguan spiritual.

Biadap! Imej dari Says.

Mesti kita ingat rawatan macam untuk Muslim je kan? Tapi kalau nak tahu, ramai juga orang bukan Islam yang datang untuk menerima rawatan terutamanya yang terkena gangguan. Tok Guru Harun okay je dengan perkara ni sebab dia tahu hukum merawat orang bukan Islam adalah harus! Malah sahabat Rasullah dulu pernah merawat seorang kafir yang dipatuk ular dengan membacakan Surah Al-Fatihah. 

Islam ni agama yang bersopan santun dan bersifat ihsan sebenarnya, tapi kini kita dapat gambaran buruk sebab ada yang menggunakan nama Islam ni untuk melakukan keganasan. Sebenarnya dalam perang pun, Islam sangat menjaga etikanya. Kalau yang pergi sekolah agama petang tu, mesti ingat antara etikanya adalah

  1. Memerangi musuh sekiranya diperangi dahulu
  2. Tidak boleh mencederakan kanak-kanak, orang tua dan wanita
  3. Dilarang merosakkan harta benda, memotong pokok dan membakar rumah kecuali darurat
Contoh terbaik boleh tengok cite Kingdom of Heaven, di mana Salahuddin Ayubi memang tunjuk etika berperang yang terbaik boss! Imej dari Sky.com

Malah sama seperti merawat orang bukan Islam tadi, sifat gentlemen ini merupakan sejenis dakwah sebab boleh menarik minat mereka untuk memeluk Islam, melihatkan fahaman agamanya yang suka membantu dan bersifat belas kasihan tanpa mengira agama. Lagi bagus kalau buat jodoh mana la tahu kan?

Jika dibandingkan, ajaran Islam dengan Sumpah Hippocrates ni banyak persamaannya. Kedua-duanya tidak membenarkan pengguguran bayi, menyuruh untuk tidak mencederakan manusia dan banyak lagi. Tapi rasanya tak ada agama (kalau ada, beritahu kitorang) yang menyuruh umatnya mencederakan umat yang beragama lain. Walaupun ada antaranya yang tidak mengiktiraf LGBT, mereka masih menghormati komuniti ni tanpa ada tolok bezanya.

Selain itu, menerima rawatan kesihatan juga merupakan antara hak asasi yang telah dinyatakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jadi sebagai seorang doktor, mereka haruslah bersikap profesional dan memegang kepada sumpah mereka untuk memelihara kesihatan pesakit mereka.

Orang kat Gaza hak tinggal di tanah sendiri pun dinafikan, apatah lagi hak menerima rawatan kesihatan? :( Imej dari Reddit.

Pasal Dr Ilyani, kami percaya dia hanya menggunakan hak bersuaranya untuk menyatakan pendiriannya. Malah dia juga menggunakan fakta yang betul apabila menyatakan yang komuniti LGBT paling berisiko tinggi untuk menghidap HIV. Tapi ramai doktor tak puas hati sebab merasakan diri mereka diwakili olehnya sebab Dr Ilyani ada menggunakan perkataan ‘kami’.

Apa-apa pun, yang penting adalah untuk kita mengunakan sewajarnya hak bersuara kita dengan bijak dan tidak menghina pihak lain tanpa fakta yang betul dan tepat. Sama macam artikel kami ni, baca sampai habis dulu baru bash tau haha!

 

 

 

 

 

About Afiq Jamsari 11 Articles
Hotel yang sama, Harga yang sama?