Stereotaip Kaum Malaysia Sebenarnya Berasal Dari Omputeh

Melayu malas. India mabuk. Cina tamak.

Mungkin korang pernah sendiri kena stereotaip macam ni, ataupun mungkin juga korang percaya benda-benda ni betul tentang bangsa lain kat Malaysia ni. Pendek kata, tak semua camtu, tapi kenapa ramai yang percaya benda rasis ni?

Adakah salah orang-orang tua kita yang biasa cakap benda-benda ni? Atau salah ahli-ahli politik yang sering ulang stereotaip kaum? Mungkin korang akan terkejut kalau tahu yang sebenarnya… yang mula-mula buat onar ni bukan orang kita pun.

Stereotaip-stereotaip ni sebenarnya dah ada sejak kurun ke-19 lagi, atau bagi yang minat sejarah, sejak zaman British menguasai Malaya. Dalam artikel hari ni, jom kita teroka macam mana setiap bangsa dah kena game dengan orang putih.

 

“Apa lagi Cina mahu?”

stereotaip kaum orang Cina di Malaysia
Imej dari Namewee (FB), 2013.

Siapa je tak pernah dengar frasa ikonik ni? Tanggapan yang orang Cina tamak bukan sahaja tersebar di kalangan rakyat marhaen, tapi juga sering disuarakan oleh geng-geng politik. Faham lah, tiga orang terkaya kat Malaysia sekarang orang Cina, tapi adakah ini bermaksud semua orang Cina tamak dan mata duitan?

Ikut pandangan British masa zaman diorang, “Di mana-mana wang boleh dicari, di situlah akan ada orang Cina yang tamak.”

Perlombongan bijih timah. Imej dari National Archives Malaysia.

Jom kita throwback ke era 1800-an apabila orang Cina dibawa masuk Tanah Melayu sebagai buruh di bawah pemerintahan British Malaya. Walaupun terkenal dengan kemahiran diorang dalam melombong bijih timah, orang Cina masa tu juga ada terlibat dengan kerja-kerja macam petani, peladang, pembuat kasut, tukang besi, tukang kayu, pembuat roti, dan mudah kata apa saja bidang yang dianggap menguntungkan.

Menurut T.J. Newbold, seorang pegawai tentera British pada masa itu, bangsa Cina ni ada sesuatu yang dipanggil auri sacra fames, iaitu ketamakan yang melampau untuk emas. Kerana itulah diorang sanggup merantau keluar dari China dan tak takut dirompak, kerja berat, mati, atau diminta duit kopi dari orang-orang berpengaruh di Malaya demi mencari wang.

Ada yang jadi sangat mahir dalam pekerjaan mereka sehingga mereka diberi peranan penting seperti menjadi perantara antara bangsawan British dan masyarakat tempatan yang miskin. Sebab kemahiran diorang ni tinggi, diorang kaum yang paling digemari majikan British, dan dibayar lebih daripada pekerja buruh India dan Melayu.

Tapi tak semua yang gemar, sebaliknya di kalangan British ramai yang rasa terancam dengan orang Cina. Disebabkan orang Cina banyak terlibat dengan hal ehwal kewangan, nampak macam diorang ni kawal ekonomi lebih dari yang sebenarnya. Jadi orang British tak nampak Cina ni sebagai rajin berhempas pulas cari rezeki, sebaliknya mereka dilabel tamak.

stereotaip kaum orang Cina di Malaysia
Imej asal dari Malaysiakini.

Kata T.J. Newbold,

“Karakter orang Cina ni boleh disimpulkan sebagai aktif, rajin, gigih, cerdik, cukup terpelajar untuk menulis, membaca, dan menggunakan sempoa.” – T.J. Newbold, diterjemah dari “Political and Statistical Account of The British Settlements in The Straits of Malacca

Aik? Ok je? Tak habis lagi…

“Tapi pada masa yang sama, mereka ni pentingkan diri, sensual, gilakan wang, tetapi tak kedekut; kuat berjudi, dan selalunya penagih candu. Orang Cina akan dedahkan diri mereka pada semua jenis bahaya demi keuntungan, tapi kalau rakan mereka lemas, mereka tak akan tergerak pun untuk selamatkan.” – T.J. Newbold, diterjemah dari “Political and Statistical Account of The British Settlements in The Straits of Malacca

Sendiri bawa masuk, sendiri kutuk. Ironinya, untuk kembangkan industri bijih timah dan getah, British yang tak tamak langsung ni bawa masuk ramai gila pekerja Cina, India, dan Indonesia sampaikan lagi ramai pekerja import dari orang Melayu di negeri-negeri pantai barat menjelang 1874.

Jadi dah semua benda pekerja asing buat, orang Melayu buat apa?

 

Melayu malas, tahu minum kopi je

stereotaip kaum orang Melayu di Malaysia
“Melayu malas, tak jujur dan lebih suka jadi Mat Rempit”. Sumber dari Astro Awani.

Kalau Mahathir yang cakap, mesti betul kan? Mungkin sejak asal kejadiannya dari Zaman Neolitik hinggalah sekarang ada nampak banyak Melayu goyang kaki, tulah dia berani cakap macam ni… banyak kali pulak tu! Tapi bukan dia sorang je yang fikir macam ni. Kenyataan Mahathir ni sebenarnya ringan jika dibandingkan dengan apa yang sesetengah orang British cakap pasal Melayu.

“Kepintaran bangsa Melayu kelihatan agak kurang. Mereka tidak mampu fikir lebih dari gabungan idea-idea yang mudah dan tak ada minat mahupun tenaga untuk cari pengetahuan.” – Wallace A.R., diterjemahkan dari The Malay Archipelago

Baiklah, kepada pembaca Melayu kami, artikel ini agak panjang ye. Jadi, cubalah ambik perhatian betul-betul. Kita orang tahu korang malas nak membaca…. 🙄

stereotaip kaum orang Melayu di Malaysia
Tangkap layar dari “Melayu Malas? Kritikan terhadap stereotaip tidak munasabah daripada penjajah pasca-kolonial

Menurut beberapa dokumen zaman kolonial, British memang tak berlapik dalam mengutuk orang Melayu. Yang lucunya, mengikut keratan laporan Negeri-Negeri Selat di atas, orang Melayu dianggap ‘sukar untuk kikis tabiat dan idea lama‘ dan ‘hidup tak bersosial‘ hanya sebab diorang lagi suka tinggal di kampung daripada di bandar. Tak ambil peduli dengan budaya British, diorang dilihat sebagai sukar diajar untuk terima pemikiran British.

Penulis dan naturalis Inggeris, Isabella Bird menulis,

“Orang Melayu dilihat lebih gemar menikmati gaya hidup yang lebih santai dan menghabiskan kebanyakan masa mereka berbual kosong dengan rakan-rakan sambil minum kopi, daripada ada keazaman untuk buat sesuatu yang bakal memberi manfaat kepada hidup mereka mahupun berusaha untuk mengubah institusi Melayu, keluarga mereka, mahupun diri sendiri.”

Sebenarnya, bagi orang Melayu, isu ini jauh lebih mendalam daripada sekadar nak membawang semasa minum kopi. Diorang terang-terangan menolak idea menjadi hamba kepada British atau bangsawan tempatan. Memandangkan diorang ni selalunya bekerja keras di sawah dan laut, orang Melayu tekad yang hasil titik peluh diorang cuma untuk keluarga diorang, dan bukan untuk orang-orang di atas. Jadinya diorang cuma kerja cukup untuk menyara keluarga sendiri saja, dan perlakuan ni dilabel ‘malas’.

“[Untuk orang Melayu], tak berfaedah untuk mereka mengerjakan tanah yang subur dan tanam tanaman yang bukan untuk dimakan sendiri, untuk besarkan buah-buahan yang diambil Sultan atau penghulu dan pengikut-pengikut mereka yang ramai; atau untuk jadi pemilik kerbau yang bila-bila masa boleh dirampas untuk menambah harta pembesarnya.” – J.F. McNair, diterjemah dari Perak and The Malays

stereotaip kaum orang Melayu di Malaysia
Imej asal dari MDPI / Association for Asian Studies

Mungkin sebab orang Melayu juga malas nak ambil port logik British ni macam mana, British meneruskan tohmahan mereka terhadap Melayu dengan melabel diorang ni sebagai ‘lanun’. Keberanian orang Melayu untuk buat dek dengan imperialisme Barat, ditambah dengan pekerjaan sesetengah orang Melayu sebagai nelayan laut, cukup untuk British kaitkan diorang ni dengan kerjaya perlanunan.

“Untuk melengkapkan sifat malas mereka, Orang Melayu dikaitkan dengan kegiatan melanun. Ini seiring dengan reputasi Kepulauan Melayu yang telah lama terkenal sebagai tempat lanun berkeliaran, sehinggakan bagi ramai pihak, istilah Melayu dan lanun tiada bezanya. Keadaan semulajadi wilayah ini menyediakan pendapatan tetap bagi penduduk Melayu yang kasar dan tidak bertamadun. – diterjemah dari The Singapore Free Press & Mercantile Advertiser

Last-last sekali, British pun lepas tangan dengan karenah orang Melayu ni dan biarkan diorang lepak ramai-ramai kat warung kopi sambil bahagi harta karun. Ni disebabkan British dah selesa dengan kaum lain yang buat kerja berat diorang…

 

India kaki mabok

stereotaip kaum orang India di Malaysia
Imej asal dari VICE/The History of Toddy Drinking and Its Effects on Indian Labourers in Colonial Malaya, 1900–1957

Terjemahan imej 1: Bekerja keras dan membazirkan wang untuk minuman keras adalah sama dengan botol-botol pecah.

Terjemahan imej 2: Perut penjual minuman keras membesar, tetapi perut pembeli minuman keras tetap kecil.

Kenapa orang India selalu dikaitkan dengan kemabukan walaupun kaum lain juga minum arak? Ye memang betul budaya minum mereka bermula sejak tahun 1700-an. Tapi sebenarnya, British yang memperburuk kebiasaan ini. Dan yang paling sakit hati adalah, bukan sahaja British yang memulakan stereotaip ni, tapi mereka juga yang meggalakkannya. 

Cerita dia macam ni. Orang India dibawa masuk ke Malaysia sejak 1780an lagi, lebih separuh secara kontrak – di mana diorang terikat dengan estet kelapa atau getah – atau melalui sistem Kangani. Bila diletakkan kat estet yang terpencil dan dilarang keluar, hiburan yang ada untuk isi masa lapang diorang hanyalah minum-minum, dan yang paling popular adalah sejenis arak kelapa yang digelar todi.

Todi ni murah dan tak perlu diproses. Walaupun todi ni asalnya dari India, ramai buruh India mula kenal todi di estet-estet Malaya dan penggunaannya jadi satu krisis. Sampai satu tahap, ramai buruh akan mabuk todi sampai tak hengat dunia, dan banyak kes keracunan todi yang dilaporkan. Dan keparahan krisis todi ni ada kaitannya dengan British.

sumber: Facebook / Cili Padi Is My Buddy

British sedar yang tabiat minum todi ni tak bagus, tapi diorang biarkan je sebab bila orang India ni mabuk, lebih senang nak kawal diorang dan kurang risiko diorang lari dari estet. Tambahan pula, kerajaan British pada masa tu dapat cukai dari penjualan todi kat estet. Jadi walaupun ada kawalan diletakkan pada pembuatan dan penjualan todi, kawalan ni sekadar buat syarat, dan mabuk todi kekal jadi masalah sosial buat masyarakat India estet pada masa tu.

Lepas Jepun ambil alih Malaya, masalah ni jadi bertambah buruk. Ramai dari kaum lelaki diorang tinggalkan estet untuk bina Landasan Kereta Api Burma, sebab terpengaruh dengan janji manis Jepun yang menjanjikan bayaran 3 kali ganda dari kerja estet. Kebanyakannya maut dan tak kembali. Yang tinggal di Malaya pula rata-rata menghadap kelaparan dan tak cukup zat, dan hanya todi yang ada. Jepun juga tak ambil kisah tentang kawalan todi yang buat cukup syarat tadi, jadi masa inilah todi dibuat dan diminum tanpa kawalan, dan imej India mabuk mula bertapak dengan kukuh di Malaya.

Walaupun selama ni ada gerakan-gerakan anti-todi yang cuba membanteras tabiat minum ni, yang paling penting sekali adalah gerakan Thondar Padai yang muncul lepas perang.

sumber: The New York Times

Thondar Padai ni mula di estet-estet Kedah, ditubuhkan oleh seorang pemandu dan peruncit bernama A.M. Samy. Keahliannya dari buruh-buruh estet dan guru-guru sekolah Tamil, dan tujuan Thondar Padai ni adalah tolong buruh estet keluar dari masalah sosioekonomik, termasuk mabuk todi yang dianggap faktor utama buruh India tak maju – selain mabuk, duit pun habis kat todi. Ramai pekerja estet yang setuju dengan misi Thondar Padai ni, terutamanya golongan muda.

Pada mulanya, kempen anti-todi Thondar Padai adalah menasihatkan buruh estet untuk menjauhi kedai todi dan sebarkan keburukan todi, tapi bila macam tak berkesan, diorang mula guna cara yang lebih keras. Buruh yang kantoi minum todi ditangkap dan diikat kat pokok untuk beberapa jam, dan ada juga yang dibawa ke kuil untuk bersumpah depan dewa Mariamman untuk tak minum lagi selain kena bayar denda kat Kesatuan Buruh. Tapi bila masih tak berkesan jugak, diorang berpiket kat sebuah kedai todi di Bedong pada 1947 dan desak kerajaan untuk tutup kedai todi tersebut.

Piket ni adalah himpunan besar pertama yang dianjurkan oleh buruh-buruh estet sendiri, dan lebih dari 1,000 buruh, termasuk wanita dan kanak-kanak dari estet sekitar, turut serta dalam menuntum penghapusan kedai-kedai todi. Seorang buruh tampil semasa piket dan mengatakan yang “Kami bukan anti-kerajaan. Kami cuma menentang tabiat minum todi,“. Buruh ini kemudiannya dipukul polis dan kemudiannya mati di hospital, dan laporan kematiannya menyatakan yang ianya ‘pembunuhan bersebab‘.

 

sumber: Twitter / @VeshaNaidu

Dari insiden ni dan protes-protes yang datang kemudiannya, jelas yang kerajaan British dan pengurusan estet tidak suka perubahan dalam kalangan buruh estet, dan mereka mahukan orang India kekal mabuk seperti sebelum perang. Kemuncak penentangan British terhadap perubahan ni adalah bila A.M. Samy akhirnya ditangkap polis dan dibuang negeri ke India pada tahun 1949. Lepas tu, tak ada lagi yang berani menghalang tabiat minum lepas tindakan kerajaan ni. Jadi stereotaip India mabuk berkekalan.

Ini semua cerita beberapa dekad yang lalu, tetapi adakah kita – orang Cina, Melayu dan India – terus menjadi mangsa kepada stereotaip kaum ini sekarang?

 

Wujudkah lagi stereotaip kaum hari ini?

stereotaip kaum di Malaysia

Selain daripada segelintir mat salleh yang datang buat konten nahsee lehmark, pegangan British terhadap masyarakat Malaysia dah kurang. Namun, kita masih melihat stereotaip kaum ini dalam berita dan mendengarnya dari mulut rakyat Malaysia sendiri. Benda ni sangat normal sampai kita boleh memanggilnya ‘Casual Racism‘.

Walaupun kita boleh salahkan British untuk asal usul stereotaip ini, popularitinya dalam masyarakat moden adalah salah kita sendiri sepenuhnya. Ramai yang susah dapat peluang pekerjaan dan tempat tinggal kerana rakyat Malaysia masih tidak boleh buang idea-idea yang disemai British dahulu.

Terdapat pelbagai filem, iklan, dan artikel yang menentang sifat perkauman, namun kita masih gagal ambil makna yang sebenarnya. Musuh kita bukanlah jiran-jiran sebelah kita, tetapi keadaan yang kejam yang telah menghasut nenek moyang kita untuk bergaduh sesama sendiri. Kalau rakyat Malaysia tak sedar lagi benda ni dan tak berusaha untuk berdamai, selamanya minda kita tak akan merdeka.