Dari Ahli Sejarah yang mengkaji Melayu: Mat Salleh ni masuk Islam dan jadi ‘Melayu’

Kalau korang memang peminat dan pembaca setia SOSCILI, mesti korang pernah baca satu artikel kami tentang seorang Mat Salleh yang menghabiskan hidupnya mengkaji budaya Melayu. Orang tu tak lain dan tak bukan adalah R.O Winstedt yang menulis pelbagai perkara tentang orang Melayu, dari Nasi Lemak sampailah amalan perbomohan. (Boleh klik sini kalau nak baca lebih lanjut).

Winstedt pernah kata, kalau nak kenal orang Melayu bacalah pantun dan sasteranya. Klik sini untuk baca lebih lanjut. Imej dari Royal Asiatic Society.

Tapi, Winstedt bukan seorang je yang habiskan hidupnya mengkaji budaya Melayu, sebabnya ada seorang lagi Mat Salleh yang tak kurang hebatnya. Malah, beliau ni bukan je kaji pasal Melayu – tapi jatuh dengan budaya Melayu serta agamanya. Orang tu adalah…

Abdul Mubin Sheppard: Pegawai British yang jatuh cinta dengan Tanah Melayu

Atau nama asalnya: , Mervyn Cecil Ffrank Sheppard. Imej dari Wikipedia.

Dilahirkan pada 21 Jun 1905 di Ireland, Mervyn Cecil Ffrank Sheppard (Abdul Mubin Sheppard selepas memeluk Islam) mendapat pendidikan awal di Marlborough College, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah di Magdalene College, Cambridge University dari tahun 1923 sampai 1926. Setahun lepas tu, Mubin lulus ujian kelayakan di London dan diterima masuk dalam Perkhidmatan Awam Malaya (MCS). Beliau kemudiannya terus berkhidmat dalam MCS sehingga tahun 1963.

Tapi, bila tercetusnya Perang Dunia Kedua (WWII), Mubin bergiat aktif dalam Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sebagai Ketua Kompeni (1941 – 1942). Malangnya, selepas tu Mubin menjadi tawanan perang pihak Jepun selama tiga tahun (sampai Jepun menyerah kalah pada 1945).

Bila WWII tamat, Mubin kembali berkhidmat dalam MCS dan dilantik sebagai Pengarah Perhubungan Awam pertama pada 1946 dan 12 tahun kemudian dilantik pula sebagai First Keeper of Public Records (sekarang Arkib Negara Malaysia). Beliau turut dilantik sebagai Pengarah Muzium Negara pertama pada tahun 1959.

Muzium Negara sekitar tahun 1950-an. Imej dari Cardcow.com

Cuma nak cerita di sini, Mubin ni memang seorang yang sangat sukakan sejarah dan bila di sampai ke Tanah Melayu, beliau mula mengkaji segala macam sejarah dan budaya orang Melayu. Beliau mencari dan mengkaji tempat-tempat bersejarah seperti istana-istana Melayu lama, bangunan-bangunan tradisional dan sebagainya.

Disebabkan hal itu, beliau dah jatuh cinta dengan negara ini dan rakyatnya, sampaikan buat keputusan untuk terus tinggal di Tanah Melayu dan tak nak balik ke United Kingdom.

Mubin mengkaji karya-karya Melayu dan memelihara bangunan bersejarah

Mubin bersama sebuah keluarga Melayu pada sekitar tahun 1957. Imej dari Ahmad Rizal b. Ali.

Sejak menjejakkan kaki ke Tanah Melayu, Mubin mula menyelongkar dan memberikan penumpuan terhadap kajian budaya, sastera dan seni bina Melayu. Ada masa tu, beliau cuba menghubungkan karya-karya sastera Melayu dengan pembaca Inggeris yang ketika tu tak berapa terima sangat sastera Melayu. Ia dapat dilihat apabila Mubin menulis buku kecil bertajuk The Advantures of Hang Tuah.

“Buku ini cukup popular kerana diterbitkan sekurang-kurangnya lima kali dan digunakan di sekolah sebagai buku bacaan dalam bahasa Inggeris. Sejarah cetakkannya yang cukup panjang ini mungkin menandakan bahawa buku ini juga mungkin menjadi bacaan umum.” – Prof Dr Muhammad Hj Salleh, dipetik dari kertas kerjanya pada September 2003.

Diceritakan juga yang Mubin cukup tertarik dengan manuskrip-manuskrip lama Melayu, sehingga beliau mengadakan temujanji untuk bertemu Tengku Fatimah (kerabat Perak) yang banyak menyimpan manuskrip lama. Ditamkan lagi, Mubin menulis pelbagai buah buku yang menyentuh pelbagai perkara berkaitan Tanah Melayu seperti Rejimen Melayu, sejarah Tanah Melayu, Biografi Sultan Abu Bakar (Pahang), seni Mak Yong, sejarah Tun Perak, seni pertukangan Melayu, Biografi Tunku Abdul Rahman dan banyak lagi.

Antara karya Mubin tentang seni dan budaya Melayu. Imej dari AbeBooks.

Di samping itu, minatnya terhadap usaha memelihara tinggalan sejarah juga dicurahkan ke negara ini apabila Mubin berusaha memulihara bangunan-bangunan bersejarah. Antara bangunan bersejarah yang mendapat sentuhannya termasuklah Istana Ampang Tinggi, Negeri Sembilan. Istana ini dibina pada tahun 1965 oleh Yang Di-Pertuan Besar, Yamtuan Ulin sebagai hadiah perkahwinan anaknya, Tengku Chindai. Ia kemudiannya diserahkan pula kepada anak Tengku Chindai, Tengku Halijah yang tinggal di situ sehingga akhir hayatnya pada tahun 1921.

Bagaimanapun, disebabkan baginda tak mempunyai anak – rumah itu kemudiannya diduduki secara sekejap-sekejap oleh ahli keluarga lain, dan akhirnya mula terbiar selepas tahun 1930. Lepas 20 tahun, Mubin pergi sendiri tengok keadaan istana tu dan beliau dapati ia dah dipenuhi dengan semak dan atapnya pula dah banyak yang runtuh.

“Sheppard meminta izin daripada Tuanku Abdul Rahman (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada ketika itu) untuk diizinkan mengalihkan bahagiannya dan membangunkannya semula sebagai Muzium Negeri.

_____

Pada bulan Januari 1953, bangunan itu dibuka oleh tukang kayu Malayu dan dipindahkan, papan-papannya ke di sebuah lokasi yang dipilih oleh Tuanku Abdul Rahman dan Menteri Besarnya, Datuk Haji Abdul Malek. Pembinaan semula selesai pada bulan Mac 1954 di bawah pengawasan En. Spence, jurutera Jabatan Kerja Raya…” – Dipetik dari jurnal terbitan Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.

Keadaan Istana Ampang Tinggi sekarang berkat usaha Mubin yang berusaha menyelamatkannya. Imej dari Findbulous Travel.

Beliau juga bertanggungjawab dalam memulihara bangunan bersejarah Gedung Raja Abdullah di Klang  yang dibina pada tahun 1857 sebagai tempat menyimpan senjata, timah dan makanan. Malangnya, pada sekitar tahun 1980 – ada rancangan supaya gedung ini dirobohkan dan diganti dengan gelanggang badminton.

Perkara ni mendapat bantahan keras Mubin, sehingga akhirnya membuatkan Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah campur tangan. Berkat usahanya, ia berjaya diselamatkan dan kini berada di bawah kendalian Jabatan Warisan Negara. Sebenarnya bukan dua bangunan ni je yang diusahakan oleh Mubin, tapi ada banyak lagi termasuklah Masjid Kampong Laut (Kelantan) dan Istana Tengku Nik (Terengganu).

Mubin di depan Istana Tengku Nik pada tahun 1970. Imej dari Kesultanan Terengganu Islamiah Melayuwiah.

Memeluk Islam dan terus berbakti kepada negara

Pada tahun 1957, Mubin dah membuat satu keputusan besar dalam hidupnya dengan memeluk agama Islam. Tiga tahun kemudian, beliau telah pergi ke Kota Suci Mekah menunaikan haji. Apa yang menarik, beliau tak berhenti sampai situ je sebab lepas tu masuk dalam usaha dakwah. Beliau dapat idea nak menubuhkan sebuah badan yang berperanan membantu saudara baru yang memerlukan dan cadangan ni dibawa kepada Tunku Abdul Rahman.

“Beliau (Tunku) meminta Mubin Sheppard memanggil beberapa rakan dari pelbagai bangsa untuk mengadakan perjumpaan di kediaman rasminya di Jalan Brockman. Pada perjumpaan malam itu adalah SOK Ubaidullah dan Ali Mericar (India muslim), Ibrahim Ma (Cina muslim), Mubin Shepard (Inggeris muslim), beberapa rakannya dari UMNO seperti Jaafar Albar dan Syed Nasir (keturunan Arab), dan seorang beberapa yang lain dengan pendidikan agama. Dalam pertemuan tidak rasmi itu Tunku mengemukakan idea untuk membentuk PERKIM.” – Dipetik dari Islamic Herald PERKIM.

Akhirnya tertubuhlah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) pada 20 Mac 1977 dengan menyaksikan Tunku Abdul Rahman sebagai pengasasnya manakala Mubin antara orang yang menolong beliau dalam menjayakan PERKIM. Sehingga kini PERKIM masih lagi bergiat aktif kepada masyarakat dalam usaha membantu saudara baru dan usaha dakwah.

Mubin dan Tunku Abdul Rahman dalam satu pertemuan. Imej dari Islamic Herald PERKIM.

Dalam waktu sama, selain menjadi Pengarah Muzium Negara dan Arkib Negara – Mubin turut bergiat aktif dalam Persatuan Sejarah Malaysia sejak tahun 1956 sebagai penyunting kehormat sehingga 1972. Maka tidak hairanlah Mubin dianggap sebagai seorang yang sangat arif tentang sejarah dan budaya Melayu.

“Beliau sangat berpengetahuan tentang budaya, kesenian dan tradisi Melayu, dan terkenal dengan usaha rajin dan analitik dalam karyanya mengenai sejarah negara.” – Datuk Zakiah Hanum, Bekas Ketua Pengarah Jabatan Arkib Negara. Dipetik dari Islamic Herald PERKIM.

Malah, tak keterlaluan untuk dikatakan yang Mubin sendiri telah menjadi Melayu jika kita mengambil konteks Perlembagaan Persekutuan – Perkara 160(2) iaitu seseorang itu ditakrifkan sebagai Melayu sekiranya beragama Islam, bertutur Bahasa Melayu secara lazim dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Mubin meninggalkan legasi yang cukup berharga kepada kita semua

Mubin Sheppard (1905 – 1994). Imej dari Arkib Negara Malaysia.

Dari segala usahanya, tak dapat dinafikan bahawa Tan Sri Abdul Mubin Sheppard telah meninggalkan legasi dan jasa yang cukup berharga kepada negara ini. Dari usaha merekod sejarah, memulihara bangunan bersejarah dan usaha dakwah – beliau telah melakukan segalanya yang termampu. Malah, terdapat ratusan penulisannya dalam pelbagai penerbitan telah dihasilkan yang sehingga kini kita boleh baca dan kaji.

Mubin akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 11 September 1994 pada usia 89 tahun. Beliau pernah ditanya mengapa beliau begitu cinta kepada negara ini, Mubin menjawab dengan puisi Rudyard Kipling…

“Di sinilah hati, jiwa, fikiranku- satu-satunya kehidupan yang aku tahu. Aku tidak boleh meninggalkan semuanya…”

Ada juga mamat British yang minat belajar ilmu sihir Melayu

dan ada juga kisah kejam disebaliknya tentang British ni, antaranya…

*Artikel ini pernah diterbitkan pada 25 Januari 2021*

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.