Sistem kesihatan kita makin tenat, apakah kita akan menjadi seperti India?

Bila berbicara tentang pandemik, macam-macam kita boleh borak sebab terlalu banyak benda yang terjadi sejak pertama kali COVID-19 munculkan diri di China pada 2019. Satu dunia huru-hara disebabkan benda tu, tak lupa juga Malaysia yang terkena tempias daripadanya.

Cuma sekarang ni je lah, kita semua sedang menghadapi gelombang COVID-19 yang agak serius! Setiap hari makin ramai yang meninggal disebabkan virus ni. Persoalannya, boleh ke kita recover daripada semua ni? Adakah situasi kita sekarang ni boleh sampai ke tahap apa yang terjadi di India?

Sistem kesihatan kita semakin tenat!

Keadaan di bahagian kecemasan HTAR. Imej dari Berita Harian

Setiap hari, kes semakin melonjak sampaikan ramai dah penat sebenarnya. Bukan hanya rakyat biasa je ye, orang-orang barisan hadapan kita lebih teruk terkesan daripada pandemik yang melanda ni. Ini disebabkan setiap hari jumlah pesakit COVID-19 yang masuk ke hospital makin bertambah!

Ni belum masuk kadar kematian lagi tau, setiap hari pasti ada orang meninggal. Itu pun masih ada yang menidakkan wujudnya COVID-19 ni dengan segala info konspirasi mereka, sampaikan cakap semua tu salah satu cara kerajaan untuk memaksa rakyat mengambil vaksin. Nak dijadikan cerita, orang-orang macam ni antara punca pandemik ni semakin teruk.

Mungkin ni apa dorang fikir kot. Imej dari imgflip

Mungkin ada yang kata kes kat negara kita ni tak lah teruk sangat, tapi kitorang nak korang fikir balik. Kita dah pun cecah angka 13 ribu kes positif sehari tau pada 15 Julai lepas! Jumlah kematian pula adalah sebanyak 6866 (18/7/2021), adakah korang masih lagi relax selepas melihat semua angka tu?

Yang lagi menakutkan adalah, hospital kita semakin penuh ye guys. Lebih-lebih lagi di Selangor, sebab sekarang ni kadar jangkitan di negeri itu adalah yang paling tinggi. Tular di media sosial berkenaan situasi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di mana keadaan di sana sangat kritikal! Ini juga dikatakan terjadi di Hospital Kuala Lumpur juga.

Kritikal macam mana? Dikatakan pesakit di ICU terpaksa berkongsi oksigen daripada tangki yang sama, pihak hospital juga tidak mempunyai katil yang cukup untuk menampung pesakit dan banyak lagi. Kalau di India, mereka terpaksa memilih pesakit mana yang akan mendapat oksigen. Kita tak nak benda macam tu terjadi di Malaysia!

Bukti yang pesakit COVID-19 berkongsi oksigen. Imej dari CodeBlue

“Dengan jumlah pesakit di hospital sekarang, kami tidak mempunyai katil yang mencukupi, semua katil kanvas pun sudah penuh, pesakit terpaksa menunggu di atas kerusi dan kerusi roda sahaja,” Seorang doktor yang dipercayai berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, petikan dari Utusan

Tidak cukup dengan tu, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Melawati pun makin hari makin sesak. Pada 12 Julai, dikatakan lebih 4 ribu orang beratur di luar CAC Stadium Melawati sehingga menyebabkan kesesakan. Situasi punya lah teruk sampaikan panjang barisan tu masuk sehingga ke kawasan rumah awam.

Suka untuk diingatkan yang semua orang yang datang CAC ni adalah positif ye, so ada risiko untuk mereka menjangkiti orang lain di kawasan perumahan awam tu juga! Ini lah serba sedikit tentang situasi sistem kesihatan kita sekarang, semuanya agak overload disebabkan pertambahan kes yang sangat ketara.

Dah macam nak beli tiket final bola sepak dah. Imej dari Kosmo

Sekarang cuba kita fikir balik, di mana silapnya? Adakah rakyat memang tak ikut peraturan atau pun segala Standard Operating Prosedur (SOP) yang disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak berhasil? Kita masih boleh menang, sekiranya…

Boleh pulih jika berdisiplin dan buat keputusan yang betul

DG yang mungkin nak cakap ‘tolong duduk rumah!’. Imej dari The Edge Market

Berdasarkan situasi semasa, adakah korang rasa kita akan bebas dari COVID-19 dalam masa terdekat? Rasanya tidak kot, terlalu banyak benda yang perlu difokuskan untuk menjinakkan penularan semasa. Actually, kita dah hampir menang sebenarnya. Ini kerana pada 8 Julai 2020, kita telah berjaya mencapai angka 0 kes positif dalam negara!

Benda tu sekaligus hampir menjadikan Malaysia sebagai negara terawal di dunia yang dapat membendung penularan wabak COVID-19 ni. Punyalah kerajaan kita bangga masa tu sampai buat buku yang menceritakan macam mana Malaysia dapat kalahkan COVID-19, ironik bukan?

Tapi kegembiraan tu tak lama, semua usaha yang telah dilakukan ibarat sia-sia selepas terjadinya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020. Data menunjukkan peningkatan kes yang ketara selepas PRN Sabah sehingga mencetus kemarahan rakyat Malaysia!

Korang nilai la sendiri. Imej dari imgflip

Ini ditambah lagi dengan keputusan yang tak berapa bijak oleh Menteri Pertahanan kita iaitu Dato’ Seri Ismail Sabri di mana sesiapa sahaja yang balik daripada Sabah ketika itu tidak perlu melakukan kuarantin wajib. Mungkin itu antara keputusan yang menjadi punca pandemik di negara kita semakin berleluasa hingga ke hari seterusnya.

“Kalau kita mahu lakukan kuarantin wajib, seluruh negeri perlu berada dalam zon merah, sedangkan keadaan itu tidak berlaku di Sabah. Zon merah hanya diisytihar di beberapa kawasan yang tertutup di Sabah, iaitu kawasan penjara dan lokap polis,” Ismail Sabri, Menteri Pertahanan Malaysia, petikan daripada Berita Harian

Namun, semua tu dah pun menjadi sejarah. Kita kena lihat kepada masa hadapan, tentang macam mana cara nak menjinakkan kembali COVID-19 yang sedang mengganas ni. Jika segala keputusan dari pihak berwajib tak berapa efektif, kita semua harus mengambil inisiatif sendiri untuk cuba ikut SOP yang betul dengan disiplin yang ketat!

Ini untuk memutuskan rantaian virus yang telah menular dalam komuniti, tapi tu lah, kalau kita je yang berdisiplin tetapi masih ada yang degil untuk buka semua kilang nak buat macam mana kan. Itu mungkin boleh tanya MITI kenapa kebanyakan kilang masih boleh operasi walaupun data menunjukkan banyak kes datang daripada kilang.

Baca ni kalau tak percaya. Imej dari RTM

Itu pun boleh dikira kepada keputusan yang agak tak betul, tapi kita sebagai rakyat cuma boleh menyuarakan ketidakpuasan hati di media sosial je lah kan. Disebabkan itu, kita kena fokus kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Tak ada cara lain dah sebenarnya, vaksin merupakan satu-satunya jalan keluar yang possible ketika ini.

Kita pun dah lama dikurung, dah berapa banyak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kena hadap. Semua orang pasti tidak mahu lagi dikurung kan? At least, bagi lah kita semua merasa sambut tahun baru dengan penuh gemilang. Itu semua boleh dicapai dengan vaksin!

Mungkin ada pernah terbaca yang kadar vaksinasi negara kita sangat slow, sampaikan masa yang perlu diambil untuk menyuntik sekurang-kurangnya 80% populasi negara boleh makan masa hampir 3 ke 4 tahun. Tapi data baharu menunjukkan kita mungkin boleh mencapainya tahun ni!

Tak sakit pun guys! Imej dari Harian Metro

Ini disebabkan kadar vaksinasi kita semakin hari makin meningkat disebabkan stok yang datang dari luar negara sudah sampai di Malaysia. Jadi sekarang, yang memainkan peranan penting adalah rakyat sendiri. Untuk mencapai herd immunity kita semua perlu mengambil vaksin, tidak kira apa jenis vaksin pun korang dapat tu just terima je ye.

Jangan degil sangat sampai menolak vaksin hanya disebabkan alasan yang tak munasabah langsung! Sedangkan ada individu yang inginkan vaksin tapi tak dapat disebabkan komplikasi kesihatan (allergik dan sebagainya). Kita juga kena berharap yang pihak berwajib tak membuat keputusan yang tak berapa bijak lagi sekali.

Menang bersama, mungkin itu apa yang semua orang impikan sekarang

Menang bersama? Imej dari Twitter

Mungkin kita takkan sampai ke tahap di India, tapi situasi pandemik di negara kita ni memang agak teruk dah. Disiplin dalam mengikut SOP, jangan hanya ambil sambil lewa je. Kalau korang langgar SOP hanya dengan alasan korang dah penat, semua orang pun sebenarnya dah penat.

Dengan situasi politik yang tak menentu ni lagi. Kita harus tolong sesama sendiri sekarang ni, seperti kempen bendera putih yang dinaikkan supaya orang tahu mereka perlukan bantuan tu. Support satu sama lain dalam apa juga perkara, kalau korang rasa ada sesiapa kenalan yang memerlukan bantuan dari segi emosi dan mental, jangan hanya biarkan dorang bersendirian.

Rakyat jaga rakyat, kita boleh menang bersama jika kita bersatu.