Kenali “Nama” apek yang memegang bendera putih dalam filem P.Ramlee

Seperti yang korang tahu, bendera putih sedang menjadi simbol untuk meminta pertolongan dari orang lain dari segi bantuan keperluan harian. Pada masa yang sama, ramai orang di WhatsApp dan Facebook kongsi satu potongan video dari filem Madu Tiga arahan P.Ramlee.

Alaaa…yang ada seorang apek tu pegang bendera putih sambil bercakap “hidup pun susah, mati pun susah….hmm mati…dengan bendera“. Kalau korang tak tengok lagi, boleh tengok di bawah (boleh pergi ke minit 6.16):

Lepas je video ni viral dekat WhatsApp dan Facebook, pelbagai teori yang dikeluarkan oleh orang ramai. Contohnya, ada yang kata P.Ramlee sudah meramal masa depan dan ada juga berkata, secara tidak sengaja, konsep bendera putih ni, terinspirasi dari filem Madu Tiga. Baiklah, sebenarnya ramai lagi tak kenal siapa watak apek itu.

Nama sebenar pelakon watak Apek dalam filem Madu Tiga itu ialah…

Alias Congo: Seorang pelakon Melayu yang berjaya bawa watak apek

Babak dalam filem Madu Tiga. Imej dari CARI Infonet.

Mungkin bagi kita nama Alias Congo (nama sebenar: Alias bin Said) ni agak asing bagi kita sebab masyarakat kita secara am mengenali P.Ramlee, S.Shamsuddin dan Aziz Satar. Beliau ni boleh dianggap sebagai pelawak yang underrated la kerana beliau tak banyak muncul dalam filem, tapi banyak muncul di pentas dan Televisyen Singapura.

Namun, kalau sesiapa yang mengenali mereka, pasti akan kagum dengan watak lawaknya yang berbanding dari pelawak lain. First impression korang mesti akan ingat Alias Congo ni sebenarnya orang Cina, tapi sebenarnya beliau ialah orang Melayu.

Ye, kitaorang pun macam tak percaya. Imej dari giphy.

Alias Congo juga sering dikenali sebagai “Abang Apek” kerana beliau berjaya membawa watak lelaki Cina yang lengkap berpakaian Cina lama dan melawak sambil menggunakan suara Cina pelat. beliau popular bukan sahaja dari kalangan masyarakat Melayu, malah masyarakat bukan melayu pun suka dengan beliau.

Bakat Alias Congo sebagai pelawak mula dilihat semasa beliau berganding dengan M.Zain atau nama glamornya Zain Blackout dalam satu majlis malam di rumah kawannya pada Oktober 1955.

Beberapa tahun selepas itu, beliau telah dipelawa berlakon untuk filem Raja Bersiong (1961), persembahan Studio Maria Menado, Bukit Timah bersama dengan King Godobell dan Momo Latiff (Momo Latiff ni pernah muncul dalam filem Pendekar Bujang Lapok, alaa…yang scene “korang berbual la dulu, nanti makcik buatkan kopi yea”).

Korang boleh layan filem Raja Bersiong di bawah:

Kejayaan Alias Congo dalam filem Raja Bersiong tadi telah membawa beliau untuk berlakon dalam filem Aksi Kuching, persembahan Studio Jalan Ampas dan beberapa filem di bawah Studio Cathay Keris.

Untuk pengetahuan korang, Alias Congo juga merupakan seorang juruteknik di sebuah syarikat bersama Singapore Traction Company. Tapi tu la, beliau berhenti bekerja di syarikat tersebut dan fokus untuk menjadi seorang pelawak.

Beliau pernah berkata:

“Saya rasa kerja sebagai juruteknik menyusahkan. Saya perlu bebas dan terus giat dalam penghidupan komedi.” – Alias Congo, dipetik dari Newspaper SG.

Lepastu, Alias Congo semakin popular di seluruh Malaysia, Kepulauan Riau serta Sumatera. Beliau juga menjadi pelawak tetap di Bahagian Melayu Radio dan Televisyen Singapura. Macam kami sebut di atas, beliau juga pernah berlakon dalam filem Madu Tiga arahan P.Ramlee sebagai watak Apek.

Selain itu, Alias Congo turut berkecipung dalam bidang muzik. Antara lagu-lagunya yang popular:

  • Joget Nak Kahwin.
  • Apek Sayang.
  • Si Pengacau – nyanyian bersama Zainah Yunus.
  • Pahlawan Changkol – nyanyian bersama L.Hasnah.

Pemergian Alias Congo pada usia muda sangat memberi kesan kepada industri

P.Ramlee, Saloma dan Alias Congo. Imej dari Repair Gambar Lama.

Pemergian Alias Congo pada 29 Julai 1972 sangat mengejutkan semua orang pada masa tu. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada usia yang muda iaitu 39 tahun. Beliau pada mulanya mengalami sakit perut, kemudian dimasukkan hospital untuk menjalani rawatan dan pembedahan.

Lepastu, Alias Congo telah pulang ke rumah lepas menjalani rawatan. Namun, sakit perut tu datang balik dan beliau telah dimasukkan semula ke hospital untuk pembedahan. Lima hari lepastu, beliau disahkan menghidap penyakit gastritis ulser. Beliau telah meninggalkan seorang balu serta lapan orang anak antara 17 tahun hingga tiga bulan.

Pada masa itu, rakan seperjuangannya (Normadiah, S.Shamsuddin, Wahid Satay, Ibrahim Pendek, Momo Latiff, Zain Blackout, King Godobell dan Aziz Satar), kehilangan Alias Congo merupakan sangat memberikan kesan yang besar terhadap industri seni.

Pemergian Alian Congo adalah buat selamanya dan tidak akan kembali lagi, hanya filem-filem, hasil karya dan gelaran Abang Apek saja masih menjadi kenangan buat peminat-peminatnya.