Jenayah & Undang-undang

Selepas 7 tahun dibunuh kejam, mungkinkah rakyat Malaysia ni bakal dapat pembelaan?

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

Baru-baru ni, polis berjaya menahan seorang jutawan Amerika Syarikat, Peter Chadwick, kelahiran UK yang menjadi rakyat Amerika sejak 1991. Peter dituduh membunuh isterinya yang merupakan rakyat Malaysia, mendiang Quee Choo Lim/Chadwick.

QC yang merupakan PR di US sejak 1991. Imej dari cbsnews

Mereka berkahwin selama 21 tahun pada masa tu dan mempunyai tiga orang anak lelaki. Kes mahkamah bakal disambung kembali dengan penahanan suspek di Mexico semalam selepas melarikan diri selama lebih dari empat tahun.

Kes orang hilang, hasil laporan jiran prihatin

Kisahnya bermula pada 10 Oktober 2012, apabila polis menerima sebuah panggilan daripada  seorang perempuan yang mahu mereka memeriksa rumah jiran mereka yang tiba-tiba saja tak berpenghuni. Perkara ni bukanlah benda biasa sebab penghuni rumah tersebut, Quee Choo Chadwick (QC) merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, manakala Peter, seorang jutawan hartanah yang menguruskan aset dan pelaburan, mempunyai pejabat di rumah.

Kediaman Chadwick sekeluarga di California. Imej dari people.com

Kerisauan tu juga berpunca daripada kedua-dua anak mereka (jiran) yang sekolah bersama dengan anaknya tak dijemput seperti hari-hari biasa. Jiran tersebut yang pelik dengan keadaan ni  kemudiannya menumpangkan anak jiran mereka dirumahnya. Anak sulung pasangan tersebut pula berada di sekolah berasrama.

Hasil laporan tersebut juga menyebabkan pihak polis juga terpaksa memecah masuk rumah pasangan Chadwick selepas panggilan langsung tak dijawab, dan mereka bimbang dengan keselamatan pasangan Chadwick. Sangkaan mereka betul, apabila pihak polis menemui kesan pergelutan dengan beberapa barangan rumah tersebut pecah, dengan beberapa tompokan darah di lantai rumah tersebut.

Kaca pecah yang terdapat di dalam bilik mandi di tingkat atas Chadwick. Imej dari cbsnews

Pasangan Chadwick kemudiannya diletakkan dalam senarai orang hilang. Pihak polis pula bertungkus-lumus cuba untuk mengesan pasangan tersebut sepanjang malam.

Keesokan paginya pada 11 Oktober 2012, Jabatan Polis San Diego menerima sebuah panggilan yang mencemaskan. Pemanggil tersebut adalah Peter Chadwick yang melaporkan isterinya telah dibunuh, dan dibawa lari seorang pembunuh yang dikenali sebagai Juan.

 Panggilan dibuat dari sebuah stesen minyak di San Diego. Penyiasat dari NBPD tiba, mengiringi Peter Chadwick kembali ke Jabatan Polis San Diego. Dan di sana, pengumpulan bukti bermula.

Peter (dalam bulatan merah) membuat panggilan kepada pihak polis dari stesen minyak Arco di Del Sol Boulevard di San Diego, selepas ‘diculik Juan’. Imej dari cbsnews

Keterangan Peter Chadwick yang bercanggah, dan tak menunjukkan rasa sedih

Dalam keterangannya, Peter memberitahu yang Juan menghampirinya untuk mendapatkan pekerjaan. Disebabkan projeknya di hartanah lain dah cukup pekerja, dia kemudiannya membawa Juan ke rumahnya untuk projek kecil lain. 

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Peter kemudiannya meninggalkan Juan untuk bekerja, dan kembali ke pejabat yang berada di rumahnya. Bagaimanapun, jeritan isterinya, QC membuatkan dia bergegas ke arah suara tersebut dan mendapati isterinya dicekik Juan dalam bath tub, dan meminta bantuan Peter untuk menutup mayat tersebut dengan cadar dari biliknya.

The Chadwicks

Juan kemudiannya mengugut untuk membunuh Peter jika dia tak mengikuti kata-katanya. Juan dalam masa yang sama memintanya membuka peti simpanan di mana dia mengambil $10,000 tunai, bersama dengan barang kemas dan barang berharga lain yang ada di dalam simpanan keluarga tersebut – termasuk telefon bimbit Peter. Peter kemudiannya dipaksa memandu Juan bersama mayat isterinya, QC ke tempat lain sehinggalah dibebaskan pada pagi keesokannya. Ini yang membolehkan Peter membuat panggilan kepada pihak polis kemudiannya.

Tapi ada sesuatu yang tak kena dengan penceritaan Peter. Menurut laporan penyiasat Lieutenant Bryan Moore,  fakta-fakta yang dikemukakan Peter bukan je tak berasas, malah kedengaran tak munasabah.

Apa yang menghairankan pihak polis, di dalam kereta Peter, ada sebuah bagasi yang penuh dengan pakaian dan kelengkapan lelaki yang dikemas secara terburu-buru, dan dalam saiz Peter.

Beg pakaian yang penuh dengan pakaian Peter macam nak larikan diri. Imej dari countdowntocapture.com

Berdasarkan beberapa bukti yang ada di rumah keluarga Chadwick, jenis kecederaan yang ada kesan calar pada leher Peter dan darah kering di celah kukunya manunjukkan ada pergelutan yang berlaku. Peter Chadwick ditahan sebagai suspek pembunuhan.

Kesan calar yang ada pada leher Peter, meragukan pihak berkuasa. Imej dari countdown

Tapi, Peter tak menunjukkan tanda-tanda untuk melawan, macam dah akur dengan keputusan tersebut. Dia juga tak menunjukkan yang dia peduli dengan anak-anaknya dengan tak bertanya langsung tentang mereka. Anak-anak pasangan Chadwick pula diberitahu yang ibu mereka berkemungkinan sudah meninggal dunia, manakala ayah mereka pula ditahan untuk dakwaan membunuh. Adik lelaki QC, David yang rapat dengan keluarga Chadwick cuba untuk menenangkan anak buahnya.

Operasi pencarian QC pula masih lagi diteruskan pada hari-hari seterusnya. Pelbagai kenyataan diambil pihak berkuasa daripada keluarga, jiran-jiran dan mana-mana saksi yang terlibat. Waran juga membolehkan pihak berkuasa mengakses rekod telefon, e-mel, penyata bank mereka yang terlibat.

Mayat mangsa ditemui di tempat pembuangan sampah, lebih 160 km dari kediaman mereka

Tiba hari ke-8, mayat rakyat Malaysia tersebut, Quee Choo Chadwick akhirnya berjaya ditemui di sebuah tempat pembuangan sampah di daerah San Diego. 

Tempat pembuangan sampah di mana mayat Quee Choo Chadwick ditemui. Imej dari cbsnews

Jarak tempat mayat ditemui adalah lebih kurang 160 km, atau lebih kurang 5 jam perjalanan dari kediaman mereka di Newport Beach, California. Jarak tu lebih kurang macam dari KL ke Ipoh.

Mayat mangsa dibaluti cadar berwarna hijau milik keluarga Chadwick, seperti yang diceritakan Peter. Turut dijumpai bersama mayat adalah barangan berharga yang dirompak ‘Juan’ – wang tunai, passport mereka sekeluarga, kad PR milik mangsa, dan barangan kemas milik QC.

Salah satu barangan milik QC yang diberikan mendiang ibunya dari Malaysia. Pada masa ni, pihak polis merasakan yang ‘Juan’ hanyalah watak yang direka Peter untuk melepaskan diri dari tuduhan membunuh.

Sejarah carian internet Peter yang mengejutkan, antaranya adalah ‘Bagaimana untuk menyeksa’

Siasatan dilakukan di rumah pasangan tersebut,di mana detektif berjaya menemui pelbagai bukti yang mampu mengaitkan dengan pembunuhan tersebut – QC tahu tentang kecurangan suaminya, Peter Chadwick. Salah satunya adalah nota tulisan tangan mangsa yang menunjukkan sejarah carian internet suaminya iaitu ‘kos pengguguran di California’, ‘pengiring perempuan urut Cina’, dan yang paling mengejutkan, ‘bagaimana untuk menyeksa’.

Nota tulisan tangan mangsa yang menunjukkan sejarah carian internet Peter yang mengejutkan pihak berkuasa.

Selain tu juga, penerangan Peter tentang apa yang berlaku semasa hari kejadian juga selalu berubah-ubah, dan segala butiran yang diberi adalah pelik. Malah, sikap Peter seperti yang dilaporkan oleh detektif dalam laporannya juga amat pelik, di mana apabila bercerita, dia menunjukkan dirinya sedih dan menekup mukanya, tapi tiada sebarang emosi sebenar seperti kesan air mata atau mata merah disebabkan menangis.

Peter Chadwick yang ditahan telah dituduh mencekik isterinya sampai mati di rumah mereka di Newport Beach, California.selepas terdapat pertikaian mengenai kemungkinan perceraian dan juga isu kewangan.

Penahanan Peter Chadwick dan kontroversi wang jaminan sebanyak 1 juta USD

Jumlah jaminan untuk pembunuhan di California adalah 1.5 juta USD. Apabila Peter Chadwick berada dalam tahanan, detektif segera menghubungi Central Justice Center di Orange County untuk meminta ikat jamin dikurangkan. Dalam perisytiharan itu, seorang penyiasat memberi amaran dan tak bersetuju dengan jaminan tersebut, dan meminta Peter kekal ditahan sampai kesnya dibicarakan.

Sebabnya, siasatan menunjukkan suspek mempunyai akses kepada duit yang sangat banyak (mungkin berjuta-juta) dan duit bukanlah masalah langsung baginya. Disebabkan ni la kalau defendan diberikan jaminan, dia kemungkinan menggunakan pengaruh dan duitnya untuk menyembunyikan bukti kejahatan, malah mampu untuk melarikan diri untuk mengelakkan pendakwaan.

Peguam Orange County, Todd Spitzer memegang gambar rumah Peter Chadwick dan tempat pembuangan sampah tempat mayat isterinya ditemui. Imej dari scmp

Dan menurut pendakwa raya dalam kes ni, Matt Murphy mengatakan pembunuhan domestik, atau pembunuhan jenis keganasan rumah tangga yang berlaku ni kemungkinan wujud disebabkan motif kewangan, di mana pembunuhan QC kemungkinannya berpunca daripada tujuan Peter untuk mengumpulkan polisi insurans nyawa QC. Bagaimanapun, pendakwa raya pada masa tu tak berjaya menunjukkan segala bukti yang cukup untuk mendakwa Peter atas sebab ni. Lagipun, dia tak pernah terlibat dengan mana-mana jenayah.

Mahkamah kemudiannya membebaskan Peter dengan jumlah jaminan tersebut walaupun dengan amaran penyiasat sebelumnya. Bagaimanapun selama dua tahun, Peter tetap datang ke mahkamah untuk perbicaraannya.

Sampailah satu hari pada awal tahun 2015, Peter menghilangkan diri dan tak ke mahkamah seperti sepatutnya. Malah, dia memadamkan telefonnya dan tak dapat dihubungi sesiapa. Hakim kemudiannya mengeluarkan waran bagi penangkapan Peter. Pejabat Peguam Daerah meminta agar jumlah waran dinaikkan kepada 10 juta USD sebab tak muncul ke mahkamah adalah melanggar syarat-syarat perjanjian tu. Hakim kemudian melucut hakkan jaminan Peter kerana gagal hadir di mahkamah.

Imej dari news.sky.com

Seperti apa yang disangkakan penyiasat sebelum tu, Peter Chadwick melarikan diri daripada didakwa. Malah Pasukan Petugas Pelarian Serantau Southwest Pacific juga mendapati yang Peter sudah pun mengeluarkan hampir kesemua duitnya dari bank. Malah mungkin tak meninggalkan langsung duit kepada anak-anaknya.

Usaha mencari giat dijalankan pihak polis, malah Marshall US sendiri telah menyenaraikan Chadwick sebagai 1 daripada 15 pelarian yang paling dikehendaki sehingga memberi ganjaran tunai sehingga USD 100,000 kepada sesiapa saja yang menjumpainya.

Imej dari konniemoments

Penahanan Peter Chadwick selepas hidup dalam pelarian selama lebih EMPAT tahun

Setelah lebih empat tahun, pencarian Peter Chadwick akhirnya membuahkan hasil. Jutawan dari California tu kemudiannya ditahan polis berhampiran Puebla, Mexico yang terkenal sebagai tempat persaraan ekspatriat dari Amerika Syarikat, bersama sejumlah wang yang agak banyak. Sekiranya disabitkan dengan pembunuhan, Peter Chadwick boleh menghadapi hukuman penjara seumur hidup.

Selama hidup dalam pelarian, dia pada mulanya menetap di hotel-hotel mewah. Sehinggalah hotel mewah membuat polisi baru dengan meminta passport untuk mendaftar masuk. Disebabkan masalah tu, dia terpaksa hidup dengan membuat pelbagai pekerjaan, malah menukar identitinya dengan beberapa nama seperti Paul Cook, Paul Craig dan John Franklin.

Peter Chadwick yang ditahan di Mexico baru-baru ni. Imej dari upi.com

Pihak polis dan penyiasat bagaimanapun menjumpai sebuah buku di rumahnya tentang macam mana untuk hidup di Mexico, dan buku tentang menukar identiti dan macam mana untuk hidup dalam pelarian.

Jadi dengan tertangkapnya Peter Chadwick, kita mengharapkan keadilan buat mendiang Quee Choo Lim/Chadwick.

Keganasan rumah tangga yang perlu dibendung masyarakat

Keganasan rumah tangga ni boleh berlaku kepada sesiapa saja, dan kalau tak dibendung, boleh mengakibatkan perkara-perkara yang tak diingini seperti ni. Kalau tak pun, ia boleh menjejaskan mental anak-anak secara tak langsung. Malah apa yang lebih teruk, mereka boleh merasakan ia adalah satu perkara yang normal dalam keluarga dan mempraktikkannya di luar sehingga terjadinya gejala buli.

Klik untuk baca kisah buli.

Keganasan rumah tangga juga tak semestinya terjadi apabila mendatangkan kecederaan secara fizikal saja. Antara kesalahan-kesalahan rumah tangga yang dianggap keganasan rumah tangga adalah apabila pasangan sengaja meletakkan mangsa dalam ketakutan, mengancam melakukan perbuatan seksual, merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan, malah dengan mengurung mangsa. Dalam kes mendiang Quee Choo, siasatan menunjukkan yang dia mendapat penderaan emosi, tapi cuba untuk mengabaikannya sebab nakkan kehidupan terbaik untuk anak-anak mereka.

Bagaimanapun di Malaysia, kita boleh laporkan segala kesalahan seperti berikut ke balai polis, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, hospital, dan juga Talian Kasih 15999. Ahli keluarga, jiran dan kawan-kawan, malah masyarakat sekeliling memainkan peranan penting untuk membantu mana-mana mangsa yang memerlukan bantuan sebelum kejadian lebih buruk terjadi.

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend