Macam mana DUA bangkai kapal Perang Dunia Kedua ni HILANG dari perairan Pahang, tapi takde liputan media?

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

Tak jauh beza dengan novel tulisan Dan Brown, baru-baru ni ada laporan mengenai kisah bersejarah yang nampaknya HILANG di Malaysia.

Tak ada lah sampai berkaitan dengan Deklarasi Merdeka, tapi kes ni agak pelik sebenarnya jika kita fikirkan balik – iaitu bukan sebuah, tapi DUA BUAH bangkai kapal Perang Dunia Kedua milik Belanda nampaknya hilang begitu saja dari dasar laut di perairan Malaysia sejak beberapa minggu yang lalu. Dan apa yang menghairankan, kitorang tak jumpa langsung mana-mana media tempatan yang melaporkan kes ni, sampaikan kitorang terpaksa bergantung kepada penerbitan antarabangsa untuk mengetahui lebih lagi pasal khabar berita ni.

Kapal yang dimaksudkan tu bukan bot kecil macam yang digunakan Rose dalam filem Titanic tu, tapi dua buah kapal perang yang besar, di mana panjangnya lebih daripada 240 kaki! Jadi persoalannya, macam mana kedua-dua buah bangkai kapal perang lama tu boleh hilang begitu saja dari dasar laut?

Bangkai kapal bersejarah tu mungkin dah ‘dirompak’

Kapal selam HNKMS K XVII (depan), salah satu kapal perang Perang Dunia Kedua milik Belanda yang tiba-tiba hilang. Imej dari Atlas Obscura

Dua bangkai kapal Belanda tu adalah dua jenis kapal selam semasa era Perang Dunia Kedua: HNLMS O 16 dan HNLMS K XVII.

Kedua-dua buah kapal tersebut dibina pada awal tahun 1930-an, di mana K XV11 yang pertama, manakala O 16 merupakan penambahbaikan daripada yang sebelumnya – lebih besar dan laju. Pihak Belanda pada mulanya nak hantar kedua-dua buah kapal ni sebab ia merupakan kebanggaan armada kapal selam mereka yang akan membuat rondaan di sekitar Hindia Belanda pada akhir tahun 1930-an.

Kapal K XV11 juga agak kontroversi, sebab ada beberapa teori konspirasi di mana kapal ni sendiri pernah menyaksikan tentera Jepun menuju ke Pearl Harbor. Malangnya, kedua-dua kapal selam tu akhirnya tenggelam pada tahun 1941 disebabkan lombong Jepun berhampiran Pulau Tioman, dan kapal-kapal yang karam ni juga merupakan ‘rumah’ terakhir bagi 79 anak kapal yang berada di atas kapal tersebut. 

Berbalik kepada kisah macam mana kapal-kapal tu hilang dari dasar laut kita, ia cuma disedari apabila sekumpulan ahli ekspedisi Belanda dan Malaysia cuba untuk menyiasat kemungkinan gangguan dalam kawasan sekitar bangkai kapal.

Tapi malangnya bila mereka sampai, mereka mendapati kedua-dua buah kapal karam yang berusia hampir 80 tahun tu tiada di tempatnya. Apa yang tinggal hanyalah kesan garis kasar di dasar laut, dan beberapa tinggalan daripada salah sebuah bangkai kapal di tempat yang sama. Malah, mayat 79 krew yang mati juga nampaknya hilang bersama kapal tersebut. 

Kapal selam O 16. Imej dari The Guardian

Suspek utama dalam kes kehilangan ni? Salvagers, atau pengutip barangan, menurut pegawai kerajaan Belanda. Dan nampaknya, mereka ni memang ‘memburu’ jenis kapal karam dalam beberapa tahun kebelakangan ni. Perkara ni sebenarnya bukan saja masalah besar bagi Malaysia, tapi juga di negara-negara lain seperti Indonesia dan Kemboja. Sekurang-kurangnya 40 buah kapal Perang Dunia Kedua dah dimusnahkan oleh ‘perompak’ ni, menurut laporan The Guardian pada 2017.

Satu peristiwa penting yang menjadi tajuk utama di seluruh dunia adalah pada tahun 2016, iaitu kehilangan tiga kapal British semasa Perang Dunia Kedua, dan kapal selam AS di dasar Laut Jawa. 

Perompak’ besi buruk nampaknya dah ambil besi daripada kapal tersebut, dan mereka juga didakwa telah membuang kesemua sisa mayat tentera Perang Dunia Kedua tersebut di dalam sebuah kubur besar, yang menyebabkan kerajaan UK mengutuk gangguan tersebut. Malah kapal-kapal karam yang lebih kecil dan kurang dikenali seperti HMS Banka yang musnah dipulihkan, untuk penyelam di Tioman menyelam dan melawat di sekitar bangkai kapal ni.

Pencuri-pencuri barangan kapal ni juga mencari bangkai kapal zaman Perang Dunia Kedua, meletupkannya di tengah-tengah lautan supaya bangkai kapal yang besar tu menjadi kepingan kecil. Sebuah kapal tongkang dengan kren kemudiannya akan mengaut kesemua logam tersebut. Korang boleh tengok macam mana ia berfungsi dengan animasi daripada The Guardian:

GIF dari Guardian

Dan kenapa mereka buat perkara ni? Sebab DUIT la. Kapal-kapal ni mempunyai banyak keluli, kuprum dan tembaga. Salah satu sebab kenapa mereka kena jual dengan banyak adalah untuk memenuhi permintaan yang berkembang pesat untuk keluli dan besi buruk di China. 

Sebabnya sejak beberapa tahun kebelakangan ni, China dah ambil alih sebagai salah sebuah negara peneraju dalam pembuatan keluli global, dan dengan peranan baru ni, mereka nak supaya besi buruk dapat dikitar semula menjadi keluli.

Walaupun penggunaan besi buruk secara global dalam pengeluaran keluli dah menurun, di China, penggunaan besi buruk semakin meningkat. Kalau korang nak tahu, antara sebab lain kenapa kapal karam pada Perang Dunia Kedua ni boleh mendatangkan keuntungan yang banyak – dengan membolehkan korang membayar PTPTN selama 3 generasi walaupun kapal-kapal tersebut dibina menggunakan ‘keluli berkualiti rendah’, tapi mampu mencecah USD1.3 JUTA! 

Kenapa mahal betul keluli dari kapal-kapal karam? Sebab ia dibina sebelum ujian nuklear dimulakan pada tahun 1940-an, dan sebab tu la keluli dalam bangkai kapal ni bebas radiasi. Keluli berkualiti rendah ni sangat diingini untuk kegunaannya dalam peralatan saintifik dan perubatan yang canggih macam kaunter Geiger dan sensor angkasa. Ini mungkin menjelaskan di mana walaupun terdapat bangkai kapal yang lebih moden di lautan, ini tak menjadi sasaran perompak berbanding kapal lama.

Canggih gila macam ni
Tapi, cuba korang bayangkan kalau ada orang gali kubur orang yang korang sayang? Korang mungkin faham la kot perasaan ahli keluarga tentera yang terkorban dalam kapal Belanda tersebut, nak nak lagi bila tahu yang ‘kubu perang’ mereka juga dimusnahkan oleh perompak ni. Malah, artifak sejarah yang sepatutnya berakhir di sebuah kubu peringatan atau muzium ni nampaknya akan dicairkan kepada besi untuk industri perumahan atau mungkin juga sebuah iPhone baru… tak patut, kan?

Kami tak pasti mereka dah menyalahi undang-undang yang mana satu, tapi…

Dalam undang-undang domestik, daripada apa yang kitorang jumpa dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005, menggali suatu objek warisan secara haram boleh membawa kepada penjara sehingga lima tahun dan/atau denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit.

Adalah menjadi satu kesalahan undang-undang untuk ‘mengusik’ warisan yang lebih tua dari 100 tahun. Dan disebabkan ni la, ada kekaburan undang-undang yang terlibat sebab bangkai kapal yang boleh dianggap sebagai ‘warisan kebudayaan di bawah air’ ni sebenarnya belum sampai tempohnya lagi.

Periskop daripada K XVII sebelum ia dibawa lari. Imej dari DiveTioman

Bagaimanapun, tinggalan kapal perang yang tenggelam sebenarnya dilindungi di bawah perjanjian antarabangsa sebagai kubu perang tentera, termasuklah anak kapal yang meninggal dunia di dalam kapal.

Malah, tak kisahlah di mana pun kapal tu tenggelam, kapal tersebut mempunyai kekebalan berdaulat di bawah undang-undang antarabangsa dan ia dianggap sebagai harta kepada negara asal kapal tu. Maknanya, adalah menyalahi undang-undang untuk memusnahkan bangkai kapal ni tanpa kebenaran dari negara yang memilikinya.

Tapi sekali lagi, kita tak dapat cari mana-mana peraturan umum untuk kes ni, di mana beberapa profesor undang-undang mengatakan terdapat kekurangan undang-undang antarabangsa mengenai kapal yang ranap.

Ahli politik Belanda Jet Bussemaker. Imej dari Ad

Walau bagaimanapun, Jet Bussemaker, seorang ahli politik Belanda yang mana datuknya adalah komander salah sebuah kapal Belanda mengatakan yang walaupun perkara ni mengecewakan, ia tak seharusnya menjadi sesuatu yang mengejutkan memandangkan sejarah penyelamatan di rantau ini.

“Ia adalah satu mesej yang sangat menyedihkan. Ia mengejutkan semua saudara mara, tetapi pada masa yang sama ia tidak mengejutkan saya sama sekali.

Saya adalah antara saudara yang masih hidup. Ini satu perkara yang sangat buruk. Ia tidak menenangkan. Kapal tersebut merupakan sebuah kubur, “- Jet Bussemaker, ahli politik Belanda, seperti yang dipetik dari The Guardian.

Tak cukup dengan itu, awal tahun ni, menteri luar negeri Belanda, Stef Blok datang ke Kuala Lumpur untuk menandatangani perjanjian dengan kerajaan Malaysia. Salah satu perkara yang dibincangkan ialah perlindungan kapal-kapal karam Belanda yang dianggap kubur perang di perairan kita. Stef Blok bahkan berterima kasih kepada kita kerana melindungi kapal-kapal karam tersebut…

Jadi, takde cara lain ke untuk kapal yang karam ni dilindungi?

Susah nak kuatkuasakan undang-undang dalam lautan yang besar ni, tapi undang-undang yang betul akan jadi permulaan baik

Lautan ni besar, jadi tak hairanlah walaupun banyak undang-undang antarabangsa yang melindungi kapal perang yang karam ni, penipu dan pencuri masih dapat memusnahkannya dan menjualnya sebagai besi buruk dari bangkai kapal tersebut.

Indonesia, antara negara lain yang perlu menangani penjarah yang merosakkan kapal karam Perang Dunia Kedua ni berpendapat, yang mereka tak mempunyai sumber untuk mengawalnya apabila ada ancaman lain untuk ditangani seperti penyeludupan dan penangkapan ikan secara haram.

Beberapa negara yang mempunyai bangkai kapal di perairan mereka dah memutuskan untuk meningkatkan usaha pemuliharaan dalam beberapa tahun terakhir. Sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk melindungi kubur perang di dasar laut, Amerika Syarikat telah menghantar beberapa delegasi ke Indonesia dalam usaha melindungi dan memelihara kapal perang mereka yang tenggelam.

Sementara itu, pihak British telah merancang untuk menjaga kapal yang tenggelam di perairan mereka dengan menggunakan teknologi seperti radar, sensor dan satelit, dan berkemungkinan untuk meningkatkan perlindungan ke perairan asing juga.

Beberapa kapal British di perairan kita yang telah dirosakkan pemungut (scavangers). Imej dari Guardian

Bagi Belanda, dalam perjanjian yang disebutkan di atas antara Malaysia dan Belanda, satu pelan telah diwujudkan untuk mengadakan ekspedisi bagi menyiasat tapak kapal yang tenggelam, serta mendirikan pengurusan bersama untuk melindungi kubur-kubur perang tersebut.

Buat masa ni, mungkin pencuri besi buruk ni takkan berhenti lagi. Tapi kita tunggu masa je kalau usaha negara-negara yang terlibat akan buat perubahan untuk melindungi bangkai kapal yang masih ada. Dan agak memalukan bila Jet Bussemaker menegur kekurangan kita terhadap kubur perang lautan bersejarah.

“Ia agak sinis, di mana kita menghabiskan begitu banyak masa dan tenaga untuk mencari bangkai kapal itu, kita tak dapat melindunginya,” – Jet Bussemaker, seperti yang dipetik dari Atlas Obscura

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)