Diejek sebagai Bangla. Pelajar pelarian Rohingya ini mengaku yang mereka Melayu

Siapa tak kenal, Albert Einstein! Banyak-banyak info pasal Einstein ni, ada satu yang ramai terlepas pandang. Albert Einstein pernah menjadi seorang pelarian! Dia adalah seorang Yahudi yang terpaksa lari dari pemerintahan Nazi ke Amerika Syarikat pada tahun 1933. Einstein jadi pelarian waktu umurnya 54 tahun dan dah jadi ahli saintis terkenal. Jadi, tak susah sangat untuk dia sesuaikan diri dan diterima oleh masyarakat AS. Tapi, tak semua pelarian lalui nasib yang sama macam Einstein.

Imej dari Uncyclopedia.

Hari ni, hampir separuh pelarian seluruh dunia merupakan kanak-kanak! Apa yang menyedihkan, jutaan kanak-kanak pelarian hari ni tiada peluang pendidikan.Menurut laporan UNHCR, hanya 61% kanak-kanak pelarian berpeluang ke sekolah rendah berbanding dengan 91% kanak-kanak biasa!

Pengalaman mengajar di sebuah dari 128 buah sekolah pelarian di Malaysia

Di Malaysia, ada 23,823 kanak-kanak pelarian yang capai umur yang boleh bersekolah. Tapi hanya 30% dari jumlah tu yang ke sekolah! Pernah terfikir tak, dalam banyak-banyak pelarian yang ada kat Malaysia ni, macam mana keadaan sekolah mereka?

3.5 juta kanak-kanak pelarian tak ke sekolah sehari pun tahun 2016! Sumber dari unhcr.org

Awal tahun 2014, kami berpeluang jadi sukarelawan selama sebulan di sebuah sekolah pelarian Rohingya kat Kuala Lumpur. Sekolah ni merupakan antara 128 buah sekolah pelarian yang ada di Malaysia ni.

Banyak betul benda yang membuka mata kami tentang realiti hidup kanak-kanak pelarian dan hal pendidikan mereka di Malaysia yang kami ingin kongsikan kepada semua.

Mengaku diri Melayu serta nyanyi lagu Negaraku tiap pagi Isnin

“Diorang kutuk kami Bangla, cikgu. Jadi kami jawab ja Melayu kalau orang tanya…”

Masa kami mengajar kat sekolah tu, salah seorang pelajar kami cerita yang dia dan rakan-rakan Rohingya yang lain diejek dan digelar ‘Bangla’ oleh sesetengah orang Malaysia. Sampaikan apabila ditanya dia bangsa apa, dia jawab “Melayu!” untuk elakkan diri diejek dan dibuli.

Rakyat kita ramai jugak yang pandang rendah kepada warga Bangladesh dan disebabkan orang Rohingya berkulit gelap, mereka selalu disalah anggap sebagai pekerja asing. Tak lupa jugak dapat ejekan dan diskriminasi yang sama macam yang orang Bangladesh kena.

Sekolah yang kami pergi tu, ada sebilangan kanak-kanak Rohingya yang lahir dan membesar di Malaysia, jadi mereka memang boleh berbahasa Melayu dengan lancar. Lagi-lagi bila ada jugak antara mereka yang ibu atau bapanya warga Indonesia, memang bahasa bercakap antara mereka ialah bahasa Melayu, siap dengan dialek KL!

Kanak-kanak Rohingya di salah sebuah sekolah Rohingya di Selayang, Sekolah al Ikhlas. Imej dari The Star

Walaupun lahir dan membesar di Malaysia, mereka bukan dikira rakyat Malaysia sebab kita tak guna sistem jus soli yang mana sesiapa yang dilahirkan kat sini automatik jadi rakyat negara ni. Tapi, apa yang mengharukan kami, kanak-kanak Rohingya di sekolah ni, setiap Isnin akan nyanyikan lagu Negaraku dalam perhimpunan, sama macam yang kita masa kat sekolah dulu. Selain petah berbahasa Melayu, budaya kanak-kanak ini jugak sama seperti budaya orang Malaysia macam makan makanan kita dan peka dengan dunia hiburan Malaysia.

Umur tua, tapi kena mula belajar dari tadika balik

Tak semua anak ni lahir atau membesar di Malaysia. Disebabkan konflik di tempat asal mereka belum selesai dan situasi kacau-bilau datang setiap beberapa tahun, ada dari mereka yang datang ke Malaysia pada umur remaja. Mereka yang baru datang ni dah pernah belajar menggunakan bahasa Myanmar dan tulisan Burma, jadi susah untuk sesuaikan diri dengan silibus bahasa Melayu.

Mula-mula kami pelik sebab ada beberapa budak dalam kelas darjah satu ni tinggi dan nampak lagi tua. Rupanya, mereka ni batch yang baru sampai dan tak boleh faham bahasa Melayu. Mereka ni kena start balik dari tadika atau darjah satu sebab tak sesuai masuk kelas ikut umur asal mereka.

Ada sorang budak dekat sekolah ni, umur dia 11 tahun, susah nak ajar dia membaca. Baik bahasa Melayu atau Inggeris, memang terkial-kial dia mengeja. Sampai kami ingat yang dia ni ada masalah pembelajaran dan hampir putus asa nak ajar dia. Ye lah. Pelik jugak kenapa umur 11 tahun tapi tak boleh membaca.

Apa yang mengejutkan, satu hari kami nampak dia dikerumuni budak-budak lain. Rupanya, dia tengah tunjuk kat kawan-kawan dia buku teks dalam bahasa Myanmar serta tulisan Burma. Bacaan dia lancar kot. Terus kami rasa bersalah sebab dah salah anggap dia ni lembap dalam belajar masa mula-mula. Dan sedih jugak bila fikir balik yang dia ada inisiatif untuk bawa buku teks ke sekolah. Tapi, kami tak dapat guna buku tu dan ajar dalam bahasa yang dia dah faham.

Cikgu umpama superhero, tapi bila dah gagal faham situasi pelajar…..

Kes macam ni banyak terjadi terutamanya dekat sekolah Rohingya yang sama ada takde, atau kurang guru-guru Rohingya. Patutlah ramai kanak-kanak pelarian yang baru datang ni susah nak belajar. Yelah, bukan senang nak sesuaikan diri dan mahirkan bahasa baru. Apa yang menarik, budak ni ada ajar kami tulisan Burma, memang kami sendiri give up hari pertama sebab tak biasa.

Yang atas tulisan budak tu tulis, yang bawah percubaan kami nak tiru balik. Bayangkan kalau kita diajar Sains darjah 5 dalam tulisan ni, mesti susah! Imej peribadi penulis.

Ada banyak lagi faktor kenapa kanak-kanak Rohingya dan pelarian ni dianggap lemah atau tercicir dalam pelajaran…

Sekolah tak macam sekolah, dinding pun guna papan putih je

Disebabkan kanak-kanak Rohingya serta pelarian-pelarian lain bukan warganegara Malaysia, mereka tak boleh mendaftar di sekolah kerajaan. Nak ke sekolah swasta pulak mahal. Jadi, komuniti Rohingya terpaksa buat sekolah sendiri atau pergi sekolah bawah NGO yang dibantu oleh UNHCR.

Sekolah yang kami pergi ni adalah sebuah unit kedai dua tingkat yang dioperasikan oleh sebuah NGO. Jumlah pelajar dalam 80 orang, dari tadika sampai darjah enam. Disebabkan ruang kecik, tak dapat nak buat kelas-kelas macam sekolah biasa. Jadi, dinding antara kelas hanyalah papan putih ataupun rak buku. Tak boleh cakap apalah, suara kelas sebelah memang jelas didengari. Bayangkan macam mana nak concentrate!

Bayangkan korang tengah nak buat soalan Matematik tapi dengar jelas budak sebelah nyanyi Mary Has a Little Lamb. Imej dari cloehughesdesign.

Sekolah pulak takde kemudahan makmal Sains, komputer atau bengkel. Semuanya bergantung pada kreativiti. Guru-guru lain kat sini selalu keluarkan duit sendiri kalau sumbangan dana tak cukup. Memang superhero betul!

Sekolah-sekolah pelarian kebanyakannya berada di luar pemantauan Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyebabkan timbul masalah berkaitan sijil pengiktirafan tamat sekolah dan pengurusan peperiksaan. Jadi, nanti ada masalah lah kalau budak-budak ni nak ke sekolah lain atau pendidikan lagi tinggi macam kolej dan universiti.

Pelajar terlebih ramai, guru kena ajar dua kelas dalam satu masa yang sama

Tenaga pengajar memang tak cukup kat sekolah yang kami pergi ni. Punya lah tak cukup sampai seorang guru kena ajar DUA kelas pada masa yang sama!  Walaupun mudah nak bergerak sebab kelas yang berlainan masih dalam satu ruang yang sama, tapi masih lagi sebuah tugas yang mencabar untuk ajar dua subjek berlainan dan kena tinggalkan kelas dengan kerap.

Yang kat hujung tu mesti tak dengar dengan jelas. Gambar dari Malay Mail.

Maka terjadilah situasi yang mana kalau balik ke kelas tadika lepas ditinggalkan sekejap, ada yang dah bergolek-golek kat lantai dan ada jugak situasi air tertumpah. Masa ni lah, ada yang cuba jadi hero nak selamatkan keadaan dengan lap guna buku sendiri. Memang macam-macam fi’il.

Masa kami berkhidmat tu, ustaz sekolah ni yang satu-satunya guru bangsa Rohingya dapat kelulusan untuk dipindahkan ke New Zealand, melalui program UNHCR. Orang Rohingya kat Malaysia yang lain memang tengah tunggu proses penempatan semula ke negara ketiga. Para sukarelawan macam kami pulak ramai tak dapat ajar lama. Guru-guru tetap sikit. Tenaga pengajar yang asyik tukar-tukar ni membantutkan jugak proses pendidikan kanak-kanak pelarian.

Nasib baik takda sampai bakar-bakar macam ni. Sumber dari giphy.com

Satu lagi masalah berkaitan guru ni, ramai yang berkhidmat di sekolah-sekolah pelarian kat Malaysia ni bergaji kecil. Sebab yang bagi gaji kat mereka bukan kementerian ataupun bayaran yuran yang mahal (macam sekolah swasta berprestij), tapi dana dari UNHCR, sumbangan NGO-NGO, dan kerjasama guru-guru dan komuniti Rohingya sendiri.

Jadi sebenarnya sangat kurang insentif atau upah nak jadi guru di sekolah-sekolah macam ni.  Kami memang tabik spring kat mereka yang setia mengajar kanak-kanak pelarian, walaupun kena hadap banyak cabaran.

Keluarga pelajar ada yang jadikan kereta sebagai rumah dan dapur masak

Ramai kanak-kanak pelarian Rohingya datang dari keluarga yang miskin. Orang Rohingya secara rasminya tak dibenarkan kerja, tapi mereka masih dapat bekerja sendiri macam ambil upah untuk potong rumput, tukang sapu sampah atau kedai dan pasar. Jadi tak pelik lah kalau rata-rata hadapi masalah nak sara diri dan keluarga.

Kami pernah nampak satu rumah kecik tak jauh dari sekolah, didiami oleh satu keluarga Rohingya (atau mungkin lebih dari satu). Porch kereta kat depan tu dijadikan ruang tambahan rumah yang mana ada katil, dapur masak dan almari. Apa yang pasti, takda dinding lah sebab kat luar rumah. Menurut guru kat sekolah kami pergi tu, keadaan macam ni perkara biasa bagi keluarga para pelajar sekolah tu.

Tapi confirm bukan macam ni lah. Imej dari Economy Ekozone.

Masalah kemiskinan memang beri impak yang besar kepada kanak-kanak dan prestasi mereka kat sekolah. Masalah ponteng sekolah pun ada jugak dalam masyarakat Rohingya ni. Buktinya, budak-budak ada yang awal tahun je hadir, lepas tu tak muncul-muncul pun ada.

Ramai yang tak ke sekolah berpotensi direkrut jadi ekstremis agama

Ada satu benda yang akan orang perasan kalau masuk sekolah ni. Jumlah pelajar untuk kelas tadika dan darjah satu ramai, lebih 20 orang pelajar dalam setiap kelas , tapi darjah dua ke atas, jumlah pelajar semakin berkurang, dengan pelajar darjah lima dan enam kurang dari lima belas orang. Kiranya, pelajar makin berkurang bila umur meningkat.

Trend ini disahkan oleh UNHCR yang melaporkan hanya 16% kanak-kanak pelarian meneruskan pelajaran ke sekolah menengah berbanding dengan 44% yang bersekolah rendah. Jumlah sekolah pelarian yang menawarkan peringkat sekolah menengah pulak hanya 21 buah sekolah, dari 128 jumlah sekolah-sekolah pelarian di Malaysia. Dan ini adalah peratusan untuk kesemua sekolah pelarian di Malaysia, bukan Rohingya saja.

Peratus kanak-kanak pelarian si sekolah rendah. Sumber dari laporan UNHCR.

Peratusan ni menunjukkan bahawa ianya lebih kepada masalah peluang dan sosioekonomi yang menjadi penghalang utama kanak-kanak pelarian untuk maju dalam pelajaran. Ini semua takde kena mengena dengan faktor bangsa.

Lebih merisaukan apabila situasi ni berpotensi untuk melahirkan macam-macam masalah sosial disebabkan kadar tinggi budak-budak pelarian yang tak bersekolah. Takut nanti dieksploitasi oleh majikan atau direkrut gengster untuk terlibat dalam jenayah. Haa, jangan tak tau, pernah jadi pergaduhan yang terdiri dari geng Rohingya dan geng tempatan.

Ada juga kebimbangan mengenai remaja-remaja Rohingya berpotensi untuk direkrut jadi pengganas atau ekstrimis agama. Tapi ini dinafikan oleh Datuk Seri Shahidan Kasim apabila ditanya mengenai hal ni di Dewan Rakyat pada Oktober 2017. Kiranya kebimbangan tu tak ada asaslah, macam yang diakui oleh para pengkaji sosial jugak.

Masalah ini bukan hanya berlaku di sebuah sekolah, tapi hampir semua sekolah pelarian

Kami hanya berpeluang untuk mengajar di sebuah sekolah saja, itu pun hanya untuk sebulan. Jadi, tak semua pengalaman ni menunjukkan realiti sebenar anak-anak di sekolah pelarian. Tapi, laporan UNHCR dan kajian-kajian pengkaji sosial bagitahu yang rata-rata kanak-kanak pelarian hadapi situasi yang sama macam yang kami cerita.

Peratus yang meneruskan persekolahan berkurang. Sumber dari laporan UNHCR

Dan, bukan pelajar kami saja yang komplen pasal diskriminasi. Pelarian Rohingya yang lain jugak turut sama pernah di diskriminasi kerana warna kulit yang berbeza. Selain tu, bukan je pelajar sekolah yang kami ajar ni je nak tinggal kat Malaysia secara tetap, ada jugak kanak-kanak Rohingya di sekolah lain ada perasaan yang sama.

“Saya ada sijil lahir tapi sijil tu cakap saya orang Myanmar. Tapi saya rasa saya orang Malaysia, saya lahir di sini.”- Hamidah, petikan dari Malaysiakini.

Mengenai infrastruktur pulak, sekolah-sekolah pelarian di Malaysia ni memang kurang dari segi ni; sekolah kebanyakannya dibuat di flat-flat atau rumah-rumah. Memang UNHCR ada bagi dana, tapi selalu tak cukup, dengan nak sediakan gaji guru lagi dan beli kelengkapan sekolah semua.

Satu lagi cabaran untuk sekolah pelarian ialah kurangnya latihan perguruan kepada guru-guru yang berkhidmat. Kanak-kanak Rohingya serta pelarian-pelarian lain pulak bukan macam kanak-kanak biasa, ramai antara mereka lari dari keadaan yang traumatik, contohnya tempat konflik dan kemiskinan tegar serta perjalanan yang mencabar dari tempat asal ke negara kita.

Pelarian Rohingya datang ke Malaysia ramai yang naik bot dari Bangladesh kemudian mendarat di Thailand, sebelum menyeberangi sempadan ke Malaysia. Gambar dari CNN.com

Jadi boleh bayangkan lah betapa banyaknya rintangan bagi seorang kanak-kanak pelarian untuk berjaya dalam pelajaran.

Memandangkan Malaysia hanyalah negara transit untuk pelarian, dan tak semua berpeluang untuk dapat penempatan semula dengan cepat. Sampaikan ada warga Rohingya yang dah menetap di Malaysia hampir 20 tahun. Jadi, jika konflik di Arakan tak selesai-selesai dan dalam masa yang sama proses penempatan ke negara ketiga pulak memakan masa. Keadaan ni berpotensi melahirkan satu generasi pelarian yang dinafikan hak pendidikan secukupnya.

Dari segi polisi, Malaysia tak iktiraf status pelarian etnik Rohingya

Hampir semua rintangan ni berpunca dari satu isu iaitu status pelarian di Malaysia walaupun tak dinafikan yang konflik di Arakan lah yang menjadikan mereka pelarian dari mula lagi. Mereka yang berdaftar dengan UNHCR mempunyai kad yang memperakui bahawa mereka adalah pelarian bukannya Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Mereka mempunyai hak-hak istimewa di mata undang-undang antarabangsa, tapi,

“Dari segi polisi, Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian termasuklah bagi etnik Rohingya memandangkan Malaysia bukanlah negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1991 dan Protokol 1997.”- Datuk Seri Shahidan Kassim, petikan dari Parlimen.gov.

Jadi, Malaysia terlepas dari tuntutan-tuntutan untuk pastikan hak-hak pelarian seperti hak pendidikan, kesihatan dan akses diindungi untuk bekerja. Alasan Malaysia adalah kerana negara kita masih tak mampu untuk menyediakan hak-hak macam ni kepada lebih 100,000 pelarian di Malaysia ini.

Walaupun tak iktiraf pelarian, pemimpin Malaysia sanggup buat himpunan untuk Rohingya. Imej dari Kosmo.

Tak dinafikan yang keadaan pelarian Rohingya di Malaysia adalah lebih baik dari negara-negara lain macam Bangladesh dan Thailand. Benda ni diakui oleh orang Rohingya sendiri dan ramai orang Rohingya yang kami temui di KL bersyukur dengan keadaan mereka di Malaysia yang lebih aman (kecuali yang masih ditahan di pusat tahanan imigresen).

Ditambah pula dengan sikap Malaysia antara negara-negara yang sentiasa peka dengan konflik masyarakat Rohingya. Cumanya, mungkinkah keadaan mereka disini boleh diperbaiki lagi, terutamanya dalam hal-hal berkaitan kebajikan kanak-kanak macam pendidikan dan kesihatan?

Kalaupun kita tak menyebelahi Konvensyen PBB pasal hak pelarian, mungkinkah kita boleh ambik langkah macam Indonesia yang juga tak menyebelahi konvensyen tu? Sebabnya ada perintah dari presiden mereka yang mahu wujudkan satu undang-undang untuk memelihara kebajikan para pelarian. Selain mengharapkan pemimpin, apa agaknya langkah-langkah yang boleh kita sendiri buat untuk ringankan beban sekolah-sekolah pelarian di Malaysia ni?

Kalau tak dapat jadi sukarelawan, ada cara lain lagi boleh dibuat

Cara paling mudah sekali ialah jadi sukarelawan di sekolah-sekolah pelarian. Ada banyak badan-badan NGO yang kendalikan sekolah-sekolah ni, antaranya ialah Fugee School, Malaysian Relief Agency, Dignity For Children, Buddhist Tzu Chi Foundation, Muslim Aid Malaysia dan banyak lagi.

Kalau korang pelajar universiti, bolehlah melobi universiti korang untuk buat program yang memberi peluang kepada pelajar pelarian yang layak untuk hadiri kursus di universiti korang macam yang dibuat oleh University of Nottingham Malaysia Campus dan Brickfields College.

Dua remaja Syria yang diberi biasiswa dari sebuah kolej di England untuk pendidikan pra-universiti. Dua-dua dapat keputusan cemerlang dalam A Level. Gambar dari Independent.

Cara lain bila korang masih rasa helpless dan nak buat sesuatu mengenai isu pelarian di Malaysia, bolehlah hubungi wakil rakyat masing-masing untuk mintak dia bincangkan lagi benda ni di Dewan Rakyat. Yang pastinya, harapan masih ada untuk kanak-kanak pelarian selagi ada yang sudi membantu mereka macam para guru, aktivis-aktivis dari NGO dan pekerja-pekerja sosial di UNHCR.