Sukan & Hiburan

Selain Contagion, ini 4 lagi filem penularan wabak yang korang boleh layan

Semua orang masih lagi duduk di rumah demi menyahut seruan kerajaan untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekarang ini telah pun masuk fasa kedua PKP dengan beberapa syarat baru diperketatkan termasuk stesyen minyak hanya beroperasi sampai malam dan satu kereta hanya boleh seorang di dalamnya.

Sekali sekala memang perasaan bosan tu timbul, tapi mengenang bantuan yang kerajaan bagi, semua kembali bersemangat untuk teruskan hidup pada masa akan datang. Buat masa sekarang, layan filem tu dah macam aktiviti wajib untuk semua.

Untuk menambahkan lagi keseronokan berada di rumah. Apa kata kita layan filem-filem berkaitan penyebaran virus atau wabak yang pernah ada. Kami elakkan senarai filem berkaitan zombie. Bila korang tengok, pasti akan perasan ada benda yang lebih kurang sama macam yang berlaku sekarang. Dalam masa sama, boleh mengenang sikit tugas-tugas frontliner yang kita tak nampak depan mata. Kita mulakan dengan…

1. Andromeda Strain (1971) – Satu pekan semua mati, kecuali seorang kaki botol dan bayi umur 6 tahun

Penulis Jurassic Park rupanya. Imej dari Kobo

“Memandangkan COVID-19 CORONA VIRUS. Saya ingin menonton filem ini lagi. Mungkin mempunyai beberapa idea atau sedikit maklumat untuk saya.” – Milton Jang, petikan dari Audience Reviews

Pada asalnya, Andromeda Strain adalah sebuah novel yang diterbitkan pada tahun 1969 bergenre ‘techno-thriller’. Ia adalah tulisan Michael Crichton yang tersenarai waktu tu sebagai New York Times Best Seller.

Di dalam filem tahun 1971 ini, ia semestinyalah menceritakan mengenai pennyebaran wabak. Tapi ia bermula apabila sebuah satelit tentera yang sepatutnya mendarat di Bumi terputus hubungan dengan pusat kawalan. Namun, ia dikesan mendarat di New Mexico. Namun, apa yang mengejutkan berlaku apabila semua penduduk meninggal dunia di pekan Piedmont, New Mexico tempat berdekatan satelit itu mendarat.

” Ketua Projek Scoop Tentera Udara AS mengisytiharkan darurat. Banyak tahun sebelum kejadian ini, sekumpulan saintis terkemuka yang diketuai oleh Dr. Jeremy Stone (Arthur Hill) menganjurkan untuk pembinaan kemudahan makmal yang selamat yang akan menjadi pangkalan jika kejadian kehidupan biologi alien dikembalikan ke Bumi dari misi angkasa.

Stone dan pasukannya – Drs. – Dutton, Leavitt dan Hall  – pergi ke fasiliti makmal yang dikenali sebagai Wildfire, dan cuba untuk mengasingkan semula dua orang yang terselamat dari Piedmont (seorang tua kaki botol dan bayi berusia enam bulanan).” – Petikan dari IMDB

Bayi yang terselamat dari wabak tu. Imej dari Cinemastevekrueger

Bayangkan, dua orang je yang terselamat. Seorang orang tua dan seorang lagi bayi. Kenapa? Inilah yang korang kena sambung. Dari filem ni korang boleh tonton para saintis cuba mengkaji kehidupan alien yang tidak kita ketahui bahawa ia telah bermutasi dan mengancam bahaya yang jauh lebih besar di makmal. Dalam masa sama makmal itu dilengkapi dengan peranti penghancur nuklear sendiri jika virus dapat melepaskan diri dari makmal itu.

2. Outbreak (1995) – Dari seekor monyet, US diserang penularan wabak

Lain sikit pakaian frontliner. Imej dari Business Insider

“Filem ini dicipta untuk mengajar kita tentang bagaimana untuk berhati-hati apabila anda berurusan dengan haiwan, lebih-lebih lagi apabila pertama kali berdepan dengannya.” – Gaolatlhe Sally, petikan dari Critic Review

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Macam filem sebelum ini, filem kali ni juga diadaptasikan dari sebuah buku tapi buku bukan fiksyen bertajuk The Hot Zone. Buku yang diterbitkan pada tahun 1994 ini mencatatkan mengenai asal-usul dan insiden yang melibatkan virus demam berdarah, terutamanya ebolavirus dan marburgviruses.

Filem ini, yang ditayangkan pada 10 Mac 1995. Apa yang menakjubkan, wabak sebenar virus Ebola berlaku di Zaire ketika filem ini disiarkan. Di dalam filem ini, ia dimulakan dengan cerita kepimpinan tertinggi tentera US pada tahun 1967 cuba menutup kejadian penularan wabak dari haiwan di kem tentera di hutan Afrika. Kem itu telah dibakar.

“Walau bagaimanapun, monyet dari bahagian Afrika ditangkap dan dibawa ke A.S. dan seorang lelaki yang bekerja di rumah kastam membawanya dan cuba menjualnya tetapi pelanggan ramai menolaknya, lalu dia membebaskannya (monyet itu). Kemudian lelaki yang tiba di Boston jatuh dan mati…

Kolonel Daniels ingin menyiasat tetapi General Ford menafikan permintaannya lalu dia meminta bantuan bekas isterinya, yang bekerja di Pusat Penyakit Penyakit (CDC) untuk menyiasat dan mereka mendapati ia adalah penyakit dari Afrika.” – Petikan dari IMDB

Aku ke punca? Imej dari Biaqpila

Maka, penularan wabak berlaku dengan cepat. Dan kenapa monyet boleh jadi punca wabak? Semua ini diceritakan dengan baik dalam filem ini.

3. Blindness (2008) – Penularan wabak yang menjadikan mangsa itu buta

Bawa bertendang sayangku. Imej dari NY Times

Macam biasa, filem ini juga diadaptasikan dari sebuah novel, tapi bukan dari Amerika tetapi Portugal. Penulis novel ini, Jose Saramogo pada mulanya tak nak jual hak penerbitannya untuk adaptasi filem, tapi diterima juga dengan syarat, nama bandar tak dinamakan.

Filem ini dimulakan dengan detik-detik cemas apabila seorang pemuda ahli profesional Jepun muda tiba-tiba menjadi buta di dalam keretanya, penglihatannya berubah menjadi putih. Seorang orang asing menawarkan untuk memandu dia ke rumah, tapi dicurinya kereta orang itu. Isterinya pulang ke rumah dan membawanya ke pakar mata yang boleh mengenal pasti apa yang berlaku.

Keesokan harinya, doktor yang rawat dia pula menjadi buta, dan dari situ rupanya ia dikesan sebagai penyakit berjangkit. Seluruh bandar mula menjadi panik apabila semakin ramai orang menjadi buta. Kerajaan umumkan kuarantin dan orang yang mengalami buta diletakkan di rumah khas. Cerita ni akan dibawa oleh watak seorang yang menyamar kononnya buta.

Jerih payah mereka yang buta. Imej dari Moviedb

“Seorang wanita yang penglihatannya tidak terjejas oleh wabak itu mengikut suaminya yang menderita untuk kuarantin. Di sana, dia menjaga rahsia penglihatannya, dia membawa pulang tujuh orang yang tidak dikenali, pada dasarnya, sebuah keluarga. Dia membawa mereka keluar dari kuarantin dan ke jalan-jalan yang rosak di bandar ini, dan menyaksikan semua sisa peradaban runtuh. – Petikan dari IMDB

Apa yang berlaku seterusnya. Kenalah tengok filem ni.

4. Carriers (2009) – Empat orang yang terselamat diuji sesama mereka

Lain macam yang terkena wabak ni. Imej dari The Guardian

“Sebuah drama-seram berkaitan pengakhiran dunia…” – Simon Crook, petikan dari Empire Online

Filem kali ni tidak diadaptasikan dari mana-mana buku atau novel. Ia ditulis dan diarahkan oleh Alex dan David Pastor. Kalau semua filem, cerita pasal saintis dan macam mana cara nak selesaikan masalah penularan wabak, filem ini mengisahkan mengenai empat orang yang terselamat dari pandemik virus yang menyerang dunia.

Latar belakang filem ni dah pun membawa penonton kepada suasana yang virus tu dah tersebar kat seluruh dunia serta membunuh populasi dunia. Jadi, dua adik- beradik Brian dan Danny, bersama Bobby (kekasih Brian) dan Kate (kawan sekolah Danny) menuju ke  Turtle Beach di barat daya Amerika Syarikat, sebuah motel pantai yang terpencil di mana mereka percaya mereka jadi tempat mereka menyorok hingga virus pandemik itu berkahir dan memulakan kehidupan baru.

Pusat kuarantin dia lain macam. Imej dari IMDb

“Apabila kereta mereka rosak di jalan di kawasan berpasir, mereka berunding dengan seorang lelaki bernama Frank, yang juga terkandas kerana kehabisan minyak. Dia (Frank) cuba untuk mendapatkan anak perempuannya Jodie di hospital (dia dijangkiti penyakit tertentu), mereka semua memutuskan untuk bergerak bersama. Semasa perjalanan, dilema moral yang besar timbul … ” – Petikan dari IMDB

Waktu tengok filem ni, korang boleh kenal pasti korang watak yang mana. Sama ada yang pentingkan diri atau tak.

Mungkin ramai dah tengok Contagion (2011), banyak istilah yang kita guna hari ni ada dalam filem tu

Orang beratur nak ambik makanan dalam filem Contagion. Imej dariDen of Geek

Dari empat filem yang kami sebut di atas, ada satu filem yang memang seluruh dunia kaitkan dengan apa yang berlaku sekarang – iaitu Contagion (2011) yang dibintangi Matt Damon, Kate Winslet dan Jude Law. Filem ini menyentuh semua aspek kerana ada watak saintis badan antarabangsa, WHO, frontliner, mangsa dan mereka yang terselamat.

Istialah penjarakan sosial, kuarantin diri dan tindakan-tindakan yang dilakukan kerajaan seluruh dunia turut dipaparkan dalam filem ini. Sebab kini merasai pengalaman sebenar. Korang mesti teruja bila layan filem ni. Rasanya, lepas ni korang dah boleh mula tengok semua filem yang kami senaraikan ni.

Belajar ilmu baru dan terus #dudukrumah hinggalah PKP ini tamat. Moga kita semua berjaya kalahkan COVID-19 bersama-sama.

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend