Terjejas kerana COVID-19: Ini senarai bantuan Zakat yang korang boleh cuba mohon

Nampaknya kerajaan dah buat keputusan untuk melanjutkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April hadapan. Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kata, pelanjutan tempoh tu dibuat lebih awal supaya rakyat lebih bersedia. Ini bermakna, rakyat Malaysia akan melalui PKP selama lebih kurang sebulan.

Sepanjang tempoh PKP ni, tak dapat nafikan ramai di kalangan kita yang terjejas kerana hilang punca pendapatan atau tidak dapat bekerja. Antara yang paling terjejas sudah semestinya mereka yang makan gaji hari, dipotong gaji oleh majikan, peniaga-peniaga kecil, penjaja dan sebagainya. Tapi nampaknya, kerajaan dah ambil langkah perlu apabila mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 untuk membantu setiap rakyat yang terjejas.

Antara yang diumumkan. Imej dari PMO.

Walaupun begitu, kita juga kena tahu yang Majlis Agama Islam Negeri dan pusat-pusat zakat negeri pun turut sama tampil membantu pihak-pihak yang terjejas ni. Dan disebabkan urusan zakat ni tertakluk di bawah bidang kuasa negeri, maka ada kemungkinan bantuan yang diberikan tu datang dalam bentuk berbeza. Jadi, mungkin kita boleh mula dulu dengan negeri pertama…

1. Selangor – Tawarkan bantuan khas untuk keluarga B-40

Lembaga Zakat Selangor (LZS) antara yang terawal umumkan bantuan. Imej dari FMT.

Nampaknya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dah mengumumkan Bantuan Khas Covid-19 khusus kepada keluarga B-40. Lebih terperinci lagi, bantuan ni adalah untuk penjaja, peniaga kecil, pekerja dan individu dalam kumpulan berkenaan. Ini dia antara syarat-syarat permohonan:

  • Beragama Islam
  • Warganegara atau pemastautin tetap (PR) dan bermastautin di negeri Selangor tidak kurang daripada 3 tahun.
  • Pemohon adalah dalam Kategori B40 iaitu pendapatan isi rumah di bawah RM 4,360 sebulan.
  • Pemohon merupakan individu yang terjejas ataupun hilang punca pendapatan ketika wabak Covid-19 ini.
  • Bantuan ini adalah merujuk kepada Keluarga atau individu.

MAKLUMAT TAMBAHAN:  LZS dah sediakan platform untuk mohon bantuan ni dan ia hanya melalui Portal Bantuan Khas Covid-19. Bantuan ini pula berbentuk sumbangan one-off dari RM200 ke RM400 sahaja untuk setiap keluarga.

2. Johor – Sediakan pebagai bantuan dari keperluan makanan, sampailah kepada pelajar tahfiz

Antara bantuan yang disediakan. Imej dari MAIJ.

Bagi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) pula, pelbagai bantuan dah disediakan untuk mereka yang terkesan akibat pelaksanaan PKP. Lebih menarik, bantuan tu datang dalam pelbagai bentuk seperti:

  1. Bantuan barang keperluan
  2. RM100 bantuan tunai tambahan (kepada penerima bantuan sara hidup)
  3. RM1,000 kepada individu yang disahkan penghidap Covid-19 dan keluarga pesakit yang meninggal dunia
  4. RM100 kepada yang hilang punca pendapatan
  5. RM100 kepada penerima bantuan bulanan daripada MAIJ
  6. RM200 kepada pelajar Johor di Mesir dan RM300 kepada pelajar Johor di Jordan
  7. RM500 kepada peniaga-peniaga kecil asnaf MAIJ
  8. RM100 kepada pelajar tahfiz dan madrasah
  9. RM100 kepada yang golongan OKU

Berdasarkan maklumat dari MAIJ, kesemua permohonan ini hendaklah melalui Ketua Kampung atau Penghulu kawasan masing-masing. Ia juga diselaraskan oleh Urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah. Antara maklumat wajib yang perlu diberikan masa memohon adalah salinan kad pengenalan ketua keluarga/individu terlibat dan alamat terkini.

Untuk maklumat lebih lanjut, korang boleh hubungi talian: 07-2243918 atau layari laman web MAIJ.

3. Pulau Pinang – Sediakan bantuan RM500 kepada peniaga kecil yang terjejas

Peniaga pasar malam pun layak terima bantuan. Imej dari Malajah Niaga.

Agak sama seperti apa yang ditawarkan oleh LZS, Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga menyediakan skim bantuan khas RM500 kepada pihak yang memerlukan. Kumpulan sasar yang diberikan perhatian adalah:

  1. Peniaga dan penjaja gerai makanan dan minuman di pasar malam, pasar tani, di tepi jalan dan blok perumahan.
  2. Peniaga pakaian (bukan butik) dan barang-barang keperluan dapur/rumah di pasar malam, pasar tani, di tepi jalan dan blok perumahan.
  3. Tukang gunting rambut kecilan.

MAKLUMAT TAMBAHAN: Peniaga di pasar basah/pasar pagi DIKECUALIKAN dari skim bantuan ini.

Untuk maklumat lanjut dan borang permohonan, korang boleh klik sini.

4. Pahang – Beri bantuan khas kepada keluarga pesakit Covid-19

Pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chohong, Melaka. Imej dari Harian Metro.

Melalui kenyataan dari Portal Diraja Pahang, pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dah memperuntukkan sumbangan bantuan bagi menangani wabak Covid-19, khususnya kepada golongan fakir dan miskin. Antara bantuan yang diperuntukkan adalah:

  • Bantuan berjumlah RM250,000 kepada kerajaan negeri bagi membantu pihak-pihak tertentu yang memerlukan bantuan untuk mendepani isu wabak ini.
  • Tambahan sebanyak RM200 kepada 3,030 orang penerima bantuan zakat (akan terus dimasukkan ke dalam akaun).
  • Tambahan sebanyak RM200 kepada 9,664 orang penerima bantuan tahunan zakat (akan terus dimasukkan ke dalam akaun).
  • Sumbangan 20 set alat bantuan pernafasan (mesin tabung oksigen) kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan Hospital Kuala Lipis.
  • Bantuan Khas kepada keluarga pesakit COVID-19 berjumlah RM1,000 di Negeri Pahang.
  • Sumbangan peralatan screening kepada ketiga-tiga hospital yang dinyatakan tadi.

Untuk maklumat lanjut berkenaan bantuan-bantuan ni, boleh hubungi 09 4221311 atau layari laman MUIP.

5. Perlis – Perkenalkan Bantuan Khas Rangsangan Asnaf

Ni senarai asnaf di bawah kategori fisabilillah. Imej dari Zakat Selangor.

Dalam berdepan dengan ancaman Covid-19 ni, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM2,618,200 kepada 13,091 keluarga asnaf yang terjejas dengan PKP. Melalui bantuan ini, setiap asnaf yang terdiri dari kalangan penerima Bantuan Sara Hidup Bulanan dan Bantuan Sara Hidup Berkala (dalam senarai terkini) akan menerima Bantuan Khas Rangsangan Asnaf sebanyak RM200 terus ke akaun bank masing-masing.

Selain tu, MAIPs juga akan buka kuanter di pos pengawal Bangunan MAIPs untuk mengagih dan menerima borang permohonan zakat daripada warga asnaf yang memerlukan. Malah, bantuan lain juga disediakan seperti bantuan pelajaran (borang-PDF) dan sewaan premis MAIPs (borang-PDF).

Semakan syarat dan kelayakan untuk menerima bantuan-bantuan ni boleh dilihat di laman rasmi MAIPs.

6. Sabah – Perkenal pelbagai jenis bantuan ketika ancaman Covid-19

Antara yang dimumkan. Imej dari appszakat.sabah.

Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut memperkenalkan Bantuan Khas Covid-19 di Bahagian Zakat dan Fitrahnya. Berikut adalah antara jenis bantuan khas yang diperkenalkan:

  1. Bantuan tambahahan RM150 (one-off) kepada penerima bantuan bulanan
  2. Bantuan tambahan RM100 (one-off) kepada fakir miskin muallaf
  3. Bantuan khas kepada tabung UMS (RM75,000) dan UITM Sabah (25,000).
  4. Bantuan khas kepada IPTA dan IPTS lain berjumlah antara RM1,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jumlah pelajar yang terjejas.
  5. Bantuan khas RM500 (one-off) kepada masjid dan surau
  6. Bantuan khas RM1,500 (one-off) kepada waris pesakit Covid-19
  7. Bantuan khas RM500 (one-off) kepada petugas hadapan
  8. Bantuan khas RM500 (one-off) kepada petugas petugas mesra ibadah

Untuk maklumat lanjut bantuan-bantuan ni, korang boleh layari laman web MUIS, atau hubungi 016-354 6022 (operasi), 014-868 4857 (agihan) dan 019-589 8748 (pungutan).

Walaupun begitu, masyarakat diingatkan supaya tak ambil kesempatan

Tak lama lagi, jangan lupa bayar zakat fitrah. Imej dari LZS.

Sejurus selepas pengumuman bantuan-bantuan ni dibuat, ia boleh dikatakan dapat banyak sambutan juga daripada masyarakat. LZS melaporkan, pihaknya menerima lebih 8 ribu panggilan berhubung dengan bantuan khas ini. Manakala, ZPP menerima kira-kira 2,000 permohonan beberapa hari selepas pengumuman bantuan-bantuan berkenaan.

Tapi dalam masa sama, masyarakat dinasihatkan supaya bersikap jujur apabila memohon bantuan zakat. Ini kerana, LZS mendapati masih ada orang yang cuba mengambil kesempatan dengan bantuan yang diumumkan.

“LZS turut berkongsi pengalaman salah seorang panel penilai BKC19 yang terpaksa berdepan kesulitan selepas begitu banyak permohonan diterima walaupun ada di antaranya tidak layak.” – Dipetik dari Sinar Harian.

Mungkin korang perasan ada negeri yang tak tersenarai dalam artikel ni. Sebenarnya, kitorang tak dapat maklumat lengkap tentang bantuan apa yang Majlis Agama Islam/Pusat Zakat negeri-negeri berkenaan sediakan. Mungkin lebih baik kalau korang hubungi Majlis Agama Islam/Pusat Zakat negeri masing-masing untuk maklumat lanjut.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.