Kisah burung Hud Hud pergi ke negeri Saba’ bukan untuk bersiar-siar?

Perkataan burung sangat dekat di hati orang kita. Hingga ada pepatah yang banyak mengenai burung. Untuk kita yang beragama Islam, cerita mengenai burung turut diselitkan di dalam Al-Quran untuk direnung dan dijadikan pengajaran.

Apa yang menimbulkan persoalan baru-baru ni adalah apabila Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mengaitkan kesalahan kuarantin yang dilanggar Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali umpama burung Hud-Hud yang melanggar arahan Nabi Sulaiman.

Kenyataan ini telah menerima banyak respon dari tokoh agama lain. Termasuklah …

Sebelum kita pergi jauh. Apa kata kita lihat kembali apa yang berlaku di sebalik kisah burung Hud-Hud dan Nabi Sulaiman.

Tiada siapa di dunia ini akan mempunyai kerajaan seluas dan sehebat Nabi Sulaiman

Sekadar lukisan. Imej dari The Moon Doggies

Nabi Sulaiman merupakan nabi dari Bani Israil yang dianugerahkan mukjizat kenabian serta kerajaan di dunia yang begitu luas . Ia diwarisi dari ayahnya, Nabi Daud AS. Antara limpahan kenabiannya termasuklah kebijaksanaan dan ilmu sejak muda dan berkebolehan bertutur bahasa pertuturan burung dan haiwan serta kekuatan mencairkan tembaga untuk membentuk apa sahaja yang diinginkan.

Keluasan kerajaannya terbukti seperti yang disebut dalam Al-Quran dengan angkatan tentera bukan sahaja manusia, tapi turut terdiri daripada kalangan jin dan haiwan. Selain itu, jin dan syaitan tunduk kepada Nabi Sulaiman dengan melaksanakan sesuatu yang tak mampu dilakukan manusia seperti membina tembok-tembok besar, istana-istana yang tinggi, pemandangan dan perhiasan yang indah.

Angin turut tunduk mengikut perintahnya dengan bertiup dalam masa singkat ke mana sahaja yang dikehendaki. Inilah kelebihan baginda hingga dijanjikan bahawa tiada siapa selepas kewafatan baginda yang akan memiliki kerajaan seluas dan sehebat ini.

Situasi apabila burung berkumpul. Imej dari National Geographic

Maka, pada suatu hari Nabi Sulaiman mengumpulkan seluruh pengikutnya dari semua jenis makhluk termasuk manusia, jin dan haiwan. Dalam perjumpaan itu nampaknya burung Hud Hud seperti tidak hadir. Ini membuatkan Nabi Sulaiman merasa murka dan bertekad akan menyembelih mereka sebagai satu hukuman.

“Tidak lama kemudian, Hud Hud datang menghadap baginda raja dengan penuh pengaduan, menjelaskan sebab-musabab keterlewatannya menghadiri majlis perhimpunan yang diwajibkan oleh baginda AS.” – Petikan dari jurnal Al-Hikmah UKM

Burung Hud Hud terserempak dengan seorang ratu kerajaan Saba’

Imej dari Tinta Buatmu

“Maka tidak lama kemudian (datanglah Hud Hud), lalu dia berkata: Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya; dan aku bawa kepadamu dari negeri Saba suatu berita penting yang diyakini.” – Surah An-Naml ayat 22

Berdasarkan ayat surah ini memang terbukti yang burung Hud Hud tetap hadir dan ingin membawa sesuatu berita penting buat Nabi Sulaiman. Dalam perjalanan Hud Hud untuk menghadiri perjumpaan dengan baginda, dia terserempak dengan seorang ratu kerajaan Saba’ yang memiliki singgahsana yang besar.

“Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar.

Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah; dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk.” – Surah An-Naml ayat 23 dan 24

Daripada berita itu, maka Nabi Sulaiman mengarahkan burung Hud Hud untuk melakukan penyiasatan dan membawa surat perutusan dari baginda.

“Setelah menerima utusan tersebut, rombongan ratu Balqis datang menemui Nabi Sulaiman (a.s.) dan seterusnya ratu Balqis mentauhidkan Allah, Tuhan pencipta matahari.” – Petikan dari jurnal UM

Burung Hud Hud bukan ke negeri Saba’ untuk bersiar-siar atau makan angin

Ada ilmuwan yang berpendapat bahawa burung Hud Hud itu burung belatuk. Imej Okezone Muslim

Ramai ilmuwan dah pun membincangkan mengenai tafsiran dan pengajaran dari kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud Hud ni. Ada yang membincangkan mengenai kepimpinan Nabi Sulaiman dan peranan burung Hud Hud. Namun, dalam penulisan ni kami nak kongsikan pendapat sebuah kajian mengenai peranan yang boleh dipelajari dari burung ini.

Di sebalik kisah burung Hud Hud lambat hadir ke perjumpaan dengan Nabi Sulaiman, sebenarnya burung ini mempunyai kelebihan untuk mengetahui adanya air tersimpan di dalam bumi walaupun kelihatan di luarnya kering. Menurut pakar tafsir, burung Hud Hud ini sangat diperlukan Nabi Sulaiman dalam apa-apa perjalanan untuk memberi petunjuk di mana adanya air.

Kandungan kesuluruhan komunikasi burung Hud Hud kepada Nabi Sulaiman adalah kompleks. Sekalipun dikaitkan dengan pelanggaran ketaatan burung itu dengan perintah pemimpinnya namun, apa yang benar, burung itu pergi ke negeri Saba’ bukan untuk bersiar-siar, makan angin atau pun melanggar prinsip-prinsip umum. Sebaliknya, burung Hud Hud tetap terbang dan kembali ke perbarisan nabi Sulaiman.

“Kelewatan Hud Hud adalah kerana ingin mendapatkan maklumat berkaitan keadaan politik di negeri Saba’. Misi yang dibawanya juga adalah misi yang besar, iaitu misi mentauhidkan umat manusia, bukannya misi-misi berbentuk sekunder seperti masalah khilafiyyah, permusuhan peribadi dan tuduh-menuduh, tetapi misi menyelamatkan manusia dari menjadi ‘parasit’ kekufuran.” – Petikan dari jurnal Al-Hikmah UKM

Tindakan Hud Hud melanggar arahan pemimpin juga tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bersikap patuh kepada pemimpin atau watak mengutamakan pendapat sendiri berbanding keputusan pimpinan.

Terdapat 20 ayat al-Quran yang mengandungi istilah burung secara tersurat

Selain kisah burung Hud Hud, banyak lagi isitilah burung diselitkan dalam Al-Quran. Untuk pengetahuan semua, walaupun tiada nama surah dalam Al-Quran yang menggunakan isitlah burung, namun terdapat 20 ayat Al-Quran yang mengandungi istilah tersebut. Beberapa ayat sebenarnya berkaitan kelakuan burung, manakala selebihnya menggalakkan manusia untuk berfikir hikmah di sebalik ciptaannya.

Saah satu contoh ayat Quran yang mengandungi istilah burung. Senarai penuh boleh klik pada gambar

Dalam satu kajian telah dilakukan satu perbandingan mengenai kelakuan burung berteraskan Al-Quran dan Neurosains. Terbukti bahawa burung ini mempunyai sistem saraf yang boleh menerima maklumat tentang persekitaran dalaman dan luaran, menghantar impuls, menganalisis serta bertindak balas terhadap rangsangan maklumat tersebut sebagaimana yang diperlukan. Contohnya seperti yang ditunjukkan dalam kisah Hud-Hud yang disebut di atas.

“… burung Hud Hud telah berjaya memahami dan menganalisi situasi yang dilihatnya mengenai Kerajaan Saba’ di bawah pemerintahan ratu Balqis, …” – Petikan dari jurnal UM

Oleh itu, menyamakan kecerdikan burung dan manusia dalam sesuatu isu perlulah dilihat dari banyak sudut. Ini kerana burung mempunyai cara-cara sistem saraf berfungsi yang berlainan.

 

 

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT