- 1.1KShare sekarang!
- Email32
- Facebook1.1K
- Share
[Click here to read the article in English.]
Pada 19 Julai 2015, website Sarawak Report yang beroperasi dari UK telah kena block oleh kerajaan Malaysia atas alasan ianya ‘boleh merosakkan kestabilan dan ekonomi negara‘ kita. (Kalau korang nak tau macam mana nak buka website yang kena block, klik kat sini.)
Tapi satu benda pasal Sarawak Report ni la kan, oleh kerana jenis berita yang disiarkan, mereka biasanya akan lindungi identiti pemberi maklumat. So susah nak tau samada berita mereka sah ataupun sembang je lebih… tapi kini tidak lagi dengan DOJ! (Macam iklan Smart Shop la pulak.) Oleh kerana DOJ iaitu badan kehakiman Amerika telah menyiarkan hasil siasatan mereka kepada umum, bolehlah kita bandingkannya dengan laporan Sarawak Report yang berkaitan.
Oleh itu, kami pun pilih empat pendedahan Sarawak Report yang paling famous dan bandingkannya dengan laporan DoJ.
1. “USD700 JUTA TELAH DICURI DARIPADA 1MDB!!!”
Salah satu laporan pertama SR yang membuatkan mereka jadi target kerajaan sampailah kena block adalah mengenai USD 700 juta yang telah diambil daripada 1MDB dan diberi kepada Good Star Limited, iaitu sebuah syarikat tempatan yang takde kaitan langsung dengan urusan antara 1MDB-PetroSaudi. Maknanya duit tersebut telah disalurkan secara tak sah (digelapkan).
PetroSaudi menafikan pertukaran wang tersebut dan mengatakan yang ianya sampai kepada pihak yang sepatutnya. So mengikut siasatan DOJ, betul ke dakwaan SR?
APA KATA DOJ?
“…$700 juta daripada dana 1MDB telah dipindahkan ke akaun Good Star” – laporan DOJ, m/s 20.
Perbezaan antara laporan DoJ dengan Sarawak Report adalah, laporan Sarawak Report dipenuhi dengan email peribadi antara pihak berkaitan manakala DoJ pula langsung takde sebut apa-apa pasal email. Pelik jugalah mana Sarawak Report dapat email-email ni, tapi selain tu laporan SR dan siasatan DoJ adalah sama.
Tapi… tunggu jap. Kami gunakan CopyScape untuk mengenalpasti kalau Sarawak Report ada edit artikel mereka. Perbandingan dibuat antara versi lama yang disimpan oleh Wayback Machine dengan versi sekarang… dan nampaknya memang ada edit! Bahagian kat bawah ni…
Telah ditukarkan menjadi…
Daripada berjanggut, terus cukur habis. Tu je la bezanya.
So… laporan tentang duit berjumlah USD 700 juta tu memang sama dengan hasil siasatan DoJ, tapi yang lebih penting lagi, ke mana duit tu pergi?
2. “SYARIKAT JHO LOW BERKAIT DENGAN KEHILANGAN USD700 JUTA!!!”
Tak lama lepas dakwaan mengatakan Good Star menerima USD700 juta, SR buat satu lagi laporan mengatakan Jho Low adalah pemilik tunggal Good Star, dengan kata lain USD700 juta tu terlepas ke tangan dia lah.
Ini bukan tuduhan main-main tau. Ofkos la kalau tuduhan ni palsu, agaknya PetroSaudi dah lama menafikannya bulat-bulat. Tapi sebaliknya, PetroSaudi taknak komen samada mereka memiliki Good Star atau tak.
Tapi kerajaan Malaysia pulak yang bersuara time ni, dengan Kementerian Kewangan mengatakan yang PetroSaudi memiliki GoodStar sewaktu USD700 juta tu disalurkan, dengan kata lain urusniaga tersebut sah.
So SR kata duit tu kena songlap (sebab SR mendakwa Good Star takde kaitan pun dengan 1MDB atau PetroSaudi), gomen pulak kata urusniaga tu sah (sebab gomen mendakwa Good Star adalah milik PetroSaudi)…. siapa yang betul ni?
APA KATA DOJ?
“…akaun Good Star bukan dimiliki oleh PetroSaudi atau usaha sama berkaitan, tetapi oleh Low Taek Jho a/k/a Jho Low…” – laporan DOJ, m/s 7.
Hasil penyiasatan DoJ bersetuju dengan laporan Sarawak Report yang mengatakan Jho Low merupakan owner sebenar Good Star, bukannya PetroSaudi. Tapi menurut laporan DoJ lagi, pegawai 1MDB tipu bank tentang pemilikan Good Star… So ada kemungkinan Kementerian Kewangan pun kena tipu oleh pegawai dan lembaga 1MDB, di mana 1MDB adalah sebuah badan yang diketuai oleh Menteri Kewangan.
Emm….Okay…… lantak lah, tu biar dorang settlekan. So apa lagi kita boleh bandingkan?
Takde perbezaan antara artikel lama dengan yang sekarang. So nampaknya takde post-editing walau pun selepas DoJ keluarkan laporan. Dan kita boleh kata yang artikel SR ni tepat (bila check dengan laporan DoJ lah).
3. “USD681 JUTA MASUK DALAM AKAUN PM?!!”
Ni boleh kata artikel Sarawak Report yang paling famous, sampaikan parti pembangkang gunakkan isu ni untuk ‘menyerang’ parlimen, malah rakyat Malaysia pun telah gunakan point yang sama untuk menyuarakan perasaan tak puas hati terhadap parti pemerintah.
Sarawak Report siap bagitau macam mana duit 1MDB disalurkan kepada account PM, dengan detail macam mana duit RM42 juta dari SRC dan USD 681 juta dari kerjasama 1MDB-Aabar tiba-tiba ada kat akaun bank PM (memandangkan DoJ hanya melaporkan mengenai USD 682 juta, so kitorang akan bandingkan yang tu je).
Cara gomen jawab isu tu agak menarik (dan memeningkan), mula-mula PM kata dia takde buat salah pun.
Pastu dia kata dia akan bagitau kat UMNO secara peribadi
Last sekali dia kata yang duit tu sebenarnya duit derma dari individu Arab Saudi yang enggan dikenali.
Jom kita check dengan DoJ, betul tak…
APA KATA DOJ?
“…Tanore memindahkan $630,000,000 kepada sebuah akaun AmBank di Malaysia…
…dan tambahan $61,000,000 telah dipindahkan daripada Akaun Tanore kepada akaun AmBank yang sama, dengan jumlah sepenuhnya $681,000,000” – Laporan DoJ, m/s 75.
Mengikut perenggan kat atas ni, Tanore memindahkan USD681 juta ke dalam sebuah akaun AmBank. Hmm… mungkin Tanore di milik kerabat diraja Arab Saudi kot…?
Eh, bukan rupanya.
Dari segi jumlah wang yang dilaporkan, ada beza sikit je la antara DoJ dan Sarawak Report.
SR melaporkan yang duit ini lepas ke tangan PM Najib. Laporan DOJ pulak mengatakan yang ianya dapat ke ‘Malaysian Official 1’.
Macam biasa, kami cuba bandingkan artikel yang telah diambil pada 3 Julai 2015 tu dengan yang sekarang.
Sekali lagi, takde perubahan apa-apa dari artikel original dorang. Sarawak Report ni memang confident lah dengan artikel dorang ni lagi-lagi lepas DoJ mengeluarkan laporannya,
Walaupun takde siapa tau siapa Malaysia Official 1 (yekeee??) ni, yang penting kita tau siapa sedara mara dia. Dan Sarawak Report ada buat satu artikel untuk dia…
4. “USD100 JUTA DUIT RAKYAT MALAYSIA DIGUNAKAN UNTUK BUAT MOVIE!!!”
Disember 2015, Sarawak Report ada keluarkan artikel pasal macam mana cerita Hollywood ‘Wolf of Wall Street’ telah menggunakan duit rakyat Malaysia. Tak lama kemudian, peguam dari syarikat yang dimiliki oleh Riza Aziz telah menyatakan keinginan untuk saman Sarawak Report atas dasar defamation (memalukan). Dorang jugak minta Sarawak Report tarik balik artikel tu dan mengeluarkan notis maaf.
Sarawak tak nak tarik balik artikel tu mahupun minta maaf. Peguam Riza Aziz pun apa lagi, terus mereka… tak buat apa-apa (at least menurut SR la yang masih menunggu surat saman.)
Walaupun dorang tak kena saman, tak semestinya Sarawak Report tu betul kan?
APA KATA DOJ?
“…dan wang tersebut akhirnya digunakan untuk membiayai penerbitan “The Wolf of Wall Street,” sebuah filem terbitan Red Granite Pictures…”- laporan DoJ, m/s 107.
Mengikut laporan DoJ kat atas ni, mereka percaya yang duit 1MDB digunakan untuk membiayai Wolf of Wall Street. So laporan SR sekali lagi telah disahkan.
Website Wayback Machine hanya jumpa satu je artikel (April 24 2016) berkaitan dengan tuduhan ni. Jadi ni bermaksud Sarawak Report tak pernah betulkan atau buat apa-apa perubahan terhadap artikel tu selepas laporan DoJ dikeluarkan.
Jadi, boleh percaya ke tak Sarawak Report ni?
Sebelum ni memang susah nak sahkan laporan Sarawak Report sebab mereka rahsiakan sumber. So bila hasil siasatan DOJ ni keluar, pastu sama pulak dengan berita-berita SR, naik jugak kredibiliti SR secara kaw-kaw.
Sarawak Report mula keluar dalam dunia berita tanah air dengan stail tajuk tabloid yang macam Majalah Mangga pun ada, DAH LA SEMUA PUN NAK LETAK DALAM CAPS LOCK. Pastu, selain daripada Clare Rewcastle-Brown, kita tak kenal sorang pun di sebalik SR dan sumber yang mereka dapat pulak dirahsiakan. So susah bila kita nak memastikan kesahihan laporan yang dikeluarkan.
Tapi bila dilihat jenis berita yang dikeluarkan, hampir kesemuanya adalah sangat sensitif (dan anti-kerajaan), jadi boleh faham la kenapa mereka sangat perlu melindungi identiti pemberi maklumat.
So… bila dilihat berapa banyak laporan yang disampaikan SR memang ngam dengan hasil siasatan DoJ yang telah dikeluarkan, takde la buang karan sangat kalau kita nak usha Sarawak Report sekali-sekala, tak gitu?
- 1.1KShare sekarang!
- Email32
- Facebook1.1K
- Share