Kenapa ada yang dapat giliran haji cepat? Kami tanya dan dapat jawapannya

Sekarang ni dah kira musim haji, ramai yang dok sibuk buat kenduri nak pergi haji, ada jugak yang baru je berlepas ke haji dan ada yang bakal ke haji dalam masa terdekat ni. Tapi apa yang menggemparkan kita baru-baru ni ialah kes seorang artis tanah air, Neelofa yang dikatakan akan menunaikan haji bersama ibubapanya pada September ni.

Pergi haji pun kira menggemparkan ke? Eh taklah, apa yang menjadi isu ialah Neelofa ni baru je sebulan mendaftar haji tapi dah dapat kelulusan nak pergi haji.

Imej dari The Malay Mail
Imej dari The Malay Mail

Satu bulan je?? Amboi… cepatnya lulus. Macam mana dia boleh lulus dalam masa sebulan je? Sedangkan ramai lagi orang yang nak pergi haji yang dah cukup simpanan kat Tabung Haji tu malah duit simpanan tu siap terluak-luak keluar balik tapi masih jugak menunggu dan tak dapat lagi panggilan untuk menunaikan haji.

Betul ke Pengerusi Tabung Haji ada bagi kuota istimewa untuk giliran haji?

Ramai orang yang tak puas hati dan mempersoalkan mengenai kelulusan Neelofa menunaikan haji dalam masa sebulan je. Antara komen orang ramai di media sosial ialah:

komen kuota tabung haji (1)
komen kuota tabung haji (2)

Namun perkara ni telah disangkal oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki:

“Proses tersebut (pemilihan haji) dilakukan secara telus dan tidak ada mana-mana individu dapat melangkau giliran seperti mana yang diviralkan di laman sosial sejak kebelakangan ini.” – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, dipetik dari Kosmo.

Jelas beliau lagi, tiada istilah kuota menteri, kuota timbalan menteri atau kuota siapa-siapa pun malah LTH sendiri tak pernah memberikan sebarang keistimewaan kepada mana-mana individu untuk menunaikan rukun haji. Beliau turut jelaskan bahawa proses pemilihan bakal haji dipantau secara telus oleh SPRM.

“Tabung Haji tak pernah mengamalkan unsur pilih kasih dalam pemilihan jemaah haji Malaysia kerana peluang menunaikan haji berdasarkan sistem giliran dan penetapan kuota yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.” – Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman. Dipetik dari Berita Harian.

Malah menurut Pengurus Besar Kanan Tabung Haji lagi, kegagalan orang ramai memahami proses dan prosedur haji tu sendiri yang telah menyebabkan timbul pelbagai persepsi tak baik dan tak betul mengenai Tabung Haji.

Kalau tak pakai ‘kuota istimewa’, biasanya berapa lama pemohon ni nak kena tunggu baru sampai giliran nak pergi menunaikan haji tu?

Nak pergi haji kena tunggu giliran sampai 87 tahun? Tapi kenapa?

Pada tahun 2014, tempoh giliran menunggu untuk menunaikan haji bagi setiap pendaftaran telah ditetapkan sehingga 60 tahun. Namun pada tahun 2015 pulak, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail berkata bahawa tempoh menunggu bagi tahun tersebut telah mencecah 72 tahun.

Tapi kini, apa yang mengejutkan lagi, tempoh menunggu untuk menunaikan haji telah ditingkatkan lagi sehingga hampir 90 tahun! Wahh kenapa lama sangat nak kena tunggu??

Menurut Pengurus Besar Kanan Tabung Haji yang dipetik dari akhbar Berita Harian, jumlah tersebut meningkat kerana pendaftaran haji pada setiap tahun semakin meningkat maka tahun giliran untuk menunaikan haji jugak terpaksa ditingkatkan.

muka-setepek

“Kalau hendak daftar haji sekarang ni, dia akan tengok tahun peruntukan, tempoh menunggu adalah 87 tahun. Selain itu sistem kuota turut dikawal Kerajaan Arab Saudi dengan penetapan 27,900 jemaah…”-  Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman. Dipetik dari Berita Harian.

Tambah beliau lagi, tahun ni je dah lebih 73,000 rayuan diterima oleh Tabung Haji bagi permohonan untuk menunaikan haji.

So macam mana Tabung Haji menangi perkara ni? Macam mana dengan orang tua? Takkan nak tunggu sampai mereka dah uzur? Nak tunggu lagi sampai berpuluh tahun tak tahu lah sempat ke tak kan…

Proses pemilihan haji lebih fokus pada warga emas

Abdul Azeez Abdul Rahim ada keluarkan kenyataan bahawa pihak Tabung Haji akan mengkaji semula tempoh giliran menunggu untuk menunaikan haji bagi setiap pendaftaran yang telah ditetapkan dan ia akan diteliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor kesihatan dan juga umur pemohon.

“Faktor umur adalah yang paling utama kerana kami akan bagi peluang kepada individu berumur 65 tahun ke atas yang belum pernah menunaikan haji untuk pergi terlebih dahulu.”-  Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Tabung Haji. Dipetik dari Berita Harian.

Dari segi kesihatan pulak, mereka sandarkan pada ujian pemeriksaan kesihatan yang telah dijalankan. Kalau pemohon tu lulus ujian kesihatan tersebut maka pemohon pun takde masalah untuk dilepaskan mengerjakan haji.

“…kepada pemohon yang ingin menunaikan haji semula selepas lima tahun, kami (Tabung Haji) terpaksa halusi pemilihan mereka.”- Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Tabung Haji. Dipetik dari Berita Harian.

Antara langkah-langkah lain yang diambil oleh Tabung Haji ialah:

  • Bagi bakal haji kali kedua (sebagai mahram/pembantu/pengiring/bakal haji terpilih) akan dikenakan bayaran penuh tanpa ditanggung oleh Tabung Haji lagi.
  • Mereka jugak tak menawarkan tempat untuk kanak-kanak dibawah umur 15 tahun walaupun telah berdaftar.

Tapi macam mana pulak dengan kes orang yang muda-muda ni boleh pergi haji? Lagi-lagi yang baru je daftar dah boleh pergi menunaikan haji.

meme pening

Pakej yang disediakan syarikat swasta guna kuota haji BERBEZA daripada pakej Muasasah LTH

Korang tahu tak kita ada lebih kurang 20 syarikat swasta yang turut mempromosikan pakej haji termasuk anak syarikat Tabung Haji sendiri iaitu TH Travel Sdn Bhd.

“Persepsi orang kaya dapat potong barisan adalah salah dan tak tepat kerana orang yang pergi haji, adalah orang yang terpilih saja… mereka boleh pilih nak pergi dengan Muassasah atau nak pergi dengan pakej.“- Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman. Dipetik dari Berita Harian.

Tak faham? Kami pun tak. Tapi bila bertanya dengan satu syarikat swasta iaitu Andalusia Travel & Tour, kerajaan Arab Saudi memberikan sejumlah besar kuota kepada LTH, dan selebihnya kepada syarikat swasta (kuota tambahan). Maknanya kalau korang ambik pakej dari syarikat swasta, korang berada dalam ‘Q’ yang berbeza berbanding dengan LTH punya Muassasah. 

Menurut agensi tu lagi, korang kena buat rayuan dan dapatkan cop pengesahan dari LTH mengatakan korang tak terpilih, lepas tu baru boleh pergi ke agensi swasta untuk mendapatkan kuota haji jika masih ada kekosongan.

So bagi yang dah simpan kat LTH tu, rugi macam tu je ke? Ok camni, menurut Andalusia Travel & Tour lagi, duit sebanyak RM9 ribu lebih tu boleh transfer terus ke syarikat swasta tu, so just tambah balance dia je.

Berapa kuota haji yang diberikan oleh kepada syarikat-syarikat swasta ni? 

Menurut Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji yang dipetik dari Berita Harian, kuota haji telah dikawal oleh Kerajaan Arab Saudi dengan penetapan sebanyak 27,900 jemaah je pada tahun ni. Jumlah itu termasuklah dengan kuota-kuota yang diberikan kepada syarikat-syarikat swasta haji yang lain. Pada tahun yang sebelumnya pulak, kuota tersebut adalah sebanyak 23,320 orang.

So berapa banyak daripada kuota yang diberi Arab Saudi ni dapat kat syarikat swasta? Kami cuba cari tapi tak jumpa kat mana-mana website, bila tanya LTH pulak susah benar mereka nak jawab. Walau bagaimanapun, kami ada cuba menghubungi syarikat Andalusia Travel & Tour dan mereka bagitahu biasanya kuota jemaah haji yang mereka dapat adalah lebih kurang 200 orang setahun. (So korang boleh try kira sendiri, berapa banyak kuota diberikan pada 20 buah syarikat.)

Dan oleh kerana memang tak ramai pun pergi ikut swasta, biasanya dalam masa setahun apply pun dah boleh dapat pergi haji, tapi ofkos la kena bayar mahal giler…

Banyak ke beza bayaran menunaikan haji melalui LTH dan syarikat swasta ni? 

Kos menunaikan haji oleh Lembaga Tabung Haji. Imej dari Lembaga Tabung Haji.
Kos menunaikan haji oleh Lembaga Tabung Haji. Imej dari Lembaga Tabung Haji.
Pakej menunaikan haji yang disediakan oleh Andalusia Travel & Tour.
Pakej menunaikan haji yang disediakan oleh Andalusia Travel & Tour.

Tu dia… kalau pakej LTH daripada RM9K ke RM19K, pakej swasta dari Andalusia pulak daripada RM21K hingga mencecah RM64K! Tu baru Andalusia, kalau syarikat swasta lain lagi melambung harga dia agaknya.

Kalau korang nak tahu apa yang menariknya join pakej haji VIP ni, korang boleh tengok kat artikel yang The Vocket dah buat ni. Tapi make sure research dulu eh syarikat ni semua, takut-takut ada yang menipu macam kes ni. So untuk lebih berhati-hati korang boleh rujuk kat link Tabung Haji ni.

haji-vip-featured
Imej dari The Vocket.

Walaupun LTH ni lebih murah dan mempunyai banyak kontroversi tapi tu tak bermakna Tabung Haji ni tak bagus ye.

Tabung Haji masih lagi pilihan kebanyakan rakyat

Bagi yang tak tau sejarah Tabung Haji ni, ianya mula ditubuhkan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ungku pada 1962 dan mula beroperasi pada 1963 dengan tujuan ingin membantu rakyat Malaysia yang dulunya pesen simpan duit bawah bantal dengan tilam untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ni. Pada awal penubuhannya, memang LTH ni mendapat pujian dan sokongan oleh semua pihak kerana ia banyak membantu kelancaran proses mengerjakan ibadah haji.

Namun sejak kebelakangan ni, LTH ada dihantui kontroversi terutamanya apabila dikaitkan dengan 1MDB, sehingga ada yang mengeluarkan simpanan mereka kerana hilang kepercayaan kat Tabung Haji

Namun di tengah-tengah kontroversi ini, LTH masih lagi pilihan utama kebanyakan rakyat Malaysia untuk menunaikan haji, terutamanya daripada golongan sederhana. Seperti yang kami dah bandingkan di atas, beza bayaran haji melalui Muasasah adalah sangat rendah berbanding pakej yang ditawarkan swasta. So apa boleh buat, terpaksalah kita tunggu berpuluh-puluh tahun untuk giliran haji… tapi kalau mampu, apa salahnya terbangkan mak abah guna pakej swasta. Apa pendapat korang?

[socialpoll id=”2382688″ path=”/polls/2382688″ width=”500″]

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)