Kenapa Brunei boleh laksana Hudud, Malaysia payah sangat? Ini penjelasannya…

UPDATE 6/5/2019: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menyatakan bahawa kerajaan mereka tak akan melaksanakan hukuman mati seperti yang diumumkan selepas menerima tekanan dari pelbagai pihak secara global.

Seorang blogger homoseksual, Perez Hilton juga sudah mula membuka mulut dengan mendedahkan bahawa anak kepada Sultan Brunei iaitu Putera Azim adalah seorang homoseksual. Berita ni masih belum mendapat reaksi dari pihak Brunei.

Namun, kita nak tau apa yang berlaku sebelum ni. Sambung baca artikel ni…


Dunia seolah-olah macam terkejut bila media melaporkan yang Brunei akan melaksanakan hukuman sebat atau rejam sampai mati terhadap beberapa kesalahan termasuk homoseks, zina dan rogol. Dikhabarkan, hukuman tu akan dilaksanakan pada 3 April ni.

Seperti mana yang kita semua tahu, Brunei adalah satu-satunya negara yang amalkan hukum hudud secara menyeluruh di Asia Tenggara. Walaupun Aceh ada amalkan hukum Islam, tapi ia tak la menyeluruh dan ia masih bersifat wilayah dan bukannya negara.

Brunei buat kali pertamanya mengisytiharkan Perintah Hukum Jenayah Syariah pada tahun 2013 dan mula dilaksana pada 2014. Tapi masa tu, hukumannya masih lagi tertumpu kepada kesalahan-kesalahan tertentu saja dan ia tak termasuk dalam beberapa hukuman.

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Brunei. Imej dari Never Ending Footsteps.

Walaupun macam tu, Kedutaan Brunei di Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri Brunei sehingga akhir Mac lepas masih lagi belum bagi apa-apa reaksi dengan laporan ni.

Kesannya, ramai pihak antarabangsa yang membantah dakwaan terhadap kerajaan Brunei ni dan ada juga pihak-pihak tertentu yang gesa supaya rangkaian Hotel Brunei diboikot. Antara selebriti terkenal yang seru boikot tu termasuklah Elton John dan George Clooney.

Elton John siap senaraikan hotel yang patut diboikot

Seperti mana yang kita semua tahu, Elton John ni adalah salah seorang aktivis LGBT yang aktif di peringkat antarabangsa. Dan disebabkan undang-undang di Brunei akan menghukum pelaku LGBT, maka dia jadi antara yang ke depan membantah.

Jadinya, Elton dah senaraikan sembilan hotel yang dia minta untuk diboikot. Hotel-hotel tu adalah:

  1. The Dorchester, London.
  2. 45 Park Lane, London.
  3. Coworth Park, UK.
  4. The Beverly Hills Hotel, Beverly Hills.
  5. Hotel Bel-Air, Los Angeles.
  6. Le Meurice, Paris.
  7. Hotel Plaza Athenee, Paris.
  8. Hotel Eden, Rome.
  9. Hotel Principe di Savoia, Itali.

Sebenarnya, kesemua hotel mewah ni dimilki oleh Brunei Investment Agency (BIA), sebuah firma milik penuh kerajaan Brunei. Menurut laporan, setakat pada tahun 2009, BIA dah mencatatkan aset di bawah pengurusan sebanyak USD30 bilion.

Hotel mewah – The Dorchester, London. Imej dari thelondonfoodie.co.uk

Tapi disebabkan dasar kerahsiaan oleh kerajaan Brunei, maka takde banyak maklumat pasal firma ni didedahkan. Jadinya, kita tak ada maklumat pasal tadbir urus, strategi pelaburan atau apa-apa rancangan firma ni secara terperinci.

Tapi kalau ikut sejarahnya, pada tahun 1985, Brunei dah beli Hotel The Dorchester dengan harga USD50 juta. Pada tahun 1996 pula, BIA dah menubuhkan “Dorchester Collectionsebuah konglomerat hotel mewah di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Itali.

Selain tu, BIA juga beli The Beverly Hills Hotel di Los Angeles, pada tahun 1987 dengan harga USD185 juta. Lepas tu, firma ni juga membeli Grand Hyatt Singapura. Grand Hyatt dekat KL pun Brunei punya.

“Pada Jun 2018, BIA memperoleh 6.6 peratus daripada Draper Esprit PLC yang disenaraikan di London, ekuiti persendirian dan modal usaha niaga, dengan harga £20 juta.

Agensi itu juga memiliki pegangan 10 peratus dalam Patersons Securities Limited dari Australia, dan Bahagia Investment Corporation, Malaysia.” – Dipetik dari Investopedia.

Imej dari Giphy.

Sebenarnya seruan untuk boikot rangkaian hotel Brunei ni dah bermula lama, iaitu sejak Brunei memperkenalkan hudud pada tahun 2014 lagi. Antara selebriti-selebriti antarabangsa yang sokong tindakan tu adalah Oprah Winfrey, Ellen DeGeneres, Sharon Osbourne, Stephen Fry, dan termasuklah ahli perniagaan terkenal Sir Richard Branson.

Bagaimanapun, tindakan boikot ni tak lah beri kesan yang kuat sangat kepada kerajaan Brunei, sebab masih ramai pihak yang tak sedar dengan kempen ni. Selain tu, ada juga pihak yang pertikaikan tindakan memboikot rangkaian hotel Brunei, sebab ia dilihat tidak praktikal dan boleh memberikan risiko kepada para pekerja hotel – hotel berkenaan.

Sedih Elton John. Imej dari Giphy.

Sebab itulah diorang persoalkan, kenapa boikot tu ditujukan kepada rangkaian hotel je, dan bukannya minyak Brunei kalau betul-betul serius?

“Sekumpulan besar tetamu hotel menentang tindakan Sultan (Brunei), sementara ahli politik, ahli perniagaan dan eksekutif minyak yang melakukan perniagaan dengan Brunei terus kekal senyap.

“Mengapa mereka tidak bersuara?” seorang bertanya. “Wang, itulah peraturannya.” –  Vanity Fair.

Disebabkan halangan-halangan yang macam ni, maka boikot terhadap rangkaian hotel Brunei tak la berkesan sangat pada tahun 2014. Tapi dengan seruan boikot kali kedua ni, nampaknya keberkesanannya masih lagi belum dapat kita jangka.

Antara protes terhadap keputusan Brunei laksana hudud. Imej dari ibtimes.co.uk

Hudud cuma salah satu cabang dalam Undang-Undang Jenayah Islam

Sebenarnya, hudud hanyalah satu dari tiga cabang dalam Undang-Undang Jenayah Islam/Syariah. Dan sebab itulah, kita kena fahamkan dulu apa tu Undang-undang Jenayah Syariah:

  • Qisas: Hukuman balas untuk bunuh dibalas dengan bunuh dan mencedera dibalas dengan mencedera. Tapi kalau membunuh dengan tak sengaja dan mencedera dengan tak sengaja maka hukumannya adalah denda (atau Diyat).
  • Hudud: Hukuman yang dah ditetapkan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan Hadis. Khusus untuk kesalahan zina, menuduh orang berzina (Qazaf), minum arak, mencuri, merompak dan murtad.
  • Takzir: Hukuman yang tak disebut dalam al-Quran dan Hadis. Hukuman ini diserahkan kepada kebijaksanaan hakim. Hukuman boleh jadi seperti penjara, buang daerah, denda, sebat, nasihat dan lain-lain.

 

Laporan akhbar Brunei. Imej dari pondoktauhid.blogspot

Dekat bawah ni pula adalah antara hukuman-hukuman hudud:

  • Berzina: Sebat 100 kali untuk orang belum berkahwin dan rejam sampai mati untuk orang yang dah kahwin.
  • Tuduh orang berzina (Qazaf): Hukuman sebat 80 kali, kalau tak bawa 4 saksi.
  • Minum arak: Sebat antara 40 sampai 80 kali mengikut mazhab.
  • Mencuri: Potong tangan kalau cukup bukti dan ada 2 orang saksi.
  • Merompak: Kalau membunuh masa merompak hukumannya bunuh. Merompak dengan merampas harta orang lain, hukumannya potong tangan dan kaki.
  • Murtad: Keluar dari Islam sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Hukumannya mati. (pancung kepala)

Dari tiga cabang undang-undang ni, hudud yang menjadi kontroversi sebab ia kelihatan keras dan sukar diterima oleh pihak-pihak tertentu. Bagaimanapun, hukuman dalam hudud ni taklah mudah sangat nak dilaksanakan, dan sebenarnya banyak syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

[Kalau korang nak tahu dengan lebih lanjut dan terperinci tentang pelaksanaan hudud yang selalu kita salah faham boleh klik sini]

Dalam masa sama, ada juga pihak tertentu yang mempersoalkan kenapa Brunei boleh laksana hudud dan Malaysia masih lagi belum melaksanakannya. Sebenarnya, ada banyak perbezaan antara Malaysia dan Brunei, sehinggakan agak payah untuk Malaysia melaksanakannya.

Di Brunei, Sultan berkuasa mutlak dan mengatasi Perlembagaan

Beberapa tahun lalu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid ada membentang kertas kerja berkenaan dengan pelaksanaan hudud dan perbezaan antara Malaysia dan Brunei. Dalam pembentangan tu, beliau ada senaraikan beberapa perbezaan dari segi sistem dan Perlembagaan antara kedua-dua buah negara.

Pertamanya adalah tentang sistem politik dan kerajaan di Brunei tu sendiri. Sebabnya, Brunei dikenali sebagai sebuah negara “Melayu, Islam, Beraja”. Islam adalah agama rasmi Brunei dan baginda Sultan adalah ketua agama rasmi Brunei.

Sultan Haji Hassanal Bolkiah & Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. Imej dari therahnuma.com

Selain tu, Sultan juga pegang kuasa tertinggi kerajaan Brunei, iaitu sebagai Perdana Menteri dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata. Baginda akan dibantu oleh beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik oleh baginda.

“Ahli-ahli Kabinet menduduki kerusinya …. selama tempoh selagi diperkenankan oleh….baginda. Keputusan Kabinet tidak sah jika ia tidak diperkenankan oleh baginda.

… Beberapa perkara yang amat ketara ialah tidak ada peruntukan-peruntukan yang mengatakan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang utama negara dan mana-mana undang yang tidak selaras dengannya adalah tidak sah.

Juga tidak ada peruntukan mengenai kebebasan asasi, pilihanraya, Badan Kehakiman mahupun mahkamah syariah. – Dipetik dari pembentangan Tun Abdul Hamid.

Oleh hal demikian, boleh dikatakan Brunei adalah sebuah negara beraja mutlak (absolute monarchy), kerana Sultan mempunyai kuasa mutlak eksekutif dan perundangan. Ini kerana, kuasa baginda mengatasi peruntukan – peruntukan Perlembagaan, selain baginda boleh meminda Perlembagaan dan juga membuat undang-undang.

Tun Dr Mahathir dan Putera Mahkota Brunei – Prince Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah. Imej dari New Straits Times.

Tambah Tun Abdul Hamid lagi, Brunei sebenarnya adalah sebuah negara unitary (kesatuan), bukannya sebuah persekutuan dan takde pembahagian kuasa perundangan di antara persekutuan dan negeri macam Malaysia.

Selain tu, Brunei juga tak ada sekatan keperlembagaan mengenai bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Sebab itulah bidang kuasa Mahkamah Syariah di sana tak terhad kepada orang Islam je, dan boleh je membicarakan orang bukan Islam.

Lebih menarik, walaupun Brunei ada beberapa parti politik, tapi parti-parti tu tak mainkan apa-apa peranan dalam pemerintahan. Sebab tu jugalah, di sana tak ada sebarang gabungan politik yang bentuk kerajaan atau jadi parti pembangkang.

“Dalam keadaan itu, tidak ada apa atau sesiapa yang boleh menghalang Sultan jika baginda hendak membuat sesuatu undang-undang dan melaksanakannya.

Dalam keadaan itulah Perintah Kanun Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dibuat.” –  Dipetik dari pembentangan Tun Abdul Hamid.

Macam mana hukuman hudud tu dilaksanakan di Brunei?

Tapi muncul juga persoalan tentang macam mana hukum hudud ni dilaksanakan di Brunei. Sebabnya, Brunei juga ada Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Menurut Tun Abdul Hamid, jenayah syariah di Brunei akan dibicarakan di Mahkamah Syariah yang konsepnya agak sama dengan Mahkamah Syariah, Malaysia. Tapi semenjak Brunei mengisytiharkan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, beberapa kesalahan dah dibahagikan iaitu:

  • Pertama – Kesalahan yang boleh dihukum hudud seperti curi, samun, zina, rogol, liwat, menuduh berzina (qazaf) dan meminum minuman yang memabukkan.
  • Kedua – Kesalahan dengan hukum qisas dan diyat, seperti menyebabkan kematian orang lain dan menyebabkan kecederaan.
  • Ketiga – Kesalahan am, macam tak solat Jumaat, khalwat, perbuatan tidak sopan yang boleh dihukum denda atau penjara.

Secara amnya, perintah ni dikuatkuasakan terhadap orang Islam dan bukan Islam, macam kesalahan mencuri, membunuh, rogol, samun dan liwat. Tapi ada juga kesalahan yang dikhaskan kepada orang Islam je, macam – minum arak dan zina.

“Terdapat juga perbuatan yang tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan oleh orang bukan Islam dengan orang bukan Islam. Tetapi ia menjadi kesalahan jika orang bukan Islam melakukannya dengan orang Islam. Misalnya zina,” – Dipetik dari pembentangan Tun Abdul Hamid.

Mufti Wilayah Persekutuan – Dr Zulkifli al-Bakri bertemu dengan Mufti Brunei – Dr. Haji Awang Abdul Aziz Juned. Imej dari Jabatan Mufti Kerajaan Brunei.

Berkenaan siapa yang akan menyiasat kes-kes ni, sama ada pihak polis atau penguatkuasa agama, Tun Abdul Hamid menjelaskan, kes-kes ni akan dilapor dan disiasat oleh pihak polis dengan dibantu oleh Unit Penguatkuasa Agama.

Lepas siasatan selesai, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pendakwa Raya yang akan dibantu oleh Ketua Pendakwa Syarie kalau perlu. Kalau ada bukti yang kesalahan tu berada di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, maka kes akan dibawa ke Mahkamah Syariah.

“Jika sebaliknya, maka pendakwaan akan diteruskan di bawah Penal Code di Mahkamah Sivil. Dalam kata-kata lain, walaupun terdapat peruntukan kesalahan dalam dua undang-undang yang berbeza, seseorang itu hanya akan didakwa sekali sahaja, di bawah salah satu undang-undang itu,” – Dipetik dari pembentangan Tun Abdul Hamid.

Jadi persoalannya sekarang… boleh ke Malaysia laksana hudud?

Berbeza dengan Brunei, Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan yang mempunyai kerajaan pusat dan negeri. Perlembagaan menjadi undang-undang tertinggi di Malaysia, dan apa-apa undang-undang yang tak selaras dengannya akan terbatal.

Seperti mana yang kita belajar, kuasa kerajaan Malaysia dibahagikan kepada tiga iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.

  • Eksekutif – Terletak kepada Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri.
  • Perundangan –  Terletak kepada Parlimen iaitu Dewan Rakyat, Dewan Negara dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Pindaan Perlembagaan memerlukan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Parlimen.
  • Kehakiman –  Terletak kepada Badan Kehakiman. Ini termasuk kuasa mentafsir Perlembagaan dan semakan kehakiman (judicial review).

 

YDP Agong – Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah & Raja Permaisuri Agong – Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar. Imej dari Utusan Malaysia.

Jadinya, sistem di Malaysia ni cukup berbeza dengan Brunei dan ia membuatkan apa yang mudah dilaksanakan di Brunei, agak payah dilaksanakan di Malaysia.

Sebabnya, ada kesalahan-kesalahan tertentu yang dah wujud dalam Penal Code sejak tahun 1936 lagi. Contohnya adalah macam kesalahan – membunuh, mencuri, merompak, merogol dan menyebabkan kecederaan orang lain.

Oleh itu, Tun Abdul Hamid berhujah, kalau hukum hudud dan qisas nak dikenakan untuk kesalahan-kesalahan ini, ia mestilah dilakukan sebagai undang-undang Persekutuan, iaitu sebagai undang-undang jenayah dan bukannya “kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam”.

“Parlimen boleh memilih apa-apa hukuman kepada apa-apa kesalahan jenayah, termasuk hukuman mengikut Syariah. Dengan cara itu, penguatkuasaannya boleh meliputi orang Islam dan bukan Islam. Sebagai undang-undang jenayah ia terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil.

“Untuk Parlimen Malaysia membuat undang-undang seperti itu, tidak ada pindaan keperlembagaan yang perlu dibuat dan rang undang-undang itu hanya perlu diluluskan dengan majoriti mudah.

Keadaan ini bolehlah dibandingkan dengan undang-undang mengenai perbankan dan kewangan Islam dan takaful,” – Dipetik dari pembentangan Tun Abdul Hamid.

Imej dari Malay Mail.

Tambah Tun Abdul Hamid lagi, banyak orang yang sangka kesalahan-kesalahan hudud dan qisas terletak di bawah negeri sebab agama Islam terletak dalam bidang kuasa negeri. Jadinya, Badan Perundangan Negeri boleh buat undang-undang demikian.

Katanya, pandangan tu cuma separuh benar, sebab apa-apa undang-undang yang nak dibuat mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan kalau tidak, ia akan terbatal.

“Adilkah jika seorang Islam mencuri harta seorang bukan Islam dia dikenakan hukuman hudud (potong tangan) manakala seorang bukan Islam mencuri harta seorang Islam dia hanya boleh dikenakan hukuman penjara dan denda?

Sebab itulah dalam undang-undang yang dibuat di Brunei itu, kesalahan-kesalahan menyebabkan kematian orang lain, menyebabkan kecederaan, mencuri dan menyamun misalnya terpakai kepada semua orang, Islam dan bukan Islam.

Bagi saya, melaksanakan hukuman hudud dan qisas terhadap orang Islam sahaja bukan sahaja tak keperlembagaan, tetapi juga tidak adil dan tidak wajar.” – Dipetik dari pembentangan Tun Abdul Hamid.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid. Imej dari New Straits Times.

Hukum hudud hanya boleh terlaksana, kalau semua orang dianggap sama di sisi undang-undang

Perdebatan tentang pelaksanaan hudud di Malaysia bukanlah perkara baru dan dah lama menjadi polemik di kalangan umat Islam. Pergeleseran antara Umno dan Pas suatu masa dulu pun berpunca dengan isu yang sama, sampailah Umno kalah dalam PRU-14 lalu.

Tapi masalahnya, debat hudud masih berjalan dan masyarakat masih lagi berbahagi pandangan sama ada nak hukuman ni dilaksana atau membantahnya.

Klik imej atau sini kalau nak baca.

Mengambil pandangan Mufti Perlis, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin, beliau berpendapat, hukuman hudud hanya boleh dilaksanakan kalau semua rakyat di negara ni, tak kira kedudukan dipandang sama di sisi undang-undang.

“Selagi ada satu masyarakat yang ada golongan yang tak boleh disentuh, tidak boleh dibawa ke mahkamah, Hudud tidak boleh dibuat kerana ada orang yang tidak sama dihadapan undang-undang.

Sehingga suasana itu berlaku, yang berada di istana sama saja dengan yang berada di rumah buruk, (mereka) boleh dibawa ke mahkamah, Hudud akan berfungsi.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis ketika di Wacana Sinar Harian.

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.