Kenapa Sabah biakkan kumbang-kumbang ni secara berjemaah?

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Lipas, kelkatu atau pepatung ni nampak tak bahaya kan? Tapi, bila dia dah mula bersiar-siar masuk dalam baju atau dalam makanan, memang menggelabah semua. Itu belum lagi jenis kecik macam pepijat yang gigit kita dalam diam.

Tapi apa yang mengejutkan kat Sabah, Jabatan Pertanian diorang tengah kumpul dan biakkan sejenis pepijat ni…

Suasana bila pepijat The Mummy jalan-jalan cari makan berjemaah. Gif dari Giphy.com

Pengarah Jabatan, Datuk Idrus Shafie bagitahu The Star yang diorang dalam proses untuk membiakkan sekumpulan pepijat yang dikenali sebagai kumbang muncung (weevils), dan merancang nak lepaskan semuanya kat kawasan Kinabatangan bermula pertengahan tahun ni.

“Kadar pembiakan kumbang muncung ini agak perlahan, tapi, kami harap ianya cukup untuk dilepaskan nanti” – Datuk Idrus Shafie, petikan dari The Star.

Selalunya kalau ada pepijat ke semut ke anai-anai ke kita sembur guna Shieldtox. Tapi kenapa kumbang ni dibiakkan pulak? Boleh buat cikedis ke?

Kolam dan tasik di Kinabatangan akan mati kalau kumbang ni tak ada

Di Sabah sekarang, nampaknya ada sejenis rumpai yang dipanggil Giant Salvinia atau Salvinia Molesta yang sedang membiak. Masalah pembiakan rumpai ni sama juga macam yang berlaku kat Australia, US dan New Zealand. Rumpai ni bukan rumpai biasa-biasa, sebab ia boleh merosakkan tasik dan kolam di seluruh Kinabatangan.

Giant Salvinia ni adalah sejenis rumpai air yang terapung dan bergerak secara perlahan-lahan di atas air. Nampak macam tak bahaya, kan? Tapi kalau dibiarkan, jumlahnya boleh bertambah dua kali ganda dalam masa 2 hingga 10 hari. Kolam dan tasik tadi akan ditutup oleh rumpai ni. Video kat bawah ni ada tunjuk betapa hebatnya rumpai ni punya tumbesaran.

Bila kolam dan tasik ni dah tertutup, rumpai air yang terlalu tebal tadi akan menghalang cahaya matahari untuk tembus masuk untuk hidupan dalam air tu. Tumbuhan dan haiwan dalam tu akan menerima bencana yang dahsyat. Kalau nak tahu, kekurangan cahaya matahari dan oksigen (biasanya oksigen datang dari permukaan, masuk ke dalam air) akan menyebabkan hidupan dalam tu mati.

Asalnya sungai, sekarang dah macam padang. Imej dari

Bila pokok-pokok dah mula mati, haiwan yang jadikan pokok sebagai makanan dalam tu akan kekurangan makanan serta tempat tinggal. Kekurangan makanan untuk haiwan ni tadi akan mula mengganggu rantaian makanan yang ada. Jadinya, keseimbangan hidupan dalam tasik atau kolam tu akan bertukar menjadi kawasan perkuburan berair.

Rupa tasik mati. Imej dari marietta.edu.
Kalau korang jenis yang suka berjogging atau lepak kat tasik dengan kawan-kawan, korang akan rasa terganggu dengan tasik yang dah buruk ni. Kalau tasik atau kolam yang digunakan untuk jana tenaga elektrik hidro pulak, ia pun akan menganggu sistem jana kuasa yang ada. Apa yang paling teruk, ia akan jadi kawasan pembiakan parasit dan nyamuk yang akan sebarkan demam denggi dan malaria.

Rumpai air ni adalah makanan kegemaran kumbang muncung

Berbalik kepada perancangan Jabatan Pertanian Negeri untuk lepaskan kumbang muncung ni. Kalau dalam kajian, kumbang muncung ni dikenali sebagai Cyrtobagous Salvinae atau Salvinia Weevil.

Kecik tapi ganas untuk rumpai air. Imej dari Bostonglobe

Penggunaan kumbang muncung bersaiz 2 milimeter setakat ni adalah cara yang paling berkesan untuk mengawal pembiakan rumpai air Giant Salvania. Sebab ia akan memberi kesan kepada tumbesaran Giant Salvinia sama ada kecil mahupun besar. Kumbang muncung dewasa suka makan rumpai air yang muda dan segar. Untuk yang tahap bayi ni, ia akan korek masuk dan tinggal dalam bahagian pokok. Kesannya, kebolehan rumpai air untuk membesar dan membiak akan berkurang serta dapat dikawal.

Bersedia untuk peperangan wahai askar sekalian. Imej dari Clovermilk.

Apa yang bagusnya, kumbang muncung ni takkan membiak diluar kawalan. Menurut Datuk Idrus, kumbang ni jenis memilih makanan dan hanya makan rumpai air Giant Salvinia je. Jadi, tak perlulah risau kalau tiba-tiba kumbang ni buat lawatan sambil belajar ke dalam baju dan makanan korang.

Penggunaan haiwan untuk kawal sesuatu kerosakan ni bukanlah kita yang perkenalkan. Sebab asalnya Australia dah memperkenalkan penggunaan kodok tebu dan cerpelai dalam ladang tebu, untuk makan serangga perosak tanaman yang ada. Tapi, nampaknya bila haiwan ni dah banyak, diorang pulak makan tanaman. Kalau kat US, Taman Yellowstone guna serigala yang berjaya bagi kestabilan untuk seluruh rantaian makanan termasuk pokok-pokok di sana.

Tapi kita tertanya-tanya, kenapa rumpai air ni tadi boleh membiak tak tentu pasal dan ada di negara kita?

Rumpai dari negara Brazil, tapi membiak di Kinabatangan

Rumpai air Giant Salvinia ni sebenarnya pokok asal dari Brazil. Menurut Datuk Idris, rumpai-rumpai ni tadi banyak masuk ke Sabah sebab orang buat pokok hiasan dalam akuarium, kolam taman dan ia sangat popular untuk tujuan tu. Masalah ni timbul bila diorang yang ada pokok ni mula buang benda ni dalam kawasan air lain sebab dah tak nak guna.

“Mereka yang bawa pokok-pokok sepatutnya ada pengetahuan yang lebih baik sebab mereka berpendidikan. Tapi, mereka ini bukanlah pakar pertanian. Mereka sorokkan pokok-pokok ini dalam bagasi dan cuba bawanya masuk.” – Datuk Idrus Shafie, Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, petikan dari The Star.

Kalau nak diikutkan, bukan idea yang baik untuk kita bawa pokok dan haiwan dari luar ke dalam ekosistem tempatan. Beberapa negeri di Australia dan Amerika, pihak berkuasa akan ambil tindakan yang sangat serius terhadap pembiakan rumpai air ni. Sebab tu diharamkan untuk import rumpai air ke Australia dan kalau di US pulak, seseorang tu boleh disaman walaupun bawak rumpai air dalam bot.

Di Singapura, ianya diharamkan untuk melepaskan binatang-binatang ke taman awam, kawasan tadahan dan hutan simpan. Sebab ia terbukti bagi kesan yang buruk. Contohnya, waktu filem Teenage Mutant Ninja Turtle (TMNT) tengah meletup, ramai yang mula bela The Red-Earred Terrapin (kura-kura yang ada line merah di pipi). Tapi, dia jadi teruk bila orang mula tak minat dan lepaskannya ke dalam kolam dan tasik.

Kura-kura TMNT ni masuk kolam bawak senjata sekali. Imej dari Youtube Da Bomb.

Disebabkan sikap agresif kura-kura ni, dia mula mengancam kura-kura lain dan membesar diluar kawalan. Kura-kura TMNT ni jugak mula sebarkan penyakit kepada manusia dan sesama kura-kura. Kalau ada peluang, ia akan makan bayi dan telur haiwan lain yang ada.

Contoh lain adalah ikan emas yang jugak adalah salah satu yang bahaya jika dilepaskan. Sebab ia sejenis karnivor (makan haiwan lain) dan membiak sebanyak yang boleh. Ikan emas jugak membajak tanah pada bahagian lantai kolam atau tasik.

Sihat ikan emas duduk dalam tasik ni ye! Imej dari ABC.

Maknanya, ia akan mengganggu telur-telur ikan bagi ikan lain yang tinggal kat kawasan tu. Tapi, nampaknya kura-kura TMNT dan ikan emas tadi tak jadi punca kat Malaysia macam kat negara lain. Walaupun, kura-kura TMNT ada banyak di kawasan berair Malaysia.

Kalau setakat seekor pun tak boleh jaga, jangan cuba-cuba nak ada haiwan peliharaan

Ramai orang di negara kita tak tahu yang rupanya buang pokok hiasan akuarium ke dalam kolam atau tasik, boleh jadi masalah alam sekitar berskala besar. Kalau benda ni dijadikan rutin, ianya sama jugaklah macam orang buang sampah kat longkang sikit-sikit. Lama-lama longkang tersumbat yang membawa kepada banjir kilat. Orang dulu pun dah cakap yang sikit sikit lama lama jadi bukit.

Dalam isu pembiakan rumpai air Giant Salvinia ni tadi, semuanya bermula dengan pengabaian manusia terhadap haiwan peliharaan dan pokok hiasan. Ada antara kita yang secara membuta tuli buang dan lepaskan haiwan peliharaan yang menjadi sebab ekosistem dan rantaian makanan yang ada jadi tak seimbang. Atas sebab nilah, pihak Persatuan Mencegah Kezaliman terhadap Haiwan Peliharaan Sarawak (SSPCA) mengingatkan kita semua:

“Kalau anda tak bersungguh untuk bela apa-apa anak anjing dan anak kucing, jadikan ia mandul atau buang kemaluannya. SSCPA berhak menolak untuk menerima haiwan dari mana-mana pemilik haiwan yang tak bertanggungjawab.”- SSPCA, petikan dari The Star.

Adik tidur, kucing adik pun tidur sekali. Imej dari Speakeasy-bengals.com.

Secara mudahnya, apa yang dimaksudkan SSCPA adalah memiliki haiwan adalah satu tanggungjawab. Kalau korang tak bersedia untuk jaga walau seekor pun, mungkin korang tak sepatutnya ada apa haiwan peliharaan.

Kalau yang ada pokok hiasan yang nak buang tu, memang tak ada pusat jagaan khas untuk diserahkan. Tapi, ada je cara untuk korang manfaatkan pokok yang korang rasa bahaya kalau buang dalam kolam atau tasik. Hanya perlu jadikan pokok-pokok ni tadi sebagai baja untuk tanah sebab memang ada yang sesuai dibuat macam tu.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT