Jenayah & Undang-undang

Perkahwinan kanak-kanak orang bukan Islam meningkat 20% setiap tahun

Perkahwinan kanak-kanak sering menjadi isu dalam kalangan komuniti Islam dan Melayu di Malaysia. Memang tak dapat dinafikan, dari Januari 2013 hingga Disember 2017 direkodkan oleh Jabatan Mahkamah Syariah ada 5,362 permohonan perkahwinan kanak-kanak.

Sedar atau tak, isu ni bukanlah isu orang Islam sahaja di Malaysia. Nampaknya, ia semakin kritikal buat penganut agama lain. Dilaporkan sejak 4 tahun yang lalu, perkahwinan kanak-kanak dalam kalangan orang bukan Islam meningkat 20% setiap tahun. Mungkin jarang dibincangkan, jadi kali ni kami SOSCILI nak kita sembang sama-sama sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.

Kes kanak-kanak berkahwin bawah umur dengan orang dewasa lebih tinggi bagi bukan Islam

Imej dari The Star

Pada 18 Julai 2018, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto ada mengemukakan dua soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dua soalan tu adalah:

1) Bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah 18 tahun yang telah berkahwin dengan pasangan bawah umur mengikut pecahan etnik, agama dan negeri?

2) Bilangan kanak-kanak bawah 18 tahun yang berkahwin dengan pasangan dewasa mengikut pecahan umur, negeri, agama dan etnik?

Kami ringkaskan, pecahan mengikut agama sebab kita nak sembang pasal ni kan. Daripada jumlah 1,845 orang kanak-kanak, kes kanak-kanak bukan Islam yang berkahwin dengan orang dewasa adalah seramai 968 orang. Manakala, 877 orang kanak-kanak Islam yang berkahwin dengan orang dewasa.

Perkahwinan kanak-kanak yang berlaku di negara China

Ok. Tu hanya melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa. Kalau semua kes menurut data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), nampaknya ada 2,755 kes perkahwinan kanak-kanak bukan Islam. Dari sini, timbul persoalan apa sudut pandang agama lain mengenai perkahwinan kanak-kanak?

(Kami telah membaca dan menyusun poin dalam artikel ni berdasarkan kerta kerja UNICEF. bertajuk Child Marriage in Malaysia tulisan Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal (UKM).)

Perkahwinan kanak-kanak menurut agama lain

Kita dah banyak bincangkan pasal perkahwinan kanak-kanak menurut agama Islam. Ada pelbagai pandangan yang boleh kita baca. Sekarang mari kita teliti perspektif agama lain pula.

Menurut Malaysian Hindu Sangam, tak ada manuskrip Hindu yang menyokong perkahwinan kanak-kanak. Dalam Hinduisme, perkahwinan ni adalah perkara agama, bukannya sekadar adat. Disebabkan ni terkait agama, maka, kalau korang nak tau, perkahwinan antara bapa saudara dan anak saudara perempuan dibenarkan bagi agama Hindu dan dibenarkan dipraktikkan di Malaysia. Maka, dalam seksyen 11 ada pengecualian untuk penganut Hindu dalam bab ni.


Imej dari agc portal

Namun begitu, perkahwinan sebegini perlu tetap mendapat kebenaran dan diupacarakan secara sah (mengikut seksyen 24). Dalam perkahwinan Hindu, memang ada adat, pertunangan antara lelaki dan perempuan di awal usia. Maka, ada juga dalam kalangan orang Hindu yang berkahwin bawah umur mengikut upacara Hindu, tapi mendaftar secara sah perkahwinan tu selepas mencapai umur yang dibenarkan berkahwin.

Bagi bangsa Cina, perkahwinan kanak-kanak ni bukan perkara yang lazim. Kebanyakan bangsa Cina tau pasal Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976. Jadi, kebenaran untuk berkahwin pada usia 16 hingga 18 tahun perlu dapat kebenaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Imej dari FB Kasthuri Patto

Dalam adat kaum Bumiputera tertentu di Sabah dan Sarawak dan Orang Asli di Semenanjung Malaysia, memang boleh berkahwin awal yakni lebih muda dari umur minima yang ditetapkan iaitu (16 untuk perempuan dan 18 untuk lelaki). Perkahwinan adat juga tidak perlu didaftarkan. Dalam konteks undang-undang, perkahwinan ni sah dan hak perkahwinan tu tak terpakai di mahkamah sivil tetapi di bawah Mahkamah Anak Negeri (Native Court).

Beberapa punca kanak-kanak bukan Islam Malaysia terlibat perkahwinan bawah umur

Setiap benda yang berlaku mestilah ada sebabnya. Begitu juga, dalam isu perkahwinan kanak-kanak dalam kalangan orang bukan Islam. Mungkin ada yang secara terus akan menyalahkan adat sebagai punca, namun, ia lebih mendalam daripada tu. Berdasarkan laporan kertas kerja UNICEF yang kami rujuk ni, kami senaraikan punca-puncanya.

1) Kahwin dengan lelaki dewasa, supaya mak ayah dapat duit bulanan

Dalam temuduga yang dilakukan kajian ni, seorang anak perempuan Bumiputera dari Sabah dah berkahwin dengan seorang lelaki bekerja yang lebih tua darinya. Ini kerana gaji mak ayahnya kalau dicampurkan pun masih di tahap miskin. Jadi, bila dah kahwin dapatlah bagi duit bulanan kat mak ayah. Ini juga membuktikan yang mak ayah diorang juga memastikan bahawa lelaki yang nak kahwin dengan anaknya yang di bawah umur mesti ada pekerjaan yang baik.

Imej dari The Star

2) Tak pergi sekolah supaya tak susahkan mak ayah

Bapa mana yang tak nak anak dia berjayakan? Itulah yang berlaku kepada seorang anak perempuan Bumiputera dari Sarawak ni. Walaupun ayahnya bergaji RM900 sebulan sebagai pemandu lori, dia tetap cuba hantar anaknya ke sekolah. Namun, anak perempuan ni sendiri mula perasan yang ayah dia tak mampu tampung persekolahnya. Lagi pun, dia tak rasa dia pandai bab akademik ni, maka dia memlih untuk berhenti sekolah.

Dua tahun kemudian, dia bertemu dengan seorang lelaki dewasa di media sosial dan berkahwin dengannya. Cara ni je dapat kurangkan beban ayahnya.

Selain miskin, antara sebab lain tak dapat ke sekolah adalah kerana akses nak ke sekolah tu sendiri susah. Ini biasanya masalah buat golongan Bumiputera di Sabah dan Orang Asli. Sampai ada yang terpaksa duduk mana-mana asrama terdekat di sekolah, sebab kalau nak berjalan atau nak kenderaan sekalipun masih jauh lagi perjalanan.

Imej dari Berita Harian

Namun disebalik semua ni, ada juga antara mereka yang terpaksa berhenti sekolah kerana dikesan mengandung. Salah seorang budak perempuan Bumiputera Sabah dalam temuduga berkata,

“Saya berhenti sekolah sebab saya perasan yang saya mengandung. Saya takut kalau saya pergi sekolah waktu mengandung, cikgu-cikgu akan minta untuk tinggalkan sekolah.”

Realitinya, anak-anak perempuan yang meninggalkan sekolah ni akan memilih untuk berkahwin dalam kebanyakan kes.

3) Malu kerana anak mengandung anak luar nikah

Bila ada anak perempuan yang berzina atau pun mengandung anak luar nikah dalam komuniti orang Melayu-Islam di Malaysia, ia akan menjadi buah mulut yang boleh memalukan keluarga tersebut. Maka, jalan penyelesaiannya adalah berkahwin walaupun masih terlalu muda. Nampaknya, perkara ni juga sering berlaku kepada komuniti Bumiputera di Borneo.

Seorang anak perempuan Bumiputera Sabah yang beragama Kristian dalam temu ramah menyatakan dia pernah buat hubungan seks dengan seorang lelaki yang lebih dewasa. Maka, dia ambil keputusan untuk berkahwin dengan lelaki tersebut. Sebab takut nanti mana tau mengandung anak luar nikah atau pun dihina oleh orang kampung.

Imej dari LPPKN

Begitu juga, seorang anak perempuan Bumiputera Sarawak yang terpaksa berkahwin sebab kantoi mengandung. Ibunya ambil keputusan suruh dia berkahwin sebab malu dengan orang kampung dan nak pastikan bayi tu ada ayah. Dan kadang kala keputusan kahwin ni bukan mak ayah yang buat, tapi kanak-kanak perempuan tu sendiri.

Contohnya yang berlaku kepada anak perempuan berbangsa Cina dari Sarawak ni. Dia pada mulanya dipaksa oleh teman lelakinya untuk buat hubungan seks. Jadinya, dia berasa marah dan minta tolong mak dia untuk buat laporan polis. Namun, dia mengubah keputusan untuk berkahwin dengan lelaki tersebut sebab dia didapati mengandung selepas tu.

Isu perkahwinan kanak-kanak adalah masalah semua rakyat Malaysia merentasi agama dan kaum

Perbincangan mengenai perkahwinan kanak-kanak sering disalah tafsir ataupun sering diarahkan kepada agama Islam. Hakikatnya, ia adalah masalah yang merentasi agama dan kaum. Ia juga adalah masalah yang menjadi tanggungjawab kita bersama.

“Kita kena bincang dan tangani masalah ini dari banyak aspek, adakah aspek kemiskinan, pendidikan, kekeluargaan dan masalah sekitarnya (yang menyumbang ke arah perkahwinan).

Ia tidak terpencil dan kita harus menangani kes ini secara keseluruhan dengan mengkaji semua aspek, “- Dr. Wan Azizah Wan Ismail, petikan dari Berita Harian

Imej dari Kapital.my

 

Popular

To Top

Send this to a friend