Sejarah Proton: Asal Usul & Fakta Menarik Kereta Terbaik Proton

Sedar tak sedar, dah pun tahun 2024, dan kami harap sekurang-kurangnya satu azam tahun baru korang dari tahun lepas dah tercapai. Kita buka buku baru tahun ni, dan sempena bulan pertama tahun ini, jom kita kenang balik beberapa pencapaian pertama dari Proton, pengeluar kereta pertama Malaysia.

Member-member kami kat Cilisos ada tulis pasal kereta Proton yang lejen yang mungkin korang dah lupa, tapi dalam artikel ini, kita nak tengok balik pencapaian Proton sejak 1985 dan usaha mereka dalam meningkatkan standard industri automotif Malaysia…

 

Proton Saga: Kereta pertama keluaran Malaysia (1985)

Sejarah kereta Saga
Tun Mahathir dalam model Proton Saga yang sama – 34 tahun kemudian. Kereta je lah masih kukuh. (sumber imej asal: NST / Sinar Harian)

Sembang pasal Proton, mana boleh kalau tak sebut pertama mereka, iaitu Saga. Sebenarnya, Proton ada buat pertandingan untuk namakan kereta ni, dan pemenangnya adalah Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang yang cadangkan perkataan “Saga” yang dia nampak masa main Scrabble. Dari situlah, nama Saga lekat, dan dikatakan nama tu jugak singkatan bagi Safety, Achievement, Greatness dan Ability (Keselamatan, Pencapaian, Kehebatan dan Kebolehan), ciri-ciri Proton Saga.

Nama yang sesuai untuk kereta lejen Malaysia, Saga adalah produk Proton paling laris dan dijual paling lama. Berasaskan generasi kedua Mitsubishi Lancer Fiore, sedan 4 pintu ni bukan saja ada versi lain seperti Magma dan Aeroback, tapi juga dapat facelift dalam generasi kedua dan ketiga Saga.

sumber: Piston

Masa Saga dikeluarkan pada tahun 1985, harganya cuma RM17,000 – RM19,000 tapi takde cermin penumpang, radio, atau penghawa dingin (Adoi! Mesti korang lega tak dilahirkan dalam generasi ni). Tetapi rakyat Malaysia masa tu rasa macam gempak gila sebab Saga ni kereta pertama negara kita. Sekarang memang dah tak boleh dapat Saga sebenar pada harga tu sebab model asasnya sekarang dijual pada harga melebihi RM30,000, tapi korang boleh beli versi Hot Wheels kalau nak.

 

Proton Wira: Kereta Proton pertama ada tingkap automatik untuk semua pintu (1993)

Sejarah kereta Wira
Aik, Mahathir LAGI? (sumber imej asal: Classic Automobile Renaissance FB)

Ingat tak dulu bila kita kena turunkan tingkap secara manual dengan engkol tingkap? Macam buat exercise lengan pulak dan kadang-kadang engkol tu akan tersangkut! Proton Wira merupakan Proton pertama yang mengucapkan sayonara kepada engkol tingkap dengan memperkenalkan ‘power windows‘ yang kita gunakan hari ini. Sebab tiada rekod asal usul nama Wira, kami rasa nama itu mungkin muncul sebab Wira menyelamatkan rakyat Malaysia dari sesak nafas dalam kereta.

Wira diperkenalkan sebagai sedan 4 pintu berdasarkan Mitsubishi Lancer 1991. Ia juga terdapat dalam variasi Aeroback. Berbeza dengan Saga, Wira dihentikan pengeluarannya pada tahun 2009, tetapi kenangannya masih kekal. Ini dapat dibuktikan melalui lelongan Wira unik seperti Proton Wira PERT AWD Turbo, yang merupakan sebahagian daripada Proton Eon Racing Team (PERT) pada tahun 80-an. Jika korang terfikir “Amende tu?” mungkin korang lebih kenal Proton R3 (Race, Rally, Research), yang merupakan bahagian motorsport Proton.

Sejarah kereta Wira
(sumber imej atas: Wap Car) (imej bawah: Foto peribadi ibu saya dan saya depan Wira coklat kita yang terpenyet)

Wira ada tempat istimewa dalam hati saya kerana ia adalah kereta pertama ayah saya. Walaupun model basic je, Wira coklat kami tetap setia bawak keluarga kami jalan-jalan dan balik kampung untuk lebih 10 tahun. Sebab kereta ini tahan lasak dan saiznya sesuai untuk keluarga saya (alah tiga orang je pun), kami sangat menghargai jasanya walaupan dah lama berpisah dengan kereta tu.

 

Proton Satria (dan variasinya): Hatchback pertama (1994)

Sejarah kereta Satria
(sumber imej kiri: Automachi) (sumber imej kanan: Pinterest)

Kalau korang berjiwa muda dan sporty, mesti korang ingat hatchback pertama Proton, iaitu Satria. Berdasarkan Mitsubishi Mirage, kereta ini diberi nama Satria, yang bermaksud ‘knight’ dalam bahasa Sanskrit, sebab sifat sukan kereta tersebut. Walaupun kami tak sarankan bawak kereta ni pergi berperang, Proton Satria ada reputasi sebagai kereta yang orang buat berlumba. Ia juga dipasarkan sebagai Proton ‘Compact’ kat U.K.

sumber: Carlist

Walaupun korang mungkin dah pernah nampak kereta Satria drift di highway, kami yakin korang tak pernah nampak Satria Cabriolet. Camane kita orang tahu? Sebab, Carbriolet cuma kereta konsep, dan tak pernah dipasarkan. Tapi rupa dia comel gila! Satria mungkin memegang gelaran hatchback pertama Proton, tapi Satria Cabriolet adalah kereta convertible Proton yang pertama dan satu-satunya yang tidak mempunyai bumbung.

Carbriolet muncul di 1997 Frankfurt Motor Show dan hanya ada 2 unit prototaip. Kereta ini tidak dipasarkan kepada umum sebab krisis ekonomi global yang berlaku pada tahun tersebut, tetapi salah satu Cabriolet dijual kepada Muhammad Jeya Raj, yang dengan bangganya mempamerkan kereta tersebut dalam acara Retro Havoc beberapa tahun kemudian. Kereta ini terdapat dalam warna ungu dan emas, dan pada pendapat saya, adalah kereta konsep Proton yang paling menarik.

Sejarah kereta Proton Satria Neo
(sumber imej kiri: Reddit) (sumber imej kanan: Proton Motorsports)

Tapi kalau kita betul-betul nak cakap pasal “sporty”, kenalah petik nama Satria Neo, yang merupakan kereta Proton pertama yang dijual di Jepun. Dikenali sebagai kereta mod, Satria Neo juga tampil dalam satu episod Top Gear, di mana hos-hosnya menyertai cabaran perlumbaan off-road. Kereta ini juga mencuri tumpuan pada tahun 2009 apabila menyertai Intercontinental Rally Challenge, dikendalikan oleh juara dua kali British rally, Guy Wilks dan co-driver, Phil Pugh.

 

Proton Putra: Coupe Proton pertama yang hampir memasuki World Rally Championship (1996)

Sejarah kereta Proton Putra
(sumber imej kiri: Ben9166) (sumber imej kanan: Wap Cars)

Kita semua kenal kereta coupe daripada menonton filem-filem James Bond, tapi korang tahu tak coupe pertama kita adalah Proton Putra pada tahun 1996? Berasaskan Mirage Asti Lancer dan dianggap sebagai salah satu kereta Malaysia terbaik, kereta ini dihentikan pengeluarannya pada tahun 2000 – cuma empat tahun lepas dilancarkan. Yang menariknya, Putra dianggap sebagai kereta yang jauh lebih maju dari zamannya, terutamanya sebab Putra sepatutnya menyertai World Rally Championship (WRC) pada tahun 90-an.

Proton, bersama-sama dengan Prodrive, sebenarnya dah reka model Putra WRC sebagai persediaan untuk acara tersebut. Tapi disebabkan kekangan kewangan dan krisis ekonomi global (Ish benda alah ni lagi!), kereta tersebut tak dapat peluang untuk bersaing. Fakta ni lagi sedih bila korang tahu yang mereka telah membelanjakan RM10 juta untuk setiap prototaip.

sumber: UK Spec Proton – Facebook

Untuk sedapkan hati, Putra Evolution (dengan sikit pengubahsuaian) mendapat peluang berlumba di trek apabila ia menyertai perlumbaan khas hanya untuk Putra yang dipanggil Proton Coupe Cup pada tahun 1998. Perlumbaan tersebut diadakan di Donington Park di Leicestershire, England dan menarik sokongan yang kuat dari clubman dan pelumba baru dari seluruh Britain. Sekarang, Putra mengalami kebangkitan semula dengan kemunculan kelab-kelab peminat yang didedikasikan untuk memodifikasi kereta untuk tujuan perlumbaan.

 

Proton Juara: Proton pertama yang ada ‘electric power steering‘ (2001)

sumber: Wikipedia

Kitorang dah bincang tentang Proton yang paling berjaya, jadi jom borak pasal Proton yang mengutamakan kemudahan dan kegunaan pulak. Sekilas pandang, okaylah, rupa Juara ni macam tak ikut tekak orang Malaysia, tapi sebenarnya, ia model pertama Proton yang bukan sedan, hatchback, stau coupe. Ia juga merupakan kenderaan pertama Malaysia yang mempunyai Electric Power Steering (EPS), yang membuat steering lebih ringan berbanding sistem steering hidraulik yang berat macam dumbbell.

Berdasarkan Mitsubishi Town Box Wide, kenderaan gaya hidup ini menjadi kereta ‘Kei’ pertama Proton, singkatan bagi perkataan Jepun keijidosha yang bermaksud “kenderaan ringan”. Sebab ia lebih kecil dengan spesifikasi enjin yang terhad, pemandu untung sebab boleh memandu kereta di tempat-tempat sempit (sesuai untuk parking Malaysia) dan cukai jalan yang lebih rendah.

sumber: 24 Hour Travellers

Mula-mula, Juara menghadapi kekurangan jualan yang akhirnya menyebabkannya dihentikan, tetapi sekarang, ramai pengusaha mencari minivan (kini rebranded sebagai kenderaan Camper) untuk menjalankan perniagaan di tepi jalan. Korang mungkin pernah nampak orang menjual kopi atau makanan dalam Juara hari ini. Itulah sebab ramai minat dengan kereta ini sehingga harganya meningkat dari RM3-4 ribu menjadi RM10-15 ribu dalam tempoh satu dekad.

 

Proton Gen-2: Proton pertama dimana platform dan enjin dihasilkan sendiri (2004)

Sejarah kereta Proton Gen-2
sumber: Wap Car

Kalau korang perasan, kami selalu sebut yang Proton mengasaskan platform atau enjin mereka daripada model Mitsubishi. Dengan Gen-2, perkara ni berubah sebab Gen-2 adalah kereta pertama Proton yang dihasilkan secara sendiri dengan kerjasama Lotus. Reka bentuk datang dari jurutera reka bentuk utama Proton, Damian Chia, yang mengambil inspirasi daripada wau dan tangkai keris untuk membentuk gril Gen-2. Lampu depan pula diberi “mata harimau” untuk untuk penampilan yang garang.

Kereta ini dikenali dari sumbangannya kepada British Touring Car Championship, di mana pemandunya, Daniel Welch, menduduki tempat keempat pada tahun 2012. Gen-2 baru-baru ini telah dihentikan pengeluarannya, tetapi semasa tempoh beroperasinya, ia dijual di seluruh dunia di negara-negara seperti U.K, Turki, Romania, Afrika Selatan, Australia, Mesir, dan banyak lagi.

 

Proton X70: SUV Proton & kolaborasi dengan Geely pertama (2018)

sumber: Paul Tan

Kalau korang terfikir, “Napa yang ni macam lain je rupa dia?”, mungkin sebab Proton X70 tidak berkongsi sebarang komponen dengan atok-neneknya. X70 hasil selepas Proton diambil alih oleh syarikat automotif China, Geely pada tahun 2017. X70 adalah versi Geely Boyue kita. Chup! Kita orang tak copy paste ok!

X70 berbeza dari sepupunya di China menerusi corak batik dan reka bentuk ukiran Malaysia untuk gril dan penutup speaker. Ia juga mempunyai reka bentuk harimau yang menonjolkan kebanggaan Malaysia. Semasa pelancarannya, Tun Mahathir turut membuat homage kepada pelancaran Proton Saga ketika beliau memberikan kunci kepada isterinya, Siti Hasmah, 33 tahun lalu.

Relationship goals! (sumber: Paul Tan)

 

Proton belum nak tekan brek lagi!

Pada November 2023, Proton mengumumkan sedan terbaru mereka, S70, yang sudah melebihi 3,000 tempahan dalam bulan ia dilancarkan. Selain itu, Proton juga merancang untuk meneroka potensi kereta bertenaga hidrogen sebagai usaha mereka ke arah kemampanan. Pada November 2023, lebih daripada 141,000 unit Proton telah dijual, memecahkan rekod tahun 2022.

Walaupun kita pasti akan merindui kereta-kereta klasik yang terdapat dalam senarai ini, Proton akan terus meningkatkan standard mereka, dan mungkin kita akan melihat beberapa kereta kegemaran kita buat comeback pada masa depan.