Tun Daim: Dari usahawan terunggul ke orang dituduh rasuah

Pada 2021, kira-kira 12 juta dokumen yang dikenali sebagai Pandora Papers telah diterbit. Kertas Pandora ni mendedahkan semua urusan rasuah yang melibatkan golongan elit kat seluruh dunia. Pada 2023 pulak, keluar berita yang sekurang-kurangnya 10 rakyat Malaysia terlibat dalam kontroversi tersebut. Pastu terkejut beruknya semua orang pada hujung tahun lepas, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggemparkan seluruh negara dengan menyita Menara Ilham.

Menara Ilham bukannya sekadar bangunan beshe-beshe. Malah ia merupakan pencakar langit ke-8 tertinggi kat Malaysia! Lokasi dia kat tengah bandar KL pastu nilai dia pun kira-kira RM2 bilion. Tapi… siapa pemiliknya? Jeng jeng jeng, rupa-rupanya bekas Menteri Kewangan dan tokoh konglomerat terkenal, Tun Daim Zainuddin.

Tun Daim dan bangunannya, Menara Ilham. Imej dari The Star dan The Edge

Sejujurnya, kalau korang tak ambil kisah sangat dengan politik Malaysia, mungkin korang tak pernah dengar pasal dia sebelum ni. Tapi sebenarnya, dia merupakan pemain penting dalam pembangunan Malaysia sejak 1980-an lagi. Jadi, soalan sekarang – camana benda ni boleh berlaku? Macam mana seseorang yang power dalam politik Malaysia boleh terjebak dengan SPRM? Untuk jawab tu, kita kena pergi balik ke zaman muda dia dulu.

 

1960-an – 70-an: Bila Tun Daim tukar kerja dari peguam jadi ahli perniagaan

Berasal dari Kedah, Tun Daim menghabiskan sebahagian besar awal hidupnya dalam bidang undang-undang. Pengalaman kat firma Allen & Gledhill membuka pintunya ke dunia politik. Pada masa tu, Tun Daim turut terlibat dalam menangani krisis perlembagaan Sarawak yang berlaku pada tahun 1966. Kejayaannya begitu cemerlang sehingga PM ketika itu, Tun Abdul Razak, sendiri menawarkan dia jawatan dalam kerajaan, tapi tawaran tersebut ditolak oleh Tun Daim.

“Dengan kebolehan undang-undang dan pengetahuan politiknya yang memukau, Perdana Menteri menawarkan Daim untuk bertanding di Sungai Petani dalam pilihan raya umum 1974 tetapi Daim menolak, memilih untuk membuktikan dirinya dalam bidang perniagaan,” – petikan dari profil arkib Tun Daim.

Tun Daim di mahkamah (versi penulis)

Pada awal tahun 70-an, Tun Daim meninggalkan bidang undang-undang untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan. Walaupun usahanya dalam pengeluaran garam dan plastik takda la berjaya, dia tak menyerah dan terus mencuba nasibnya dalam sektor hartanah. Melalui syarikatnya sendiri, iaitu Syarikat Maluri Sdn Bhd, Tun Daim memperolehi tanah yang strategik di pinggiran KL dan membangunkan kawasan yang kini dikenali sebagai Taman Maluri.

Imej dari The Edge

Kejayaan projek ni seiring dengan kemunculan Dasar Ekonomi Baru yang memperkenalkan banyak program pro-Bumiputera. Sebagai salah seorang daripada beberapa pembangun hartanah Melayu dalam industri ini, Tun Daim pun bernasib lah. Oleh sebab tak ramai sangat persaingannya, memang boleh dikatakan dia untung gila masa ni.

Dengan hasil tu, dia masuk pasaran saham untuk mengembangkan asetnya. Menurut laporan, waktu Tun Daim dipilih menjadi menteri, dia dah kumpul sebanyak M$600 juta, yang sekarang bernilai kira-kira RM1.5 bilion. Sebaik sahaja masuk kancah politik, Tun Daim dah dikenali sebagain tycoon dalam kalangan rakan sejawat dia.

 

1980-an: Persahabatan Daim dan Mahathir yang membentuk ekonomi Malaysia

Rakan karib dari zaman dulu lagi. Imej dari Focus Malaysia

Sambil Tun Daim makin berjaya dalam bidang perniagaan, Mahathir pun turut menaik dalam UMNO. Ada yang kata, masa ni la diorang mula berkawan. Masa Mahathir PM untuk kali pertama, dia mengarahkan Tun Daim ke Amerika Syarikat untuk setelkan isu stok timah. Kejayaan Tun Daim dalam hal ni pun menjadi permulaan kenaikannya ke tampuk kuasa ala-ala kisah fairytale Cinderella.

Pada tahun 1982, dia bertanding untuk kerusi parlimen Kuala Muda dan menang. Lebih kurang dua tahun kemudian, dia berkhidmat sebagai Menteri Kewangan, menjadikannya orang yang ketiga paling berpengaruh kat Malaysia (selepas PM dan TPM).

Surat khabar pada hari Tun Daim dipilih menjadi Menteri Kewangan. Imej dari Utusan Malaysia

Tetapi itu bukanlah gelaran kosong semata-mata. Zaman 1980-an tu zaman ekonomi bersusah dan Malaysia pun dalam keadaan huru-hara, terutamanya kerana pentadbiran kita yang tak efisien. Tun Daim bukan je berjaya memulihkan ekonomi negara tetapi juga dapat kurangkan hutang negara lagi cepat daripada apa yang dijangkakan.

Pada waktu sama, Tun Daim memainkan peranan aktif di bawah kepimpinan Mahathir untuk “menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.” Matlamat ni tercapai bila Tun Daim mula melantik sesetengah individu tertentu ke jawatan perniagaan besar. Kumpulan ni pulak mula digelar sebagai “Daim’s boys“.

Beberapa orang yang berkaitan dengan Tun Daim. Imej dari Kini Biz.

Sebenarnya, “Daim’s boys” ni merujuk kepada orang yang Tun Daim sendiri pilih. Diorang ni sering terlibat dalam projek-projek besar dan diberi jawatan tinggi. Tapi sama ada diorang memang layak atau tak, cerita lain lah. Pengaruh diorang begitu meluas sampai boleh dikatakan diorang yang menguruskan ekonomi Malaysia.

“Secara keseluruhannya, aktiviti perniagaan Tun Daim dan sekutunya melibatkan hampir semua sektor utama ekonomi Malaysia,” – petikan dari Kinibiz

 

1990-an: Pergaduhan hebat Daim dan Mahathir dengan Anwar

Dekad 90-an bermula dengan Tun Daim meletak jawatannya sebagai Menteri Kewangan. Ni pun membuka ruang untuk Anwar ambil alih jawatan tu. Namun, Tun Daim tidak mengundur sepenuhnya. Dia terus berkhidmat sebagai penasihat kepada Mahathir dan mengambil peranan sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Situasinya berubah apabila Krisis Kewangan Asia 1997 melanda. Anwar dan Mahathir tak bersetuju sama sekali dalam isu arah dasar ekonomi negara. Secara dasarnya, Anwar nak ketatkan dasar kewangan kerajaan, seiring dengan cadangan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk potong perbelanjaan. Sementara tu, Mahathir-Daim pulak lebih cenderung ke arah membelanjakan wang bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Encik Anwar sering menyokong secara terbuka tindakan berdisiplin yang dicadangkan oleh IMF, dan dalam perkara-perkara utama seperti dasar pemberian pinjaman bank, menyokong kadar faedah tinggi. Encik Daim pula lebih simpatik terhadap nasib syarikat-syarikat yang terjejas oleh krisis ekonomi. Beliau dalam beberapa minggu terakhir mengkritik bank-bank kerana mengekalkan kadar faedah tinggi,” – petikan dari The New York Times

Anwar dan Tun Daim. Imej dari Din Merican

Pendek cerita, Anwar tak nak mengalah. Jadi, apa Mahathir buat? Pada tahun 1998, dia bagi Tun Daim jawatan istimewa sebagai Menteri Tugas Khas. Langkah yang diambil ini terus mengabaikan Anwar, terutamanya apabila Tun Daim membatalkan hampir semua dasar ekonomi Anwar sebelum ni. Pastu, dengan penyingkiran dan penahanan Anwar, Tun Daim dengan mudah kembali ke peranannya sebagai Menteri Kewangan.

Mungkin ada yang rasa bahawa Tun Daim cuma ikut arahan Mahathir, tapi perbicaraan Anwar menunjukkan Tun Daim dan Anwar sendiri yang tak ngam. Secara lebih khusus, pergaduhan diorang berkaitan dengan dakwaan bahawa Tun Daim terlalu terlibat dengan pelbagai projek kerajaan dan sejauh mananya dia, Mahathir, dan kroni mereka mengkayakan diri sendiri. Menurut Anwar, bantahannya terhadap inilah sebabnya Tun Daim dan Mahathir nak singkirkan dia.

 

2000-an: Apabila Daim sekali lagi menyelamatkan Malaysia dari kemelesetan

Krisis kewangan melimpah ke awal tahun 2000-an. Pada masa tu, negara jiran kita (Thailand, Indonesia, dan Korea Selatan) turut mengalami kesulitan ekonomi dan akhirnya mintak tolong daripada IMF. Tetapi Malaysia satu-satunya negara yang menolak bantuan IMF, sebaliknya memilih untuk mengikat mata wang Ringgit dengan dolar Amerika.

“Dengan Daim sebagai pendorong utama, Malaysia memperkenalkan ikatan Ringgit pada tahun 1998, bersama dengan kawalan modal untuk menangkis krisis kewangan Asia.” – petikan dari CNN

Imej dari Newswav

Sebenarnya, keputusan ini agak berisiko sebab maksudnya negara kita terkongkong pulak dengan keadaan ekonomi Amerika Syarikat. Tetapi, sekali lagi Tun Daim berjaya menyelematkan Malaysia daripada ambang kehancuran.

Tapi pada masa sama, ramai yang percaya Tun Daim dan Mahathir menolak bantuan IMF sebab diorang risau ia akan membawa kepada peraturan ekonomi yang lebih tegas. Dan kalau macam tu, takde la lagi kontrak kerajaan, subsidi, atau keistimewaan perniagaan eksklusif untuk kroni-kroni diorang.

Tapi, apa pun, Tun Daim tak kekal lama. 3 tahun pastu, dia letak jawatannya sekali lagi.

 

2010-an: Kembalinya Daim (bersama Mahathir)

Lepas dia undur daripada kerajaan, nama Tun Daim jarang dijumpa kecuali kalau korang tengah jalan-jalan kat pasar raya.

Imej dari Shopee Malaysia

Tapi semua tu berubah lepas Pilihan Raya 2018. Macam korang tahu, Pakatan Harapan menang, so trio kita yang selalu berentap – Mahathir, Anwar, dan Tun Daim – tiba-tiba pulang ke rentas utama.

Segera selepas Mahathir dipilih sebagai PM, dia lantik Tun Daim yang berumur 80 tahun pada masa itu sebagai ketua Majlis Penasihat Kerajaan. Pasukan ni terdiri daripada lima orang ahli, termasuk Zeti Aziz yang dulunya Gabenor Bank Negara, dan juga taikun terkenal, Robert Kuok. Majilis ni ditubuhkan untuk nasihat kerajaan baru pasal hal-hal ekonomi.

Jumlah umur ahli majlis ini ialah 376 tahun. Imej dari Daim Zainuddin

Sebaik je lepas kembali bekerja, Tun Daim dan Anwar meneruskan perselisihan diorang seperti sebelumnya. Kadang-kadang, diorang bergaduh sesama…

Katanya, kita tak patut bazirkan masa dengan perihal Anwar. Imej dari Bebas News

Dan kadang-kadang diorang nampak macam kawan karib pulak…

Tapi dok 1 meter jauh ya. Imej dari The Star

Pape pun, Anwar pernah cakap, “Daim tak tidur malam kalau saya jadi PM.” Agak-agak apa korang rasa maksudnya tu? 🤔

 

2020-an: Kontroversi yang menyebabkan Menara Ilham dirampas

Setakat ni, SPRM masih senyap pasal tuduhan yang dihadapi oleh Tun Daim. Pada Mei 2023, diorang menyiasat seorang Tan Sri dan seorang bekas menteri yang didakwa menyelewengkan lebih dari RM2.3 bilion dana negara. Pada Jun 2023 pula, diorang arahkan Tun Daim untuk isytiharkan aset peribadi, tapi dia asyik tangguh. Pastu baru-baru ni, menara dia disita dan keluarganya dipanggil untuk memberi keterangan. Eh kejap, kenapa pulak keluarga dia kena panggil?

Isteri dan dua anak (kanan dan belakang) Tun Daim. Imej dari Berita Harian

Rupa-rupanya, isteri dan dua anak laki Tun Daim ada kaitan dengan beberapa syarikat luar negara yang kebanyakan kat Britain. Tun Daim sendiri berkait rapat dengan 5 syarikat, dan yang menariknya, kesemua 5 ni ada hubungkait dengan Asiaciti Trust iaitu sebuah syarikat kewangan antarabangsa. Syarikat ni terkenal sebab kerap terlibat dengan golongan kaya dunia yang sering elak cukai, melakukan rasuah dan pengubahan wang haram. Kat Malaysia, tak salah kalau ada akaun luar negara, tapi memang salah kalau guna untuk tujuan-tujuan tu semua.

Walaupun SPRM tak bagi banyak maklumat, Channel News Asia dah kaitkan kisah ni dengan satu perjanjian korporat antara UEM dan Renong pada tahun 1997 yang bernilai… RM2.3 bilion.

Paparan surat khabar pada 1997 yang meliputi kes Renong-UEM. Imej dari The Edge

Dulu, UEM ni bawah UMNO, dan time Tun Daim jadi Menteri Kewangan, diorang diberi pelbagai projek kerajaan. Syarikat induk UEM, iaitu Renong, kemudian diambil alih oleh Halim Saad. Tapi siapa Halim Saad? Kalau korang teka dia salah sorang “Daim’s boys,” korang memang betul.

Inilah Halim Saad. Imej dari Malaysia Post

Memula, semua ok je untuk Renong dan anak syarikatnya. Tapi bila krisis kewangan Asia 1997 melanda, pasaran saham terus terbalik dan nilai Renong pun jatuh gila babeng. Lepas tu tiba-tiba terbongkar, UEM yang kaya-raya tu membeli 32% saham Renong dengan harga yag jauh lagi tinggi daripada nilai pasaran. Jumlah keseluruhan yang dihabiskan? RM2.3 bilion.

Menurut MalaysiaKini,

“Urusniaga itu dilihat sebagai usaha menyelamatkan Renong dan Halim, sementara penganalisis meragui dakwaan bahawa saham itu dibeli di pasaran terbuka kerana, menurut International Herald Tribune, jumlah saham yang terlibat adalah bersamaan dengan empat bulan dagangan.”

UEM dan Renong dua-dua diambil alih oleh Khazanah Nasional pada tahun 2001. Dan sampai hari ini, ramai yang percaya Tun Daim lah dalang di sebalik perjanjian UEM-Renong tu.

Sebenarnya, banyak juga jargon korporat, peratusan, dan nama-nama korang tak kenal yang kita gunakan kat sini. Jadi, untuk lebih senang faham keseriusan skandal UEM-Renong ni, bayangkan kalau anak PM terjerat dalam hutang yang teruk, pastu PM kata, “takpe lah nak, kita suruh kerajaan beli kereta lama kau yang harga asalnya RM5,000 tu dengan harga RM5 juta.” Jadi, sebab ada bapa yang sporting, hutang anak terus lenyap, malah ada duit lebih untuk berjoli 😊✌🏻

Sekarang, semuanya bergantung kepada pihak berkuasa nak siasat. Tetapi baru-baru ni, isteri Tun Daim kata tuduhan rasuah oleh SPRM ni sebab dendam peribadi Anwar terhadap suaminya. Dan benda tu buat kami terfikir…

 

Apakah niat sebenar Anwar dalam cerita ni?

Seperti yang korang mungkin perasan, sejak Anwar jadi PM, kita dah nampak beberapa ahli politik macam Muhyiddin, Wan Saiful Wan Jan, dan Syed Saddiq berdepan dengan kes rasuah kat mahkamah. Dan walaupun pendirian anti-rasuah Anwar mungkin diketahui umum, ada yang berpendapat dia tengah membalas dendam terhadap musuh-musuh politiknya.

Ni musuh besar. Imej dari FMT

Tertera dalam surat yang ditulis dari penjara, Anwar menuduh Mahathir dan Tun Daim sebagai perancang utama kejatuhannya. Dan sekarang, ada yang kata Mahathir mungkin akan menjadi sasaran seterusnya. Pastu walaupun kita memang seronok tengok pihak berkuasa ambik tindakan dalam kes rasuah, korang masih kena ingat ada kes-kes dalam kem Anwar yang dah digugurkan.

Jadi apa cerita sekarang? Tun Daim didakwa ada kroninya sendiri. Anwar pun nampak macam melindungi orang yang rapat dengan dia, walaupun ada yang kata mereka bersalah. Last-last, daripada musuh sejati, diorang ni sebenarnya 2 x 5, 5 x 2…?