PKR ‘merajuk’ dengan MUDA? 5 perkara kitorang perasan masa majlis pelancaran MUDA

(This article is a translation from our sister site, CILISOS)

Dengan PRN Johor yang bakal diadakan bulan depan, Parti MUDA nampaknya akan bertanding di 6 kerusi, hasil rundingan bersama Pakatan Harapan.

Jadi apa lagi, kitorang pun ambil peluang untuk menghadiri majlis pelancaran Parti MUDA di Connexion@Nexus, Kerinchi, memandangkan pendaftaran mereka sebagai parti politik akhirnya berjaya pada penghujung tahun lalu, selepas gagal pada kali pertama. Walaupun baru berusia 3 bulan, meriah dia lain macam!

Majlis pelancaran parti MUDA, dihadiri beberapa ahli parti Pembangkang yang lain. Gambar daripada: Hari Anggara/Malay Mail

Walaupun presiden parti, Syed Saddiq berjaya mencuri perhatian semua orang dengan ucapannya yang sangat memberangsangkan, tapi ada beberapa perkara yang kitorang perhatikan semasa event tu berlangsung, beserta beberapa perkara lain dari sidang akhbar selepas tu. Contohnya…

1) MUDA adalah parti yang meraikan kepelbagaian, dan nakkan lebih ramai perwakilan wanita dalam pilihan raya

Walaupun sekarang ni memang dah ada ramai perempuan yang memegang beberapa jawatan tertinggi dalam parti (macam Amira Aisya, Setiausaha Agung, dan Siti Rahayu Baharin, Naib Presiden), MUDA sedang berusaha untuk meningkatkan lagi perwakilan wanita dalam pemilihan akan datang. Kata Syed Saddiq:

“Jika MUDA mahu menjadi parti masa hadapan negara, ia tidak cukup sekadar mencalonkan rakyat yang berbilang bangsa dan agama tetapi memastikan perwakilan wanita yang agak besar.” – Syed Saddiq.

Amira Aisya, Setiausaha Agung MUDA, yang turut berucap pada majlis pelancaran itu. Imej dari The Vibes

Tapi apa yang dilakukan MUDA ni bukanlah semata-mata demi kepelbagaian je; sebab berdasarkan anggaran terkini yang diberikan oleh sumber kitorang dalam pasukan maklumat MUDA, parti tu kini mempunyai kira-kira 75,000-76,000 ahli di seluruh Malaysia, terdiri daripada 57% lelaki dan 43% wanita. Yang ni kitorang boleh jamin sebab kitorang sendiri datang event tu.

Bukan wanita je, sebab menurut Syed Saddiq, ahli dari semua lapisan masyarakat dialu-alukan, kerana pengalaman politik adalah yang kedua. Pemimpin tertinggi Amira Aisyah, Teo Lee Ken, dan Shahrizal Denci sendiri tak pernah ada pengalaman politik sebelum ni. Sebabnya? Platform parti MUDA adalah berdasarkan akar umbi dan politik perkhidmatan, di mana parti tu menekankan etika kerja seseorang, dan bukannya pengalaman politik:

“Dia bercampur-campur. Sebab itu kita nak pastikan bahawa calon-calon yang dikemukakan adalah mereka yang kuat berkhidmat, kuat bekerja, dan ada pengalaman dari segi penambah baikan dasar, ataupun dalam NGO, sektor korporat dan banyak lagi. So it’s a team, satu pasukan bersama. Dia tidak hanya diambil di sini, atau di sana, ia adalah gabungan.” – Syed Saddiq.

Syed Saddiq dan MUDA sendiri menghulurkan bantuan untuk mangsa banjir akhir tahun lalu. Imej dari: FB/FMT Syed Saddiq

Syed Saddiq sendiri tak sabar untuk individu-individu ni mempamerkan keupayaan mereka dalam pilihan raya akan datang, sebab…

2) MUDA cuba berdikari dan bukan hanya bergantung kepada Syed Saddiq

Sebagai pemain DOTA 2 sendiri, Saddiq akan tahu yang dia tak boleh buat semua benda sendiri sepanjang masa. Sebab tu jugalah, dia percaya yang adanya beberapa bakat sebenar dalam barisan MUDA:

“Saya ingin pastikan bahawa orang boleh melihat ramai lagi pemimpin-pemimpin lain yang bersama dalam MUDA yang wajar diberikan perhatian yang secukupnya, kerana mereka ini jauh lebih baik daripada saya.” – Syed Saddiq.

Asalkan bukan lagi bagus dalam DOTA, kan YB? Imej dari Twitter SS

Tapi, siapa mereka ni? – kita cuma perlu tunggu dan lihat, sebab Saddiq kata mereka hanya akan mengumumkan calon pertama minggu depan (bukan Syed Saddiq).

Dia juga menyebut, calon yang bertanding (kebanyakannya wanita) mempunyai pengalaman berkhidmat, pelbagai latar belakang, dan berminat dalam politik akar umbi.

Jadi, rancangan MUDA ni nampak macam agak kukuh. Tapi, kita masih ada persoalan yang belum terjawab, iaitu… butiran perjanjian MUDA dengan Amanah dan DAP. Kitorang agak kecewa jugalah sebab…

3) Syed Saddiq terus menepis soalan-soalan berkaitan Pakatan Pakatan

Walaupun ditanya berulang kali dengan gigih oleh wartawan, Saddiq tetap mengelak dari menjawab soalan tentang pakatan pilihan raya yang ditandatangani antara MUDA, Amanah dan DAP, dengan memberikan respons yang sama setiap kali:

“Saya fikir adalah lebih baik untuk membiarkan perbincangan berlaku di sebalik pintu tertutup. Jika ada sebarang maklum balas, saya akan maklumkan kepada rakan-rakan saya di media.” – Syed Saddiq.

Menandatangani rundingan antara DAP, Amanah, dan MUDA. Gambar dari: Malaysiakini/Pakatan Harapan

Apa yang kitorang tahu, setakat ni, enam kerusi yang akan ditandingi oleh MUDA ialah di Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai. Dengan UNDI18 akhirnya mula beraksi buat kali pertama dalam pilihan raya Johor, kemasukan MUDA ke dalam campuran mungkin memberikan gabungan Pakatan Harapan nafas segar yang amat diperlukan, memandangkan PKR baru-baru ni meminggirkan diridaripada gabungan tu:

“Itulah sebabnya anda melihat dalam parti penubuhan juga, bercakap tentang menempatkan calon yang lebih muda. Saya fikir itu adalah salah satu kesan terbesar UNDI18. Bukan sahaja tentang meletakkan calon muda, tetapi untuk memastikan hasil dasar dan cadangan dasar juga memihak kepada golongan muda.” – Syed Saddiq

Oh cakap pasal PKR…

4) PKR tak hadir, walaupun telah dijemput

Macam yang kitorang bagitau dalam tajuk tadi, PKR sendiri pun tak tunjuk batang hidung kat event MUDA. Bukan Syed Saddiq je, Amira Aisya pun kena benda yang sama. 

Ini Syed Sedih

Syed Saddiq cuba cover dengan mengatakan “mereka tak dapat hadir”, tapi ketidak hadiran mereka juga meninggalkan banyak ketidakpastian tentang sokongan PKR terhadap MUDA dan Pakatan. Setelah menggugurkan Pakatan dan memilih untuk menggunakan logo mereka sendiri, PKR nampak macam nak jadi lone ranger untuk PRN Johor ni.

Manakala MUDA pula macam dah tertembak diri sendiri apabila mendapat kecaman disebabkan sebuah gambar kontroversi yang seolah-olah menunjukkan PKR juga terlibat dalam rasuah politik:

Imej dari Parti MUDA Kedah FB/Malaysiakini

Bagaimanapun, menurut perkembangan terkini, Ketua maklumat MUDA dah pun meminta maaf. Rundingan antara MUDA dan PKR juga dikatakan ‘masih berterusan’, di mana MUDA ditawarkan tiga kerusi untuk pilihan raya Johor (menjadikan jumlahnya kepada 9 kerusi untuk MUDA). Walaupun begitu, keputusan untuk menyerahkan kerusi-kerusi ini tak begitu dipersetujui oleh akar umbi PKR:

“Memang ada perasaan kurang senang dalam kalangan akar umbi PKR… Kami menghormati kerusi itu milik Amanah, tetapi sekarang Amanah telah memberikannya kepada MUDA, jadi agak janggal rasanya.” – Ahmad Syukri Ab Razak, Setiausaha Pemuda PKR

Walaupun pandangan PKR tentang perikatan MUDA ni mungkin dah bercanggah, MUDA kata sebaliknya. Bak kata Syed Saddiq semasa ucapannya di majlis itu:

“Kita jangan lupa siapa kawan kita. Rakan-rakan kita dari Parti Warisan Sabah, DAP, Amanah dan Parti SAINS, serta rakan-rakan kita yang tidak berada di sini, PKR.” – Syed Saddiq

Oh, cakap pasal Parti SAINS

5) Parti SAINS juga menghadiri majlis tersebut, dan telah diiktiraf oleh MUDA

Agak kelakar juga sebenarnya sebab bagi korang yang tak tahu, Parti Aspirasi Sains SeMalaysia (SAINS) (di mana kitorang pernah interview presidennya, Kenneth Chai tak lama dulu) adalah sebuah parti politik berasaskan sains dan bukti yang bermula sebagai meme Twitter yang memerli parti politik tertentu. Permohonan mereka untuk menjadi parti politik telah ditolak baru-baru ini oleh RoS, tetapi percayalah bila kitorang kata, diorang ni memang cool habis!

Kalau korang nak tahu betapa kuatnya meme game parti ni, diorang menggunakan nombor 69 untuk semua perkara yang berkaitan dengan parti; daripada yuran keahlian kepada mesyuarat tahunan mereka.

Agak-agak macam parti apa ye? Imej dari Twitter Parti Aspirasi Sains Malaysia

Jadi, korang boleh bayangkan la macam mana excitednya kitorang bila Syed Saddiq sendiri perasan sebut pasal kehadiran diorang semasa sidang akhbar tu, dan menyatakan yang mereka adalah parti pertama menerima jemputan MUDA. Bukan tu je, SS juga secara lisan mengiktiraf hak mereka untuk wujud sebagai parti politik rasmi di Malaysia.

PRN Johor adalah peluang MUDA untuk menunjukkan yang mereka bukan cakap besar di media sosial je

Walaupun masih baru, tapi bilangan keahlian MUDA agak memberangsangkan. Mereka nampaknya mempunyai pengaruh yang cukup kuat untuk membawa kepada perubahan besar dalam politik Malaysia kalau diorang bijak dalam percaturan politik Malaysia.

Walaupun kritikan dilemparkan terhadap mereka di mana mereka cuma terkenal di media sosial je, MUDA nampak macam tahu apa yang mereka lakukan. Dan kini, pakatan mereka dengan Pakatan benar-benar menjadikan mereka sebuah kuasa yang boleh dipertimbangkan. Kitorang tak pasti juga apa yang akan berlaku di Johor, tapi hasilnya akan menjadi batu ukur, ke mana hala tuju MUDA dalam politik Malaysia.

Syed Saddiq yang berucap dalam event tersebut. Imej dari Hari Anggara/Malay Mail

Mungkin pemikiran MUDA dalam pilihan raya ini boleh disimpulkan dengan jawapan tegas Syed Saddiq terhadap soalan tentang mereka hanya terkenal di media sosial:

“Biar rakyat yang tentukan di Johor. Anda boleh menilai sendiri; walaupun MUDA belum didaftarkan pada bulan Disember, kami berjaya mengumpul dana sebanyak RM3.7 juta, dan turut menggerakkan lebih 11,000 sukarelawan di seluruh Malaysia.

Berbas-bas turun daripada satu negeri kepada negeri yang lain untuk memberikan bantuan untuk bersihkan rumah, untuk selamatkan mereka yang terkesan, dan selepas itu memberikan mereka peralatan elektronik.

Ini adalah usaha yang jelas, yang datang daripada MUDA dan rakyat. Mereka ini kuat berkhidmat. Dan itu adalah dalam fokus kami. Untuk melihat kekuatannya, saya rasa lebih baik biar rakyat tentukan dalam pilihan raya.” – Syed Saddiq