“Elaun diberikan terlalu sikit” Wajarkah PLKN dilaksanakan semula selepas ekonomi pulih?

Baru-baru ini, Kerajaan bercadang ingin melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk golongan muda selepas ia ditamatkan pada zaman pemerintahan PH (2018). Menurut Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, PLKN dapat menaikkan semangat patriotisme dalam golongan muda.

Namun, cadangan ini ditentang oleh ramai pengguna media sosial lebih-lebih lagi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq. Dia menyatakan bahawa jangan gunakan retorik patriotisme dan semangat cintakan negara untuk program yang menghabiskan duit sahaja sebaliknya boleh disumbangkan untuk ekonomi negara.

Huru-hara geng di media sosial apabila Kerajaan nak laksanakan semula PLKN. Jangan risau, mari kami huraikan mengenai adakah PLKN berkesan dalam menaikkan semangat patriostisme?

PLKN menelan kos yang banyak sejak mula dilaksanakan

Lagi tinggi dinding, lagi susah nak naik. Imej dari daeng selili.

Antara sebab kenapa ramai orang tidak bersetuju dengan perlaksanaan semula PLKN adalah disebabkan kosnya yang cekik darah. Dua tahun yang lepas, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (nama manjanya Mat Sabu) menyatakan sejak 2004, program PLKN telah menelan perbelanjaan sebanyak RM8.43 bilion.

“Kita membelanjakan sebahagian besar peruntukan PLKN hanya untuk membayar sewa kem pada kadar terlalu tinggi, bukannya bagi aktiviti kokurikulum atau perkara lain. Justeru, kita perlu mengkaji perkara ini supaya dapat mengelak pembaziran pada masa akan datang.” – Mat Sabu, bekas Menteri Pertahanan, diambil dari Berita Harian.

Majoriti orang mencadangkan supaya Kerajaan melabur kos perlaksanaan PLKN untuk perkara yang lain. Peluang pekerjaan merupakan satu cadangan yang dikemukakan oleh pengguna media sosial kerana zaman pandemik ini, ramai penganggur yang sedang berusaha mencari kerja walaupun banyak kali ditolak.

ciapan yang mencadangkan untuk mengurangkan jumlah penganggur. Imej dari akaun Twitter Shyxmm.

Malahan, terdapat majoriti yang mencadangkan Kerajaan supaya perbelanjaan untuk PLKN dilaburkan kepada institusi pendidikan. Kelajuan internet dan kemudahan teknologi moden sangat penting pada waktu ini memandangkan pelajar, guru dan pensyarah melakukan sesi pembelajaran 100% secara dalam talian. Segala kerja rumah ataupun tugasan akan diberikan dalam bentuk salinan lembut (softcopy).

Kerajaan sepatutnya memfokuskan bantuan kepada pelajar yang tidak mempunyai kemudahan teknologi moden seperti komputer riba dan kemudahan internet. Hal ini kerana bukan semua orang berkemampuan lebih-lebih lagi di zaman ramai orang hilang kerja ini.

Jangan bersedih semua. Imej dari Meme Creator.

Berdasarkan kajian dari UNICEF, Families on The Edge, 8 dari 10 kanak-kanak di Malaysia menggunakan e-pembelajaran apabila Malaysia melaksanakan PKP. Namun, 2 dari 5 daripadanya kekurangan teknologi moden yang menyebabkan mereka susah untuk belajar dan kadangkala mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon semata-mata untuk menyiapkan kerja sekolah.

“Anak-anak saya yang bersekolah menggunakan WhatsApp untuk menerima maklumat dari sekolah… mereka perlu bergiliran menggunakan telefon. “- Puan F, petikan dari Families on The Edge.

Bagaimanapun, Kerajaan juga ada memberikan internet percuma sebanyak 1GB kepada seluruh rakyat Malaysia dan ia serba sedikit dapat membantu pelajar dalam sesi pembelajaran dalam talian.

Elaun diberikan sangat sedikit dan modul pembelajaran seperti sekolah

Tak dinafikan PLKN ini dapat menghubungkan eratan silaturahim. Imej dari NST.

Memandangkan ramai yang tidak puas hati dengan isu ini, kami telah memangil dua orang responden yang pernah pergi ke PLKN untuk menceritakan pengalaman mereka.

Menurut responden pertama, Amirul, pernah mempunyai pengalaman menyertai PLKN di Kem PLKN Princess Haliza. Pada pendapat dia, PLKN ini ibarat nak ajar golongan muda dalam ilmu ketenteraan, tetapi lebih banyak menerapkan semangat patriotik sahaja.

“Gaya macam nak ajar budak-budak tentang ilmu ketenteraan tetapi semangat patriotisme sahaja yang banyak diajar. Itu pun bukan cukup untuk budak-budak yang sertainya kerana lepas mereka balik rumah dah hilang semangat itu.” – Amirul, katanya ketika ditemu ramah.

Amirul juga berkata elaun yang diterima tidak banyak, lebih baik mereka ini pergi buat kerja sambilan dan merasai betapa susahnya mencari duit. Elaun yang diterima oleh budak-budak PLKN ini hanya RM450 untuk tiga bulan. (kiranya sebulan RM150 la, sikit gila!)

Namun, dia juga berkata ada faedahnya bila kita menyertai PLKN kerana dia dapat ramai kawan baru kerana di sana semangat setiakawan sangat dititikberatkan.

Siapa pernah kena boleh cerita sikit dengan kami. Imej dari Meme Creator.

Menurut responden kedua pula, Zulhilmi, pernah mempunyai pengalaman menyertai PLKN di Kem PLKN Lagenda Gunung Ledang Asahan. Berdasarkan pendapat dia, PLKN ini sangat bagus untuk membina jati diri dan memperbaiki disiplin golongan muda.

“Saya rasa PLKN ini sangat bagus kerana dapat memperbaiki disiplin budak-budak kerana di sana, budak-budak ini akan melakukan aktiviti kawad kaki, pergi ke hutan, berenang dan menembak.” – Zulhilmi, katanya ketika ditemu ramah.

Dia juga kata Kerajaan wajar melaksanakan semula PLKN kerana jika dilihat disiplin budak-budak zaman sekarang, sangat teruk dan semangat patriotik dalam diri mereka semakin hilang. Jika PLKN dibubarkan secara serta-merta, dia membayangkan yang generasi baru kita akan hilang semangat cinta akan negara dan tidak kisah dengan apa yang berlaku di Malaysia.

“Cuba kita lihat dengan budak zaman sekarang, dengan main TikTok macam bodoh, merempit sana-sini dan sebagainya. Bukan itu sahaja, kita boleh nampak mereka ini sudah hilang sikap hormat terhadap ibu bapa dan orang tua. Selepas balik dari PLKN budak-budak akan mendapat kenangan malah, semangat cinta akan negara semakin membara di dalam hati mereka.” – Zulhilmi, katanya lagi.

PALAPES lebih efektif berbanding PLKN terhadap golongan muda

Angkatan PALAPES yang gagah. Imej dari Unit PALAPES.

Menurut bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, pembangunan ekonomi harus diutamakan memandangkan kadar pengangguran yang tinggi pada tahun ini akibat COVID-19. Hal ini kerana berdasarkan data dari Jabatan Perangkaan, sebanyak 826 100 orang yang hilang pekerjaan pada mei yang lalu tetapi jumlah pengangguran berkurangan kepada 544 500 orang selepas PKPP dilaksanakan.

“Kerajaan harus utamakan peluang ekonomi, peluang pekerjaan, pada masa sama PLKN boleh dihidupkan dengan kos minimum mengguna pakai kemudahan yang ada dan modul lama, tidak melibatkan perbelanjaan besar, guna kepakaran dan prasarana sedia ada sekiranya dana mencukupi.” – Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), dipetik dari Astro Awani.

PLKN tidak perlu ditinggalkan secara kesulurahan kerana Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) masih wujud dan buat permulaan, kerajaan mungkin boleh merancang perkara asas, kajian dan kesesuaian untuk melaksakan semula program itu tanpa kos yang banyak.

Menurut Amirul (responden pertama kami), Kerajaan sepatutnya memansuhkan PLKN kerana negara kita sendiri sudah ada PALAPES  jika mahukan golongan muda belajar ilmu tentera dan semangat patriotik.

Bagaimanapun, Zul (responden kedua kami) berkata, Kerajaan boleh melaksanakan PLKN tetapi mereka perlu rangka semula visi dan misinya. Hal ini kerana ramai golongan muda masih tidak tahu kenapa PLKN dilaksanakan dan ia menjadi sebab kenapa majoriti yang masuk kerana terpaksa.

Zul juga berkata, Kerajaan mungkin boleh menjadikan sijil PLKN supaya lebih berharga dan bukan sekadar hiasan di dalam bingkai sahaja. Oleh itu, adakah Kerajaan akan melaksanakan semula PLKN selepas ekonomi kembali pulih dan wabak pandemik COVID-19 sudah tamat?