Pendidikan & Kesihatan

Perkataan COMPOUND dipinjam dari perkataan KAMPUNG?

Bahasa Melayu yang kita cintai ini sejak dari dulu mempunyai hubungan serta pertembungan dengan bahasa lain. Ia terhubung dan bertembung dengan bahasa  Sanskrit, Tamil, Portugis, Belanda, Hindustan, Mandarin, Arab, Jawa dan juga Inggeris.

Salah satu kesan pertembungan ini juga telah menyebabkan berlakunya peminjaman perkataan dari satu bahasa kepada bahasa yang lain. Proses ini dipanggil sebagai kata pinjaman atau loanword.

Imej dari Meme Centre

Untuk pengetahuan semua, sejak Perang Dunia Kedua, bahasa Inggeris adalah bahasa yang paling banyak meminjam perkataan dari bahasa lain. Salah satu bahasa yang dipinjam oleh bahasa Inggeris semestinya dari bahasa Melayu. Kali ini, SOSCILI akan senaraikan beberapa perkataan Inggeris yang mungkin biasa kita dengar, rupa-rupanya dari bahasa Melayu.

1) Nama-nama pokok yang bahasa Inggeris pinjam

Bamboo

Bamboo ini bermaksud buluh. Menurut kamus Oxford, perkataan ini datang daripada perkataan Bamboes dari bahasa Belanda yang mana asalnya dari perkataan Melayu iaitu mambu. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu di Malaysia telah menggantikannya dengan perkataan buluh. Tetapi bahasa Melayu di Indonesia masih menggunakan perkataan bambu.

Caladium

Caladium adalah sejenis pokok tropika dari Amerika Selatan. Warna dia memang pelbagai yang menjadikannya ia cantik. Perkataan ini telah digunakan sejak tahun 1801 yang berasal dari perkataan Melayu, keladi.

Umpama mencurah air ke daun Caladium. Imej dari American Meadows

Mangosteen

Siapa sangka, dari sekolah dulu belajar pasal buah dalam bahasa Inggeris, mesti salah satunya mangosteen dijadikan contoh. Ya, memang betul bahawa perkataan ini meminjam perkataan Melayu, manggisutan. Sudah lama digunakan sejak tahun 1598.

2) Nama-nama haiwan yang dipinjam bahasa Inggeris

Babirusa

Salah satu haiwan yang disenaraikan sebagai spesis terancam oleh International Union for Conservation of Nature adalah Babirusa. Ya, dalam Bahasa Inggeris ia dipanggil Babirusa. Binatang termasuk dalam keluarga babi yang mempunyai gading yang memanjang dan melencong ke atas. Perkataan ini telah digunakan sejak 1673 berasal dari gabungan perkataan babi (pig) + rusa (deer).

Ya, saya kapten Babirusa. Imej dari Cool Green Science

Cockatoo

Dari kecil sampailah tua, lagu “Burung Kakatua, terbang di jendela” tak pernah lapuk ditelan zaman. Rupa-rupanya, orang Inggeris panggil sejenis burung Australasian ini sebagai Cockatoo sejak 1634 lagi. Perkataan ini datang dari perkataan Belanda, kaketoe yang berasal dari perkataan Melayu, kakatua.

Gecko

Semua orang mesti biasa dengar pasal cicak Gecko. Pernah juga berlaku banyak isu penyeludupan cicak jenis ini dengan harga yang mahal. Seda tak sedar, perkataan Gecko itu sendiri berasal dari perkataan Melayu, Geko. Perkataan Gecko digunakan sejak dari tahun 1774 lagi.

3) Perkataan kati digunakan untuk pelbagai maksud

Caddy

Perkataan sinonim bagi bekas kecil atau tempat letak sesuatu dalam bahasa Inggeris adalah bin, box, case atau pun caddy. Untuk perkataan caddy ia biasa dikaitkan dengan bekas kecil yang menyimpan teh atau tea caddy. Untuk pengetahuan semua, perkataan caddy ini telah digunakan sejak 1785 yang berasal dari perkataan Melayu iaitu kati.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Tea Caddy. Teh sekati. Imej dari Bettys

Catty

Di dunia China dan Asia Tenggara memang biasa menggunakan kiraan berat yang dipanggil catty. Ianya bersal dari kati yang mempunyai unit timbangan berat bersamaan 0.61 kg.

Picul

Pada akhir abad ke-16, seorang penterjemah bernama Robert Parke telah menggunakan kiraan Picul yang bermaksud 100 catties. Ia diguna pakai di kawasan China dan Asia Tenggara. Perkataan ini berasal dari perkataan Melayu, pikul.

4) Istilah kimia dan sains yang meminjam perkataan Melayu

Camphour

Siapa yang belajar Kimia dulu, mungkinlah pernah terjumpa sebatian (compound) yang ditulis sebagai C10H16O. Sebatian ini boleh dijumpai dari kayu dan kulit kayu kapur. Bahan ini ada juga digunakan dalam perubatan, sebagai bahan plastik (plasticizer) dan penghalau serangga. Perkataan Camphour ini terhasil dan berasal dari perkataan  Zaman Pertengahan Latin, camphora, juga berasal dari perkataan Arab, kafur dan perkataan Melayu, kapur yang mempunyai pengaruh Sanskrit.

Tablet Camphour. Imej Indiamart

Tombac

Ia adalah sejenis aloi tembaga (brass alloy) dengan kandungan zink sebanyak 5 hingga 20%. Kadang kala diperbuat dari campuran tin dan arsenik untuk barang perhiasan rumah. Perkataan Tombac datang dari bahasa Perancis yang mempunyai asal-usul perkataan Belanda, tombak dan juga perkataan Melayu, tembaga. Ia digunaka sejak tahun 1602.

5) Perkataan Inggeris yang biasa kita dengar, tapi ada banyak maksud

Compound

Perkataan ini mempunyai maksud yang banyak dan luas. Kalau dalam istilah kimia, ia dipanggil sebatian. Tapi, salah satu maksud compound juga adalah ‘sebuah kawasan berpagar atau bertembok yang mengandungi sekumpulan bangunan dan khususnya kediaman’. Maksud ini diambil melalui perkataan asalnya dari bahasa Melayu iaitu kampung.

Launch

Biasa kita dengar “launching the rocket” kalau jenis main game tembak-tembak. Perkataan Launch ini pun mempunyai maksud yang banyak. Kalau digunakan untuk kata kerja, ianya bermaksud melancarkan. Jika ia diguna untuk kata nama, ia akan membawa maksud “sebuah bot besar yang beroperasi dari sebuah kapal” atau “sebuah bot kecil yang bahagian depannya tertutup”. Bagi maksud ini, perkataan Launch diambil dari perkataan Melayu, lancharan (sejenis kapal) yang perkataan asalnya adalah lanchar.

Silap maksud bahaya ni. Imej dari Make A Meme

Banyak lagi perkataan Melayu yang dipinjam oleh bahasa Inggeris

Perkataan yang popular macam amok, Orang Utan, agar, attap dan lain-lain juga mempunyai sejarah penggunaannya yang tersendiri.  Kalau nak tahu, boleh tengok pada link ni. Pada tahun 2016, ada beberapa lagi perkataan yang dah kita biasa gunakan telah dimasukkan ke dalam kamus Oxford seperti Lepak dan Teh Tarik. Tak ada pula orang putih tukar jadi ‘pull tea’ kan?

Sedar atau tak, bahasa Melayu juga telah mempengaruhi kewujudan perkataan bahasa Inggeris. Sejarahnya begitu panjang sejak kuasa-kuasa Eropah mempunyai hubungan dengan Kesultanan Melayu pada abad ke-16. Ianya terus mempunyai hubungan sehinggalah zaman sekarang. Jadi, hargailah bahasa kita ini kerana ia mempunya martabatnya yang tersendiri. Jangan sesekali memperkecilkan keupayaan bahasa kebangsaan yang sudah wujud lebih dari 1,000 tahun.

 

 

 

 

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend