Sejarawan kesan fakta salah pada Sidang Pertama Raja-raja Melayu. Apa silapnya?

Seperti kita semua tahu Malaysia duduk di bawah sistem Raja Berpelembagaan, di mana kita masih mempunyai kerabat diraja dalam sistem kepimpinan kita. Yang di-Pertuan Agong akan dipilih dikalangan sembilan Raja Melayu setiap lima tahun oleh Majlis Raja-raja Melayu dan ia selaras dengan negara yang demokratik.

Tetapi, pernah tak kita semua terfikir dari mana sebenarnya benda ni bermula. Adakah semua celik tentang apa yang terjadi pada satu abad yang lalu? Kepada yang sudah celik pula, korang tahu tak sebenarnya ada kesalahan fakta dalam buku sejarah tentang perkara ni? Kalau korang nak tahu lebih lanjut, teruskan membaca.

Sidang Raja-raja Melayu yang pertama pada 1897

Durbar pertama pada 1897. Imej dari PeKhabar

Pada hari Selasa, 13 Julai 1897, Sidang Raja-raja Melayu atau dipanggil Durbar telah diadakan buat julung kalinya di Istana Negara, Kuala Kangsar, Perak. Yang menariknya, British juga terlibat dalam persidangan ni. Bila difikirkan balik apa je sebab British ni datang sidang Raja-raja ni, dorang bukan raja pun.

Sebenarnya, Durbar ini ditubuhkan oleh pihak British sendiri ketika membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) yang diwakili empat negeri semenanjung tanah Melayu iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.  Maksud perkataan ‘Durbar’ itu sendiri adalah ‘Istana Raja’ yang diambil British dari institusi tradisi raja yang berasal dari India.

Durbar berperanan sebagai sebuah majlis persidangan bagi Raja-raja Melayu NNMB untuk membincangkan hal ehwal pentadbiran kerajaan persekutuan dengan Residen-residen British, Residen Jeneral dan Pesuruhjaya Tinggi British di tanah Melayu. British menganggap Durbar ini sebagai penerimaan Raja-raja Melayu terhadap pembentukan NNMB serta kesetiaan kepada Ratu England pada masa itu.

Sidang Durbar yang pertama telah dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Idris; Sultan Pahang, Sultan Ahmad; Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad dan Yam Tuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad. Yang hadir bagi pihak kerajaan British pula ialah Sir Charles Mitchell, Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu; Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu; Hugh Clifford, Residen Pahang; J.P Rodger, Residen Selangor dan W.H. Treacher, Residen Negeri Perak.

Residen Jeneral, Sir Hugh Clifford. Imej dari The British Empire

Kira dulu-dulu pun kita semua memang dah bekerjasama dengan British la, kira okay la dapat bekerjasama tu sebab kalau asyik masa zaman Jepun nak borak dengan pihak dorang pun susah kot.

Isu penting dan panas semasa persidangan Durbar

Sidang Raja-raja Melayu. Imej dari Harakah Daily

Antara perkara penting yang menjadi tumpuan dalam persidangan Durbar ialah berkaitan hal ehwal pengurusan kewangan, masalah beban hutang, penetapan cukai timah dan candu, pembinaan landasan kereta api, pentadbiran tanah, peraturan buruh, hal ehwal pentadbiran islam yang melibatkan pelantikan kadi, pembinaan masjid, pendaftaran perkahwinan dan penceraian.

Banyak benda yang dibincangkan semasa Durbar tetapi ada juga ketidakpuasan hati dari pihak Raja-raja Melayu. Perkara itu terjadi semasa persidangan Durbar yang kedua pada tarikh 20 Julai 1903, di mana Raja-raja Melayu menggunakan peluang itu untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan buah fikiran mereka demi kepentingan orang Melayu.

Dikatakan yang paling lantang membangkitkan isu semasa Durbar edisi kedua itu adalah Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Murshidul’adzam Shah. Baginda menggesa supaya lebih ramai orang Melayu dilantik ke jawatan yang lebih tinggi dalam jabatan-jabatan kerajaan, menentang usul Inggeris untuk menyatukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu kerana penyatuan dan pemusatan kuasa boleh mengakibatkan Sultan kehilangan kuasa mutlak dan berharap agar Negeri-negeri Melayu Bersekutu dikekalkan sebagai entiti yang berasingan.

Almarhum Sultan Idris Murshidul’adzam Shah. Imej dari Sultan.Perak

Baginda juga menegaskan bahawa perlantikan Residen Jeneral adalah bertentangan dengan syarat-syarat Perjanjian Pangkor yang menetapkan Sultan Perak menerima residen sebagai penasihat dan bukan Residen General. Oleh sebab itu, persidangan Durbar yang kedua ini memberi sinar baharu kepada Raja-raja untuk memperjuangkan hak-hak mereka.

Betul marah Sultan Perak dulu, mana taknya dah kalau jawatan dalam institusi kerajaan dekat tanah Melayu ketika itu diterajui oleh kaum penjajah je. Yang dapat jawatan dalam kerajaan tu pun semua kroni-kroni British, tu yang sampai zaman sekarang pun orang masih ikut budaya pengambilan kroni.

Penubuhan Majlis Mesyuarat Persekutuan sehingga menyinggung Raja-raja Melayu

Hugh Clifford bersama Sultan Pahang. Imej dari Blogspot

Pada 1909, British membentuk Majlis Mesyuarat Persekutuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, di mana ia bertujuan untuk mewujudkan pemusatan kuasa perundangan mengikut asas-asas Parlimen. Majlis ini mempunyai 13 orang ahli yang dilantik termasuk Raja keempat-empat NNMB, Residen Jeneral British, keempat-empat Residen British serta empat orang ahli tidak rasmi.

Tindakan British itu telah menyebabkan Raja-raja Melayu menarik diri daripada hadir dalam Durbar sehingga tahun 1927. Hal ini demikian kerana, pembentukan Majlis Mesyuarat Persekutuan menerusi Perjanjian Persekutuan 1909, telah mencemari dan mencabar kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai pihak yang memegang kuasa sebagai pemimpin di dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Yang dimaksudkan adalah, Majlis Mesyuarat Persekutuan ini merupakan salah satu cara untuk British mewujudkan pemusatan kuasa dalam pucuk pimpinan kerajaan pada ketika itu. Oleh itu, Raja-raja Melayu bakal kehilangan kuasa mutlak mereka terhadap negeri mereka disebabkan segala keputusan dan arahan akan dilakukan oleh satu entiti sahaja.

Dah la dorang awal-awal dulu bagi kroni dorang je dapat jawatan tinggi, tiba-tiba sekarang si penjajah pula nak wujudkan pemusatan kuasa atas alasan untuk kesejahteraan ramai. Nasib baik Raja-raja Melayu dulu tak tunduk sangat dengan permintaan British ni.

Durbar dihidupkan semula selepas 28 tahun dan pembubaran Negeri-negeri Melayu Bersekutu

Istana Seri Menanti. Imej dari Research Gate

Pada 1927, British mengambil keputusan untuk melaksanakan dasar disentralisasi (perihal memberi kuasa yang lebih kepada kerajaan negeri yang bersekutu oleh kerajaan pusat) di Negeri-negeri Melayu Bersekutu sekaligus membuka kembali peluang untuk persidangan Durbar diadakan selepas 28 tahun. Durbar digunakan lagi sekali oleh British untuk meluluskan pelaksanaan dasar disentralisasi, yang ketika itu dilihat sebagai satu bentuk pembaharuan sistem pentadbiran.

Dalam pada itu, dasar disentralisasi yang akan dilaksanakan tersebut merupakan proses untuk memberikan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran mereka sendiri daripada terikat dengan keputusan kerajaan persekutuan (British) di Kuala Lumpur. Disebabkan itu, kuasa dan peranan Raja-raja Melayu dalam Durbar sebelum pembentukan Majlis Mesyuarat Persekutuan dikembalikan semula oleh British.

Pada 1931, Durbar telah dilangsungkan di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan yang telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British bagi negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Cecil Clementi Smith. Sir Cecil telah mengemukakan cadangan supaya negeri-negeri Melayu Bersekutu dibubarkan dan dibentuk kesatuan semua negeri-negeri Melayu.

Dikatakan bahawa pembentukan persekutuan pada 1896, telah membawa kepada pemusatan kuasa berlebihan kepada Residen Jeneral di Kuala Lumpur yang membuatkan kuasa Raja-raja terbatas hanya kepada hal-hal agama dan adat resam sahaja. Diantara cadangan beliau ialah negeri-negeri hendaklah diberi kuasa mentadbir semua jabatan, kecuali Jabatan Keretapi, Kastam dan Perkhidmatan Pos.

Keretapi Tanah Melayu Ipoh. Imej dari Orang Perak

Itu merupakan serba-sedikit tentang Durbar dan apa yang telah terjadi semasa persidangan itu, banyak betul perkara terjadi yang kita boleh lihat kembali tentang bagaimana pentadbiran tanah melayu diiringi oleh Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Tetapi, memang tak boleh dinafikan lah yang kita ni dijajah British dulu tu.

Kesalahan fakta dalam buku sejarah yang menceritakan tentang Durbar

Gambar persidangan Durbar pertama yang mempunyai fakta salah. Imej dari Utusan

Panjang lebar dah cerita pasal Durbar ni, tapi dikatakan ada kesalahan fakta dalam pembukuan yang ada menceritakan Durbar ni. Buku A Century Conference of Rulers 1897-1997 ada menceritakan serba-serbi tentang Durbar dan pada 16 Disember 2020, terdapat satu berita mengatakan bahawa ada kesalahan fakta dalam buku itu.

Dikatakan bahawa Tok Gajah, Tok Bahaman dan Mat Kilau datang sebagai pembesar Pahang semasa Durbar yang pertama pada tahun 1897. Telah disertakan sekali gambar yang menunjukkan ketiga-tiga pahlawan itu berada di situ, tetapi semua itu ditepis oleh seorang pakar sejarah Professor Dr. Ramlah Adam dan juga Aripin Said, pewaris kepada Tok Jebek, seorang Pembesar Istana Pahang pada zaman dahulu.

Ramlah Adam berkata tidak mungkin Tok Gajah, Tok Bahaman dan Mat Kilau hadir ketika persidangan Durbar pertama kerana ketiga-tiga pahlawan Pahang itu menentang Residen British, Hugh Clifford. Aripin pula mengatakan bahawa beliau sudah melakukan kajian ilmiah terhadap Durbar ini di Muzium British, London pada 1978 dan 1989 sekaligus menemukan fakta yang bercanggah dengan apa yang diberitahu dalam buku sejarah dan jurnal-jurnal tempatan.

Datuk Aripin Said. Imej dari Harian Metro

“Kekhilafan yang berlaku telah mempengaruhi persepsi masyarakat termasuk para ilmuan dan cendekiawan yang tidak menyedarinya. Kebenaran fakta sejarah perlu segera diperbetulkan melalui sumber yang sahih dan merujuk kepada individu yang berintegriti kerana masa tidak menunggu kita” – Aripin Said, pewaris Pembesar Pahang, dipetik dari Utusan

Kalau kes macam ni pun boleh jadi, macam mana pula dengan arkib-arkib sejarah negara yang lain tu. Perlu tak di lihat balik untuk tengok betul atau tak dorang punya fakta tu. Diharapkan pakar-pakar sejarah negara dapat teruskan usaha untuk mendapatkan fakta-fakta yang betul berkenaan sejarah silam negara kita.

Pastikan fakta yang benar sebelum membuat apa-apa penerbitan

Fakta sejarah yang betul. Imej dari Sejarah MY

Boleh dilihat ramai yang melakukan kajian berkenaan sejarah, pelajar pun ramai yang buat perkara sama untuk kerja lapangan mereka dan sebagainya. Bagaimanapun, sejarah tidak seharusnya dikaji sambil lewa sahaja walaupun ia hanyalah perkara yang sudah lama terjadi.

Menurut pakar sejarah Datuk Dr. Awang Sariyan, pakar-pakar sejarah boleh cuba mengkaji semula fakta sejarah dalam buku-buku yang ditulis dari sarjana barat bagi memastikan tiada percanggahan fakta terjadi.

Dr. Awang Sariyan. Imej dari MYNEWSHUB

“Saya setuju kajian untuk mensahihkan fakta sejarah penting supaya sejarah tanah air menepati hakikat sebenar. Memang tanggungjawab ahli sejarah melakukan kajian sama ada untuk memperoleh fakta yang tersembunyi atau menilai kesahihan sesuatu fakta sejarah,” Awang Sariyan, pakar sejarah, dipetik dari Utusan

Oleh itu, haruslah kita semua celik tentang sejarah-sejarah negara kita ni supaya sama-sama kita boleh kesan dan tegur apabila ada kecacatan dalam penceritaan sejarah itu.