Sukan & Hiburan

Malaysia pernah ada 3 pembantu pengadil yang hebat di Piala Dunia FIFA

Rakyat Malaysia dan Piala Dunia FIFA memang tak boleh dipisahkan lagi. Ini sudah terbukti dalam sejarah bagaimana rakyat Malaysia kumpul duit sesama sendiri untuk tolong RTM yang tak cukup dana nak siarkan perlawanan Piala Dunia 1982. Dalam lukisan Dato’ Lat ada membayangkan suasana waktu itu dan memang RTM ada tulis siaran ‘ditaja oleh Rakyat Malaysia’. Memang lain macam nenek moyang kita dengan Piala Dunia ini.

Derhaka punya cucu. Imej dari Lukisan Dato’ Lat.

Walaupun kita semua tahu, tak pernah sekali pun pasukan bola sepak Malaysia layak ke pertandingan berprestij ini. Tapi, rakyat Malaysia tak melepaskan peluang untuk sama-sama merasai kehangatan Piala Dunia 2018 di Russia. Itu yang ada bendera Malaysia berkibar dalam salah satu stadium di sana.

Imej dari FB Harimau Malaya.

Bendera Malaysia yang berkibar ini sudah menunjukkan yang rakyat negara ini memang suka terlibat dengan piala dunia. Kalau penonton ini kira tak rasmi terlibat. Kalau secara rasmi, ada beberapa rakyat Malaysia yang pernah diberi amanah oleh FIFA sendiri untuk menjalankan tugas sebagai orang tertentu dalam piala dunia ini. Ianya dimulakan oleh…

1) Kapten Halim Abdul Hamid, pembantu pengadil ketika Beckham dilayangkan kad merah

Imej dari History UK.

Pada Piala Dunia edisi Perancis 1998, ada tiga ikon bola sepak yang menjadi perhatian sepanjang kejohanan itu. Mereka ialah Zinedine Zidane (Perancis), Ronaldo (Brazil) dan David Beckham (England) dikenal dalam sejarah sebagai Three Musketeers France 1998. Zidane diingati pada edisi ini sebagai wira Perancis yang menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir sekaligus memberi piala dunia pertama buat negaranya. Manakala, Ronaldo yang menjadi harapan Brazil ketika itu dibayangi dengan kecederaan misteri sewaktu perlawanan akhir.

Maka tewaslah Brazil kepada Preancis dengan jaringan 3-0. Bagi pasukan England yang kalah awal di peringkat kalah mati untuk 16 pasukan (rounf of 16), memori buruk menimpa pemain bintang mereka David Beckham. Dia yang datang sebagai pemain pujaan negaranya, balik ke negara sebagai bahan cacian rakyatnya. Sewaktu nampak ada harapan untuk England menumpaskan Argentina waktu itu, Beckham sudah dilayangkan kad merah yang menyebabkan negaranya bermain dengan 10 pemain pada perlawanan itu.

Bukan calang-calang ni. Imej dari FIFA.

Halim menjadi penolong pengadil ketika pengadil perlawanan Kim Milton Nielsen melayangkan kad merah kepada David Beckham selepas insiden kekasaran dengan Diego Simeone ketika pertembungan England-Argentina di St. Etienne. “- Petikan dari Utusan.

Bukan senang nak cari gambar Kapten Halim ni. SOSCILI je yang boleh jumpa. Imej dari Skysports.

Rupa-rupanya, pembantu pengadil ketika itu adalah seorang rakyat Malaysia, Kapten Abdul Halim Abdul Hamid. Memang dia sendirilah dapat rasa betapa hangatnya suasana perlawanan itu. Kalau dah pembantu pengadil pertama maknanya dialah yang pegang bendera sambil lari-lari tepi padang itu. Kiranya hebatlah orang Malaysia ini dalam bidang pengadilan atas padang sampai diberi kepercayaan dalam perlawanan sebesar ini.

Posisis Pembantu Pengadil (AR) nombor satu dan dua. Imej dari Wiki.

Pada tahun 2009, Kapten Halim sudah meninggalkan kita semua kerana masalah jantung. Dia sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital Kangar, Perlis.

2) Mat Lazim Awang Hamat diberi tugas sewaktu benua Asia pertama kali menjadi tuan rumah

Gaya rambut pujaan ramai waktu Piala Dunia 2002 ni. Imej dari Mirror.

Kelibat orang Malaysia sekali lagi muncul pada Piala Dunia 2002 yang mana buat pertama kalinya negara Asia menjadi tuan rumah. Dua negara Asia (Korea Selatan dan Jepun) bergabung untuk menganjurkan piala dunia.

Pada edisi ini, Mat Lazim Awang Hamat diberikan tugas oleh FIFA sebagai pembantu pengadil untuk tiga perlawanan penting. Antaranya ketika Ireland lawan Cameroon dan Sweden lawan Nigeria. Satu lagi perlawanan melibatkan juara dunia bola sepak Itali lawan Mexico.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Mat Lazim yang dah lama menceburi bidang pengadilan ini mengakui adanya detik-detik sukar sepanjang kariernya. Mana tak sedihnya kalau tak bersama keluarga waktu cuti perayaan tapi kena perhatikan pasukan hebat berlawan.

“Sepanjang pembabitannya, pengalaman yang sukar dilupakan ialah ketika bertugas dalam pertemuan persahabatan antara Korea dan Brazil di Nike Cup di Seoul, Korea Selatan pada 29 Mac 1999 yang kebetulan jatuh pada hari raya korban (Aidil Adha).

Sedih tetap ada, tetapi sokongan daripada keluarga terutama isterinya, Wan Zakiah Wan Abas serta anak-anak, membuatkan saya lebih bersemangat untuk bertugas di Seoul,”- Petikan dari Utusan.

Juga rambut pujaan waktu tu. Tapi nak tiru tu risau. Imej dari Metro.

Selepas benua Asia sudah ada negara yang jadi tuan rumah, pada tahun 2010 nampaknya benua Afrika pula ada negara yang terpilih buat pertama kalinya. Dan orang Malaysia tetap terlibat….

3) Sub­khid­din Mohd Salleh terlibat pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010

Kebanggaan negara. Imej dari Sportzpics.

Pada Piala Dunia 2006 di Jerman, tiada nama orang Malaysia yang terlibat terus di atas padang. Hinggalah pada tahun 2010, apabila kita digemparkan apabila seorang pengadil Malaysia tersenarai sebagai calon pengadil utama untuk Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Kal ini, bukan tepi padang, tapi dalam padang terus sekali dengan pemain.

“Berdasarkan laman web Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Subkhiddin bersama pembantunya, Yuxin Mu (China) dan Jeffrey Goh Gek Pheng (Singapura) merupakan antara kumpulan empat pengadil dari Asia yang terpilih ke Afrika Selatan.“- Petikan dari Utusan.

Dia ketika itu perlu menjalani seminar dan kursus untuk beberapa bulan sebelum keluar keputusan keluar sama ada dia layak menjadi pengadil utama atau tak. Jika dia terpilih, maka dia adalah orang Malaysia pertama yang akan jadi pengadil utama. Sebab, sebelum ini semuanya jadi pembantu pengadil.

Perasaan peminat bola Malaysia waktu tu. Dapat ke tak dapat Subkhiddin jadi pengadil.

”Tetapi peluang sebagai pengadil utama tidak diberi kepada saya dan saya mula menyedari mengenainya ketika sesi kedua pengumuman pengadil (bagi perlawanan kalah mati).

Saya amat kecewa dan rasa bersalah kepada rakyat Malaysia. Pengalaman ini tidak mungkin akan saya lupakan seumur hidup saya,”- Subkhiddin, petikan dari Utusan.

Kecewa bhai!

Nampaknya impian rakyat Malaysia tak kesampaian, tapi tetap boleh berbangga kerana dia menjadi pegawai ke-4 (fourth official) untuk beberapa perlawanan Piala Dunia di Afrika Selatan. Ada 9 perlawanan yang melibatkan dia termasuk perlawanan pembukaan Piala Dunia di antara tuan rumah, Afrika Selatan lawan Mexico.

Biasa kalau nampak dalam TV, pegawai ke-4 ini akan pegang jam digital besar yang akan tunjuk nombor pemain yang akan bertukar ataupun berapa minit waktu kecederaan diberikan. Tapi, hakikanya, banyak juga tugas mereka antaranya:

  1. Pegawai ke-4 ini berkemungkinan menggantikan tempat pengadil utama atau pembantu pengadil yang tak boleh teruskan tugas.
  2. Membantu dalam tugasan pentadbiran sebelum, ketika dan selepas perlawanan macam yang diperlukan pengadil.
  3. Dia membantu dalam prosedur pertukaran pemain ketika perlawanan sedang berlangsung.
  4. Dia mempunyai kuasa untuk menyemak kelengkapan pemain yang akan bertukar sebelum masuk ke padang, kalau tak menetapi syarat, dia akan beritahu kepada pengadil.

Pada tahun 2010, dia mengumumkan persaraan daripada menjadi pengadil. Keputusan ini diambil untuk bagi peluang pengadil yang lebih muda supaya kembangkan kemahiran dalam arena bola sepak tempatan. Dia juga nak meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Tapi, jasanya untuk FIFA tak boleh dilupakan.

Beragaya! Imej dari Cheguabbas.blogspot.

“Dalam pada itu,  Subkhiddin merupakan tenaga pengajar rasmi oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan telah bertanggungjawab membantu mempertingkatkan kualiti, prestasi dan kefahaman kumpulan pengadil di setiap negara supaya sentiasa konsisten dalam melaksanakan peranan masing-masing di padang.

Sebagai rekod, Subkhiddin yang pernah dilantik sebagai pengadil Piala Dunia Fifa bawah 20 Tahun pada 2007 di Kanada sebelum ke Afrika Selatan sebagai pengadil keempat pada aksi Piala Dunia 2010.”- Petikan dari mStar.

Sedar tak sedar, nama Subkhiddin muncul sekali lagi di Piala Dunia 2018 di Rusia dengan tugas yang berbeza dari sebelum ini.

3) Orang Malaysia uruskan sidang media di Stadium Spartak

Stadium kebanggan Rusia. Imej dari FIFA.

FAM berasa bangga dengan pelantikan Subkhiddin dan Christopher ini dan berharap kedua-dua mereka dapat menjalankan tugas dengan baik di sana, sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan FAM. Selamat maju jaya!”- Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin, SU Agong FAM, petikan dari Astro Awani.

Subkhiddin yang ketika ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM sudah diberi kepercayaan oleh FIFA untuk menjadi Instruktur Teknikal Pengadil dari 31 Mei hingga 17 Julai. Tugasannya adalah untuk…

“…merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain & pegawai pasukan bertanding serta memberi maklumbalas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.”- Petikan dari Astro Awani.

Memang bukan biasa-biasa. Apa yang menariknya untuk edisi piala dunia kali ini, bukan seorang, tapi dua orang rakyat Malaysia menerima tugas dari FIFA. Seorang lagi ialah Christohper Raj yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Media & Perhubungan Awam FAM dberikan tugas sebagai Pegawai Media untuk perlawanan di Stadium Spartak, Moscow.

Penghormatan untuk Malaysia. Imej dari Kosmo.

“…berperanan memastikan operasi media di venue perlawanan berjalan lancar termasuk urusan pengendalian sidang media, fasiliti dan lain-lain keperluan media,”- Petikan dari Astro Awani.

Rupa-rupanya, Christopher Raj yang juga bekas wartawan New Straits Times adalah antara orang yang dilantik menjadi Exco FAM setelah mendapat antara undian 8 teratas ketika pemilihan kepimipinan FAM pada tahun 2017.

Keterlibatan dua orang Malaysia ini nampaknya dibalik tabir. Bolehlah dikatakan yang tak nampaklah orang Malaysia akan ada atas padang. Tapi, negara kita tetap dikejutkan dengan kemunculan seorang anak Malaysia pada perlawanan kalah mati antara bekas juara dunia, Sepanyol dan tuan rumah, Rusia.

4) Adam Riezman, anak kecil pembawa bola perlawanan bersejarah buat Rusia

Wira Rusia paling diingati waktu ni. Imej dari The Times.

Terlalu banyak kejutan yang berlaku pada Piala Dunia 2018 ini. Bermula dengan tersingkirnya juara Piala Dunia edisi sebelum ini, Jerman diperingkat kumpulan hinggalah tuan rumah Russia layak ke suku akhir setelah 48 tahun tak berjaya nak lepas. Apa yang menggemparkan lagi, Rusia siap kalahkan negara sehebat Sepanyol dalam penentuan sepakan penalti yang sangat mendebarkan.

Disebalik kisah kejayaan Rusia ini, di Malaysia lain pula ceritanya. Tersebar satu gambar mengenai seorang anak kecil Malaysia dalam perlawanan itu. Anak kecil itu ditugaskan untuk membawa masuk bola pertama yang akan digunakan pada perlawanan tersebut. Ya betul, anak kecil itu dari Malaysia bernama Adam Riezman pelajar tingkatan 2 SMK Meru, Klang. Tapi, macam mana dia boleh mendapat peluang itu?

Apalah perasaan adik Adam masa ni. Belakang semua pemain bintang dunia tu. Imej dari FMT.

“Penglibatannya dalam kejohanan ini datang setelah dia memenangi pertandingan kemahiran bola anjuran Kia yang juga memberinya hadiah wang tunai RM800.”- Petikan dari NST.

Rupanya, pada 22 April 2018, memang syarikat NAZA Kia ada buat pertandingan Official Match Ball Carrier yang melibatkan 64 kanak-kanak yang berusia antara 10 hingga 14 tahun. Pemenang akan diberi peluang untuk membawa bola ke dalam padang sewaktu Piala Dunia 2018. Akhirnya…

“Adam Riezman akan mewakili Malaysia sebagai Pembawa Bola Pertandingan Rasmi Kia di Piala Dunia FIFA 2018 di Russia.”- Petikan dari NAZA.

Dia dah usaha awal lagi untuk dapat peluang tu. Imej dari Naza.

Rakyat Malaysia sudah, pasukan Malaysia masih belum layak lagi

Seperti yang diterangkan tadi, kepercayaan yang diberi FIFA kepada pegawai dan pengadil Malaysia menunjukkan yang individu tersebut ada kualiti tertentu yang boleh dimanfaatkan. Pelantikan pengadil Malaysia sebanyak tiga kali ini menunjukkan Malaysia ada mutu dalam profesion pengadilan di atas padang. Pelantikan Christopher Raj pula menunjukkan yang pegawai media kita juga ada kualiti yang penting.

Untuk peluang yang diberikan kepada Adam Riezman pula ia menunjukkan yang anak muda Malaysia punyai bakat besar untuk diketengahkan. Program Pembanguan Bola Sepak Negara (NFDP) yang sedang giat dibangunkan dengan bantuan Pesatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harapnya dapatlah membentuk semula kualiti pemain bola sepak negara bermula dari akar umbi. Kita sangat menghargai dan kagum dengan keterlibatan rakyat Malaysia pada Piala Dunia 2018 dan sebelumnya.

Adakah rakyat Malaysia akan muncul lagi?

Namun, kita sentiasa tertanya-tanya, adakah kita dapat berbangga dengan kemasukan pasukan bola sepak Harimau Malaya dalah kejohanan bola sepak berprestij dunia ini pada masa akan datang?

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend