Pembinaan Lebuhraya Gerik-Jeli: 3 pekerja JKR terkorban kerana Komunis

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Mana yang kampung dia dekat Kelantan atau Kedah? Atau kampung mak mertua dia dekat kawasan sana. Peluang nak lalu Lebuhraya Gerik-Jeli itu mestilah tinggi. Lebuhraya yang dikelilingi hutan sepanjang 123-kilometer itu sudah berjaya mengurangkan jarak pemanduan di antara Timur Laut ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia, dan ianya bermula dari Gerik, Perak dan berakhir di Jeli, Kelantan. Atau kalau kau orang tak setuju, ia bermula dari Jeli. Tak setuju juga, ia bermula dari kedua-dua bahagian. Senang kan!

Sebelum dan selepas Lebuhraya Gerik-Jeli (GJH) ada. Imej disunting dari Wiki dan Pinterest.

Orang awam dibenarkan guna lebuhraya ini 36 tahun yang lalu pada 1 Julai 1982, ia mengambil masa 15 tahun untuk JKR siapkan dan memakan kos lebih dari RM200 juta. Kau orang mungkin pernah dengar cerita dari orang yang selalu guna jalan itu pasal gajah melintas, hantu tumpang kereta dan tanah runtuh, tapi kau orang pernah dengar tak sebab apa jalan ini dibina? Jawapan biasa sebab nak hubungkan barat dan timur. Tapi, ada cerita disebalik tabir yang melibatkan pemberontakan komunis suatu masa dulu.

Tanah Melayu diganggu Komunis, Gerik yang menanggung beban

Tentera komunis tak ada jurugambar. Jadi, kami ambillah gambar askar Australia tengah memantau. Imej dari Weapon and warfare.

Konflik berdarah Malaya/Malaysia tetap terjadi ketika sudah merdeka yang berpunca dari Pemberontakan Komunis, dan ianya berlaku dua kali. Sekali waktu antara tahun 1948 dan 1960, dan ia melibaktan pertempuran British melawan askar bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) pada masa yang sama. Asasnya, Komunis nak gulingkan British, jadinya dua pihak bertempur sampai bagi kerugian kepada British, komunis dan penduduk yang ditangkap oleh kedua-dua pihak.

Apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, punca utama pergolakan komunis (British) sudah pun hilang. Tentera komunis berundur ke sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 1960 untuk bentuk semula pasukan dan taktik gerila dengan memerhati perang Vietnam. 8 tahun yang aman damai buat Tanah Melayu berlalu, kerana pada tahun 1968 mereka muncul balik dan bunuh 17 kakitangan keselamatan di Pekan Kroh (nama sekarang Pengkalan Hulu, Perak), menunjukkan bermulanya Pemberontakn kedua komunis di Malaysia.

Tapak memperingati insiden pekan Kroh memang ada. Imej dari Twitter Imigresen.

Oleh sebab jaraknya yang dekat dengan sempadan Malaysia-Thailand, pekan Gerik dan kawasan sewaktu degannya berada dalam keadaan yang sangat merbahaya pasa masa itu, dengan Gerik dilabelkan sebagai kawasan hitam (dipantau penuh) sehinggalah darurat berakhir pada 1989. Seorang bekas Pasukan Mata-Mata Khas (SC) pun pernah ceritakan betapa bahayanya daerah Gerik waktu itu.

“Saya menyertai SC dengan seorang kawan yang juga ditempatkan di beberapa stesen di daerah yang lain. Lebih kurang 10,000 SC di Perak dan beribu-ribu orang awam dibunuh oleh komunis tanpa belas kasihan.”- Abdul Rani Che Lah, bekas Ketua Pasukan Mata-Mata Khas, petikan dari Harian Metro.

Tapi, macam mana satu pasukan komunis boleh mengucar-ngacirkan kerajaan Malaysia untuk tempoh masa yang lama? Sebenarnya, ada sesuatu pada taktik gerila mereka, dan kerajaan Malaysia kena buat taktik sendiri untuk melawannya.

Kerajaan Malaysia melawan taktik komunis…dengan pembangunan

Kalau kau orang adalah sekumpulan kecil yang merancang untuk menggulingkan sebuah kerajaan, satu taktik yang baik untuk digunakan adalah perang gerila. Perang Gerila (jangan keliru pula dengan gorila) melibatkan satu pasukan kecil yang menganggu satu angkatan pasukan besar hingga mereka mengalah, cara taktik ini macam merosakkan bangunan, serang hendap pasukan kecil tentera, sabotaj, serang dan lari, dan asasnya adalah segala taktik yang boleh merosakkan musuh yang lebih besar sambil mengurangkan kerugian di pihak sendiri.

“Musuh maju ke depan, kami undur; musuh bina kem, kami ganggu; musuh penat, kami serang; musuh berundur, kami kejar.”- Mao Zedong dalam bukunya “A Single Spark Can Start a Prairie Fire“.

Dengar pun dah sakit telinga kan, tapi bukan itu sahaja. Pada tahun 1960 di Malaysia, masa itu hutan masih tebal dan banyak gunung-ganang, yang menjadi kelebihan besar untuk pasukan tentera Malaysia: kumpulan kecil mereka boleh bergerak mudah dalam hutan, dan dekat situ ada banyak tempat untuk menyorok, bentuk semula pasukan dan melancarkan serang hendap.

Juga perkara biasa bagi kebanyakan kumpulan gerila, komunis Malaysia juga punyai hubungan yang rapat dengan masyarakat ketika itu, mereka bergantung dengan orang awam yang berasa simpati dengan agenda mereka (atau diindoktrinasi) untuk sokongan logsitik dan tak secara langsung menggunakan mereka sebagai perisai manusia.

Dia ni lah yang tulis buku pasal gerila tadi. Imej dari South China Morning Post.

Macam mana nak lawan dengan musuh macam itu? Kerajaan Malaysia masa itu sedar yang serangan kekerasan sahaja tak memadai. Mereka juga perlu dapat sokongan orang awam, jadi dengan pengalaman dari darurat pertama Malaya dan pengalaman tentera Amerika di Vietnam, Program Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) diwujudkan.

Kalau diteliti, salah satu idea di sebalik KESBAN ini muncul apabila komunisme ini berkembang dalam kalangan orang miskin, jadi untuk menjadikan orang ini tidak menyokong komunis, mereka perlu hapuskan kemiskinan melalui pembangunan infrastruktur dan polisi. Salah satu projeknya adalah pembinaan Lebuhraya Gerik-Jeli. Selain bertujuan untuk memudahkan pergerakan orang awam dan tentera Malaysia, ia juga memutuskan pergerakan komunis dari pangkalan mereka di Thailand.

Kalau kau orang nak tahu, asalnya Tun Abdul Razak rancang nak bina dari Butterworth dan berakhir di Kelantan, walau macam mana pun…

Pembinaan jalan ada banyak kesukaran dari yang dijangka

Tapak peringatan pekerja JKR. Imej dari mStar.

Beberapa lama lepas Tun Razak umumkan, pelan asal sudah berubah dan titik permulaan berubah dari Butterworth ke Gerik. Walaupun sudah dipendekkan, kerja-kerjanya tetap menakutkan. Untuk menukar hutan belantara menjad sebuah jalan, pekerja JKR pada mulanya mesti memetakan jalan itu menghala ke mana tanpa ada GPS dan Google Maps. Selepas itu, mereka menetapkan yang pembinaan perlu dilakukan bermula dari kedua-dua penghujung (Gerik dan Jeli) secara serentak.

Dua tapak penempatan dibina pada awalnya sebagai rumah untuk para pekerja dan keluarganya di Gerik dan Jeli, dan setiap hari mereka akan berpindah ke kawasan pembinaan yang aktif, bergerak lebih jauh sehinggalah sampai ke penghujung jalan.

Tapak penempatan Gerik yang masih ada lagi. Imej dari Utusan.

Benda pertama yang perlu dibuat adalah bersihkan hutan tebal supaya mudah untuk meletakkan binaan asas untuk jalan, dan untuk letakkan binaan ini pun sudah memeningkan. Jalan yang baik adalah yang rata, dan satu cara untuk menghubungkan timur laut dan kawasan barat di utara Semenanjung adalah dengan melalui banjaran gunung dan lembah yang ada. Banjaran yang terkenal semestinya Banjaran Titiwangsa yang panjang dan kaya dengan granit serta lapisan batuan dari sempadan Thai hinggalah ke Melaka.

Untuk mengelakkan pembinaan jalan ini menjadi ‘ular kena palu’, pekerja JKR perlu memotong 27.5 juta meter kubik tanah, dengan 4 juta meter kubiknya terdiri daripada batuan yang memerlukan banyak pengorekan tanah dan letupan batu, dan menggunakannya semula untuk mengisi jurang-jurang yang dalam hingga ada yang mencapai 100 meter dalam. Iklim semulajadi Malaysia pun lain macam cabarannya: musim monsun dan hujan lebat menjadikan masa yang ada untuk pembinaan dikurangkan kepada setahun 10 bulan.

Akibat hujan lebat, tanah pun runtuh menyambah jalan. Imej dari Landslideblog.

Faktor ini semua sudah menjadikan kerja-kerja ini cukup susah, tapi nampaknya ada lagi cabaran besar menanti pekerja JKR…

Askar komunis tak gembira dengan pembinaan itu dan mereka cuba untuk menghentikannya

Tapir pun nak terlibat dalam kerja memantau. Imej dari Utusan.

Pada mulanya tak susah sangatlah untuk pekerja apabila diganggu hidupan liar dan komunis, kemudiannya ia menjadi ancaman besar untuk kerja-kerja yang ada. Pihak komunis sudah menyebarkan propaganda melalui risalah dan radio yang berjaya mengubah sebahagian orang awam untuk menentang para pekerja, menghasut pekerja untuk membenci dan berpaling dari mengikuti arahan Tun Abdul Razak. Apabila cara itu tak berjaya menghentikan pembinaan, pihak komunis mengambil langkah mensabotaj secara aktif dan merosakkan projek, menyerang para pekerja dan merosakkan mesin-mesin berat yang ada.

Sebagai tindak balas, pihak tentera mengawal ketat projek itu (meletakkan jaga sewaktu bekerja dan pondok tentera di setiap kilometer jalan), sesudah dua kejadian besar berlaku. Kejadian pertama berlaku pada 23 Mei 1974 apabila pihak komunis melancarkan sebuah operasi sabotaj dan menghancurkan 60 mesin pembinaan. Salah seorang bekas pekerja JKR, Mohd Bakri Md Nali (64) yang ada waktu serangan berlaku ada berkongsi ceritanya.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam, ketika saya dan beberapa pekerja lain dalam perjalanan ke tapak pembinaan. Belum sempat kami sampai ke lokasi, letupan tiba-tiba berlaku. Kami yang terkejut dengan situasi itu kemudian diarahkan oleh pihak tentera supaya tidak berganjak ke mana-mana bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Memang agak membimbangkan juga sebab letupan berlaku secara berterusan sehingga keesokan paginya. Semua pekerja dikumpulkan dan ditempatkan di Base Camp Gerik.

Memandangkan sebilangan besar jentera mengalami kerosakan teruk akibat letupan tersebut, kerja-kerja pembinaan jalan terpaksa dihentikan sementara waktu,“- Mohd Bakri Md Nali, petikan dari Utusan Online.

Askar mengawal tempat pembinaan. Imej dari Utusan.

Kejadian kedua berlaku beberapa bulan kemudian (27 Ogos) dan kali ini pihak komunis membunuh 3 pekerja JKR dalam serangan hendap sewaktu mereka dalam perjalanan dari Kem Gerik ke Banding. Tak banyak maklumat pasal pekerja yang terkorban melainkan nama mereka: Ismail, Husin dan Ali.

“Setibanya di kilometer 178 laluan tersebut, pekerja-pekerja tersebut diserang dan ditembak mengakibatkan tiga daripadanya terkorban sementara beberapa pekerja lain dan tentera mengalami kecederaan,”- Mohamed Jahari Kadir, bekas pekerja JKR, petikan dariUtusan Online.

Inilah dua kejadian besar tersebut, dan banyak nyawa yang sudah terkorban sepanjang tempoh pembinaan ini bukan sahaja dari serangan pihak komunis, tapi juga kemalangan ditempat kerja. Pihak komunis tidak serik menganggu dalam tempoh pembinaan ini berlaku. Pihak keselamatan diperketatkan lagi dan pihak tentera serta polis meneruskan operasi memburu komunis (Ops Pagar).

Walaupun keadaan tak menentu, para pekerja tetap meneruskan kerja-kerja mereka, tapi terpaksa langgar tarikh akhir yang sepatutnya siap. Tempoh masa pembinaan dipanjangkan serta kos pembinaan meningkat dari awalnya RM85 juta kepada RM396 juta.

Walaupun banyak kesusahan dan kematian, pekerja JKR, tentera dan polis tak mengalah dan pada 1 Julai 1982, lebuhraya ini akhirnya dibuka untuk kegunaan orang awam.

Pemberontakan sudah berakhir beberapa dekad yang lalu, tapi jalan ini masih ada hingga ke hari ini

Antara pekerja JKR Perak yang terlibat. Imej dari Utusan.

Walaupun pembinaan lebuhraya ini dikira sebagai kemenangan, di situ masih peperangan yang perlu dimenangi. Kerajaan masih berhati-hati dan sesiapa yang mahu menggunakan jalan tersebut perlu buat permohonan permit keselamatan sebelum itu, dan orang awam waktu itu hanya boleh gunakan jalan tersebut sebelum jam 6 petang. Pos kawalan tentera sudah ditempatkan sepanjang lebuhraya dan pintu masuk, dan sesiapa yang tak ada permit dan nak masuk selepas jam 6 petang akan diminta untuk berpatah balik.

Ketika pembinaan berterusan, pihak komunis jadi makin lemah.Perpecahan dalaman sudah memisahkan mereka, saling tak mempercayai dan akhirnya komunis yang masih dalam peperangan sedar yang mereka tak boleh pergi jauh dalam keadaan macam itu. Mereka juga sedar nanti tiada tempat untuk mereka pergi bila perang sudah tamat, jadi pada 2 Disember 1989, pihak komunis yang masih ada bersetuju untuk tandan tangan Perjanjian Damai Hat Yai bersama dengan kerajaan Malaysia dan Thailand.

Orang kuat Parti Komunis. Imej dari Memoir Rashid Maidin

Perjanjian ini sudah membenarkan pihak komunis untuk kembali ke mana-mana negeri asal mereka (atau tinggal di perkampungan sepanjang sempadan Thai) dan kerajaan perlu berhenti memburu mereka, sebagai balasan mereka meletakkan senjata, berhenti dari aktiviti ketenteraan and menumpahkan taat setia kepada Agong serta beberapa perkara lagi.

Setelah semuanya selesai, perjanjian damai tadi menjadi titik permulaan berakhirnya Pemberontakan Komunis di Malaysia. Begitu juga tamatnya penggunaan permit dan perintah berkurung di Lebuhraya Gerik-Jeli.

Hari ini, beberapa tapak peringatan masa lalu masih ada disepanjang lebuhraya itu kalau kau orang sudi nak tengok. Satu daripadanya adalah sebuah monumen yang dibina oleh JKR pada tahun 1994 untuk mengenang jasa dan pengorbanan pekerja JKR yang terlibat dalam pembinaan lebuhraya itu.

Tulisan pada monumen. Imej dari KKR.

“Lebuhraya Timur Barat (Gerik-Jeli) telah dibuka kepada pengguna trafik pada 1 Julai 1982. Banyak nyawa yang terkorban sepanjang pembinaan berlaku yang dilaksanakan pada 1970. Sebahagian mereka mati ketika kemalangan bekerja dan sebahagian lain pernah diserang oleh pengganas komunis.

Di lokasi ini, lebih kurang 63 jentolak telah diletupkan oleh pengganas komunis pada 23 Mei 1974. Di lokasi ini juga, tiga pekerja JKR telah dibunuh dan lainnya tercedera dalam satu serangan hendap pada 27 Ogos 1974. Beberapa serangan lain berlaku sepanjang lebuhraya melibatkan pekerja JKR dan pasukan keselamatan. Kami memperingati mereka yang telah mengorbankan nyawa demi pembinaan Lebuhraya Timur Barat.

Marilah bacakan AL-FATIHAH untuk mereka yang kehilangan nyawa di sini.”- Tulisan pada monumen bertajuk “Pengorbanan Dalam Kenangan”, petikan dari Wikipedia.

Mungkin ramai yang tak tahu sejarah ini, Lebuhraya Gerik-Jeli itu sendiri boleh dikatakan sebagai monumen untuk Malaysia hari ini yang sudah dirancang dan dibina oleh JKR untuk rakyat Malaysia. Ianya adalah satu produk yang muncul setelah berdekad-dekad pertumpahan darah, titisan peluh dan air mata generai terdahulu yang mengharapkan kebaikan generasi akan datang, dan ia sepatutnya  menjadi peringatan bahawa kita boleh laksanakan sesuatu dengan adanya ketabahan.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT