Kemanusiaan

Tiada penglihatan, tapi peguam Malaysia ni mampu urus kes mahkamah

UPDATE 4/1/2019: Tahukah korang yang 4 Januari merupakan Hari Braille Sedunia? Ia disambut bersempena dengan tarikh lahir pencipta Braille, iaitu Louis Braille yang buta disebabkan kemalangan yang berlaku terhadapnya.

Sistem yang bermula sejak tahun 1829 ni juga merupakan jambatan ilmu kepada orang kelainan upaya dalam penglihatan, membuktikan yang mereka juga boleh berjaya dalam hidup di mana salah seorangnya adalah peguam dari Malaysia ni.

____________________________________________________________________________

Seperti kita tahu, kerja peguam ni satu kerjaya yang profesional dan susah. Bukan senang-senang nak jadi peguam – banyak pembelajaran dan latihan yang harus dilalui semata-mata nak jadi peguam mulaan. Tapi yang dapat jadi peguam akhirnya, siap ada emblem sendiri tau? Gaji pun boleh sampai RM1 juta setahun!

Kali ni, SOSCILI nak lari sikit dari isu panas ni dan bercakap tentang peguam buta bernama Dato’ Mah Hassan Omar yang ramai anak muda terutamanya tak kenal. Lagi best, SOSCILI berbesar hati dapat interviu beliau sendiri di pejabatnya!

Ini dia hero kita hari ini! Macho kan? Imej dari Bernama

Untuk yang tak pernah dengar nama Dato’ Mah Hassan, dia merupakan peguam buta PERTAMA di Malaysia yang juga telah menubuhkan syarikat guaman sendiri. Kitorang berjumpa dengannya untuk tau lebih tentang langkah hidupnya dan di sini kita dapat tau bahawa beliau…

Anak petani dari Besut, Terengganu dan satu-satunya yang buta daripada 6 beradik

Anak petani ni dilahirkan celik, namun mula hilang penglihatan masa umur 4 tahun. Beliau tinggal bersama ibu bapanya dan 5 beradik yang lain di Besut, Terengganu. Dalam keluarganya, dia sorang je yang buta tapi ibu bapa dia langsung tak manjakan dia.

“Keluarga saya miskin dan adik-beradik saya agak ramai. Jadi ibu bapa saya utamakan pendidikan untuk lelaki dahulu termasuklah saya. Ayah saya sanggup pergi ke sekolah-sekolah tanya ada tak pendidikan khas. Punyalah komited dia untuk make sure saya dapat pendidikan. Saya takkan jadi peguam kalau tanpa dia. ” – Dato’ Mah Hassan ketika diinterviu SOSCILI.

Beliau kemudian bersekolah menengah di SMK Jalan Temerloh dan diletakkan di kelas belakang sekali, kelas H. Kemudian bila exam, beliau dapat tempat pertama dalam tingkatan dan terus lompat ke kelas A! Kalau nak tahu, antara kawan sekolah beliau masa ni Dato’ Aznil Nawawi! Kat sekolah tu ada bilik rehat khas untuk OKU dan Pak Nil kita selalu tolong-tolong. Boleh tahan mulia Pak Nil kita ni kan?

“Sejak lepas sekolah saya tak berpeluang lagi jumpa Aznil, tapi beliau orang yang sangat baik hati.”

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Imej dari Lite FM

Tapi hidup ini tidak sentiasa indah, macam tahun ni koleksi lagu raya kita tahun ni digemparkan dengan lagu La Vida Raya (tiborh). Sebenarnya, memula beliau minat nak jadi doktor tapi ada satu peristiwa hitam semasa di sekolah yang mengubah hidup beliau, di mana guru sekolahnya telah mengeluarkan kata- kata yang menyakitkan hati beliau.

“Masa saya dalam makmal, kawan saya tengah explain kat saya pasal bunsen burner. Tapi tiba-tiba cikgu saya masa tu marah kawan saya sebab bagi saya handle bunsen burner. Cikgu kata kenapa bagi saya handle bunsen burner, nanti kalau meletup kelas macam mana?”

Eeeeee gewam kitew! Imej dari The Level

Beliau mengaku masa tu memang sangat sedih rasanya. Beliau fikir hidupnya ni menyusahkan orang saja dan mula bersifat rebel.

“Mungkin cikgu saya bersifat baik tapi masa tu, saya sangat kecil hati sebab rasa menyusahkan hidup orang. Lepas tu, saya mula menjauhkan diri. Saya mula ponteng sekolah, kawan dengan orang nakal, kacau perempuan kat tepi jalan. Saya memang cukup berbeza masa tu.”

Kemudian beliau insaf dan mula kembali ke pangkal jalan yang benar. Hasilnya, keputusan dia bagus dan dapat sambung Tingkatan 4 sampai Tingkatan 6 dekat St John, KL. Kalau korang pergi sekolah tu, akan nampak nama beliau kat depan sekolah, sekali dengan nama Datuk Seri Najib Razak.

HAHA kerja sape ngaku cepat! Imej dari Meme Generator

Kat St John beliau cakap sangat mencabar sebab dalam kelas tu, buku teks Braille tak disediakan, tak macam sekarang di mana MBK ni siap ada pembantu untuk tolong dia buat kerja, yang dipanggil Pembantu Pengurusan Murid (PPM). Jadi dalam kelas beliau kena fokus gila dan balik sekolah, beliau suruh member baca balik dan dia taip pakai mesin Braille.

“Dalam kelas, saya kena fokus untuk ingat dan akan balik cepat-cepat untuk salin nota pakai mesin braille saya dengan bantuan member yang akan baca nota. Saya tak boleh taip kat kelas sebab mesin tu bising.”

Selain itu, member beliau yang ni juga suka tolong sebab ni win-win situation. Dalam masa dorang bacakan nota, Dato’ akan juga bagitahu perkara yang mungkin member beliau terlepas pandang.

Kisah benar gaiss? Imej dari Giphy

Di St John, beliau mula meminati sejarah sehingga selalu dapat teratas dalam peperiksaan! Sehinggakan rakan sekelas beliau selalu nak pinjam kertas peperiksaan beliau untuk buat rujukan. Lagi, beliau mula meminati satu drama US tahun 70-an ala-ala kat Suits (Dato’ tak ingat tajuk) dan putuskan nak buat undang-undang. Tapi….

“Bila saya nyatakan hasrat nak sambung undang-undang, cikgu saya kata lebih baik kerja dengan Dewan Bahasa (DBP) kerana saya pandai menulis. Kawan dan senior saya yang buta pun skeptikal sebab kata dorang buku undang-undang takde dalam Braille, baik ambil pengajian Melayu macam dorang. Tapi saya tekad nak buktikan dorang salah.”

Jadi Dato’ Mah pun pedulikan semua tu dan fikir kalau beliau gagal, yang penting dia dah cuba dan buka bidang baru untuk orang buta.

Diinterviu kerja oleh Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara setelah tamat belajar undang-undang di UM

Setelah bersambung juga dengan cita-citanya membelajari undang-undang di universiti, beliau akhirnya berjaya mendapat ijazah undang-undang dari Universiti Malaya. Perghh! Kita yang diploma ni pun terkincit-kincit kan?

“Masa saya diterima masuk UM, pensyarah terus terang cakap dorang takde kemudahan untuk orang buta. Saya minta untuk bawa perakam audio, patut tak boleh sebab langgar peraturan. Tapi saya diberi pengecualian di situ Alhamdulillah.”

Zaman belia beliau. Ada tall, dark and handsome element tak? Imej dari Utusan Malaysia

Selepas graduasi, macam biasalah beliau pergi interviu kerja ngan kawan yang lain. Tapi pelik alfiat, kawan dia semua lulus dan dapat posting sebagai majistret, dia lulus tapi tak dapat posting. Kemudian beliau dipanggil untuk interviu sekali lagi. Eh kata lulus?

Tapi beliau cekalkan hati untuk pergi interviu kali kedua. Punya terperanjat beruk sekali tengok tukang interviu dia adalah Tun Abdul Hamid Mohamad (bekas Ketua Hakim Negara), Tan Sri Abu Talib Osman (bekas Peguam Negara) dan mendiang Tan Sri Lee Hun Hoe (bekas Ketua Hakim Borneo). Tapi sesi interviu ni mematahkan semangat beliau sebenarnya.

“Tun Hamid terutamanya tanya saya soalan seperti macam mana saya nak pergi kantin nanti, macam mana saya nak pergi ofis, macam mana saya boleh pastikan kerahsiaan dokumen? Banyak soalan tentang penjagaan diri yang saya dah belajar masa kecik lagi. Saya jadi patah semangat. Sampai sekarang saya tak dapat jawapan sama ada saya gagal atau lulus interviu tu.”

Tapi beliau masih tekad turun naik tangga untuk buat chambering dengan syarikat guaman yang ada untuk buktikan yang lain salah! Namun ternyata sukar sebab banyak syarikat guaman tolak beliau. Sampai ada syarikat guaman ni sanggup tawar dia jadi operator telefon. Sampai hati diorang betul…

Dato’ ni grad undang-undang UM kot bro! Imej dari Meme Generator

Namun beliau bernasib baik apabila dapat juga kerja dengan Rajeet Singh & Kula, sebuah syarikat guaman di Kuala Lumpur. Beliau masih ingat lagi kata-kata bos dia ni.

“Bos saya kata dia ambil saya bekerja bukan sebab kesian kat saya, tapi sebab dia percaya saya boleh dan ada kisah benar peguam buta berjaya di UK.”

Tak tidur malam selesaikan kes pertama dan tertubuhnya Mah Hassan & Associates

Menurut Dato’ Mah, masa dapat kes pertama je bos memang tak tunjuk belas kasihan sebab bagi masa yang singkat untuk beliau setelkan dokumen. Sampai beliau tak balik rumah tau!

“Saya masih ingat kes pertama saya. Bos saya bagi dokumen hari Rabu dan nak saya siap proses argument pada Isnin pagi. Fail dia bukan main tebal beberapa inci lagi.”

Disebabkan tarikh hantar yang agak singkat, beliau kumpulkan 10 rakan beliau dan agihkan dokumen tu. Pastu, beliau suruh semua balik, baca dokumen tu, rekod audio dan hantar balik ke beliau ASAP.

“Lepas saya dapat balik audio tu, saya dengar satu-satu dan tulis balik dalam Braille. Kemudian saya proses argument dan tulis balik pakai mesin taip biasa untuk bos saya baca. Saya memang tak balik rumah dan jarang tidur masa tu. Rasa lapar je saya turun mamak kat bawah makan roti canai.”

Dato’ menceritakan detik-detik struggle beliau. Imej dari SOSCILI

Alhamdulillah, beliau berjaya siap pada waktunya dan hantar kat bos. Bos beliau kemudian ke Penang untuk perbicaraan kes tu dan menang weh!!

“Saya masih ingat masa tu bos saya call dari Penang kata kami menang kes tu. Balik je bos, kami terus potong kek.”

Keazamannya membuatkan beliau diterima dalam Majlis Peguam Malaysia pada 1989 sebagai peguam buta pertama di Malaysia, malah menarik minat Allahyarham Tan Sri Abd Jamil Abdul Rais, bekas Pengerusi Kontena Nasional yang telah bagi geran RM50,000 pada beliau untuk sambung master di University of Southampton, United Kingdom.

Baliknya dari UK, beliau terus kerja dengan Bursa Malaysia Kuala Lumpur selama 12 tahun. Lepas tu, dengan rasa konfiden Dato’ mengasaskan syarikat guamannya sendiri bernama Mah Hassan & Associates.

Dato’ ni bukan lawyer biasa biasa tau? Kalau korang nak tahu, beliau pernah lawan dengan bekas peguam terkemuka dan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh!

“Masa lawan Karpal Singh, saya tak takut. Mungkin sebab saya tak nampak dia pun, jadi itu suatu kelebihan saya buta. Tapi saya memang tegas dalam mahkamah, pernah sekali saya soal saksi sampai menangis dia kat kandang tu. Dalam makhamah, saya tak takut sesiapa.”

Bukan kandang ni gais! Imej dari cara-berternak-kambing.blogspot.com

Tapi walaupun Dato’ Mah boleh bertegas dan bertengkar dalam mahkamah…

Beliau juga seorang aktivis dan bertanggungjawab mendraf akta untuk OKU

Kalau korang nak tahu, selain seorang peguam Dato Mah Hassan juga merupakan seorang aktivis sejak di usia remaja lagi. Beliau telah menubuhkan sebuah syarikat bernama KL Braille Resources yang terletak di dalam bangunan yang sama dengan syarikat guamannya di Sentul. Company ni fungsi dia adalah untuk meningkatkan literasi dalam kalangan orang buta. Antara produk yang dihasilkan oleh dorang adalah Braillet, Braille Chess dan Quran Braille.

Tengok macam kecik je kan? Tapi dorang ni masyuk tau! Imej dari pknsmtb.blogspot

“Dalam seminggu saya sampai UK, saya diberi Bible braille secara free oleh sukarelawan gereja. Ini membuatkan saya sangat tercabar sebab di Malaysia terutamanya, orang buta Muslim dinafikan hak untuk membaca kitab suci kita sendiri (Al-Quran). Saya kena buat sesuatu.”

Jadi beliau mula tubuhkan satu research team untuk hasilkan Al-Quran braille. Bijaknya Dato’ Mah Hassan, untuk menaja projek ni, dia buat Wakaf Al-Quran di mana orang ramai boleh wakafkan Al-Quran tersebut pada yang memerlukan. Dorang juga ada sedekahkan Quran ni dekat Thailand dan Karachi, Pakistan. Nak sumbang? Klik sini!

Dato’ tengah demo Braillet, alat tulis untuk orang buta. Imej dari SOSCILI

Selain itu, beliau juga adalah bekas Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dan Presiden Gabungan Persatuan Orang Cacat Malaysia.

Beliau juga telah menolong draf Akta Orang Kurang Upaya Malaysia 2008 (masa zaman Tan Sri Shahrizat) yang menekankan hak sama rata untuk OKU dapat kerja, menyertai sukan, memperoleh akses kepada pendidikan dan lain-lain. Kesannya kita lihat sekarang nasib OKU lebih terbela dengan taraf ekonomi dan kebajikan yang lebih baik dari dulu-dulu. So kiranya banyak gila weh jasa Dato’ Mah Hassan kat OKU ni!

Sape langgar akta aku buat, aku snipe kepala dia! Imej dari sifumycatur

Hujung kata, Dato’ juga cakap sekarang tengah menulis surat untuk hantar ke Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan untuk minta tolong tingkatkan usaha bagi naikkan literasi OKU. Beliau juga sedang menggerakkan usaha dalam memberikan OKU hak untuk menulis dengan motonya, Right to Write.

“Saya sedang menulis surat ke Dr Maszlee untuk pastikan bahan bacaan braille lebih banyak, mudah diperoleh serta mempunyai hak untuk menulis.”

Dr Maszlee, yang terkenal dengan sifatnya yang bersahaja sudah pasti akan mendengar cadangan Dato’ Mah Hassan kerana beliau sendiri bersetuju untuk menambah lagi guru dalam bidang pendidikan khas serta menawarkan MBK aliran kemahiran dan vokasional bagi menangani isu tenaga kerja mahir di Malaysia.

Video dari Twitter Dr Maszlee.

Namun begitu, kedegilan ibu bapa yang tak nak daftar anak sebagai OKU juga jadi satu masalah sebab peluang dan bakat anak tu akan sia-sia. JKM kata ada 443, 541 OKU berdaftar tahun lepas. Tapi Dato’ percaya sebenarnya ada dekat 3 juta OKU di Malaysia.

So gais, kalau ada kenal keluarga mana yang ada anak OKU, galakkan dorang untuk daftar anak dorang supaya ada masa depan anak tu. Sama-samalah kita lebih celik dan peka untuk hargai OKU sebab mereka ni juga orang macam kita ada hati dan perasaan cuma ada sikit kekurangan. Sob sob sebak lak!

Kalau korang berminat untuk sumbang ke projek Wakaf Al Quran, boleh la sumbang RM250 untuk satu set Quran braille ke akaun KL Braille Resources ni:

 

Kos penyediaan satu Al-Quran braille adalah RM250, jadi kalau korang ada duit raya nak kasi lagi…

Dan untuk yang takda duit tapi masih berminat menolong golongan OKU, korang patut tau pasal app Be My Eyes, di mana kitorang yang celik ni boleh volunteer tolong orang buta untuk buat kerja seharian dia seperti nak tahu susu dah expired, tali leher mana masuk ngan shirt dia, dll. Tekan la sini untuk muat turun kat phone korang sekarang!

Jadi, tak keterlaluan kalau kita panggil Dato’ Mah Hassan sebagai adiwira bagi masyarakat OKU. Beliau telah banyak bersusah payah untuk membuktikan bahawa OKU mampu buat perkara yang orang celik buat, malah membuka peluang untuk yang lain jadi seperti beliau. Diharapkan kelak lebih banyak lagi OKU berpeluang menjawat jawatan profesional. Mungkin Perdana Menteri satu hari nanti?

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend