Kenapa kedudukan balutan luka Syed Saddiq berubah dalam Selfie? Ilmu pantulan cahaya boleh menjawab…

Macam yang kita tahu, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kali kedua dah pun selesai. Macam-macam berita yang kita dengar dan baca termasuklah berita pasal Tun Mahathir mengutuk Melayu perlu salahkan diri sebab miskin, Naib Presiden PPBM yang mahu ketua bahagian dan cawangan untuk menerima projek kerana menjadi parti pemerintah dan resolusi yang mencadangkan agar Tun M kekal sebagai PM sehingga PRU-15.

Dalam banyak-banyak berita ni, semestinya berita balutan luka Syed Saddiq menjadi perhatian. Sampaikan keluar perbincangan macam kat bawah ni…

Untuk maklumat tambahan, gambar bahagian atas adalah gambar selfie dan gambar bahagian bawah bukan selfie. Disebabkan benda macam ni jadi perbincangan hebat, maka kami dari SOSCILI teringat pasal topik Sains yang kita belajar dulu. Kita mulakan dengan…

Konsep asas Sains, tenaga tak boleh dihancurkan dan sentiasa terpelihara

Di dunia ni, apa yang bergerak semuanya datang daripada tenaga atau mat salleh panggil energy. Tenaga ni ada hukum asasnya sendiri iaitu tenaga ini tidak boleh dihancurkan dan akan terus terpelihara. Contoh paling mudah, korang buka lampu tandas sebab nak buang air. Cahaya lampu ni tadi datang dari tenaga elektrik yang mengalir dalam rumah korang.

Tenaga elektrik kat rumah korang tu pula bukanlah tiba-tiba je ada, ia datang pula dari stesen jana kuasa. Stesen jana kuasa ni pula terhasil dari pembakaran bahan bakar macam minyak, arang batu dan lain-lain. Ada juga yang datang dari tenaga tolakan air yang dipanggil hidro eletrik. Tenaga dalam bahan bakar ni pula datang dari cahaya Matahari dan tenaga dari cahaya Matahari terhasil melalui reaksi atau gerakan nuklear yang berlaku dalam terasnya.

Imej dari Solarschool

Bila bercakap pasal tenaga yang dipindah-pindahkan ni, tak lupa juga pasal pemindahan tenaga cahaya dari satu tempat ke tempat yang lain. Dalam bahasa mudahnya pantulan cahaya.  Kalau kat sekolah dulu, kita belajar lagi terperinci macam pembiasan cahaya dan penyerapan cahaya . Kali ni kita cuba ulang kaji balik pasal pantulan cahaya, alang alang dah kena dengan isu selfie muka Syed Saddiq ni.

Pantulan cahaya pada cermin yang rata dan betul-betul berkilat

Sekarang, kita bawa kes tenaga tak boleh dihancurkan ini ke situasi seseorang tu memandang cermin. Imej yang terhasil dalam cermin tu adalah imej pantulan cahaya. Menurut ilmu Sains, pantulan cahaya boleh berlaku dalam dua cara yang berbeza:

  1. Pantulan spekular (Specular Reflection): Kalau ada satu permukaan yang licin dan digilap sepenuhnya, cahaya yang dipancarkan ke atas permukaan tu akan pantulkan balik cahaya yang sama.
  2. Pantulan resapan (Diffuse Reflection): Kalau ada satu permukaan yang kasar dan digilap sepenuhnya, cahaya yang dipancarkan ke atas permukaan tu akan pantulkan cahaya yang berselerak.
Imej dari Explainthatstuff

Kalau korang boleh tengok muka korang dengan jelas dalam cermin, itulah pantulan spekular. Kalau ada nampak muka tapi kabur-kabur tu, itu dikira pantulan resapan. Dan satu perkara paling penting dalam pantulan adalah, sudut sinar tuju sama dengan sudut sinar pantulan. Maksudnya, kalau kita suluh lampu picit tu senget, cahaya yang terpantul pun sengetlah.

Imej dari Slideshare

Sebelum pergi lebih jauh, kita juga kena tahu kat dunia ni ada beberapa jenis cermin. Iaitu cermin satah (rata), cermin cengkung dan cermin cembung. Kita akan fokus jenis imej yang terhasil dari pantulan cahaya ke atas cermin satah yang rata ni. Imej yang korang tengok tu ada ciri-ciri ni:

  1. Imej yang dihasilkan tegak. Maksudnya tak adalah tiba-tiba dalam cermin kaki kat atas kepala kat bawah
  2. Imej yang dihasilkan sama besar dengan saiz sebenar objek (kitalah)
  3. Jarak imej dari cermin sama dengan jarak sebenar objek (kitalah) dari cermin
  4. Imej yang terhasil adalah imej maya, bukanlah imej sebenar (imej yang terhasil berada di belakang cermin)

Dalam bentuk gambar ia jadi macam ni…

Imej dari Lumenlearning

Kiranya kita tengok cermin, kita nampak diri kita sebiji macam kita lah kan. Tapi, sekarang, macam mana pula orang lain tengok kita di sebalik pantulan imej kita.

Apa yang kita nampak adalah terbaliknya posisi kanan dan kiri atau laterally invert

Macam yang disebut sebelum ni, bila kita tengok sesuatu objek yang dipantulkan oleh cermin, objek tu dalam cermin tu adalah imej maya. Ini bermakna gambar tu berada dibelakang cermin, bukannya dalam cermin. Walaupun gambar yang kita nampak tu sebiji macam objek asal, tapi ada satu perbezaan yang kita kena tahu, iaitu terbalik atau Saintis sebut “laterally inverted”. Ini contoh yang boleh gambarkan macam yang disebut bila tengok seseorang yang berdiri depan cermin.

Imej dari Shmoop

Dari konsep atas ni, kami nak bawa pembaca kepada seni fotografi yang dipanggil selfie atau Bahasa Melayunya, swafoto. Selfie ni menggunakan konsep potret diri, bukannya macam gambar biasa yang orang lain ambil gambar kita. Sejarah selfie dah menunjukkan, bahawa orang dulu ambil gambar depan cermin untuk dijadikan selfie. Inilah yang dibuat oleh Grand Duchess dari Russia iaitu Anastasia Nikolaevna pada tahun 1914.

Kamera Selfie yang kita ada hari ini sendiri mengambil semangat konsep imej di depan cermin. Jadi, bila kita berswafoto, gambar yang kita ambil tu adalah gambar terbalik kita. Maknanya, mata kanan, akan berkedudukan mata kiri dalam gambar. Macam bawah ni:

Gambar ni ada tersebar, dia fokuskan poket sebagai pembolehubah tetap. Dah macam eksperimen Sains

Ramai yang tahu konsep ni, cuma mungkin terlupa ilmu Sains yang kita belajar dulu. Kalau korang nak tahu, ilmu pantulan cahaya ni sangat penting dalam kehidupan harian kita.

Aplikasi pantulan cahaya dah bantu kita dari pagi sampai ke malam

Untuk korang yang belajar atau bekerja, bangun je pagi mesti akan tengok cermin sama ada untuk berus gigi atau cuci muka. Mestilah korang tahukan, muka yang korang tengok kat cermin tu muka dari pantulan. Selesai mandi dan bersiap semua, nak ke tempat kerja akan naik motorsikal atau kereta. Kat kenderaan lagilah banyak guna konsep pantulan cahaya. Contohnya, cermin sisi dan cermin pandang belakang.

Bila korang tengah sesak-sesak tu, tiba-tiba van Ambulans nak lalu, korang pun ke tepi lah sekejap. Bila tengok dari cermin sisi atau cermin pandang belakang, nampaklah tulisan ‘AMBULANS’. Tapi, kalau korang tengok depan-depan van Ambulans, tulisan pada van adalah ‘SNALUBMA’ macam kat bawah ni:

Imej dari cyber-rt

Tulisan terbalik AMBULANS ni sendiri digunakan kerana memahami konsep pantulan cahaya yang mempunyai imej terbalik jika dipantulkan. Kalau difikirkan balik, konsep pantulan cahaya ni dah menyelamatkan kita sepanjang di atas jalan termasuklah nyawa orang lain yang sakit di dalam van Ambulans.

Pada waktu malam pula, semestinya dengan adanya cahaya Bulan sedikit sebanyak membantu kita waktu malam. Kalau korang ingat lagi, cahaya Bulan itu sendiri terjadi kerana memantulkan cahaya Matahari yang terkena pada permukaannya. Bukan setakat bercahaya, malah cantik bila dipandang kan?

Ilmu Sains bukan sekadar belajar, kena tau juga aplikasinya

Dari dulu lagi, ramai antara kita yang dah belajar Sains sampaikan ada yang belajar lebih spesifik macam Fizik, Kimia dan Biologi. Kadang kala jarang kita nak hargai apa yang kita dah belajar, termasuklah memahami apa yang berlaku disekeliling kita ada nilai Sains di dalamnya.

Dracula yang tak selamat. Imej dari Meme.warstek

Sedar atau tak, aplikasi ilmu-ilmu Saintifik dah pun memenuhi keperluan hidup manusia dan memperbaiki kehidupan seseorang. Penemuan penawar bagi penyakit kanser dan pembentukan tenaga yang bersih untuk alam sekitar adalah antara dua contoh besar yang ramai merasa kebaikannya. Jadi, sama-samalah kita hargai ilmu Sains dan apa sahaja aplikasinya yang dah membantu kita dalam kehidupan seharian termasuk Selfie!

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT