FINAS nak tapis Netflix sebab laman penstriman tempatan ni? Kami siasat

(This article is translation. For original, visit our sister site, CILISOS)

Sekarang ni, mesti semua orang tahu pasal isu Finas-Netflix yang tengah hangat macam pisang goreng panas kat industri filem baru-baru ni. Tapi kalau ada di antara korang yang terlepas pasal isu tu, ni kitaorang bagitahu sikit: Hari tu, ada laporan yang mengatakan Finas mendesak kerajaan dan Putrajaya untuk menapis laman penstriman popular, Netflix kat negara ni.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nazri bagitahu yang ramai mak ayah risau dengan kandungan yang tak ditapis dalam filem-filem kat Netflix tu, dan secara tak langsung boleh menjejaskan remaja dan belia kat negara ni.

Kandungan dalam Netflix membimbangkan penonton

Untuk siapa yang belum kenal Ahmad Idham, inilah dia. Imej dari Buletin Malaysia

“Walaupun penapisan dalam kandungan yang ditayangkan di Netflix tidak berada di bawah bidang kuasa Finas, kami melihatnya dengan serius kerana kandungannya akan memberikan kesan negatif sekiranya tidak dipantau dari sekarang. 

Kami mengambil pendekatan untuk mengawal kandungan filem dan televisyen tempatan, tetapi sumber dari antarabangsa tetap terbuka. Ia akan memberi risiko kepada perkembangan minda kanak-kanak sekiranya ia tidak ditapis dari sekarang,” – Ahmad Idham, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, sumber dari Malay Mail. 

Jadi tak hairanlah kenyataan yang dia bagi tu dah mencetuskan kontroversi dan kecaman daripada semua warga net. Dan ramai bagitahu yang kandungan dalam Netflix dah ada aspek kawalan ibu bapa yang disediakan untuk pantau filem yang ditonton dalam Netflix. Malah ramai pelakon yang mengkritik kenyataan Finas, dan waktu kita tengah khusyuk mengupas bawang pasal hal ni, kata-kata Harith Iskander nampaknya macam berkaitan dengan situasi ni:

“ini adalah apa yang berlaku bila kita membesar dah mempunyai kuasa, tidak belajar bagaimana untuk bersaing.” – Harith Iskander, sumber dari The Star. 

Hmm jadi apa yang akan terjadi nanti? Apa yang dimaksudkan dengan persaingan dan kaitannya dengan isu penapisan? Walaupun Harith Iskander mungkin ataupun tak merujuk pada kenyataan tu secara khusus, sebenarnya ada satu teori popular yang berlaku dalam dunia maya, dan berdasarkan teori tu …

Finas sokong perkembangan satu platform penstriman tempatan … Aflix?

Penapisan filem kat Malaysia bukanlah perkara yang asing lagi, dan saudara kitorang ni pun dah banyak tulis pasal tu. Tapi nampaknya netizen ramai yang tak puas hati mengenai isu Netflix yang dikawal dan dikendalikan (oleh Finas) yang diorang mula untuk menimbulkan beberapa isu lain. Dan satu isu yang timbul berkait dengan benda lain, bila ada orang jumpa satu siaran Facebook dalam halaman ‘Aflix’ yang ada mengatakan Finas akan “bekerjasama untuk mempromosikan Aflix kepada industri”. 

Berdasarkan post yang disiarkan tu dan dalam laman web Aflix, ia boleh dikatakan adalah sebuah perkhidmatan striming tempatan yang serupa macam Netflix. Tapi dengan menggunakan titik jualan unik (unique selling point) dengan mengatakan yang dia merupakan “World’s 1st Ethical Streaming Service” (Perkhidmatan Penyiaran Beretika Pertama Dunia). Dan mungkin korang boleh perasan yang kenyataan tu berkait dengan komen Ahmad Idham baru-baru ni.

Tapi apa yang dimaksudkan dengan hal berkaitan penstriming beretika ni? Dalam laman web yang disediakan tu tak bagitahu secara menyeluruh mengenai syarikat tu dan pengasas syarikat tu sendiri. Tapi kitaorang dapat tahu yang kos langganan perkhidmatan Aflix ni berjumlah USD1 sebulan. Secara tak langsung ia menunjukkan perkhidmatan tu adalah yang ‘dipilih’ dan ditapis sendiri oleh editor diaorang, dan kalau korang langgan perkhidmatan tu, korang boleh tengok ‘semua filem yang beretika, drama dan lain-lain.’ 

Perhatikan video kat latar belakang tu. Tangkapan skrin dari laman web Aflix.

Tak ada penjelasan yang kukuh macam mana beretikanya Aflix ni, tapi kalau korang selidik sendiri dengan lebih lanjut dalam laman web tu, ada satu video yang dimainkan dengan latar belakang gelap yang mengatakan bagaimana kanak-kanak dah terdedah dengan macam-macam kandungan hari ni.

Dan diaorang jugak terdedah dengan kandungan yang tak sesuai dengan tahap perkembangan diorang, dan itulah yang dimaksudkan sebagai ‘kandungan tidak beretika’. Jadi kandungan beretika mungkin boleh dikatakan sebagai kandungan yang sesuai dengan ‘kanak-kanak dan mesra keluarga’. 

Tapi, berdasarkan posting kat Facebook Aflix tu, ada benda yang mencurigakan, dan hasil siasatan kitorang yang ala-ala CSI ni, Aflix ni rupanya merupakan anak syarikat daripada rangkaian tadika Islam tempatan yang dikenali sebagai Brainy Bunch

Ops ada yang panas ke? Imej dari tangkapan skrin dari FB Aflix

… dan dari akaun Instagram Aflix, kitaorang dapat tahu yang diorang ni dah rancang untuk pergi ke peringkat global (terutamanya ke Korea Selatan), dan semestinya menggunakan hubungan kuat diaorang dengan Finas. Dan Finas pun bersetuju untuk menyumbang kandungan yang diarkibkan kat diorang dan secara tak langsung untuk membantu mempromosikan Aflix. 

Dan mungkin apa yang lagi menarik bila korang selidik kat akaun Twitter (@AflixTV) diorang, yang kat situ diorang bagitahu dengan lebih mendalam pasal Aflix. A tu membawa maksud … Afrika. Sama ada sengaja ataupun tak, kitaorang pun tak pasti apa puncanya. Tapi dalam akaun Aflix Afrika yang ditubuhkan pada 2014 ia bertujuan “untuk membolehkan pengguna Afrika untuk memanfaatkan kuasa revolusi mudah alih dan mengakses kandungan video berkualiti premium pada bila-bila masa.”

Macam yang dijangkakan, ia takde langsung sebut pasal striming beretika dalam siarannya, dan @AflixTV tak kemas kini info yang relevan berkaitan hal tersebut, dan sebahagian besar akaun Twitternya hanya dipenuhi dengan ulang kicau (retweet) berkaitan kandungan yang viral. Dan kitaorang jumpa banyak pasal video haiwan dan konflik yang berterusan kat Palestin.

Dalam satu laporan berita pada tahun 2014 ada bagitahu yang Aflix dah mengembangkan sayapnya ke 30 negara Afrika, tapi itu adalah satu-satunya perkara yang kitorang dapat jumpa. Berdasarkan apa yang kitorang perhatikan, Aflix Afrika ni nampaknya dah tak beroperasi dan berfungsi lagi, dan Aflik Malaysia kelihatan macam membeli laman web tu dan belum diperbaiki dan ditambah baik lagi.

Apa yang korang akan dapat kat YouTube Channel Aflix. Dan ada logo Afrika kat situ. Imej dari tangkapan skrin kat Aflix TV

Di samping tu, disebabkan kekurangan publisiti berkaitan Aflix ni sebelum wujudnya kemelut Finas, apa yang kitorang perhatikan adalah Aflix ni sebenarnya baru lagi dalam industri (posting media sosial diorang yang terawal adalah Ogos tahun lepas). Namun, satu-satunya pautan yang kitorang jumpa mengenai hubungan diorang dengan Finas adalah, siaran media sosial diorang. Jadi berdasarkan hal tu, ia takde bukti yang konklusif yang mengatakan diaorang ni berada di sebalik kenyataan yang Finas keluarkan baru-baru ni.

Tambahan pula, ada eksekutif Aflik yang menjelaskan mengenai lawatan diorang ke Finas hanyalah panggilan hormat untuk memperkenalkan platform diorang, dan tak lebih dari tu.

“Kami tak sokong untuk tapis atau haramkan Netflix. Cara mereka berbeza. Tapi apa yang kami sediakan semuanya mengandungi kandungan beretika.

“Sekurang-kurang apabila ditanya di akhirat nanti, kami boleh menjawab bahawa kami sudah sediakan kandungan beretika dan selainnya terserah kepada penonton untuk memilih,” – Azman Shah Shaharuddin, pegawai eksekutif Aflix TV, sumber dari MalaysiaKini. 

Nampaknya Finas tak bermaksud pun nak tapis Netflix … tapi betul ke?

Mungkin ni jawapan yang sesuai untuk soalan tu? Imej dari MyInfoTaip

Dalam satu bebenang (thread) kat Twitter baru-baru ni berikutan kecaman yang menggemparkan netizen tu, Ahmad Idham ada bagitahu yang Finas sebenarnya takde kuasa untuk tapis kandungan dalam talian. Itu semua bergantung pada tugas Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang sebelum ni kitorang pernah tulis pasal tu.

Misi diorang adalah lebih kepada mempromosikan kandungan tempatan. Oleh itu, dia ada jelaskan mengenai tujuan Finas waktu dia bagi ucapan kat seminar untuk kesejahteraan keluarga, dan dah kenal pasti tentang keprihatinan mak ayah mengenai kandungan yang tak ditapis dalam era siber sekarang ni.

“Apa yang saya cadangkan adalah untuk mewujudkan kerjasama antara Finas dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) untuk mengadakan forum atau seminar untuk membahaskan isu ini dalam konteks pengukujan kandungan digital pada masa akan datang,” – Ahmad Idham, sumber dari NST. 

Jom support filem tempatan! Imej dari The Edge Markets

Gunakan dan semak Akta Komunikasi dan Multimedia dalam industri perfileman

Walau bagaimanapun, waktu kitorang tengah tulis artikel ni, dia masih lagi tak nafikan secara terang-terangan mengenai dakwaan yang Finas berhasrat untuk mencadangkan mengenai isu penapisan Netflix kat kerajaan. Dan ini bukanlah kali pertama isu mengenai penapisan Netflix timbul dan berlaku kat Malaysia, dan mungkin ia jugak bukanlah yang terakhir.

Tapi diaorang ni sebenarnya boleh ke laksanakan semua tu? Sesetengah negara dan kerajaan dah berjaya menyekat rancangan dan episod daripada masuk ke dalam negara diaorang dengan menggunakan undang-undang penapisan yang sedia ada. Dan kita sendiri jugak mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia (1998), yang meliputi Seksyen 233 yang dirujuk untuk menyekat dan menghalang laman web yang memaparkan kandungan LGBT, perbincangan agama dan cerita-cerita yang mengandungi unsur jahat, dan lain-lain.

Tak ada sumber yang kukuh mengatakan sama ada Netflix akhirnya akan ditapis kat Malaysia ataupun tak. Tapi dari apa yang kitorang dapat perhatikan buat masa ni, insiden ni mungkin bukanlah satu-satunya insiden yang boleh menyebabkan kepada isu penapisan tu … tapi MUNGKINlah.

Macam mana kalau jadi macam ni? GIF dari Giphy

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)