Orang Selangor tidak sedar ada dialek sendiri? Ini perbezaan dialek yang kita tak tahu

Negeri Selangor merupakan negeri yang terletak di tengah pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadan Perak Utara, Pahang Timur dan Negeri Sembilan Selatan. Asal perkataan Selangor tidak mempunyai maksud tetapi boleh dilihat asal perkataan “Kuala Selangor”.

Pada masa dahulu, Kuala Selangor mempunyai banyak pokok metangau di perairan sungai yang menjadi tempat persinggahan oleh para pelayar. Oleh itu, para pelayar memanggil tempat itu “Kuala Metangau” tetapi lama-kelamaan nama tempat ini menjadi “Kuala Selangor”.

Selain itu, Negeri Selangor merupakan negeri yang berstatus maju dari segi pelbagai perkara seperti pengangkutan, pembinaan, kewangan dan pembuatan. Hal ini menyebabkan ramai orang luar negeri berpindah ke Negeri Selangor untuk bekerja kerana Lembah Klang menjadi kegiatan ekonomi terbesar di Malaysia.

Walau bagaimanapun, penduduk Negeri Selangor sering diejek kerana tidak mempunyai dialek sendiri seperti Kelantan dan Kedah. Sebenarnya stereotaip sebegini sebenarnya tidak betul kerana Selangor mempunyai dialek sendiri tetapi ramai yang tidak tahu. Jadi, mari kami ceritakan tentang sejarah dialek yang berasal dari Selangor.

Penghijraan orang luar Selangor menghasilkan dua subdialek

Kalau orang Selangor mesti hadapi situasi begini. Imej dari Zamani 84

Berdasarkan kajian dari “Susur Galur Bahasa Melayu“,Prof. Emeritus Dato’  Asmah Haji Omar (1985), beliau menggunakan kajian fonologi iaitu penyebutan huruf dan pola bunyi sesuatu perkataan dalam subdialek Selangor Barat dan Kuala Lumpur.

Kawasan Timur di Selangor iaitu dari Petaling Jaya dan Ulu Langat di Selatan, meliputi wilayah Kuala Lumpur dan dari Utara hingga ke Ipoh dan dinamakan subdialek Kuala Lumpur. Seterusnya, kawasan Barat dari Selatan Sungai Selangor hingga ke Selatan meliputi daerah Kuala Langat namakan subdialek Selangor Barat.

Sebut sahaja mengenai dialek Selangor mesti berkait rapat dengan “cakap KL” iaitu bahasa standard kelainan pepet (bahasa pasar). Sebelum kemerdekaan, ramai orang dari negeri lain berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan ketika itu juga Bahasa Melayu belum menjadi bahasa rasmi negara. Hal ini mencetuskan dua subdialek di Selangor iaitu iaitu subdialek Kuala Lumpur dan subdialek Selangor Barat.

Dari segi penyebutan huruf “H” di awal perkataan tidak akan disebut dalam subdialek Selangor Barat manakala subdialek Kuala Lumpur masih menggunakan bahasa standard, contohnya:

Ini merupakan contoh perkataan yang awalnya bermula dengan huruf “H”. Imej dari Jurnal Sains Sosial & Kemanusiaan.

Kajian fonologi yang kedua ialah penggunaan huruf “U” akan digantikan dengan perkataan “O” dalam kedua-dua subdialek tetapi dalam subdialek Selangor Barat, huruf di hujung perkataan tidak akan disebut, contohnya:

Ini merupakan contoh perkataannya. Imej dari Jurnal Sains Sosial & Kemanusiaan.

Menurut kajian Prof. Emeritus Dato’ Asmah Haji Omar yang ketiga, beliau menggunakan perbezaan dua huruf vokal (diftong) “ar” dalam setiap subdialek. Jika dilihat dalam subdialek Kuala Lumpur, perkataan huruf “R” akan dibuang manakala subdialek Selangor Barat akan menukarkan huruf “R” kepada huruf “W” seperti dialek Melaka, contohnya:

Ini merupakan contoh perkataan yang menggunakan “ar”. Imej dari Jurnal Sains Sosial & Kemanusiaan.

Kalau korang lihat dalam ketiga-tiga kajian ini, subdialek Selangor Barat boleh dikatakan mempunyai persamaan dengan dialek Melaka manakala subdialek Kuala Lumpur mempunyai persamaan dengan dialek Johor. Hal ini bersangkut-paut dengan masa yang silam terdapat banyak dialek yang meluas secara selari dalam paksi Utara-Selatan.

Penggunaan dialek Johor digunakan oleh orang dari kawasan Melaka Tengah sekarang ini hingga ke Sungai Selangor. Oleh itu, Negeri Selangor hanya menjadi tumpuan penduduk-penduduk dari kawasan-kawasan lain sebagai satu kawasan bahasa yang penuh dengan ciri kepelbagaian maka terciptalah subdialek-subdialek seperti Selangor Barat dan Kuala Lumpur.

Jangan bergaduh pula. Imej dari knowyourmeme.

Namun, kami ingin menekankan kepada subdialek Selangor Barat kerana subdialek ini tidak ramai orang tahu.

1. Dialek Melayu Langat: sebutan ular jadi ulae

Ini merupakan gambar lama di Kuala Langat. Imej dari Azman Sharif.

Majoriti penduduk di Kuala Langat merupakan keturunan yang berkomunikasi dalam pencampuran dialek (varian koine) iaitu orang Melayu yang berketurunan Jawa atau dipanggil sebagai Jawa-Melayu. Namun, menurut James T. Collins (1997), beliau menjumpai satu dialek yang berasal dari penduduk Melayu di Kuala Langat iaitu dialek Melayu Langat. Dialek ini merupakan varian kepada dialek Melayu Negeri Sembilan kerana kawasan Hulu Langat bersempadan dengan Negeri Sembilan.

Terdapat beberapa perbezaan antara pencampuran dialek di kawasan Selatan (koine selatan) dengan dialek Melayu Langat.  Perbezaan ini boleh dikaji dari segi dua huruf vokal (diftong), /-ar/, /-s/, /-p/, dan /-t pada akhir kata, contohnya:

Inilah perbezaan driftong dari dua dialek. Imej dari Jurnal Sains Sosial & Kemanusiaan.

Kalau korang dapat lihat dalam diftong “ar”, kedua-dua dialek mempunyai persamaan iaitu menukarkan diftong “ar” kepada huruf “E”. Namun, perbezaan boleh dilihat dalam perkataan “semak” kerana mereka menggunakan perkataan lain iaitu “belukae” (koine selatan) dan “elukae” (dialek Melayu Langat).

Selain itu, perbezaan juga boleh dilihat dalam dua huruf vokal “-s” iaitu koine selatan akan menggunakan bahasa standard dan kadangkala beberapa perkataan akan ditukar tetapi dialek Melayu Langat akan menukarkan diftong tersebut kepada difttong “-h”.

Kalau Diftong “-p” pula sangat berbeza dari bahasa standard kerana dua dialek ini menukarkan kesuluruhan perkataan dari perkataan asal. Namun, jika dilihat dalam diftong “-s”, kebanyakan huruf banyak menggunakan bahasa standard dalam kedua-dua dialek cuma ada beberapa perubahan perkataan dalam dialek Melayu Langat.

Jangan bergaduh pulak dengan member bila borak pasal ni. Imej dari meme generator.

2. Dialek Melayu Jugra: tiga kampung yang mempunyai varian tersendiri

Sultan Abdul Samad bersama dengan ahli istana di Jugra. Imej dari Aku Budak Telok.

Jugra terletak di daerah Kuala Langat. tempat yang berhampirannya ialah Pulau Carey, Kampung Kanchong Darat, Banting, Jenjarom dan Sungai Buaya dan Bandar. Jugra dikatakan menghadap Selat Melaka dan berdekatan dengan muara Sungai Langat. Jugra meliputi kawasan Bukit Jugra, Pantai Kelanang, Kampung Sungai Arak dan Kampung Chodoi.

Korang tahu tak yang Jugra ini mempunyai dialek mereka sendiri iaitu dialek Melayu Jugra, bahkan dialek ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana dialek lain atau pencampuran dialek (koine),  Tambahan pula, terdapat tiga varian dalam dialek Melayu Jugra ini iaitu varian Sungai Buaya, varian Pulau Nyatoh, dan varian Kelanang berdasarkan kajian. (korang boleh baca kajian tersebut di sini)

Sebelum itu, mari kami jelaskan simbol vokal dan konsonan yang digunakan dalam kajian dialek ini:

  1. ə : sebutan huruf e taling. (contoh: kedai, helang, emak, dan belut)
  2. ? : hentian glotis atau tidak menyebut akhir perkataan. (contoh: tidak, jimak, dan istinjak)
  3. x : sebutan perkataan yang mempunyai huruf “kh” (contoh: khabar, khazanah, dan akhir)
Sabar, jangan pening. Imej dari giphy.

Vokal depan dalam Dialek Melayu Jugra melingkupi bunyi-bunyi [i, e, a]. Vokal depan [i, e, a] mempunyai pembahagian yang luas kerana boleh muncul pada posisi awal suku kata, tengah suku kata serta akhir suku kata, dan dalam suku kata terbuka ataupun tertutup.

Contohnya:

Jangan pening pula ketika membaca. Imej dari Jurnal Sains Sosial & Kemanusiaan.

Bunyi-bunyi bagi vokal belakang yang terdapat dua fonem vokal dalam Dialek Melayu Jugra ialah [u, o,]. Vokal belakang tinggi [u] dan vokal belakang separuh tinggi [o]. Oleh itu, dalam dialek Melayu Jugra, kedua-dua vokal belakang boleh muncul pada posisi awal kata, tengah kata dan akhir kata. Contohnya, korang boleh tengok jadual berikut :

Haa yang ni senang sikit. Imej dari Jurnal Sains Sosial & Kemanusiaan.

Vokal tengah [ǝ] ini dilihat mempunyai bahagian yang lengkap kerana boleh muncul pada semua posisi kata misalnya pada posisi suku kata tengah, dan posisi akhir kata. Penyebaran vokal tengah [ǝ] dalam Dialek Melayu Jugra boleh dilihat dalam contoh jadual yang berikut:

Yang ni mungkin senang. Imej dari Jurnal Sains Sosial & Kemanusiaan.

Dialek merupakan jiwa kepada sesebuah negeri

Pening dia nak duduk mana sebab banyak sangat loghat. Imej dari Anne Nurain.

Majoriti rakyat Malaysia pasti kenal dengan semua dialek yang ada di setiap negeri seperti dialek Kelantan, dialek Utara, dialek Pahang dan sebagainya. Kita juga sebagai rakyat yang berjiwa budaya haruslah memartabatkannya kerana dialek-dialek ini dicipta oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Bukan itu sahaja, penduduk Selangor juga perlu memartabatkan dialek-dialek yang ditulis dalam artikel ini kerana ramai dari kita tidak tahu tentangnya.

Namun, jika kita lihat apa yang berlaku dari dulu hingga sekarang, orang yang menggunakan dialek negeri sendiri sering diejek kerana menganggap tidak sesuai dengan cara berkomunikasi sekarang. Contohnya, seseorang itu bercakap dengan menggunakan dialek Kelantan tetapi kawan-kawannya sering mengajuk-ajuk cara percakapannya.

Oleh itu, kita tidak boleh melakukan perkara sebegini kerana boleh dilabel sebagai streotaip terhadap dialek negeri lain. Kita yang fasih bercakap dalam dialeknya harus mengajar orang lain bagaimana ingin berkomunikasi dalam dialek tersebut. Kita juga tidak boleh menjadi assabiyah iaitu menggunakan dialek hanya dengan orang negeri sendiri. Jadi, keluarlah dari kepompong assabiyah dan kongsilah ilmu dialek bersama dengan orang negeri lain supaya silang budaya itu tercipta.